Sunday, 24 January 2010

Juwitaku Sayang

Saya tidak pernah tahu arwah ayah saya dulu minat dengan seni. Saya hanya tahu tentang kegiatan seninya semasa saya baru belajar main gitar ketika berusia tiga belas tahun dan belum tahu bagaimana nak "tune" tali gitar. Selepas seharian membelasah gitar lama yang dihadiahkan arwah abang ipar saya, tiba-tiba gitar saya itu sumbang sekali bunyinya. Sudah tentu saya jadi resah kerana saya sedang giat berlatih. Saya seperti hilang sabar sementara menunggu abang saya balik dari pejabat. Abang saya itu memang suka main muzik semasa di sekolah dan hanya dialah harapan saya untuk membetulkan bunyi gitar yang sumbang itu. Dia peminat Cliff Richard dan kumpulan the Shadows.

Mungkin telinganya sendiri kurang senang dengan bunyi gitar itu, tiba-tiba saya lihat ayah saya datang kepada saya lalu "merampas" gitar tersebut. Saya terkejut. Saya ingatkan dia marah dan mahu berbuat sesuatu kepada gitar itu. Tetapi jangkaan saya salah. Dia "merampas" gitar itu dengan baik dan terus duduk di tangga membetulkan bunyinya. Bila siap dia memainkan sedikit melodi sebuah lagu ghazal yang masih saya ingat sampai sekarang. Sekali lagi saya terkejut kerana rupa-rupanya ayah saya itu memang pandai main gitar. Setelah selesai dia tidak berkata sepatah pun. Antara senyum dan tidak, dia menyerahkan kembali gitar yang sudah dibetulkan bunyinya itu dan sepatah kata orang Johor, dia terus "menonong" keluar. Memang begitulah ayah saya dengan saya, tidak bercakap banyak dan kami memang jarang berkomunikasi.

Bila melihat dia sudah agak jauh meninggalkan rumah dengan basikalnya, saya yang masih dalam keadaan "trauma" terus mendapatkan ibu saya bertanyakan tentang peristiwa mengejutkan yang baru saya alami itu. Saya juga cuba bertanyakan tentang kegiatan seni ayah saya. Walaupun agak keberatan tetapi ibu saya bercerita juga. Menurutnya, memang ayah saya itu aktif dalam bangsawan satu ketika dulu. Dia pernah berlakon dan dia juga suka menyanyi dan main muzik. Tetapi rahsia itu tidak pernah diberitahu kepada anak-anak. Mungkin dia tidak mahu anak-anak tahu kegiatannya masa muda. Kata ibu saya lagi, kalau mendodoikan saya sama ada dalam buaian atau di pangkuannya dia suka menyanyikan lagu Juwitaku Sayang. Sungguh saya rasa terharu.

Pernah saya bercerita sebelum ini betapa dia bangga mendengar saya juga pandai menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Ketika itu saya memang sudah pandai bermain gitar tetapi masih juga sekali-sekala mendapatkan khidmatnya membetulkan tali gitar itu. Sayangnya dia tidak pernah mahu bercerita tentang pengalaman muziknya tidak sebagaimana saya dengan anak-anak yang bebas bertanya dan bercakap apa saja.

Mengenai anak-anak saya pula, Faresha dan Shahida memang suka pada muzik. Mereka sangat suka menyanyi dan saya tahu mereka boleh menyanyi dengan baik. Tetapi selama ini apa yang saya tahu mereka hanya menyanyi bila mendengar lagu-lagu di radio atau CD. Semasa di sekolah rendah mereka sanggup mengumpul duit membeli kaset-kaset album Inggeris seperti Backstreet Boys, West Life dan beberapa kumpulan lain yang menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu. Saya tidak tahu tentang kaset lagu-lagu melayu yang mereka beli kecuali album KRU. Shahida (adik), sungguhpun sangat suka menyanyi dan turut mempunyai khazanah beratus-ratus lagu dalam kepalanya tetapi tidak berapa suka terlibat dalam kegiatan seni semasa di sekolah tetapi kakaknya Faresha memang aktif dan beberapa tahun menyertai kumpulan dikir barat. Sungguhpun begitu saya tidak pernah melihat dia membuat persembahan sehinggalah pada satu malam dia memberikan saya satu kejutan.

Waktu itu kalau tidak silap saya dia berada di tingkatan tiga dan saya membawa keluarga bercuti di Desaru. Pada malam itu buat pertama kalinya dalam sejarah saya membawa mereka ke dewan karaoke pusat peranginan tersebut. Saya sangkakan cuma mahu masuk sekejap menyanyi satu dua lagu kerana sudah lama tidak menyanyi bersama dengan isteri (Kali terakhir kami menyanyi bersama di hadapan khalayak sewaktu persembahan di maktab). Saya menyanyikan sebuah lagu dan bila habis saya dengar ada bunyi "tepukan ringan," tepukan yang diberikan seperti buat syarat. Tetapi bila saja tiba giliran Faresha, sebaik dia menyanyikan baris pertama lagu Hero yang dipopularkan Whitney Houston, saya dengar tepukan gemuruh dan bukan tepukan sekadar buat syarat. Saya terperanjat mendengarkan anak saya boleh menyanyi dengan begitu baik sekali. Sayang sekali adik tidak mahu menyanyi di hadapan kami pada malam itu, mungkin kerana malu. Tetapi saya tahu sejak bekerja dia dan kawan-kawannya mempunyai "aktiviti seni" mereka sendiri di Kuantan. Dia tidak menyebutnya secara langsung tetapi saya tahu dia juga menyanyi dan sudah tentu dia boleh menyanyi dengan hebat di hadapan kawan-kawannya.

Malam tadi sekali lagi Faresha membuat kejutan. Saya membawa isteri, Faresha dan adik kecilnya Nurbaya untuk menyaksikan persembahan saya bersama-sama Usop dan Sani di Laman Santai di Istana Budaya. Selain Kopratasa, Zamani dan Farah Ashikin turut membuat persembahan. Sementara menunggu persembahan kedua kami selepas Farah, saya bangun untuk ke belakang pentas menyertai Usop dan Sani. Tiba-tiba saya lihat Farah bergerak ke arah meja di mana isteri dan anak-anak saya duduk. Dia sedang menyampaikan sebuah lagu Inggeris dan tanpa disangka-sangka menghulur mikrofon ke arah Faresha. Ketika itu juga anak sulung saya itu dengan begitu selamba menyambung baris lagu tersebut. Sudah tentu Farah sendiri terkejut. Kejadian yang sama berulang sewaktu menyampaikan lagu terakhir, Farah meminta bantuannya yang masih duduk untuk menyambung satu dua baris lagu tersebut.

Saya melihat dari jauh menggeleng-gelengkan kepala. Saya sangkakan malam itu hanya abah saja yang menyanyi dengan Pak Cik Usop dan Pak Cik Sani. Rupa-rupanya anak saya pun turut menyanyi di Laman Santai walaupun sebaris dua lirik. Dalam hati saya hanya mampu berkata, "Hai, anak abah.."

Sungguhpun mereka minat menyanyi tetapi memang sejak kecil lagi anak-anak saya tahu abahnya tidak pernah mahukan mereka jadi artis sekali pun berbakat. Pernah saya bergurau dengan mereka, kata saya, "Kalau ada anak abah jadi artis abah tembak dengan senapang gajah." Saya harap adik mereka Siti Nurbaya juga sekadar minat menyanyi di rumah atau di sekolah dan tidak menyimpan sebarang niat untuk jadi artis sekalipun dia juga sangat pandai menyanyi dan cekap menghafal lirik seperti kakak-kakaknya. Alangkah baik kalau secekap itu juga Nurbaya dalam pelajaran matematiknya.

Usop dan Sani akan terus menyanyi selepas ini kerana itu kerjaya mereka dan selagi Kopratasa masih punya suara dan tenaga. Semasa kami duduk bersembang di belakang pentas Usop ada menerima undangan menerusi sms dan saya mendengar perbincangannya dengan Sani mengenai undangan tersebut. Saya juga tahu Kopratasa sudah mempunyai jadual mereka untuk beberapa bulan akan datang.

Saya pula akan terus dengan kerja saya, Ahad yang lalu sampai Selasa saya berada di Lipis kerana urusan persediaan filem Hanyut selain meneruskan menulis Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei dan mencatat pengalaman dalam blog Saya Tak Ada MBA ini. Untuk dua hari berikutnya pula saya dijemput mengajar di sebuah pusat latihan kemahiran di Pekan, Pahang. Saya baru kembali ke Kuala Lumpur semalam dan petang tadi dari pejabat di Shah Alam saya terus ke Laman Santai berlatih ala kadar dan malam buat persembahan. Untuk tiga minggu akan datang program saya hampir sama dengan minggu lepas.

Secara ikhlas, saya menyanyi sekadar suka-suka bila ada kelapangan. Saya bukan mahu jadi artis kerana kalau mahu jadi artis pada 1986 dulu saya sudah menyertai Usop dan Sani untuk buat album. Saya mahu jadi seperti arwah ayah saya, mungkin selepas ini saya juga akan mendodoikan cucu-cucu tetapi dengan lagu-lagu Kopratasa selain lagu kesukaan arwah ayah saya "Juwitaku Sayang." Dan kalau Allah melanjutkan usia, saya juga mahu tolong "tune"kan tali gitar cucu-cucu saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu dan ayah saya.

Sunday, 17 January 2010

Kopratasa 25 tahun

Pada tahun 2009, genaplah usia Kopratasa 25 tahun. Dilahirkan di Teater Elit yang berpejabat di No. 7A, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru pada tahun 1984, pada mulanya Usop, Sani dan saya cuma main-main muzik dan menyanyi di bilik belakang yang kami panggil studio. Kemudian bila bos kami Dinsman mendengar beberapa puisi yang berjaya kami jadikan lagu dia terus mencadangkan supaya kami menyanyi di pentas dengan membawa nama Grup Teater Elit. Pertama kali di Kompleks Budaya Negara (kini sudah jadi ASWARA) dan seterusnya di beberapa pentas lain.

Di Teater Elit jugalah M. Nasir melihat kami menyanyi pada satu petang ketika dia datang untuk satu urusan lain. Kemudian semuanya jadi sejarah apabila pada tahun 1986 M. Nasir menerbitkan album pertama Kopratasa berjudul Keringat Dalam Pasrah dan pada waktu itu saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada "menjadi artis." Siso masuk menggantikan saya.

Kopratasa terus berjuang dengan konsep puisi dan tidak pernah tersasar hingga ke hari ini dan merupakan kumpulan penyanyi lagu puisi pertama di Malaysia yang masih mampu bertahan selama itu. Sepanjang rakan-rakan saya itu menjadi artis tidak pernah saya melihat mereka di pentas secara "live" sehinggalah pada tahun 2008 saya berpeluang menonton persembahan mereka di Laman Santai Istana Budaya bersama-sama isteri dan anak-anak.

Mungkin Kopratasa bukan sebuah kumpulan yang layak untuk menerima sebarang penghargaan. Kerana itu agaknya tidak ada pihak pun yang perasan tentang usia kumpulan tersebut yang sudah mencecah 25 tahun. Kalau ada pun, mungkin pihak-pihak tertentu hanya akan sedar tentang perkara itu dalam tempoh dua puluh hingga tiga puluh tahun akan datang dan penghargaan itu hanya akan datang selepas Usop, Sani dan Siso sudah tiada lagi di dunia. Saya harap "wakil-wakil" mereka (mungkin cucu-cucu mereka) yang bakal naik ke pentas menerima penghargaan tersebut bagi pihak mereka nanti dapat bersabar menantikan saat-saat manis itu.

Oleh kerana itu, sebelum tahun 2009 melabuhkan tirai, saya berusaha mendapatkan penajaaan daripada rakan kongsi saya Zed untuk persembahan Kopratasa sempena Majlis Makan Malam SDARA 2009 (Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak) yang berlangsung pada 26 Disember bertempat di Dewan Puspanitapuri Putrajaya. Sungguhpun tidak dihebahkan, sekurang-kurangnya dapat juga kami bersama-sama meraikan "Hari Jadi Kopratasa Ke 25 tahun" di hadapan rakan-rakan SDARA saya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku pada malam itu. Pertama, mungkin itulah pertama kali dalam sejarah majlis makan malam SDARA sebuah persembahan artis ditaja. Kedua, Kopratasa yang membuat persembahan pada malam itu ialah Kopratasa yang terdiri daripada anggota-anggota asal iaitu Usop, Sani dan saya sendiri dan itu merupakan pertama kali kami membuat persembahan bersama selepas "berpisah" dalam satu majlis dengan kehadiran yang agak besar. Ketiga, persembahan itu disaksikan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang diundang khas dan keempat, buat pertama kalinya saya dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir menyampaikan lagu yang paling disukainya iaitu My Way walaupun ketika dia sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Di bawah merupakan antara koleksi gambar persembahan kami serta gambar ketibaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah di Dewan Puspanitapuri. Selebihnya ada terdapat di dalam Facebook saya.

Saya belum lagi habis bercerita. Kelima, pada malam itu Zed turut mengundang sahabat saya pembikin filem tersohor U-Wei Haji Saari, Julia Fraser (penerbit filem terbaru U-Wei berjudul Hanyut yang sedang dalam persiapan untuk penggambaran pada April 2010) dan juga jurufoto filem Hanyut iaitu Jo Ghazali. Kesemua gambar yang saya paparkan di sini merupakan hasil kerja Jo.

Sudah tentu saya menganggapnya sebagai satu peristiwa paling bersejarah dalam hidup kerana dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir. Tetapi ia menjadi lebih bersejarah lagi kerana sepanjang saya bersahabat dengan U-Wei selama 21 tahun, itulah pertama kali dia melihat dan mendengar saya menyanyi walaupun memang dia amat tahu sejarah saya bersama Kopratasa. Dia bersetuju untuk datang pada malam itu semata-mata kerana diberitahu bahawa saya akan membuat persembahan dengan Kopratasa. Dan di akhir lagu My Way yang menjadi lagu penutup persembahan kami, saya dapat lihat U-Wei bangun bertepuk tangan.

Pada malam itu saya tidak pedulikan orang lain. Bagi saya persembahan itu hanya untuk U-Wei dan Tun Mahathir. Yang lain kebanyakannya kawan-kawan saya dan juga bekas guru-guru yang sememangnya tidak hairan kerana sudah biasa melihat saya beraksi di pentas sejak di sekolah lagi. Bila melihat dia bangun dapat saya rasakan U-Wei suka dengan persembahan kami. Sudah tentu Tun Mahathir tidak dapat bangun kerana dia negarawan yang tidak boleh lepas laku macam seniman seperti U-Wei.

Dengar khabarnya pada malam itu U-Wei ada membisikkan sesuatu mengenai persembahan kami kepada Ida, isteri saya . Pada malam itu juga anak-anak saya Ainur Faresha, Ainur Shahida dan Siti Nurbaya cukup terharu dapat duduk semeja dengan Kopratasa dan juga Pak Cik U-Wei mereka.


Nota kaki;

Baru-baru ini, ketika bertemu di pejabatnya, dengan "sombongnya" saya bergurau memberitahu U-Wei, "U-Wei, I go for nothing less than original." (Maaf, saya tidak pandai menterjemah ayat tersebut).
Saya merujuk kepada diri saya yang merupakan anggota asal Kopratasa dan juga anggota asal Kru Tanah Licin, kru produksi yang ditubuhkannya ketika dia mula-mula kembali ke tanah air 21 tahun lampau.
Meminjam bahasa budak-budak sekarang, "Kalau tak ori saya tak mainlah..."