Monday, 6 September 2010

Kisah Set Pinggan Pyrex

Sewaktu zaman bujang saya mengajar sementara di sebuah sekolah menengah di Johol, saya tinggal di Kuala Pilah di kawasan berek JKR Jalan Melang yang terletak di belakang Women Hospital. Saya tidak pasti apakah sekarang ini Women Hospital sudah diberi nama baru atau masih kekal dengan nama lama.

Kedua-dua teman serumah saya lebih berusia daripada saya. Ketika itu umur saya belum pun mencapai sembilan belas. Abang Zul berusia dua puluh lapan tahun yang merupakan abang paling tua yang kata-katanya tidak pernah kami bangkang. Dia tidak banyak cakap tetapi sesekali mengeluarkan kata-kata sudah pasti bisa. Abang Sham pula berusia kira-kira dua puluh lima tahun, periang orangnya dan sama seperti saya memang banyak cakap.

Kedua-dua mereka bekerja dengan jabatan kerajaan dengan pendapatan yang tidak begitu besar. Pada usia begitu sudah tentu kedua-duanya selalu bercakap tentang hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi bila saya tanya kenapa mereka masih belum berkahwin jawab mereka mudah. "Dengan gaji banyak ni apa kita orang nak bagi makan anak orang?"

Agaknya kerana itulah saya ditinggalkan kekasih. Bila sahaja dia mendapat tahu saya cuma mengajar sementara tanpa perancangan masa depan serta-merta dia memberitahu bahawa teman lelaki lamanya yang pada waktu itu sedang menuntut di luar negara tiba-tiba sahaja kerap mengirim surat. Bagi saya mudah, kalau hatinya sudah berbelah-bagi buat apa saya tunggu. Elok ditamatkan sahaja perhubungan kami. Dalam keadaan begitu sudah tentu saya juga tidak mampu memberi makan anak orang. Saya pasti bekas kekasih saya itu akan mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana dia berjaya meneruskan pengajian di tingkatan enam dan bekas teman lelakinya pula sudah mahu berbaik semula. Saya cuma mampu mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Ah! Perempuan..

Sungguhpun masih tidak pasti mampu menyara anak orang pada satu hari saya terkejut melihat Abang Zul dan Abang Sham membawa balik beberapa set pinggan-mangkuk. Saya bertanya untuk apa. Kata mereka, "Kita kumpullah sikit-sikit. Nanti kalau nak menikah senang dah ada barang rumah." Betul juga. Tiba-tiba Abang Sham mencadangkan kepada saya. "Kau belilah Shah, nanti nak menikah senang," memang bagus idea itu tetapi saya jawab, "Mana saya mampu nak beli, nak hantar duit kat mak pun tak cukup."
Tetapi Abang Sham memberitahu, "Alah! Kau bayarlah sikit-sikit. Nanti abang aturkan. Kami pun bukan bayar cash. Bayar sikit-sikit.."

Keesokan harinya dia membawa balik katalog dan menyuruh saya memilih. Kata Abang Sham set pinggan berjenama Pyrex dijamin tahan lama dan memang paling bagus di dunia. Saya tidak pernah tahu jenis pinggan-mangkuk tetapi kerana terpengaruh dengan mereka lalu saya bersetuju untuk membeli satu set pinggan Pyrex yang rekabentuknya diberi nama Chelsea. Ada enam pinggan, enam set cawan dan piring dan sebuah mangkuk panjang bersegi. Saya tidak pasti apa jenis mangkuknya.

Selama enam bulan berikutnya saya berjaya menyelesaikan hutang set pinggan Pyrex itu dan bayaran terakhir saya langsaikan pada bulan terakhir saya mengajar. Selepas berhenti mengajar set pinggan Pyrex itu saya bawa balik ke kampung di Batu Pahat dan saya berikan kepada ibu saya. Saya tidak pernah lihat arwah ibu saya menggunakan set pinggan tersebut. Tetapi saya amat berbangga kerana set pinggan Pyrex itu sentiasa tersimpan baik di dalam kabinet yang sesiapa juga akan melihatnya kalau duduk di ruang tamu. Itulah hadiah pertama saya untuk ibu dan sekurang-kurangnya dia dapat juga merasa wang gaji saya walaupun saya tidak dapat mengirimkan setiap bulan.

Selepas saya berkahwin pinggan itu masih menjadi milik ibu saya sehinggalah dia meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu. Hanya selepas itu saya mengambil semula set pinggan Pyrex itu. Isteri saya kerap juga menggunakan set pinggan itu untuk hidangan tetamu. Memang benar kata Abang Sham, Pyrex jenama yang tahan lama kerana usia set itu sudah tiga puluh lima tahun jika dikira daripada tarikh set itu saya beli. Saya tidak tahu bila set pinggan itu dibuat. Sudah tentu beberapa tahun sebelum sampai ke Malaysia yang menjadikan usianya lebih daripada tiga puluh lima tahun.

Ramadhan tahun ini mangkuk panjang Pyrex itu isteri saya gunakan untuk mengisi puding yang dibuatnya beberapa hari lalu. Baru tadi saya menjamah lagi puding yang masih ada separuh lagi tersimpan di dalam peti sejuk. Tidak ada orang yang mampu membuat puding sesedap puding buatan isteri saya. Melihat itu hati saya amat tersentuh. Abang Zul sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia manakala Abang Sham sudah lama tidak saya temui. Kali terakhir kami bertemu di Rembau kira-kira sepuluh tahun lalu. Pasti dia sudah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan.

Ibu saya juga sudah lama meninggalkan kami tetapi set pinggan Pyrex itu masih boleh digunakan dan saya pasti akan tahan untuk beberapa tahun akan datang. Saya tidak tahu entah berapa lama lagi kami diizinkan Allah untuk menggunakan set pinggan itu. Saya harap anak-anak saya akan menyimpan set pinggan itu dengan baik bila kami sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu-satunya barangan yang paling saya sayang yang bakal menjadi pusaka tinggalan kami, bukan kerana nilai ringgitnya tetapi kenangan yang amat tinggi nilainya.

Salam Ramadhan dan Selamat Menyambut Aidilfitri.

10 comments:

Rositah Ibrahim said...

Salam,
Selamat menyambut Aidil Fitri.

Saya juga menggunakan set mangkuk pyrex peninggalan arwah ibu...sewaktu saya masih tinggal di kampung, semasa ibu masih ada, set mangkuk pyrex itu tidak pernah saya lihat mempunyai apa-apa makna.

Makngah said...

Assalamualaikum Pak Su,
Sungguh saya tak sangka, orang lelaki bujang pun terpengaruh membeli set pinggan mangkuk pyrex secara ansuran.Walau bagaimana pun, ianya memang satu pelaburan yang baik ditambah dengan nilai-nilai sentimental dari arwah ibu Pak Su. Hmm..lepas ni saya nak gelidah gobok your favourite cousin...nak kira set pinggan pyrex dia pula.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Rositah, selalunya begitu. Sesuatu itu hanya dilihat bermakna bila pemiliknya sudah tiada. Saya banyak melihat dan melalui pengalaman tersebut.
Fatimah, lelaki bujang punya banyak rahsia dan misteri tak diselongkar dan hanya terbongkar selepas berpuluh tahun kahwin. Ada juga rahsia bujang itu hanya diketahui selepas dia "fade black" mcm ending filem.

Melihat Kesunyataan said...

Mohd Shah,
Saya tertarik kepada nilai yang dibawakan dalam kisah pinggan pyrex ini. Cara tuan bercerita juga sungguh bersahaja dan jujur sekali. Saya suka membacanya. Mengingatkan saya kepada kisah-kisah masa bujang saya.
Selamat Hari Raya Adil Fitri, maaf zahir batin buat Mohd. Shah sekeluarga.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam Haji,
saya sekadar bercerita sebuah kisah yang saya lalui.
Terima kasih kerana suka pada cerita saya.
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin utk sdr sekeluarga.

Suhana Shahril said...

Assalamualaikum cikgu,
Pinggan magkuk tu lah yg menjadi koleksi mak saya dari kecik sampai sekarang saya dah beranak 3.Kata mak dia beli semasa baru2 kawin.

Salam Aidilfitri untuk cikgu sekeluarga

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Suhana, sudah tentu tinggi nilai sentimental set pinggan itu kalau mak beli waktu dia baru kahwin. Pewarisnya sudah pasti takkan sampai hati membiarkan set pinggan itu terbiar tidak bertuan satu hari nanti.

Nanang si Anak Lanang said...

Salam,
Saya org baru....saja2 baca tulisan org yg x de MBA nih....menarik dah bagus utk bacaan..terutamanyer yg berkisahkan pengalaman....

lyza said...

Assalamualaikum...
Alang kah bagusnya kalau ada gambar pinggan mangkuk pyrex tu...teringin jugak untuk melihat nya...

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Terima kasih nanang. Kepada Iyza, akan saya cuba upload gambar itu dalam masa terdekat.