Friday, 24 September 2010

Ikhlas, saya bukan orang filem

Sudah tentu saya terkejut menerima ucapan selamat hari lahir yang paling banyak sepanjang 54 tahun. Semuanya kerana Facebook. Siapa kata Facebook tak bagus. Memang banyak faedahnya kalau medium itu digunakan untuk kebaikan. Tetapi kalau Facebook disalahguna dan dibiarkan menguasai kehidupan seharian hinggakan kita tidak menghormati siang sebagai siang dan kita menzalimi malam yang dianugerah tuhan padahnya sudah pasti banyak sekali. Baik apa pun bagi saya manusia tidak harus menyalahkan teknologi. Teknologi berkembang mengikut arus zaman untuk memenuhi tuntutan hidup manusia dan membawa kepada banyak penyelesaian masalah kehidupan. Kalau berlaku penyalahgunaan itu tidak dapat dielakkan kerana sebagai manusia bukan semua mampu mengawal nafsu.

Kalau difikirkan, apa sangat setakat 50-60 mesej jika dibandingkan dengan orang yang biasa menerima beratus-ratus ucapan. Tetapi kalau dilihat pada peratusannya iaitu sepuluh peratus daripada hampir enam ratus rakan Facebook saya jumlah itu sudah cukup membanggakan diri saya sebagai seorang manusia biasa. Ingatan kawan-kawan itu cukup bererti sekali.

Isteri saya "tak main" Facebook. Seperti biasa ucapannya ditulis istimewa pada kad ucapan yang tidak pernah lupa diberikan setiap tahun sejak awal perkahwinan. Kak Yong, tak cukup dengan kata-kata manis dalam kad turut menulis dalam Facebook dengan mengingatkan saya bahawa "If i'm a little unusual myself, remember I got it from you."

Itu ayat dalam kad yang diberikan kepada saya pada tahun 1999. Ketika itu dia berusia 15 tahun dan berada dalam tingkatan 3. Memang benar kalau dia nampak agak lain sedikit kemungkinan besar itu diwarisi daripada saya (mengikut katanya). Tetapi dia harus ingat bahawa kalau lain sangat perangainya, saya harap itu bukan turun daripada saya. Baik apa pun, saya amat terharu dengan ucapan kasih sayangnya dan ucapan maaf atas apa yang dilakukan. Saya harap anak-anak sedar bahawa saya sentiasa memaafkan baik sebesar mana kesalahan mereka. Saya dan isteri juga bukan sekadar sentiasa mendoakan tetapi juga mengusahakan yang terbaik untuk mereka.

Baby yang berada di Kuantan ada menelefon pada waktu tengahari selain turut menulis ucapan menerusi Facebook. Tulisannya mencuit perasaan saya dan saya memberitahu bahawa sudah tentu saya terharu. Lain-lain ucapan saya terima daripada anak-anak saudara saya, anak-anak angkat saya yang kesemuanya perempuan, kawan-kawan serta dua tiga orang bekas pelajar di institut tempat saya mengajar di Pekan yang masih memanggil saya cikgu.

Yang menarik, seumur hidup saya artis Melayu pertama yang menghantar ucapan ialah Hasnul Rahmat. Hasnul seorang pelakon yang amat saya senangi kerana senyumannya dan saya dapati dia seorang anak muda yang bersopan-santun serta pandai menghormati "orang tua" seperti saya yang dipanggilnya abang. Itu memang sudah menjadi budaya orang filem yang turut menjangkiti guru-guru sekolah. Contoh paling jelas apa yang berlaku di sekolah isteri saya. Seorang guru muda yang baru sahaja mula mengajar akan memanggil seorang guru veteran seperti isteri saya dengan panggilan "kak." Bayangkan betapa besar jurang perbezaan umur mereka. Isteri saya akan bersara pada penghujung tahun depan. Oleh kerana isteri saya dipanggil "kak" maka sudah tentu guru muda yang jauh lebih muda daripada anak-anak saya itu akan memanggil saya abang.

Selepas Hasnul, Sofea Jane melakar sejarah sebagai satu-satunya pelakon wanita Melayu pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Ini seorang lagi artis yang saya kagumi yang tidak pernah memberi masalah sepanjang penggambaran filem Hanyut. Artis yang saya panggil Piah sembilan belas tahun lalu ini juga pandai menghormati orang.

Selain itu ada dua mesej istimewa yang saya terima. Satu daripada sasterawan muda Rahimidin Zahari yang memanggil saya Kekanda manakala satu lagi daripada Julia Fraser produser filem Hanyut yang tidak pernah lupa bertanyakan tentang kesihatan isteri saya setiap kali berhubung atau bertemu muka. Saya bergurau memberi respons kepada Julia dengan memberitahunya bahawa dialah satu-satunya produser filem dalam dunia yang mengirim ucapan.

Antara ucapan daripada sahabat, rakan dan kenalan, ada satu yang agak istimewa. Ucapan itu datangnya daripada pengarah filem U-Wei bin Haji Saari yang berbunyi, "Selamat Hari Lahir paduka sahabatku. Semoga yang baik-baik menemui kamu. Perhubungan kita amat besar erti dan amat aku hargai. Allah lindungi dari kecelakaan."

Bunyinya lain daripada yang lain tak ubah seperti dailog dalam Wangi Jadi Saksi. Paduka merupakan satu panggilan atau gelaran mulia. Mengenali U-Wei, dia jarang sekali mahu mensia-siakan tutur katanya. Saya tersenyum membaca ucapan itu tetapi di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Tulisan ini sekadar mencatat rasa bangga saya. Walaupun tidak seramai mana tetapi apa yang berlaku hari ini memberitahu saya bahawa masih ada juga kawan-kawan yang mengingati saya yang bunyi setiap ucapan itu dapat saya rasakan amat jujur dan ikhlas sekali. Saya amat menghargai ingatan serta doa mereka. Cuma yang saya kesalkan, mungkin antara mereka itu yang sudah menyambut ulang tahun kelahiran tetapi kerana saya tidak rajin bermain Facebook sudah pasti banyak yang saya terlepas pandang dan tidak pernah menghantar ucapan selamat hari lahir.

Peristiwa yang berlaku sepanjang hari ulang tahun kelahiran saya hari ini turut memberitahu dengan jelas bahawa sahabat filem saya sebenarnya memang tidak ramai. Lagipun sejak dulu lagi saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai orang filem. Saya menyertai Hanyut kerana kebetulan U-Wei bin Haji Saari sahabat yang saya kenali sejak dua puluh dua tahun dulu dan mungkin juga kerana dia melihat ada sesuatu pada diri saya yang serba-sedikit boleh membantu pengurusan filem itu. Kerana dia jugalah produser Julia Fraser serta pelakon seperti Hasnul dan Sofea mengenali saya. Kalau boleh saya mahu tambah seorang lagi iaitu Khalid Salleh yang memang sudah mengenali saya sejak zaman Teater Elit lagi. Begitu kecil sekali bilangannya. Memang saya ikhlas.

2 comments:

zed_zawawi said...

aku memilih untuk menulis komen dislot ini, walaupun setelah membaca post kau yang sebelum ini...(Set Pyrex)ianya lebih menyentuh.

kita bertuah..diingati kenkawan menabur ucapan dihari lahir kita melalui media2 teknologi cangih sepert facebook dll. Tapi kalau kau amati coretanmu sendiri, pyrex itu begitu nostalgik. Ratarata tempoh yang kau ingati adalah puluhan tahun...abg zul, abg sham, Arwah Bondamu, isterimu dan turun keanakanak. Semuanya begitu jelas kau kenangkan.. Rasanya itulah sebenar2 ingatan yang tak ternilai walau peratusannya tak setanding dengan ucapan sahabatsahabt diFB kita. Bagiku itu kemuliaan...itulah kesedaran...bukan hanya sekedar ingatan tetapi juga sebagai teladan. munkin tak ramai yang begini, tetapi aku tahu ianya suatu kenangan dan nostalgia yang murni...aduh, aku tersentuh. barangkali boleh juga aku coretkan sedikit kenangan/nostalgia aku sendiri, bagaimana ku warisi bakat seni yang ada padaku kini. pernah suatu masa lalu sewaktu aku didarjah 4, aku diminta membuat projek seni ukir oleh guruku. Pulang kerumah dengan kebingungan aku rujukan kepada arwah ayahku. Dialah yang menolong aku mengajarku bagaimana mengukirkan sebuah perahu kecil yang padaku amat cantik dan istimewa sekali. Seingat aku beliaulah yang menunjukkan aku apa itu "form, profile dan propotion" yang memang inilah ilmu yang ada padaku yang membawa aku kehari ini meniti likuliku kehidupan mengamati dan memahami applications bagi setiap perkataan2 tadi didalam kerjayaku/kehidupanku..sememangnya beliau sendiri tidak memahami apa itu form, profile dan propotion... tetapi kita yang sekolah sikit2 ni boleh faham nilai seni dan ilmu yang tidak kita sedari turunnya dari orangtua kita dulu. Kini baru aku sedari..."pengalaman mengajar kita jadi dewasa"...amin !

MOHD SHAH IBRAHIM said...

...dan bila sekarang ini kita sendiri menjadi "tua" seperti juga orang tua kita dulu, apakah apa yang kita turunkan sama ada secara sengaja atau sebaliknya dihargai oleh anak-anak kita? Atau mereka menunggu hanya selepas kita tiada baru mereka sedar bahawa segala itu amat bernilai?