Sunday, 25 July 2010

Perlu bermula dari atas

Saya tak pandai bercakap atau mengulas tentang politik. Mahu bercakap tentang perpaduan Melayu juga saya tak pandai kerana bimbang ia akan menjurus kepada soal politik yang memang selalu saya cuba elak.

Namun hari ini saya mahu mencatat juga sesuatu mengenai isu itu semata-mata kerana tertarik dengan kenyataan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said atau lebih mesra dipanggil Pak Samad. Pak Samad diwawancara Mingguan Malaysia mengenai isu perpaduan Melayu. Secara ringkas dia mahukan usaha perpaduan Melayu itu perlu bermula dari atas dan itulah yang dipilih menjadi tajuk wawancara tersebut.

Kata Pak Samad, "Cuma persoalan saya akan bersetujukah Najib untuk melupakan kebangsawanannya dan berfikir sebagai pemimpin marhaen yang baru; bersediakah Hadi untuk melupakan keulamakannya berfikir bagaimana untuk membibitkan satu bangsa yang baru dan jujur. Ini khayalan yang mungkin mudah ditertawakan.

Pemimpin mesti kembali kepada landasan. Landasan itu telah ada, maka periksa semula apakah kita ikut landasan itu atau tidak. Kalau tidak bagaimana kita harus kembali ikut landasan itu."

Pak Samad merupakan Sasterawan Negara pertama dijemput merasmikan pelancaran filem dan filem tersebut ialah Perempuan, Isteri dan Jalang yang berlangsung pada 1993 di Kelab Diraja Selangor. Ini juga bermakna U-Wei mencatat sejarah mengundang seorang Sasterawan Negara merasmikan filemnya. Saya amat berbangga kerana walaupun saya tak ikut U-Wei dalam filem pertamanya tetapi saya diberi penghormatan menjadi pengacara majlis tersebut. Sayangnya, majlis itu dicemari satu peristiwa yang juga menjadi sejarah. Seorang sasterawan agung yang mendapat penghormatan tertinggi Kerajaan tidak dibenarkan masuk oleh pengurusan kelab semata-mata kerana beliau memakai capal. Aneh sungguh.

2 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Salam,
Lama saya tidak datang berkunjung. Nampaknya ada isu tentang perpaduan, fokus kepada pendapat A. Samad Said. Beliau yang sering hadir dalam kedua-dua wadah, baik pembangkang dan kerajaan nampaknya lebih jelas melihat tentang makna perpaduan itu.

Saya juga baru balik dari Brunei, menghadiri Pertemuan Penyair Nusantara. Bersama saya ialah Penyair Rahimidin Zahari. Beliau juga antara pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam, saya dah lama juga tidak menghubungi sdr Rahimidin. Kadang-kadang teringin juga nak menghadiri majlis seperti itu tetapi tidak berpeluang.
Ya, Pak Samad tetap dihormati ke sebelah mana juga dia pergi. Semoga beliau akan kekal begitu.