Sunday, 29 August 2010

Tak ada siapapun terkorban..

Di persimpangan masuk ke Hotel Inderapura tempat saya selalu menginap bila ada urusan di Pekan ada satu deretan gerai makan. Setiap kali saya ke sana saya dapati hanya beberapa gerai sahaja yang dibuka. Ada juga yang sekejap buka sekejap tutup. Pernah sekali saya bersarapan di salah sebuah gerai kerana saya lihat ada seorang perempuan tua menebar roti canai. Saya teringatkan roti canai arwah ibu saya yang rasanya memang berbeza daripada roti canai mamak. Ternyata benar. Roti canai buatan perempuan itu rasanya menyamai roti canai buatan rumah arwah ibu saya. Saya tak tahu apa rahsia di sebalik rasa itu. Hanya beberapa kali sahaja saya berpeluang menikmati roti canai perempuan tua itu kerana selepas itu kedainya tidak lagi beroperasi.

Lot kedai di sebelah hujung berhampiran jalan masuk ke hotel itu memang tidak pernah saya kunjungi. Tetapi baru-baru ini bila ke sana saya dan sahabat saya makan di gerai itu kerana kebetulan tidak ada gerai lain dibuka. Pemiliknya sepasang suami-isteri dan anak perempuannya bertindak sebagai pembantu. Semasa anak perempuan itu menghantar makanan saya sempat bertanya. "Awak ni tak sekolah ke esok?"

Dia tersenyum mendengar soalan saya,
"Saya cuti Pak cik."
"Awak belajar kat mana?"
"Saya buat Fine Art kat UiTM."
Sudah tentu saya terperanjat kerana anak itu nampak seperti masih bersekolah.
"Tahun berapa?"
"Tahun dua, Pak Cik."
"Awak cuti ke?"

Kemudian dia menjawab, "Saya sambung cuti. Tengah mohon buat PJJ,"
"Oo gitu..Kenapa tak nak buat full time?" tanya saya lagi.
"Sebenarnya adik saya seorang dah masuk kolej, seorang lagi pun baru nak masuk. Jadi saya kena tinggal sini tolong mak."
"Boleh dapat ke?"
"Boleh. Cuma tunggu surat aje."

Budak itu kemudian kembali ke kaunter untuk mengambil air. Bila dia datang semula saya bertanya lagi,
"Bila buat PJJ awak nak cari kerja ke?"
"Taklah. Kerja sinilah tolong mak dgn ayah."
"Oh gitu.. maknanya awak ni berkorbanlah ya?"

Sambil berjalan kembali membawa dulang air itu dia menjawab sambil tersenyum,
"Tak adalah Pak Cik. Memang saya dah rancang macam tu. Tak ada siapapun terkorban.."

Saya dan sahabat saya Fadzil hanya mampu memandang satu sama lain mendengar jawapan anak itu.

4 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Mohd. Shah,
Salam ziarah. Menarik kisah kali ini. Nampak benar pemuda ini terpelajar orangnya.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam Haji,
memang nampak bijak budak ni. Bukan seorang pemuda tetapi seorang anak gadis.

Akmal said...

saya amat tertarik dengan sikap gadis berkenaan. mempunyai sikap yang optimis dan tersirat yang dalam. saya kagum. Ungkapan yang menarik "tak ada siapapun terkorban."

codeless said...

meletakkan kasih sayang pada tempat yang sepatutnya.