Friday, 26 March 2010

Tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas..

Bila blog ini mula diwujudkan pada awal 2008 dulu saya tidak pernah terfikir tentang "hits." Kalau ada orang sudi melawat, persilakan. Kalau ada yang tak mahu baca pun tak mengapa. Saya ada sebab-sebab tersendiri mengapa menulis dalam blog.

Saya tahu ramai juga kawan yang mengikuti blog ini. Walaupun jarang sekali saya mendapat maklum balas menerusi komen tetapi ada beberapa orang yang suka menghantar sms selepas membaca artikel saya. Atau bila berjumpa mereka menyebut tentang tulisan saya dan meminta saya memberi penjelasan. Ada juga yang memberitahu tentang tulisan yang paling mereka suka dan kemudian memberi komen.

Mungkin kerana sudah agak lama tidak menulis tiba-tiba malam tadi ada kawan menghantar sms berbunyi, "Shah, tulis sesuatu dalam blog kau. Apa-apalah buat penghibur sepi. Aku sepi sangat." Aduhai! Begitu sekali. Agaknya saya ini boleh jadi penghibur sepi.

Mesej itu membuat saya terharu kerana rupa-rupanya ada juga orang yang menghargai tulisan saya. Ia juga mengingatkan saya betapa sudah lama saya tidak berhubung dengan kawan-kawan. Kadang-kadang timbul rasa bersalah. Kalau ditanya memang tidak dapat dielak kerana sejak akhir-akhir ini semakin bertambah urusan dunia dan kerana terlalu banyak yang perlu difikir, semakin jarang saya menghubungi kawan-kawan.

Satu waktu dulu pondok wakaf di laman Balai Seni jadi tempat singgah wajib setiap kali kalau saya ada urusan sekitar kawasan itu. Di situlah saya dapat bertemu ramai kawan. Yang sudah lama tak ketemu tiba-tiba muncul di situ. Di situ juga dapat menjamah "kopi dan roti" Sani Sudin atau teh buatan Aris Aziz. Selepas kawan-kawan di situ merajuk dan tidak mahu lagi memijak laman balai tidak ada lagi tempat yang lebih selesa untuk berkumpul walaupun Istana Budaya yang bersebelahan tidak pernah menutup pintu untuk saya.

Dulu kerap juga saya berhubung dengan seorang kawan bernama Haji Shapiai Mohd Ramly seorang penulis dan penyair terkenal dari Johor. Kami pernah sama-sama mengajar di Kulai pada satu waktu dulu tetapi berlainan sekolah. Sejak beberapa bulan kebelakangan saya tidak lagi menghubungi beliau. Projek di Johor Bahru pun tidak menjadi kenyataan dan saya tidak lagi turun ke Johor Bahru. Setelah sekian lama, dua hari lepas saya terbaca berita dalam akhbar tentang Haji Shapiai yang akan turut menyertai Malam Puisi Riong di UTM yang akan berlangsung pada Sabtu ini. Beliau disebut sebagai penyair mapan Johor yang akan menyertai tiga nama besar iaitu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Datuk Lat serta Ramli Sarip. Semoga beliau akan diberikan kesihatan dan kesejahteraan untuk terus berkarya. Saya sebenarnya terharu, orang seperti Haji Shapiai pun sudi mengikuti blog saya.

Pagi ini sekali lagi saya rasa terharu kerana seorang lagi orang ternama dalam dunia sastera tanahair menghubungi saya. Dia amat dikenali terutama di kalangan orang seni dan budaya. Sebaik saya membuka Facebook tiba-tiba terpacul namanya dalam ruang chat dan terus memberi salam.

Tulisnya, "Salam Kekanda, sibuk?"
Terus saya jawab, "Salam, tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas.."
Dia membalas, "Ha ha ha."

Dia menghubungi saya untuk menjemput hadir ke pementasan Menunggu Kata Dari Tuhan satu lagi buah tangan bekas bos saya Dinsman. Malangnya, saya tidak dapat memenuhi undangannya kerana pada malam Sabtu akan datang saya ada satu urusan penting di luar Kuala Lumpur. Sudah dua atau tiga kali dia menjemput saya untuk ke beberapa majlis tetapi belum lagi berkesempatan kerana setiap kali dia menyampaikan undangan saya ada urusan lain dan kebetulan semuanya di luar Kuala Lumpur.

Tiba-tiba saya terfikir. Saya kata saya tak sibuk, masih sempat lagi bernafas, kenapa harus saya lupa pada kawan-kawan? Kawan-kawan masih ramai ingat pada saya.

Orang yang saya maksudkan ialah Rahimidin Zahari, sahabat yang saya gelar orang Istana kerana dia pegawai di Istana Budaya. Kadang-kadang segan juga kerana Rahimidin juga kerap mengikuti blog saya. Dan bertambah segan lagi kerana buku saya yang ditunggu-tunggunya selama ini masih belum terbit. Bagaimanapun, insyaAllah Sdr Rahimidin, kalau tidak ada aral melintang buku itu akan terbit juga sempena pelancaran filem Hanyut. Kita hanya merancang..

Friday, 5 March 2010

Bila saya pakejkan maruah..

Joe Hamid salah seorang anggota asal Kru Tanah Licin. Dia menyertai kami selepas U-Wei menyiapkan drama kedua atau ketiganya. Sekarang Joe seorang pengarah yang nampaknya lebih selesa dengan video dokumentari dan berkhidmat di FM Productions milik Astro. Menurut Joe, bila sahaja ada masa terluang dia akan membaca blog saya. Dia salah seorang peminat setia yang akan menghubungi saya setiap kali tulisan saya keluar. Komennya tidak ditulis pada laman blog tetapi dia lebih suka menghantar sms.

Malam tadi entah kenapa tiba-tiba dia menghantar sms mengenai sesuatu yang menarik tentang U-Wei. Itu cerita lama mengenai kata-kata hikmat U-Wei yang disebut Joe sebagai "magic words" yang selalu keluar dari mulut U-Wei. Saya tidak berhasrat menulis tentang perkara itu kerana rasanya lebih elok saya simpan untuk buku saya. Apa yang ingin saya bicarakan hanya mengenai satu komen Joe mengapa blog saya sepi.

Mungkin saya pernah sebut sebelum ini, kalau ada cerita, adalah. Kalau tak ada saya tidak akan mengemaskini blog ini. Tapi kata Joe, seorang penulis yang bagus ialah penulis yang selalu menulis. Lalu saya jawab, "Kalau selalu menulis tapi isi entah apa-apa pun tak guna. Biar jarang tulis, sekali keluar menusuk kalbu."

Kalau jumlah sesuatu itu boleh dijadikan kayu ukur maka itu bererti kalau banyak buku maka baguslah seseorang penulis itu. Atau kalau banyak filem maka bagus jugalah pengarah itu.

Saya tidak pernah percaya pada kuantiti. Kalau mahu mengurus, banyak kerja sudah saya lakukan kerana ada macam-macam kerja yang boleh diurus. Kalau mahu kerja filem, banyak pengarah yang mungkin sudah saya ikut. Begitu juga kalau semata-mata mahu menyanyi, banyak tempat boleh menyanyi. Hari-hari mengendeng duduk dengan Usop dan Sani, boleh saja saya ikut mereka kerana jumlah show mereka pun boleh tahan juga.

Saya percaya Joe mungkin tersasul malam tadi atau mungkin juga dia cuba menjolok saya. Dia bukan tak tahu seperti yang pernah saya sebut dalam facebook, "I'm not cheap. Saya bukan murah kerana dalam setiap yang saya lakukan saya pakejkan sekali maruah diri. Sebab itu sukar sekali saya mahu bekerja dengan orang."

Laman blog ini ialah maruah saya. Buku Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei juga maruah saya dan sudah tentu filem Hanyut juga maruah saya. Bila saya pakejkan maruah maka harga diri saya jadi mahal dan bunyinya macam sombong sekali. Tetapi kata U-Wei, sombong tak jadi hal. Lagipun saya bukan bercakap tentang ringgit.

Pernah seorang kawan bertanya berapa saya dapat sebagai penerbit bersekutu filem Hanyut. Lalu saya jawab, "Satu juta." Spontan kawan itu memberikan reaksi, "Oooi, banyaknya engkau dapat..boleh pencen lepas ni."

Ya, memang betul satu juta tetapi yang tahu nilai satu juta itu hanya saya dan U-Wei. Julia Fraser juga sudah mula memahami saya agaknya. Saya tahu mereka mampu berikan "nilai maruah" itu kepada saya. Sebab itu saya ada dalam Hanyut walaupun saya sedang menulis Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei. Memang saya sombong..

Terima kasih kepada Joe Hamid @ Joe Ham. Dia menjolok saya malam tadi maka pagi ini saya menulis untuk menghiburkan hatinya yang tidak pernah serik menjengah laman yang sudah lama sepi ini.