Friday, 1 October 2010

Surau Gunung Soga

Keluarga saya menetap di Gunung Soga selama lebih kurang 12 tahun. Kami dibawa berpindah dari Kluang pada tahun 1960 apabila ayah saya menerima arahan pertukaran kerana pada waktu itu daerah Batu Pahat memerlukan seorang Pengawal Mergastua bagi mengendalikan kes haiwan liar yang semakin bertambah. Semasa tinggal di situ surau Gunung Soga merupakan antara tempat yang banyak menyimpan kenangan manis zaman kanak-kanak saya.

Di situ ayah saya banyak mencurah bakti. Ibu saya pernah memberitahu bahawa ayah saya dilantik sebagai noja surau. Saya tidak faham makna perkataan itu. Apa yang saya tahu dia diberi amanah memegang kunci surau dan juga stor. Dia pernah membawa saya untuk membantu mengemas pinggan-mangkuk serta barangan lain yang terdapat di situ. Bila tidak ada kerja di rumah di surau itulah tempat dia menghabiskan masa. Selain itu dia juga menjaga kebersihan surau serta kawasan sekitarnya. Surau itu sudah menjadi rumah keduanya dan stor itu pula merupakan pejabat keduanya.

Kadang-kadang ada juga dia melaungkan azan walaupun itu bukan tugas rasminya. Tetapi kalau pada waktu bulan puasa hampir setiap hari dia akan memukul kentung dan selepas itu melaungkan azan maghrib. Selepas selesai barulah dia balik untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

Saya tidak pernah tahu bagaimana ayah saya boleh dilantik ke jawatan tersebut. Tetapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kerana tiba-tiba sahaja berlaku pertukaran. Kerana pertukaran itu jiran sebelah rumah kami yang sebelum itu memegang tugas tersebut terus merajuk dan tidak lagi mahu ke surau walaupun jarak surau itu dengan rumah kami hanya kira-kira 50 meter sahaja.

Di surau itu banyak watak menarik yang masih saya ingat hingga sekarang. Imamnya Pak Ali yang digelar Pak Ali Kubur. Dia mendapat gelaran itu kerana kerjanya memang sebagai penggali kubur. Sama seperti ayah saya, Pak Ali juga merupakan pakar memasak nasi minyak. Kalau ada sebarang majlis mereka saling bantu-membantu. Kalau Pak Ali dilantik sebagai tukang masak ayah saya bertindak sebagai pembantunya. Begitu juga sebaliknya.

Memang ada beberapa yang lain yang sentiasa lekat di ingatan saya seperti Haji Laila, Haji Embi, Pak Adam, Cikgu Manaf, Cikgu Jamil Markom, Cikgu Mohamad Diah, Cikgu Naim, Cikgu Rashid dan Cikgu Haji Ibrahim, sekadar menyebut beberapa nama yang kebanyakannya bekerja sebagai guru. Di kawasan perumahan kuarters kerajaan Gunung Soga memang terdapat ramai guru. Mereka merupakan kumpulan yang menceriakan suasana surau dan kebanyakannya rapat dengan ayah saya. Haji Embi orang yang bertanggungjawab memberikan gelaran Ibrahim Rimau kepada ayah saya, peristiwa yang berlaku pada satu petang sebelum berlangsung upacara sambutan maulidur-rasul. Ketika itu ayah saya sedang sibuk memasang khemah dan Haji Embi sedang membantu memasang sistem PA. Sambil "mengaum" menerusi mikrofon dia menganugerahkan gelaran itu yang lekat hingga ke akhir hayat ayah saya.

Cikgu Manaf merupakan guru besar sekolah agama saya. Saya menghadiri sekolah agama pada waktu petang di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaaan Penggaram. Sesi sekolah agama bermula pada jam dua dan berakhir kira-kira jam lima petang. Walaupun Cikgu Manaf seorang yang garang di sekolah dengan rotan panjang tidak pernah lepas daripada tangannya tetapi bila di surau dia berubah watak. Rupa-rupanya dia seorang yang periang dan suka bergurau bila berada dengan kawan-kawan.

Di situ saya kerap juga mengikuti kelas agama yang dikendalikan Tuan Haji Mahfuz. Haji Mahfuz tinggal di Parit Besar kira-kira tiga kilometer dari Gunung Soga. Dia datang mengajar dengan mengayuh basikal. Bukan seperti sekarang penceramah agama yang datang ke surau ada yang memandu kereta Mercedes. Bagi Haji Mahfuz itulah satu-satunya kenderaan miliknya. Kalau ke bandar pun dia akan menaiki basikal buruknya sama seperti ayah saya.

Haji Mahfuz datang mengajar di surau kami hampir setiap minggu. Setiap kali kalau ada kelas agama ayah saya akan mengingatkan saya supaya hadir ke surau. Saya memang suka menghadiri kelas agama di surau kerana ramai kawan saya akan turut bersama. Sebenarnya kami bukannya datang untuk kelas Haji Mahfuz. Tujuan utama kami ialah menunggu hidangan sebaik selesai kelas agama. Paling tidak pun pasti ada kuih-muih dan kopi-O disediakan.

Saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku semasa Haji Mahfuz mengajar. Pada malam itu dia bertanyakan soalan sama ada mereka yang hadir masih ingat lagi nama tempat Rasulullah selalu mengadakan pertemuan dengan para sahabat dan pengikutnya. Oleh sebab orang-orang tua di situ semua senyap, secara spontan saya menjawab, "Darul Naduah," kata saya. Mendengar jawapan saya mereka yang duduk di barisan selari dengan pintu terus memandang ke arah saya. Waktu itu saya duduk betul-betul di muka pintu. Haji Mahfuz tercari-cari dari mana datang suara budak. Sebaik terpandangkan saya dia tersenyum. Kerana malu dipandang begitu saya terus bersembunyi di belakang dinding. Saya tidak nampak di mana ayah saya duduk tetapi sudah tentu dia tahu kerana ada orang menyebut "anak Berahim Rimau." Saya berasa lega kerana sudah pasti dalam fikirannya saya memang benar-benar memberi perhatian kepada kelas Haji Mahfuz.

Cikgu Haji Ibrahim yang senama dengan ayah saya tinggal di Beroleh sebuah perkampungan yang agak jauh sedikit. Kalau tak silap saya kira-kira enam atau tujuh kilometer dari Gunung Soga, jalan menghala ke Ayer Hitam dan tidak jauh dari Sekolah Menengah Perempuan Tun Aminah. Walaupun menetap di tempat lain dia memang selalu datang ke surau kami kerana rumah anaknya berhadapan dengan surau. Bagi budak-budak sebaya saya, kehadiran Cikgu Haji Ibrahim di surau selalu membuatkan kami kecut perut kerana dia cukup garang. Sambil memegang rotan dia akan memanggil kami untuk belajar solat. Dia tidak peduli anak siapa semua akan ditengkingnya kalau salah. Ada juga yang pernah merasa libasan rotan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah kami berbincang sesama sendiri tentang hal orang tua yang tidak ada kena-mengena dengan surau mahupun sekolah kami itu. Kami tertanya-tanya kenapa ibu bapa kami tidak pernah peduli dengan apa yang dilakukan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah juga beberapa orang bapa melihat sendiri bagaimana anak-anaknya dilibas dengan rotan tetapi mereka seperti tidak nampak apa yang berlaku. Mungkin ibu bapa kami sudah membuat perjanjian dengan orang tua itu.

Ada seorang lagi orang tua bernama Haji Laila. Namanya seperti nama perempuan. Dia juga seorang guru tetapi saya tak ingat di mana dia mengajar. Haji Laila terkenal kerana kereta Volkswagen merahnya. Selain itu dia juga terkenal kerana mempunyai dua orang anak gadis yang menjadi idaman para jejaka Gunung Soga. Saya tidak pernah menyimpan dendam terhadap kedua-dua anak gadisnya kerana dua sebab. Pertama, Haji Laila kawan rapat ayah saya. Sebab kedua, kedua-dua anaknya itu jauh lebih tua daripada saya.

Dia merupakan salah seorang kawan rapat ayah saya. Memang ayah saya mempunyai ramai kawan rapat dan mungkin itu juga yang saya warisi daripadanya. Mungkin kerana hubungan baik mereka Haji Laila suka mengambil tahu tentang saya. Bukan Haji Laila sahaja, isterinya Mak Wa juga serupa. Setiap kali ternampak kelibat saya sekalipun dari jauh dia akan bertanya, nak pergi mana, bila balik, mak engkau mana, bapak engkau mana dan bermacam-macam lagi soalan maut. Kadang-kadang saya rimas kerana terpaksa memberi segala macam laporan. Tetapi saya tidak dapat mengelak kerana kalau pada waktu malam jalan berhampiran rumahnya itu merupakan jalan paling selamat. Pernah sekali Mak Wa muncul dari dalam gelap menyergah saya yang balik agak lewat pada satu malam.

Sejak masuk sekolah asrama penuh bila balik bercuti saya agak kurang ke surau. Pada satu hari ketika lalu di hadapan surau untuk ke bandar, Haji Laila yang sedang duduk di tangga surau menegur saya. Marah sekali bunyinya. "Ha! Bila dah sekolah jauh dah tak ingat surau lagi, ya?" Saya tak berani menjawab. Cepat-cepat saya berjalan seolah-olah teksi sapu sedang menunggu berhampiran pondok telefon di simpang jalan masuk ke Gunung Soga itu.

Selesai urusan di bandar saya terus balik ke rumah. Sebelum maghrib saya sudah berada di surau. Sengaja saya mengambil tempat di sebelahnya waktu bersolat. Selesai solat saya mencium tangan Haji Laila. Dia tidak memberikan sebarang reaksi. Orang tua, kata hati saya. Tetapi saya harap dia puas hati bila melihat saya akur dengan "perintahnya."

Haji Laila ke Mekah bersama-sama ayah dan ibu saya. Mereka semaktab menurut istilah orang yang pergi mengerjakan haji. Mungkin kerana tahun dia bersara sama dengan ayah saya dan mereka pergi atas biaya kerajaan negeri untuk kakitangan yang bersara. Bagi saya persahabatan mereka amat bererti sekali kerana Haji Laila merupakan orang yang memangku ayah saya pada saat-saat ayah saya menghembuskan nafas terakhir. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika mereka singgah di Mina dalam perjalanan kembali dari Arafah. Menurut Haji Laila perkara itu berlaku sangat pantas. Ayah saya mengadu tidak berapa sihat pada waktu siang dan apabila sampai di Mina dia nampak keletihan. Melihat keadaan ayah saya itu Haji Laila memanggil ibu saya dan dalam beberapa jam sahaja ayah saya sudah tiada. Kata Haji Laila dia sempat mengingatkan ayah saya mengucap dua kalimah syahadah dan perginya pun dalam keadaan yang cukup tenang. Menurut Haji Laila lagi, ketika ayah saya demam beberapa minggu sebelum itu doktor di Mekah berjaya mengesan bahawa ayah saya menghidap bengkak hati yang dipercayai sudah dihidapi lama sebelum berangkat ke Tanah Suci. Memang rezekinya untuk ke Mekah kerana kalau berjaya dikesan di Malaysia sudah tentu dia tidak dapat menunaikan haji.

Cerita ini disampaikan kepada saya di pangkin luar rumahnya. Di situ juga Haji Laila bercerita bagaimana dia melihat keadaan ibu saya. Katanya, dia belum pernah berjumpa dengan seorang isteri yang cukup sabar dan tabah menghadapi saat-saat kematian suaminya. Tidak ada setitik pun air matanya gugur pada malam itu. Selepas jenazah dibawa pergi, ibu saya masih juga tenang dan sabar. Begitu juga pada hari-hari berikutnya. Memang benar, ketika keluarga kami menyambutnya pulang di Lapangan Terbang Subang, bila saja kakak sulung saya memeluknya dan hampir pengsan, berkali-kali dia mengingatkan kami semua supaya jangan menangis. Katanya, "Tuhan lebih sayangkan ayah engkau semua, biarlah dia pergi. Dia dah selamat di sana. Memang itu hajat dia."

Saya amat memahami semangat kental ibu saya. Dia sudah melalui bermacam jenis pengalaman yang menyedihkan. Dia kehilangan ibu pada waktu kecil, kemudian kehilangan ayahnya, abang sulungnya, adik-adiknya serta saudara-mara rapatnya. Kalau bercakap tentang kematian, dia pernah memberitahu bahawa dia telah menyaksikan sekian banyak kematian sepanjang hayatnya. Dia melihat sendiri ketika mereka semua menghembuskan nafas terakhir. Dia selalu bercerita tentang pengalaman-pengalaman itu. Tetapi apa yang sebenarnya ada dalam benaknya berhubung soal kematian tidak sempat saya selongkar sehinggalah dia sendiri dipanggil pergi oleh malaikatul maut. Dan saya juga tidak faham mengapa dia mahu menyembunyikan kesedihan atas pemergian orang yang paling dicintainya daripada anak-anak.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham ayah dan ibu saya serta ahli-ahli jemaah surau Gunung Soga yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Al Fatihah.