Saturday, 5 November 2011

Jauh di sudut hati..

Sudah banyak bulan saya berhenti menulis dalam laman blog ini. Selama ini saya lebih banyak menghabiskan masa melayan Facebook kononnya kerana "tidak ada masa." Bukan FB tak bagus tetapi memang ada tak bagusnya. Benar FB bagus untuk melebarkan rangkaian kenalan. Juga benar FB boleh memberikan kita maklumat terkini mengenai apa saja yang dikemaskini rakan-rakan FB. Tetapi selebar mana jaringan, oleh sebab perkara-perkara asas tidak diberi perhatian malah sengaja dilupakan, saya lihat FB sudah hilang serinya (bagi diri saya). Ada nilai-nilai kekeluargaan yang sudah dilupakan. Semuanya kerana masing-masing mengambil mudah dan beranggapan, "Ah! FB ada bila-bila pun boleh dihubungi. Lagipun kalau sudah jadi rakan FB semua orang boleh baca dan boleh tahu apa yang berlaku."
Sebenarnya, inilah bahana kemajuan ICT kalau kita silap memilih saluran. Memang antara fungsi ICT ialah untuk melebarkan jaringan. Tetapi tidak ramai yang sedar bahawa ada nilai-nilai tertentu semakin pudar dan malah akan terus hilang. Mereka yang rapat dengan saya tidak lagi mahu menelefon sekalipun menghantar sms. Yang muda mengharapkan kita yang tua untuk menghubungi mereka. Kalau saya boleh menghubungi abang dan kakak-kakak saya sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk bertanya khabar tetapi ahli-ahli keluarga yang muda baik anak-anak angkat, anak-anak saudara mahupun cucu-cucu saudara, saya rasa boleh menang loteri kalau ada antara mereka yang tiba-tiba menelefon bertanya khabar.
Biarlah akaun FB saya terus "terbuka." Kalau ditutup payah juga kerana masih ada relevannya. Saya sudah mengambil keputusan, dengan blog yang sudah berubah wajah ini, lebih baik saya kembali menulis di laman sendiri dan melayan diri sendiri. Lagipun saya boleh menulis sepanjang mana yang saya mahu tidak seperti menulis status FB yang ada had. Kalau tulis nota belum tentu orang sanggup baca kerana mereka yang melayan FB tidak ramai yang suka membaca. Nampaknya sebahagian besar mereka bukan sasaran audien saya.
Saya mahu kembali. Jika diizinkanNya, saya mahu menulis lebih banyak lagi kerana di dalam stor minda saya masih banyak yang terkumpul yang belum digali.
Maaf kepada mereka yang pernah menulis komen terhadap beberapa tulisan saya. Saya tidak memberi respon kerana sudah lama tidak membuka laman blog ini.

3 comments:

Rositah Ibrahim said...

Salam, saya pengikut tulisan sdr. Saya gembira kerana anda telah kembali!
Saya juga pernah berhenti seketika, sehingga disapa oleh seorang penyair.
Selamat kembali!

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Terima kasih Rositah kerana mengikuti tulisan saya. Saya amat menghargainya.
Saya juga banyak mendapat sokongan dan galakan daripada rakan sasterawan yang kebanyakan mereka penyair.
Mereka tidak menyapa tetapi saya tahu mereka selalu menyemak dan memberi perhatian setiap kali saya menulis.

Radzi Yaacob said...

Salam,
Saya tumpang gembira dapat kembali membaca tulisan abang Mohd Shah ..... terimakasih bang!