Friday, 24 September 2010

Ikhlas, saya bukan orang filem

Sudah tentu saya terkejut menerima ucapan selamat hari lahir yang paling banyak sepanjang 54 tahun. Semuanya kerana Facebook. Siapa kata Facebook tak bagus. Memang banyak faedahnya kalau medium itu digunakan untuk kebaikan. Tetapi kalau Facebook disalahguna dan dibiarkan menguasai kehidupan seharian hinggakan kita tidak menghormati siang sebagai siang dan kita menzalimi malam yang dianugerah tuhan padahnya sudah pasti banyak sekali. Baik apa pun bagi saya manusia tidak harus menyalahkan teknologi. Teknologi berkembang mengikut arus zaman untuk memenuhi tuntutan hidup manusia dan membawa kepada banyak penyelesaian masalah kehidupan. Kalau berlaku penyalahgunaan itu tidak dapat dielakkan kerana sebagai manusia bukan semua mampu mengawal nafsu.

Kalau difikirkan, apa sangat setakat 50-60 mesej jika dibandingkan dengan orang yang biasa menerima beratus-ratus ucapan. Tetapi kalau dilihat pada peratusannya iaitu sepuluh peratus daripada hampir enam ratus rakan Facebook saya jumlah itu sudah cukup membanggakan diri saya sebagai seorang manusia biasa. Ingatan kawan-kawan itu cukup bererti sekali.

Isteri saya "tak main" Facebook. Seperti biasa ucapannya ditulis istimewa pada kad ucapan yang tidak pernah lupa diberikan setiap tahun sejak awal perkahwinan. Kak Yong, tak cukup dengan kata-kata manis dalam kad turut menulis dalam Facebook dengan mengingatkan saya bahawa "If i'm a little unusual myself, remember I got it from you."

Itu ayat dalam kad yang diberikan kepada saya pada tahun 1999. Ketika itu dia berusia 15 tahun dan berada dalam tingkatan 3. Memang benar kalau dia nampak agak lain sedikit kemungkinan besar itu diwarisi daripada saya (mengikut katanya). Tetapi dia harus ingat bahawa kalau lain sangat perangainya, saya harap itu bukan turun daripada saya. Baik apa pun, saya amat terharu dengan ucapan kasih sayangnya dan ucapan maaf atas apa yang dilakukan. Saya harap anak-anak sedar bahawa saya sentiasa memaafkan baik sebesar mana kesalahan mereka. Saya dan isteri juga bukan sekadar sentiasa mendoakan tetapi juga mengusahakan yang terbaik untuk mereka.

Baby yang berada di Kuantan ada menelefon pada waktu tengahari selain turut menulis ucapan menerusi Facebook. Tulisannya mencuit perasaan saya dan saya memberitahu bahawa sudah tentu saya terharu. Lain-lain ucapan saya terima daripada anak-anak saudara saya, anak-anak angkat saya yang kesemuanya perempuan, kawan-kawan serta dua tiga orang bekas pelajar di institut tempat saya mengajar di Pekan yang masih memanggil saya cikgu.

Yang menarik, seumur hidup saya artis Melayu pertama yang menghantar ucapan ialah Hasnul Rahmat. Hasnul seorang pelakon yang amat saya senangi kerana senyumannya dan saya dapati dia seorang anak muda yang bersopan-santun serta pandai menghormati "orang tua" seperti saya yang dipanggilnya abang. Itu memang sudah menjadi budaya orang filem yang turut menjangkiti guru-guru sekolah. Contoh paling jelas apa yang berlaku di sekolah isteri saya. Seorang guru muda yang baru sahaja mula mengajar akan memanggil seorang guru veteran seperti isteri saya dengan panggilan "kak." Bayangkan betapa besar jurang perbezaan umur mereka. Isteri saya akan bersara pada penghujung tahun depan. Oleh kerana isteri saya dipanggil "kak" maka sudah tentu guru muda yang jauh lebih muda daripada anak-anak saya itu akan memanggil saya abang.

Selepas Hasnul, Sofea Jane melakar sejarah sebagai satu-satunya pelakon wanita Melayu pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Ini seorang lagi artis yang saya kagumi yang tidak pernah memberi masalah sepanjang penggambaran filem Hanyut. Artis yang saya panggil Piah sembilan belas tahun lalu ini juga pandai menghormati orang.

Selain itu ada dua mesej istimewa yang saya terima. Satu daripada sasterawan muda Rahimidin Zahari yang memanggil saya Kekanda manakala satu lagi daripada Julia Fraser produser filem Hanyut yang tidak pernah lupa bertanyakan tentang kesihatan isteri saya setiap kali berhubung atau bertemu muka. Saya bergurau memberi respons kepada Julia dengan memberitahunya bahawa dialah satu-satunya produser filem dalam dunia yang mengirim ucapan.

Antara ucapan daripada sahabat, rakan dan kenalan, ada satu yang agak istimewa. Ucapan itu datangnya daripada pengarah filem U-Wei bin Haji Saari yang berbunyi, "Selamat Hari Lahir paduka sahabatku. Semoga yang baik-baik menemui kamu. Perhubungan kita amat besar erti dan amat aku hargai. Allah lindungi dari kecelakaan."

Bunyinya lain daripada yang lain tak ubah seperti dailog dalam Wangi Jadi Saksi. Paduka merupakan satu panggilan atau gelaran mulia. Mengenali U-Wei, dia jarang sekali mahu mensia-siakan tutur katanya. Saya tersenyum membaca ucapan itu tetapi di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Tulisan ini sekadar mencatat rasa bangga saya. Walaupun tidak seramai mana tetapi apa yang berlaku hari ini memberitahu saya bahawa masih ada juga kawan-kawan yang mengingati saya yang bunyi setiap ucapan itu dapat saya rasakan amat jujur dan ikhlas sekali. Saya amat menghargai ingatan serta doa mereka. Cuma yang saya kesalkan, mungkin antara mereka itu yang sudah menyambut ulang tahun kelahiran tetapi kerana saya tidak rajin bermain Facebook sudah pasti banyak yang saya terlepas pandang dan tidak pernah menghantar ucapan selamat hari lahir.

Peristiwa yang berlaku sepanjang hari ulang tahun kelahiran saya hari ini turut memberitahu dengan jelas bahawa sahabat filem saya sebenarnya memang tidak ramai. Lagipun sejak dulu lagi saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai orang filem. Saya menyertai Hanyut kerana kebetulan U-Wei bin Haji Saari sahabat yang saya kenali sejak dua puluh dua tahun dulu dan mungkin juga kerana dia melihat ada sesuatu pada diri saya yang serba-sedikit boleh membantu pengurusan filem itu. Kerana dia jugalah produser Julia Fraser serta pelakon seperti Hasnul dan Sofea mengenali saya. Kalau boleh saya mahu tambah seorang lagi iaitu Khalid Salleh yang memang sudah mengenali saya sejak zaman Teater Elit lagi. Begitu kecil sekali bilangannya. Memang saya ikhlas.

Monday, 6 September 2010

Kisah Set Pinggan Pyrex

Sewaktu zaman bujang saya mengajar sementara di sebuah sekolah menengah di Johol, saya tinggal di Kuala Pilah di kawasan berek JKR Jalan Melang yang terletak di belakang Women Hospital. Saya tidak pasti apakah sekarang ini Women Hospital sudah diberi nama baru atau masih kekal dengan nama lama.

Kedua-dua teman serumah saya lebih berusia daripada saya. Ketika itu umur saya belum pun mencapai sembilan belas. Abang Zul berusia dua puluh lapan tahun yang merupakan abang paling tua yang kata-katanya tidak pernah kami bangkang. Dia tidak banyak cakap tetapi sesekali mengeluarkan kata-kata sudah pasti bisa. Abang Sham pula berusia kira-kira dua puluh lima tahun, periang orangnya dan sama seperti saya memang banyak cakap.

Kedua-dua mereka bekerja dengan jabatan kerajaan dengan pendapatan yang tidak begitu besar. Pada usia begitu sudah tentu kedua-duanya selalu bercakap tentang hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi bila saya tanya kenapa mereka masih belum berkahwin jawab mereka mudah. "Dengan gaji banyak ni apa kita orang nak bagi makan anak orang?"

Agaknya kerana itulah saya ditinggalkan kekasih. Bila sahaja dia mendapat tahu saya cuma mengajar sementara tanpa perancangan masa depan serta-merta dia memberitahu bahawa teman lelaki lamanya yang pada waktu itu sedang menuntut di luar negara tiba-tiba sahaja kerap mengirim surat. Bagi saya mudah, kalau hatinya sudah berbelah-bagi buat apa saya tunggu. Elok ditamatkan sahaja perhubungan kami. Dalam keadaan begitu sudah tentu saya juga tidak mampu memberi makan anak orang. Saya pasti bekas kekasih saya itu akan mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana dia berjaya meneruskan pengajian di tingkatan enam dan bekas teman lelakinya pula sudah mahu berbaik semula. Saya cuma mampu mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Ah! Perempuan..

Sungguhpun masih tidak pasti mampu menyara anak orang pada satu hari saya terkejut melihat Abang Zul dan Abang Sham membawa balik beberapa set pinggan-mangkuk. Saya bertanya untuk apa. Kata mereka, "Kita kumpullah sikit-sikit. Nanti kalau nak menikah senang dah ada barang rumah." Betul juga. Tiba-tiba Abang Sham mencadangkan kepada saya. "Kau belilah Shah, nanti nak menikah senang," memang bagus idea itu tetapi saya jawab, "Mana saya mampu nak beli, nak hantar duit kat mak pun tak cukup."
Tetapi Abang Sham memberitahu, "Alah! Kau bayarlah sikit-sikit. Nanti abang aturkan. Kami pun bukan bayar cash. Bayar sikit-sikit.."

Keesokan harinya dia membawa balik katalog dan menyuruh saya memilih. Kata Abang Sham set pinggan berjenama Pyrex dijamin tahan lama dan memang paling bagus di dunia. Saya tidak pernah tahu jenis pinggan-mangkuk tetapi kerana terpengaruh dengan mereka lalu saya bersetuju untuk membeli satu set pinggan Pyrex yang rekabentuknya diberi nama Chelsea. Ada enam pinggan, enam set cawan dan piring dan sebuah mangkuk panjang bersegi. Saya tidak pasti apa jenis mangkuknya.

Selama enam bulan berikutnya saya berjaya menyelesaikan hutang set pinggan Pyrex itu dan bayaran terakhir saya langsaikan pada bulan terakhir saya mengajar. Selepas berhenti mengajar set pinggan Pyrex itu saya bawa balik ke kampung di Batu Pahat dan saya berikan kepada ibu saya. Saya tidak pernah lihat arwah ibu saya menggunakan set pinggan tersebut. Tetapi saya amat berbangga kerana set pinggan Pyrex itu sentiasa tersimpan baik di dalam kabinet yang sesiapa juga akan melihatnya kalau duduk di ruang tamu. Itulah hadiah pertama saya untuk ibu dan sekurang-kurangnya dia dapat juga merasa wang gaji saya walaupun saya tidak dapat mengirimkan setiap bulan.

Selepas saya berkahwin pinggan itu masih menjadi milik ibu saya sehinggalah dia meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu. Hanya selepas itu saya mengambil semula set pinggan Pyrex itu. Isteri saya kerap juga menggunakan set pinggan itu untuk hidangan tetamu. Memang benar kata Abang Sham, Pyrex jenama yang tahan lama kerana usia set itu sudah tiga puluh lima tahun jika dikira daripada tarikh set itu saya beli. Saya tidak tahu bila set pinggan itu dibuat. Sudah tentu beberapa tahun sebelum sampai ke Malaysia yang menjadikan usianya lebih daripada tiga puluh lima tahun.

Ramadhan tahun ini mangkuk panjang Pyrex itu isteri saya gunakan untuk mengisi puding yang dibuatnya beberapa hari lalu. Baru tadi saya menjamah lagi puding yang masih ada separuh lagi tersimpan di dalam peti sejuk. Tidak ada orang yang mampu membuat puding sesedap puding buatan isteri saya. Melihat itu hati saya amat tersentuh. Abang Zul sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia manakala Abang Sham sudah lama tidak saya temui. Kali terakhir kami bertemu di Rembau kira-kira sepuluh tahun lalu. Pasti dia sudah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan.

Ibu saya juga sudah lama meninggalkan kami tetapi set pinggan Pyrex itu masih boleh digunakan dan saya pasti akan tahan untuk beberapa tahun akan datang. Saya tidak tahu entah berapa lama lagi kami diizinkan Allah untuk menggunakan set pinggan itu. Saya harap anak-anak saya akan menyimpan set pinggan itu dengan baik bila kami sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu-satunya barangan yang paling saya sayang yang bakal menjadi pusaka tinggalan kami, bukan kerana nilai ringgitnya tetapi kenangan yang amat tinggi nilainya.

Salam Ramadhan dan Selamat Menyambut Aidilfitri.