Thursday, 11 November 2010

Selamat Hari Lahir Anak Abah

Memang banyak pihak yang melenting bila mana TPM merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan cadangan pemansuhan UPSR dan PMR tidak berapa lama dulu. Ibu bapa, NGO, parti-parti politik hinggakan Konsensus Bebas Parlimen semua memberikan pandangan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Rata-rata mereka berpendapat tindakan tersebut tidak wajar dan masing-masing mempunyai pendapat dan alasan tersendiri.

Tetapi apabila sahaja pengumuman dibuat bahawa hanya PMR akan dimansuhkan bermula 2016 manakala UPSR dikekalkan tetapi dilakukan perubahan pada bentuk dan format sudah tentu ramai berasa lega.

Saya tidak mahu menyentuh soal rasional di sebalik cadangan tersebut serta hujah dan alasan semua pihak yang menentang idea pemansuhan tersebut. Sebagai "orang luar" yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan UPSR mahupun PMR, saya melihat kedua-dua peperiksaan tersebut khususnya UPSR sedikit sebanyak mencederakan pemikiran dan sikap orang kita.

UPSR mencipta satu rantaian masalah yang saling berkait. Bayangkan berapa ramai anak sekolah yang mengalami tekanan perasaan kerana sikap ibu bapa. Semuanya kerana sikap ibu bapa yang berlumba-lumba mahukan anak masing-masing menjadi yang terbaik. Ini mengakibatkan anak-anak kehilangan masa bersama keluarga dan kawan-kawan kerana dipaksa menyertai kelas tuisyen sama ada peribadi mahupun di pusat-pusat tuisyen berbayar. Saya pasti bukan semua bersedia untuk terikat dengan jadual tahun enam yang begitu ketat kerana di sekolah mereka sendiri sudah ada kelas tambahan pada waktu pagi atau petang. Ada juga sekolah yang menganjurkan kelas tambahan pada hari Sabtu sehinggakan guru-guru sendiri sukar untuk mengatur program bersama keluarga pada hujung minggu.

Saya lihat ramai juga ibu bapa yang jadi kecoh kerana UPSR. Memang tidak salah mahukan anak-anak menjadi yang terbaik dalam akademik tetapi setiap apa yang kita lakukan seharusnya berpada. Anak-anak tidak wajar diberi tekanan "mesti dapat 5A." Kalau tak dapat nanti mak atau ayah malu. Kerana tidak mahu malu maka anak-anak dipaksa menghadiri kelas tuisyen hampir lima hari seminggu menyamai hari persekolahan. Kesibukan aktiviti akademik di sekolah ditambah dengan aktiviti tuisyen selepas sekolah. Bagaimana dengan anak-anak golongan elit yang sedia sibuk dengan kelas renang, muzik,komputer, tae-kwan do, balet dan sebagainya?

UPSR tiba-tiba menjadi semacam satu medan pertarungan bukan di kalangan anak-anak tetapi satu pertandingan untuk mencari ibu bapa mana paling hebat. Dari peringkat persediaan kita dapat lihat ibu bapa saling berlumba menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen dan bila perkara ini jadi bahan bualan, ramai juga kawan-kawan yang tercedera hati dan perasaan kerana sikap mahu menunjuk-nunjuk sesetengah mereka. Sudah tentu mereka yang berkemampuan akan menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen terkenal sedangkan bagi yang kurang mampu mereka cuma dapat menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen murah yang tidak ada nama dan ala kadar juga perkhidmatannya.

Bagaimana pula "format dan kandungan" perbualan ibu-ibu khususnya bila keluar keputusan UPSR nanti? "Anak I dapat 5A, anak you dapat berapa?" Maka Si Ibu yang hebat itu akan sibuk menelefon kawan-kawan mahu tahu anak-anak orang lain dapat berapa A. "Haa?? Anak you dua A aje?? Kenapa ya? Patutnya dulu you hantar dia kat tuition centre anak I.." Begitulah..

Selepas itu apa pula yang berlaku? Ibu bapa yang hebat-hebat yang sudah pasti mempunyai kenalan yang hebat-hebat akan sibuk mencari jalan menemui orang politik yang boleh membantu memberikan sokongan bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat tempat di sekolah berasrama penuh. Dengan tempat yang terhad sudah tentu jumlah sekolah berasrama penuh sedia ada tidak mampu menampung ribuan murid yang mendapat 5A. Kerana itu "connection" perlu dicari.

Dari situ tercipta pula satu rantaian ekonomi, bila ada "demand" maka UPSR mencipta pasaran dan peluang perniagaan. Kerana wujudnya UPSR kita dapat lihat sekian banyak pusat tuisyen tumbuh di merata tempat hinggakan ke pinggir bandar dan desa. Dari mana datangnya sumber tenaga pengajar pusat-pusat tuisyen ini? Hebatkah mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen dan mampukan mereka menandingi kehebatan dan kredibiliti guru-guru sekolah yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman mengajar tahun enam? Tidak juga. Bila disemak rupa-rupanya sebahagian besar merupakan guru-guru sekolah yang mengajar di sekolah pada waktu pagi atau siang, dan petang atau malam mereka "cari makan" di pusat-pusat tuisyen. Mana mungkin pusat tuisyen mampu menyediakan tenaga pengajar hebat daripada sumber lain kecuali guru-guru berpengalaman yang sudah bersara.

Di sini timbul masalah sikap dan komitmen. Yang mana lebih wajar diberi perhatian, gaji bulanan yang dibayar kerajaan yang tidak seberapa atau pendapatan dari pusat tuisyen yang jauh lebih lumayan? Sudah tentu hasil yang diperoleh dari pusat tuisyen menjadi pilihan hinggakan ada ramai guru membuka pusat tuisyen sendiri atau berselindung di sebalik nama orang lain. Saya teringat lirik lagu filem Siti Muslihat; "Nenek-nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga."

Mengenai operasi pusat tuisyen, biasanya selepas peperiksaan pusat tuisyen akan sunyi sepi. Kalau UPSR berlangsung pada bulan September, bererti selama tiga bulan tidak akan ada aktiviti dan pusat tuisyen kehilangan pendapatan daripada murid-murid tahun enam. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Di Kuala Lumpur dan Selangor, ada beberapa pusat yang menawarkan tuisyen persediaan untuk tingkatan satu. Keputusan UPSR belum pun keluar, anak-anak masih belum tentu ke sekolah mana, buku teks pun belum dapat lagi tetapi pusat-pusat tuisyen sudah menawarkan kelas persediaan untuk tingkatan satu. Memang kreatif sungguh.

Ada satu pihak lagi yang kehilangan pendapatan selepas berakhirnya UPSR. Pihak yang saya maksudkan ialah golongan "Pakar Perunding Motivasi." Kalau saya teruskan tulisan ini sudah pasti ada pihak yang terluka dengan beberapa kenyataan saya. Tetapi realitinya, perlukah kita pada "pakar perunding motivasi" ini? Antara sekian ramai "Pakar" berapakah bilangan yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut? Saya pernah terdengar satu syarahan seorang "pakar." Saya rasa kalau dari segi teknik menjawab soalan, guru-guru sekolah itu sendiri lebih berpengalaman. Dan pihak mana pula yang memberikan akreditasi bagi membolehkan golongan tersebut menggunakan gelaran "pakar" itu dan kayu ukur mana yang dipakai?

Ah! cukuplah setakat ini tentang UPSR. Saya juga boleh jadi pakar kerana saya rasa saya pun pandai bercerita dan mampu membuatkan murid-murid tahun enam menangis kalau mendengar cerita saya. Cuma saya tak pasti apakah cerita-cerita sedih yang disampaikan dalam masa dua jam nanti boleh menjanjikan 5A atau mengubah sikap mahupun disiplin kanak-kanak yang nakal tegar yang tidak mampu dilenturkan guru besar dan juga guru disiplin sekolah itu sendiri. Kerana itu saya tak mahu jadi "pakar perunding motivasi." Lagipun lebih baik saya buat duit cara lain. Memang saya tak sampai hati..

Kira-kira dua puluh minit lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Buah hati pengarang jantung saya Siti Nurbaya sedang berdebar menunggu keputusan di sekolahnya di Bandar Kinrara bersama-sama ayah dan umminya. Kata ayahnya tadi dia akan menelefon saya sebaik dapat keputusan. Seperti juga kakak-kakaknya dulu, saya tidak pernah mengharap apa-apa. Sikap dan pendirian saya mengenai pelajaran anak-anak memang konsisten. Asal lulus cukuplah. Bagi saya UPSR bukan penentu masa hadapan. Kalau Baya dapat 5A atau 4A atau 3A atau tak ada A sekalipun, dia tetap buah hati abah.

Semalam Baya genap berusia 12 tahun. Dia masih ada masa yang panjang untuk merancang masa depan. Biarlah dia sendiri yang menentukan mahu jadi apa apabila besar nanti bersandarkan minat dan keupayaan sendiri. Saya bimbang ayah dan umminya akan memberikan tekanan yang bukan-bukan kepada Baya apabila dia masuk ke Tingkatan Satu nanti.

Selamat Hari Lahir Anak Abah.

(Tulisan ini siap pada kira-kira jam 11.45 pagi mengikut waktu tempatan)

No comments: