Sunday, 24 January 2010

Juwitaku Sayang

Saya tidak pernah tahu arwah ayah saya dulu minat dengan seni. Saya hanya tahu tentang kegiatan seninya semasa saya baru belajar main gitar ketika berusia tiga belas tahun dan belum tahu bagaimana nak "tune" tali gitar. Selepas seharian membelasah gitar lama yang dihadiahkan arwah abang ipar saya, tiba-tiba gitar saya itu sumbang sekali bunyinya. Sudah tentu saya jadi resah kerana saya sedang giat berlatih. Saya seperti hilang sabar sementara menunggu abang saya balik dari pejabat. Abang saya itu memang suka main muzik semasa di sekolah dan hanya dialah harapan saya untuk membetulkan bunyi gitar yang sumbang itu. Dia peminat Cliff Richard dan kumpulan the Shadows.

Mungkin telinganya sendiri kurang senang dengan bunyi gitar itu, tiba-tiba saya lihat ayah saya datang kepada saya lalu "merampas" gitar tersebut. Saya terkejut. Saya ingatkan dia marah dan mahu berbuat sesuatu kepada gitar itu. Tetapi jangkaan saya salah. Dia "merampas" gitar itu dengan baik dan terus duduk di tangga membetulkan bunyinya. Bila siap dia memainkan sedikit melodi sebuah lagu ghazal yang masih saya ingat sampai sekarang. Sekali lagi saya terkejut kerana rupa-rupanya ayah saya itu memang pandai main gitar. Setelah selesai dia tidak berkata sepatah pun. Antara senyum dan tidak, dia menyerahkan kembali gitar yang sudah dibetulkan bunyinya itu dan sepatah kata orang Johor, dia terus "menonong" keluar. Memang begitulah ayah saya dengan saya, tidak bercakap banyak dan kami memang jarang berkomunikasi.

Bila melihat dia sudah agak jauh meninggalkan rumah dengan basikalnya, saya yang masih dalam keadaan "trauma" terus mendapatkan ibu saya bertanyakan tentang peristiwa mengejutkan yang baru saya alami itu. Saya juga cuba bertanyakan tentang kegiatan seni ayah saya. Walaupun agak keberatan tetapi ibu saya bercerita juga. Menurutnya, memang ayah saya itu aktif dalam bangsawan satu ketika dulu. Dia pernah berlakon dan dia juga suka menyanyi dan main muzik. Tetapi rahsia itu tidak pernah diberitahu kepada anak-anak. Mungkin dia tidak mahu anak-anak tahu kegiatannya masa muda. Kata ibu saya lagi, kalau mendodoikan saya sama ada dalam buaian atau di pangkuannya dia suka menyanyikan lagu Juwitaku Sayang. Sungguh saya rasa terharu.

Pernah saya bercerita sebelum ini betapa dia bangga mendengar saya juga pandai menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Ketika itu saya memang sudah pandai bermain gitar tetapi masih juga sekali-sekala mendapatkan khidmatnya membetulkan tali gitar itu. Sayangnya dia tidak pernah mahu bercerita tentang pengalaman muziknya tidak sebagaimana saya dengan anak-anak yang bebas bertanya dan bercakap apa saja.

Mengenai anak-anak saya pula, Faresha dan Shahida memang suka pada muzik. Mereka sangat suka menyanyi dan saya tahu mereka boleh menyanyi dengan baik. Tetapi selama ini apa yang saya tahu mereka hanya menyanyi bila mendengar lagu-lagu di radio atau CD. Semasa di sekolah rendah mereka sanggup mengumpul duit membeli kaset-kaset album Inggeris seperti Backstreet Boys, West Life dan beberapa kumpulan lain yang menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu. Saya tidak tahu tentang kaset lagu-lagu melayu yang mereka beli kecuali album KRU. Shahida (adik), sungguhpun sangat suka menyanyi dan turut mempunyai khazanah beratus-ratus lagu dalam kepalanya tetapi tidak berapa suka terlibat dalam kegiatan seni semasa di sekolah tetapi kakaknya Faresha memang aktif dan beberapa tahun menyertai kumpulan dikir barat. Sungguhpun begitu saya tidak pernah melihat dia membuat persembahan sehinggalah pada satu malam dia memberikan saya satu kejutan.

Waktu itu kalau tidak silap saya dia berada di tingkatan tiga dan saya membawa keluarga bercuti di Desaru. Pada malam itu buat pertama kalinya dalam sejarah saya membawa mereka ke dewan karaoke pusat peranginan tersebut. Saya sangkakan cuma mahu masuk sekejap menyanyi satu dua lagu kerana sudah lama tidak menyanyi bersama dengan isteri (Kali terakhir kami menyanyi bersama di hadapan khalayak sewaktu persembahan di maktab). Saya menyanyikan sebuah lagu dan bila habis saya dengar ada bunyi "tepukan ringan," tepukan yang diberikan seperti buat syarat. Tetapi bila saja tiba giliran Faresha, sebaik dia menyanyikan baris pertama lagu Hero yang dipopularkan Whitney Houston, saya dengar tepukan gemuruh dan bukan tepukan sekadar buat syarat. Saya terperanjat mendengarkan anak saya boleh menyanyi dengan begitu baik sekali. Sayang sekali adik tidak mahu menyanyi di hadapan kami pada malam itu, mungkin kerana malu. Tetapi saya tahu sejak bekerja dia dan kawan-kawannya mempunyai "aktiviti seni" mereka sendiri di Kuantan. Dia tidak menyebutnya secara langsung tetapi saya tahu dia juga menyanyi dan sudah tentu dia boleh menyanyi dengan hebat di hadapan kawan-kawannya.

Malam tadi sekali lagi Faresha membuat kejutan. Saya membawa isteri, Faresha dan adik kecilnya Nurbaya untuk menyaksikan persembahan saya bersama-sama Usop dan Sani di Laman Santai di Istana Budaya. Selain Kopratasa, Zamani dan Farah Ashikin turut membuat persembahan. Sementara menunggu persembahan kedua kami selepas Farah, saya bangun untuk ke belakang pentas menyertai Usop dan Sani. Tiba-tiba saya lihat Farah bergerak ke arah meja di mana isteri dan anak-anak saya duduk. Dia sedang menyampaikan sebuah lagu Inggeris dan tanpa disangka-sangka menghulur mikrofon ke arah Faresha. Ketika itu juga anak sulung saya itu dengan begitu selamba menyambung baris lagu tersebut. Sudah tentu Farah sendiri terkejut. Kejadian yang sama berulang sewaktu menyampaikan lagu terakhir, Farah meminta bantuannya yang masih duduk untuk menyambung satu dua baris lagu tersebut.

Saya melihat dari jauh menggeleng-gelengkan kepala. Saya sangkakan malam itu hanya abah saja yang menyanyi dengan Pak Cik Usop dan Pak Cik Sani. Rupa-rupanya anak saya pun turut menyanyi di Laman Santai walaupun sebaris dua lirik. Dalam hati saya hanya mampu berkata, "Hai, anak abah.."

Sungguhpun mereka minat menyanyi tetapi memang sejak kecil lagi anak-anak saya tahu abahnya tidak pernah mahukan mereka jadi artis sekali pun berbakat. Pernah saya bergurau dengan mereka, kata saya, "Kalau ada anak abah jadi artis abah tembak dengan senapang gajah." Saya harap adik mereka Siti Nurbaya juga sekadar minat menyanyi di rumah atau di sekolah dan tidak menyimpan sebarang niat untuk jadi artis sekalipun dia juga sangat pandai menyanyi dan cekap menghafal lirik seperti kakak-kakaknya. Alangkah baik kalau secekap itu juga Nurbaya dalam pelajaran matematiknya.

Usop dan Sani akan terus menyanyi selepas ini kerana itu kerjaya mereka dan selagi Kopratasa masih punya suara dan tenaga. Semasa kami duduk bersembang di belakang pentas Usop ada menerima undangan menerusi sms dan saya mendengar perbincangannya dengan Sani mengenai undangan tersebut. Saya juga tahu Kopratasa sudah mempunyai jadual mereka untuk beberapa bulan akan datang.

Saya pula akan terus dengan kerja saya, Ahad yang lalu sampai Selasa saya berada di Lipis kerana urusan persediaan filem Hanyut selain meneruskan menulis Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei dan mencatat pengalaman dalam blog Saya Tak Ada MBA ini. Untuk dua hari berikutnya pula saya dijemput mengajar di sebuah pusat latihan kemahiran di Pekan, Pahang. Saya baru kembali ke Kuala Lumpur semalam dan petang tadi dari pejabat di Shah Alam saya terus ke Laman Santai berlatih ala kadar dan malam buat persembahan. Untuk tiga minggu akan datang program saya hampir sama dengan minggu lepas.

Secara ikhlas, saya menyanyi sekadar suka-suka bila ada kelapangan. Saya bukan mahu jadi artis kerana kalau mahu jadi artis pada 1986 dulu saya sudah menyertai Usop dan Sani untuk buat album. Saya mahu jadi seperti arwah ayah saya, mungkin selepas ini saya juga akan mendodoikan cucu-cucu tetapi dengan lagu-lagu Kopratasa selain lagu kesukaan arwah ayah saya "Juwitaku Sayang." Dan kalau Allah melanjutkan usia, saya juga mahu tolong "tune"kan tali gitar cucu-cucu saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu dan ayah saya.

6 comments:

Citra Delima said...

Salam Sdr.Mohd. Salleh Ibrahim,
Salam perkenalan dari saya, pun merupakan penulis baru belajar. Bolehlah perkongsi pengalaman.

NOR said...

abah...
nk mntk tlg dodoikan anak kakcik jug ye...:)

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Citra Delima, salam perkenalan. Nama saya Mohd Shah Ibrahim. Bukan Mohd Salleh.
Nak berkongsi apa salahnya tapi saya tak pandai mengajar kerana apa yang saya tulis sebenarnya datang dari dalam bukan dari luar.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Kak Cik, boleh aje nak dodoikan. Pilih aje lagu mana Kak cik nak. Free, bukan kena bayar pun.

Melihat Kesunyataan said...

Salam Mohd.Shah,
Sabtu lepas sempat mengeteh bersama Usop dan Sani Sudin. Mereka baru buat persembahan di Tepi Sungai Johor, Kota Tinggi, sempena Baca Puisi Citra Sungai Johor. Rupanya Siso sibuk dengan RTM. Bila saya tanya Mohd. Shah, mereka kata kalau di sekitar KL memang Mohd. Shah ada ikut, tapi jauh-jauh begini agak susah sikit.
Sesekali rasanya nak dengar dan tengok sekali tuan buat persembahan dengan Kopratasa.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Sdr Haji,
memang betul kalau sekitar KL saya boleh ikut. Baru buat persembahan di Laman Santai dua minggu sudah. Lepas ni mungkin ada lagi kalau ada kelapangan. Saja seronok-seronok. Usop dan Sani cari makan dengan menyanyi, saya cari kepuasan saja.