Friday, 26 March 2010

Tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas..

Bila blog ini mula diwujudkan pada awal 2008 dulu saya tidak pernah terfikir tentang "hits." Kalau ada orang sudi melawat, persilakan. Kalau ada yang tak mahu baca pun tak mengapa. Saya ada sebab-sebab tersendiri mengapa menulis dalam blog.

Saya tahu ramai juga kawan yang mengikuti blog ini. Walaupun jarang sekali saya mendapat maklum balas menerusi komen tetapi ada beberapa orang yang suka menghantar sms selepas membaca artikel saya. Atau bila berjumpa mereka menyebut tentang tulisan saya dan meminta saya memberi penjelasan. Ada juga yang memberitahu tentang tulisan yang paling mereka suka dan kemudian memberi komen.

Mungkin kerana sudah agak lama tidak menulis tiba-tiba malam tadi ada kawan menghantar sms berbunyi, "Shah, tulis sesuatu dalam blog kau. Apa-apalah buat penghibur sepi. Aku sepi sangat." Aduhai! Begitu sekali. Agaknya saya ini boleh jadi penghibur sepi.

Mesej itu membuat saya terharu kerana rupa-rupanya ada juga orang yang menghargai tulisan saya. Ia juga mengingatkan saya betapa sudah lama saya tidak berhubung dengan kawan-kawan. Kadang-kadang timbul rasa bersalah. Kalau ditanya memang tidak dapat dielak kerana sejak akhir-akhir ini semakin bertambah urusan dunia dan kerana terlalu banyak yang perlu difikir, semakin jarang saya menghubungi kawan-kawan.

Satu waktu dulu pondok wakaf di laman Balai Seni jadi tempat singgah wajib setiap kali kalau saya ada urusan sekitar kawasan itu. Di situlah saya dapat bertemu ramai kawan. Yang sudah lama tak ketemu tiba-tiba muncul di situ. Di situ juga dapat menjamah "kopi dan roti" Sani Sudin atau teh buatan Aris Aziz. Selepas kawan-kawan di situ merajuk dan tidak mahu lagi memijak laman balai tidak ada lagi tempat yang lebih selesa untuk berkumpul walaupun Istana Budaya yang bersebelahan tidak pernah menutup pintu untuk saya.

Dulu kerap juga saya berhubung dengan seorang kawan bernama Haji Shapiai Mohd Ramly seorang penulis dan penyair terkenal dari Johor. Kami pernah sama-sama mengajar di Kulai pada satu waktu dulu tetapi berlainan sekolah. Sejak beberapa bulan kebelakangan saya tidak lagi menghubungi beliau. Projek di Johor Bahru pun tidak menjadi kenyataan dan saya tidak lagi turun ke Johor Bahru. Setelah sekian lama, dua hari lepas saya terbaca berita dalam akhbar tentang Haji Shapiai yang akan turut menyertai Malam Puisi Riong di UTM yang akan berlangsung pada Sabtu ini. Beliau disebut sebagai penyair mapan Johor yang akan menyertai tiga nama besar iaitu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Datuk Lat serta Ramli Sarip. Semoga beliau akan diberikan kesihatan dan kesejahteraan untuk terus berkarya. Saya sebenarnya terharu, orang seperti Haji Shapiai pun sudi mengikuti blog saya.

Pagi ini sekali lagi saya rasa terharu kerana seorang lagi orang ternama dalam dunia sastera tanahair menghubungi saya. Dia amat dikenali terutama di kalangan orang seni dan budaya. Sebaik saya membuka Facebook tiba-tiba terpacul namanya dalam ruang chat dan terus memberi salam.

Tulisnya, "Salam Kekanda, sibuk?"
Terus saya jawab, "Salam, tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas.."
Dia membalas, "Ha ha ha."

Dia menghubungi saya untuk menjemput hadir ke pementasan Menunggu Kata Dari Tuhan satu lagi buah tangan bekas bos saya Dinsman. Malangnya, saya tidak dapat memenuhi undangannya kerana pada malam Sabtu akan datang saya ada satu urusan penting di luar Kuala Lumpur. Sudah dua atau tiga kali dia menjemput saya untuk ke beberapa majlis tetapi belum lagi berkesempatan kerana setiap kali dia menyampaikan undangan saya ada urusan lain dan kebetulan semuanya di luar Kuala Lumpur.

Tiba-tiba saya terfikir. Saya kata saya tak sibuk, masih sempat lagi bernafas, kenapa harus saya lupa pada kawan-kawan? Kawan-kawan masih ramai ingat pada saya.

Orang yang saya maksudkan ialah Rahimidin Zahari, sahabat yang saya gelar orang Istana kerana dia pegawai di Istana Budaya. Kadang-kadang segan juga kerana Rahimidin juga kerap mengikuti blog saya. Dan bertambah segan lagi kerana buku saya yang ditunggu-tunggunya selama ini masih belum terbit. Bagaimanapun, insyaAllah Sdr Rahimidin, kalau tidak ada aral melintang buku itu akan terbit juga sempena pelancaran filem Hanyut. Kita hanya merancang..

2 comments:

Rahimidin Z said...

Salam. Saya tunggu.

Melihat Kesunyataan said...

Mohd. Shah,
Terharu saya membaca entri kali ini kerana ada menyebut nama saya sebagai salah seorang penyair mapan. Sebenarnya saya tak rasa begitu. Pada saya semua orang mempunyai kelebihan masing-masing. Tentang tulisan dalam blog ini misalnya, saya berpendapat Sdr. juga punya sentuhan yang menarik dalam mengolah idea dan pendapat. Sebab itulah kalau sdr. menulis atau menghasilkan buku, saya kira tentu hasilnya menarik.
Saya akan tunggu buku tulisan sdr. itu.