Wednesday, 9 June 2010

Salam untuk Cikgu Rahman Yeop

Pada malam Rabu lepas saya mempunyai temu janji dengan seseorang tetapi pada saat-saat akhir temu janji terpaksa dibatalkan kerana datuk kepada kawan saya itu meninggal dunia. Memang sejak-sejak akhir ini saya lebih suka duduk di rumah pada waktu malam dan cuba sebaik mengkin mengurangkan urusan di luar rumah. Mungkin kerana waktu siang sudah cukup meletihkan.

Selepas makan malam saya membantu isteri menyiapkan borang-borang cukai pendapatan. Sudah banyak hari dia sibuk dengan urusan tersebut sebagai memenuhi syarat untuk kakitangan yang bakal bersara. Dia akan bersara pada tahun hadapan. Pagi itu selepas selesai dia menduduki peperiksaan PTK saya membawanya ke pejabat Kumpulan Wang Amanah Pencen. Berlaku sedikit kekeliruan di situ kerana pihak KWSP yang mengarahkan dia ke KWAP sedangkan urusan tersebut seharusnya dibuat oleh pihak JPA. Anehnya, pegawai Jabatan Pelajaran yang memberikan taklimat juga tidak memberitahu secara jelas tentang prosedur tersebut.

Sedang saya sibuk itu tiba-tiba saya menerima panggilan daripada Cikgu Rahman Yeop. Itu panggilan kedua pada hari yang sama. Sebelum itu dia menelefon bertanyakan alamat blog saya dan sudah saya hantarkan menerusi sms. Saya tidak menyangka dia akan menelefon. Cukup terharu saya mendengar kata-katanya, "Terima kasihlah Mat Shah, ingatkan cikgu dan tulis pasal cikgu," begitu lebih kurang bunyi ayat pertamanya. Dia merujuk kepada tulisan saya "Tribute To Cikgu Abdul Rahman Yeop" bertarikh 25 Oktober 2008.

Lalu saya jawab, "Saya tak ada apa nak balas jasa cikgu, saya cuma boleh menulis aje, saya tulis apa yang saya rasa. Jasa cikgu cukup besar dalam hidup saya."

Kemudian dia berkata,"Tak adalah. Apa sangat yang cikgu buat untuk kamu Mat Shah."

"Tak cikgu, jasa cikgu terlalu besar. Saya tak jadi macam ni hari ni kalau tak kerana cikgu," tak dapat saya bayangkan perasaan saya ketika itu.

Selepas itu kami bersembang seketika. dia bertanyakan tentang isteri dan anak-anak dan sebelum mengakhiri perbualan dia sempat bertanya kenapa tak banyak komen dalam blog saya dan dia juga bertanya, "Dia orang tak suka dengar cerita tu ke atau dia orang tak suka kat saya ke?" tanyanya.

Saya memberitahu Cikgu Rahman memang tak banyak komen tetapi saya menerima banyak panggilan telefon, e-mel dan juga sms sebaik tulisan saya itu dipetik moderator untuk dimuatkan dalam laman web SDARA. Ketika itu baru ramai kawan tahu saya menulis dalam laman blog dan alamat blog saya juga turut dipaut laman web tersebut. Hangat juga seketika cerita tentang tulisan saya itu dan turut dibualkan beberapa hari dalam e-group kami.

Saya hanya bercerita tentang kisah sebenar yang pernah berlaku antara saya dan Cikgu Rahman yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa sebelum ini. Kawan-kawan di SDAR juga tidak ada yang tahu. Itu cara saya menghargai jasa-jasa Cikgu Rahman Yeop. Bagaimana boleh saya menafikan jasanya yang menjadi pemula kepada kehidupan saya. Dia membuka jalan untuk saya meniti kehidupan. Saya tahu dan saya tetap ingat, sebaik saya melangkah dulu langkah pertama saya itu sudah diaturkan oleh manusia bernama Rahman Yeop dengan izin Allah. Tanpa langkah pertama tidak mungkin ada langkah seterusnya. Cuma selepas daripada itu, apabila tiba di persimpangan saya terpaksa membuat keputusan sendiri. Sekalipun pada waktu itu saya telah membuat keputusan-keputusan yang salah, tetapi pada hari ini saya sedar bahawa keputusan-keputusan yang salah itu sebenarnya betul. "I have made the right wrong decisions." Blog ini berteraskan pada kata-kata itu.

Salam untuk yang amat dikasihi Cikgu (Datuk) Abdul Rahman Yeop, isterinya dan juga seisi keluarga. Walaupun kami jarang sekali berjumpa tetapi dia tetap bertakhta di hati saya. Saya rasa tidak ada salahnya tulisan pada hari ini saya akhiri dengan rasa sebak dan dengan titis air mata.

2 comments:

PengukirCahaya said...

Sambil menitis airmata membaca coretan diatas khas untuk cikgu Rahman Yeop. Cikgu memang memberi impak besar dalam hidup. Siapa yg dapat melupakan volvo kuning telurnya. Siapa yg dapat melupakan peminat Payton Placenya. Siapa yang dapat melupakan ketawa Yasmin dan adiknya. Siapa yang dapat melupakan hayunan Nurul melangkah dari Tunku Durah. Siapa yang dapat melupakan betapa Almarhum Yam Tuan Besar bergambar dirumah cikgu selepas pesta wau. Terlalu banyak kenangan manis cikgu dan semua cikgu-cikgu yang lain. Tak akan ku lupa sampai bila-bila.... terima kasih cikgu. RIBUT (73-77)

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Aduh..