Thursday, 11 November 2010

Selamat Hari Lahir Anak Abah

Memang banyak pihak yang melenting bila mana TPM merangkap Menteri Pelajaran mengumumkan cadangan pemansuhan UPSR dan PMR tidak berapa lama dulu. Ibu bapa, NGO, parti-parti politik hinggakan Konsensus Bebas Parlimen semua memberikan pandangan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Rata-rata mereka berpendapat tindakan tersebut tidak wajar dan masing-masing mempunyai pendapat dan alasan tersendiri.

Tetapi apabila sahaja pengumuman dibuat bahawa hanya PMR akan dimansuhkan bermula 2016 manakala UPSR dikekalkan tetapi dilakukan perubahan pada bentuk dan format sudah tentu ramai berasa lega.

Saya tidak mahu menyentuh soal rasional di sebalik cadangan tersebut serta hujah dan alasan semua pihak yang menentang idea pemansuhan tersebut. Sebagai "orang luar" yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan UPSR mahupun PMR, saya melihat kedua-dua peperiksaan tersebut khususnya UPSR sedikit sebanyak mencederakan pemikiran dan sikap orang kita.

UPSR mencipta satu rantaian masalah yang saling berkait. Bayangkan berapa ramai anak sekolah yang mengalami tekanan perasaan kerana sikap ibu bapa. Semuanya kerana sikap ibu bapa yang berlumba-lumba mahukan anak masing-masing menjadi yang terbaik. Ini mengakibatkan anak-anak kehilangan masa bersama keluarga dan kawan-kawan kerana dipaksa menyertai kelas tuisyen sama ada peribadi mahupun di pusat-pusat tuisyen berbayar. Saya pasti bukan semua bersedia untuk terikat dengan jadual tahun enam yang begitu ketat kerana di sekolah mereka sendiri sudah ada kelas tambahan pada waktu pagi atau petang. Ada juga sekolah yang menganjurkan kelas tambahan pada hari Sabtu sehinggakan guru-guru sendiri sukar untuk mengatur program bersama keluarga pada hujung minggu.

Saya lihat ramai juga ibu bapa yang jadi kecoh kerana UPSR. Memang tidak salah mahukan anak-anak menjadi yang terbaik dalam akademik tetapi setiap apa yang kita lakukan seharusnya berpada. Anak-anak tidak wajar diberi tekanan "mesti dapat 5A." Kalau tak dapat nanti mak atau ayah malu. Kerana tidak mahu malu maka anak-anak dipaksa menghadiri kelas tuisyen hampir lima hari seminggu menyamai hari persekolahan. Kesibukan aktiviti akademik di sekolah ditambah dengan aktiviti tuisyen selepas sekolah. Bagaimana dengan anak-anak golongan elit yang sedia sibuk dengan kelas renang, muzik,komputer, tae-kwan do, balet dan sebagainya?

UPSR tiba-tiba menjadi semacam satu medan pertarungan bukan di kalangan anak-anak tetapi satu pertandingan untuk mencari ibu bapa mana paling hebat. Dari peringkat persediaan kita dapat lihat ibu bapa saling berlumba menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen dan bila perkara ini jadi bahan bualan, ramai juga kawan-kawan yang tercedera hati dan perasaan kerana sikap mahu menunjuk-nunjuk sesetengah mereka. Sudah tentu mereka yang berkemampuan akan menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen terkenal sedangkan bagi yang kurang mampu mereka cuma dapat menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen murah yang tidak ada nama dan ala kadar juga perkhidmatannya.

Bagaimana pula "format dan kandungan" perbualan ibu-ibu khususnya bila keluar keputusan UPSR nanti? "Anak I dapat 5A, anak you dapat berapa?" Maka Si Ibu yang hebat itu akan sibuk menelefon kawan-kawan mahu tahu anak-anak orang lain dapat berapa A. "Haa?? Anak you dua A aje?? Kenapa ya? Patutnya dulu you hantar dia kat tuition centre anak I.." Begitulah..

Selepas itu apa pula yang berlaku? Ibu bapa yang hebat-hebat yang sudah pasti mempunyai kenalan yang hebat-hebat akan sibuk mencari jalan menemui orang politik yang boleh membantu memberikan sokongan bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat tempat di sekolah berasrama penuh. Dengan tempat yang terhad sudah tentu jumlah sekolah berasrama penuh sedia ada tidak mampu menampung ribuan murid yang mendapat 5A. Kerana itu "connection" perlu dicari.

Dari situ tercipta pula satu rantaian ekonomi, bila ada "demand" maka UPSR mencipta pasaran dan peluang perniagaan. Kerana wujudnya UPSR kita dapat lihat sekian banyak pusat tuisyen tumbuh di merata tempat hinggakan ke pinggir bandar dan desa. Dari mana datangnya sumber tenaga pengajar pusat-pusat tuisyen ini? Hebatkah mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen dan mampukan mereka menandingi kehebatan dan kredibiliti guru-guru sekolah yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman mengajar tahun enam? Tidak juga. Bila disemak rupa-rupanya sebahagian besar merupakan guru-guru sekolah yang mengajar di sekolah pada waktu pagi atau siang, dan petang atau malam mereka "cari makan" di pusat-pusat tuisyen. Mana mungkin pusat tuisyen mampu menyediakan tenaga pengajar hebat daripada sumber lain kecuali guru-guru berpengalaman yang sudah bersara.

Di sini timbul masalah sikap dan komitmen. Yang mana lebih wajar diberi perhatian, gaji bulanan yang dibayar kerajaan yang tidak seberapa atau pendapatan dari pusat tuisyen yang jauh lebih lumayan? Sudah tentu hasil yang diperoleh dari pusat tuisyen menjadi pilihan hinggakan ada ramai guru membuka pusat tuisyen sendiri atau berselindung di sebalik nama orang lain. Saya teringat lirik lagu filem Siti Muslihat; "Nenek-nenek si bongkok tiga, siang mengantuk malam berjaga."

Mengenai operasi pusat tuisyen, biasanya selepas peperiksaan pusat tuisyen akan sunyi sepi. Kalau UPSR berlangsung pada bulan September, bererti selama tiga bulan tidak akan ada aktiviti dan pusat tuisyen kehilangan pendapatan daripada murid-murid tahun enam. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Di Kuala Lumpur dan Selangor, ada beberapa pusat yang menawarkan tuisyen persediaan untuk tingkatan satu. Keputusan UPSR belum pun keluar, anak-anak masih belum tentu ke sekolah mana, buku teks pun belum dapat lagi tetapi pusat-pusat tuisyen sudah menawarkan kelas persediaan untuk tingkatan satu. Memang kreatif sungguh.

Ada satu pihak lagi yang kehilangan pendapatan selepas berakhirnya UPSR. Pihak yang saya maksudkan ialah golongan "Pakar Perunding Motivasi." Kalau saya teruskan tulisan ini sudah pasti ada pihak yang terluka dengan beberapa kenyataan saya. Tetapi realitinya, perlukah kita pada "pakar perunding motivasi" ini? Antara sekian ramai "Pakar" berapakah bilangan yang benar-benar pakar dalam bidang tersebut? Saya pernah terdengar satu syarahan seorang "pakar." Saya rasa kalau dari segi teknik menjawab soalan, guru-guru sekolah itu sendiri lebih berpengalaman. Dan pihak mana pula yang memberikan akreditasi bagi membolehkan golongan tersebut menggunakan gelaran "pakar" itu dan kayu ukur mana yang dipakai?

Ah! cukuplah setakat ini tentang UPSR. Saya juga boleh jadi pakar kerana saya rasa saya pun pandai bercerita dan mampu membuatkan murid-murid tahun enam menangis kalau mendengar cerita saya. Cuma saya tak pasti apakah cerita-cerita sedih yang disampaikan dalam masa dua jam nanti boleh menjanjikan 5A atau mengubah sikap mahupun disiplin kanak-kanak yang nakal tegar yang tidak mampu dilenturkan guru besar dan juga guru disiplin sekolah itu sendiri. Kerana itu saya tak mahu jadi "pakar perunding motivasi." Lagipun lebih baik saya buat duit cara lain. Memang saya tak sampai hati..

Kira-kira dua puluh minit lagi keputusan UPSR akan diumumkan. Buah hati pengarang jantung saya Siti Nurbaya sedang berdebar menunggu keputusan di sekolahnya di Bandar Kinrara bersama-sama ayah dan umminya. Kata ayahnya tadi dia akan menelefon saya sebaik dapat keputusan. Seperti juga kakak-kakaknya dulu, saya tidak pernah mengharap apa-apa. Sikap dan pendirian saya mengenai pelajaran anak-anak memang konsisten. Asal lulus cukuplah. Bagi saya UPSR bukan penentu masa hadapan. Kalau Baya dapat 5A atau 4A atau 3A atau tak ada A sekalipun, dia tetap buah hati abah.

Semalam Baya genap berusia 12 tahun. Dia masih ada masa yang panjang untuk merancang masa depan. Biarlah dia sendiri yang menentukan mahu jadi apa apabila besar nanti bersandarkan minat dan keupayaan sendiri. Saya bimbang ayah dan umminya akan memberikan tekanan yang bukan-bukan kepada Baya apabila dia masuk ke Tingkatan Satu nanti.

Selamat Hari Lahir Anak Abah.

(Tulisan ini siap pada kira-kira jam 11.45 pagi mengikut waktu tempatan)

Friday, 1 October 2010

Surau Gunung Soga

Keluarga saya menetap di Gunung Soga selama lebih kurang 12 tahun. Kami dibawa berpindah dari Kluang pada tahun 1960 apabila ayah saya menerima arahan pertukaran kerana pada waktu itu daerah Batu Pahat memerlukan seorang Pengawal Mergastua bagi mengendalikan kes haiwan liar yang semakin bertambah. Semasa tinggal di situ surau Gunung Soga merupakan antara tempat yang banyak menyimpan kenangan manis zaman kanak-kanak saya.

Di situ ayah saya banyak mencurah bakti. Ibu saya pernah memberitahu bahawa ayah saya dilantik sebagai noja surau. Saya tidak faham makna perkataan itu. Apa yang saya tahu dia diberi amanah memegang kunci surau dan juga stor. Dia pernah membawa saya untuk membantu mengemas pinggan-mangkuk serta barangan lain yang terdapat di situ. Bila tidak ada kerja di rumah di surau itulah tempat dia menghabiskan masa. Selain itu dia juga menjaga kebersihan surau serta kawasan sekitarnya. Surau itu sudah menjadi rumah keduanya dan stor itu pula merupakan pejabat keduanya.

Kadang-kadang ada juga dia melaungkan azan walaupun itu bukan tugas rasminya. Tetapi kalau pada waktu bulan puasa hampir setiap hari dia akan memukul kentung dan selepas itu melaungkan azan maghrib. Selepas selesai barulah dia balik untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah.

Saya tidak pernah tahu bagaimana ayah saya boleh dilantik ke jawatan tersebut. Tetapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kerana tiba-tiba sahaja berlaku pertukaran. Kerana pertukaran itu jiran sebelah rumah kami yang sebelum itu memegang tugas tersebut terus merajuk dan tidak lagi mahu ke surau walaupun jarak surau itu dengan rumah kami hanya kira-kira 50 meter sahaja.

Di surau itu banyak watak menarik yang masih saya ingat hingga sekarang. Imamnya Pak Ali yang digelar Pak Ali Kubur. Dia mendapat gelaran itu kerana kerjanya memang sebagai penggali kubur. Sama seperti ayah saya, Pak Ali juga merupakan pakar memasak nasi minyak. Kalau ada sebarang majlis mereka saling bantu-membantu. Kalau Pak Ali dilantik sebagai tukang masak ayah saya bertindak sebagai pembantunya. Begitu juga sebaliknya.

Memang ada beberapa yang lain yang sentiasa lekat di ingatan saya seperti Haji Laila, Haji Embi, Pak Adam, Cikgu Manaf, Cikgu Jamil Markom, Cikgu Mohamad Diah, Cikgu Naim, Cikgu Rashid dan Cikgu Haji Ibrahim, sekadar menyebut beberapa nama yang kebanyakannya bekerja sebagai guru. Di kawasan perumahan kuarters kerajaan Gunung Soga memang terdapat ramai guru. Mereka merupakan kumpulan yang menceriakan suasana surau dan kebanyakannya rapat dengan ayah saya. Haji Embi orang yang bertanggungjawab memberikan gelaran Ibrahim Rimau kepada ayah saya, peristiwa yang berlaku pada satu petang sebelum berlangsung upacara sambutan maulidur-rasul. Ketika itu ayah saya sedang sibuk memasang khemah dan Haji Embi sedang membantu memasang sistem PA. Sambil "mengaum" menerusi mikrofon dia menganugerahkan gelaran itu yang lekat hingga ke akhir hayat ayah saya.

Cikgu Manaf merupakan guru besar sekolah agama saya. Saya menghadiri sekolah agama pada waktu petang di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaaan Penggaram. Sesi sekolah agama bermula pada jam dua dan berakhir kira-kira jam lima petang. Walaupun Cikgu Manaf seorang yang garang di sekolah dengan rotan panjang tidak pernah lepas daripada tangannya tetapi bila di surau dia berubah watak. Rupa-rupanya dia seorang yang periang dan suka bergurau bila berada dengan kawan-kawan.

Di situ saya kerap juga mengikuti kelas agama yang dikendalikan Tuan Haji Mahfuz. Haji Mahfuz tinggal di Parit Besar kira-kira tiga kilometer dari Gunung Soga. Dia datang mengajar dengan mengayuh basikal. Bukan seperti sekarang penceramah agama yang datang ke surau ada yang memandu kereta Mercedes. Bagi Haji Mahfuz itulah satu-satunya kenderaan miliknya. Kalau ke bandar pun dia akan menaiki basikal buruknya sama seperti ayah saya.

Haji Mahfuz datang mengajar di surau kami hampir setiap minggu. Setiap kali kalau ada kelas agama ayah saya akan mengingatkan saya supaya hadir ke surau. Saya memang suka menghadiri kelas agama di surau kerana ramai kawan saya akan turut bersama. Sebenarnya kami bukannya datang untuk kelas Haji Mahfuz. Tujuan utama kami ialah menunggu hidangan sebaik selesai kelas agama. Paling tidak pun pasti ada kuih-muih dan kopi-O disediakan.

Saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku semasa Haji Mahfuz mengajar. Pada malam itu dia bertanyakan soalan sama ada mereka yang hadir masih ingat lagi nama tempat Rasulullah selalu mengadakan pertemuan dengan para sahabat dan pengikutnya. Oleh sebab orang-orang tua di situ semua senyap, secara spontan saya menjawab, "Darul Naduah," kata saya. Mendengar jawapan saya mereka yang duduk di barisan selari dengan pintu terus memandang ke arah saya. Waktu itu saya duduk betul-betul di muka pintu. Haji Mahfuz tercari-cari dari mana datang suara budak. Sebaik terpandangkan saya dia tersenyum. Kerana malu dipandang begitu saya terus bersembunyi di belakang dinding. Saya tidak nampak di mana ayah saya duduk tetapi sudah tentu dia tahu kerana ada orang menyebut "anak Berahim Rimau." Saya berasa lega kerana sudah pasti dalam fikirannya saya memang benar-benar memberi perhatian kepada kelas Haji Mahfuz.

Cikgu Haji Ibrahim yang senama dengan ayah saya tinggal di Beroleh sebuah perkampungan yang agak jauh sedikit. Kalau tak silap saya kira-kira enam atau tujuh kilometer dari Gunung Soga, jalan menghala ke Ayer Hitam dan tidak jauh dari Sekolah Menengah Perempuan Tun Aminah. Walaupun menetap di tempat lain dia memang selalu datang ke surau kami kerana rumah anaknya berhadapan dengan surau. Bagi budak-budak sebaya saya, kehadiran Cikgu Haji Ibrahim di surau selalu membuatkan kami kecut perut kerana dia cukup garang. Sambil memegang rotan dia akan memanggil kami untuk belajar solat. Dia tidak peduli anak siapa semua akan ditengkingnya kalau salah. Ada juga yang pernah merasa libasan rotan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah kami berbincang sesama sendiri tentang hal orang tua yang tidak ada kena-mengena dengan surau mahupun sekolah kami itu. Kami tertanya-tanya kenapa ibu bapa kami tidak pernah peduli dengan apa yang dilakukan Cikgu Haji Ibrahim. Pernah juga beberapa orang bapa melihat sendiri bagaimana anak-anaknya dilibas dengan rotan tetapi mereka seperti tidak nampak apa yang berlaku. Mungkin ibu bapa kami sudah membuat perjanjian dengan orang tua itu.

Ada seorang lagi orang tua bernama Haji Laila. Namanya seperti nama perempuan. Dia juga seorang guru tetapi saya tak ingat di mana dia mengajar. Haji Laila terkenal kerana kereta Volkswagen merahnya. Selain itu dia juga terkenal kerana mempunyai dua orang anak gadis yang menjadi idaman para jejaka Gunung Soga. Saya tidak pernah menyimpan dendam terhadap kedua-dua anak gadisnya kerana dua sebab. Pertama, Haji Laila kawan rapat ayah saya. Sebab kedua, kedua-dua anaknya itu jauh lebih tua daripada saya.

Dia merupakan salah seorang kawan rapat ayah saya. Memang ayah saya mempunyai ramai kawan rapat dan mungkin itu juga yang saya warisi daripadanya. Mungkin kerana hubungan baik mereka Haji Laila suka mengambil tahu tentang saya. Bukan Haji Laila sahaja, isterinya Mak Wa juga serupa. Setiap kali ternampak kelibat saya sekalipun dari jauh dia akan bertanya, nak pergi mana, bila balik, mak engkau mana, bapak engkau mana dan bermacam-macam lagi soalan maut. Kadang-kadang saya rimas kerana terpaksa memberi segala macam laporan. Tetapi saya tidak dapat mengelak kerana kalau pada waktu malam jalan berhampiran rumahnya itu merupakan jalan paling selamat. Pernah sekali Mak Wa muncul dari dalam gelap menyergah saya yang balik agak lewat pada satu malam.

Sejak masuk sekolah asrama penuh bila balik bercuti saya agak kurang ke surau. Pada satu hari ketika lalu di hadapan surau untuk ke bandar, Haji Laila yang sedang duduk di tangga surau menegur saya. Marah sekali bunyinya. "Ha! Bila dah sekolah jauh dah tak ingat surau lagi, ya?" Saya tak berani menjawab. Cepat-cepat saya berjalan seolah-olah teksi sapu sedang menunggu berhampiran pondok telefon di simpang jalan masuk ke Gunung Soga itu.

Selesai urusan di bandar saya terus balik ke rumah. Sebelum maghrib saya sudah berada di surau. Sengaja saya mengambil tempat di sebelahnya waktu bersolat. Selesai solat saya mencium tangan Haji Laila. Dia tidak memberikan sebarang reaksi. Orang tua, kata hati saya. Tetapi saya harap dia puas hati bila melihat saya akur dengan "perintahnya."

Haji Laila ke Mekah bersama-sama ayah dan ibu saya. Mereka semaktab menurut istilah orang yang pergi mengerjakan haji. Mungkin kerana tahun dia bersara sama dengan ayah saya dan mereka pergi atas biaya kerajaan negeri untuk kakitangan yang bersara. Bagi saya persahabatan mereka amat bererti sekali kerana Haji Laila merupakan orang yang memangku ayah saya pada saat-saat ayah saya menghembuskan nafas terakhir. Peristiwa itu berlaku pada waktu malam ketika mereka singgah di Mina dalam perjalanan kembali dari Arafah. Menurut Haji Laila perkara itu berlaku sangat pantas. Ayah saya mengadu tidak berapa sihat pada waktu siang dan apabila sampai di Mina dia nampak keletihan. Melihat keadaan ayah saya itu Haji Laila memanggil ibu saya dan dalam beberapa jam sahaja ayah saya sudah tiada. Kata Haji Laila dia sempat mengingatkan ayah saya mengucap dua kalimah syahadah dan perginya pun dalam keadaan yang cukup tenang. Menurut Haji Laila lagi, ketika ayah saya demam beberapa minggu sebelum itu doktor di Mekah berjaya mengesan bahawa ayah saya menghidap bengkak hati yang dipercayai sudah dihidapi lama sebelum berangkat ke Tanah Suci. Memang rezekinya untuk ke Mekah kerana kalau berjaya dikesan di Malaysia sudah tentu dia tidak dapat menunaikan haji.

Cerita ini disampaikan kepada saya di pangkin luar rumahnya. Di situ juga Haji Laila bercerita bagaimana dia melihat keadaan ibu saya. Katanya, dia belum pernah berjumpa dengan seorang isteri yang cukup sabar dan tabah menghadapi saat-saat kematian suaminya. Tidak ada setitik pun air matanya gugur pada malam itu. Selepas jenazah dibawa pergi, ibu saya masih juga tenang dan sabar. Begitu juga pada hari-hari berikutnya. Memang benar, ketika keluarga kami menyambutnya pulang di Lapangan Terbang Subang, bila saja kakak sulung saya memeluknya dan hampir pengsan, berkali-kali dia mengingatkan kami semua supaya jangan menangis. Katanya, "Tuhan lebih sayangkan ayah engkau semua, biarlah dia pergi. Dia dah selamat di sana. Memang itu hajat dia."

Saya amat memahami semangat kental ibu saya. Dia sudah melalui bermacam jenis pengalaman yang menyedihkan. Dia kehilangan ibu pada waktu kecil, kemudian kehilangan ayahnya, abang sulungnya, adik-adiknya serta saudara-mara rapatnya. Kalau bercakap tentang kematian, dia pernah memberitahu bahawa dia telah menyaksikan sekian banyak kematian sepanjang hayatnya. Dia melihat sendiri ketika mereka semua menghembuskan nafas terakhir. Dia selalu bercerita tentang pengalaman-pengalaman itu. Tetapi apa yang sebenarnya ada dalam benaknya berhubung soal kematian tidak sempat saya selongkar sehinggalah dia sendiri dipanggil pergi oleh malaikatul maut. Dan saya juga tidak faham mengapa dia mahu menyembunyikan kesedihan atas pemergian orang yang paling dicintainya daripada anak-anak.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham ayah dan ibu saya serta ahli-ahli jemaah surau Gunung Soga yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Al Fatihah.

Friday, 24 September 2010

Ikhlas, saya bukan orang filem

Sudah tentu saya terkejut menerima ucapan selamat hari lahir yang paling banyak sepanjang 54 tahun. Semuanya kerana Facebook. Siapa kata Facebook tak bagus. Memang banyak faedahnya kalau medium itu digunakan untuk kebaikan. Tetapi kalau Facebook disalahguna dan dibiarkan menguasai kehidupan seharian hinggakan kita tidak menghormati siang sebagai siang dan kita menzalimi malam yang dianugerah tuhan padahnya sudah pasti banyak sekali. Baik apa pun bagi saya manusia tidak harus menyalahkan teknologi. Teknologi berkembang mengikut arus zaman untuk memenuhi tuntutan hidup manusia dan membawa kepada banyak penyelesaian masalah kehidupan. Kalau berlaku penyalahgunaan itu tidak dapat dielakkan kerana sebagai manusia bukan semua mampu mengawal nafsu.

Kalau difikirkan, apa sangat setakat 50-60 mesej jika dibandingkan dengan orang yang biasa menerima beratus-ratus ucapan. Tetapi kalau dilihat pada peratusannya iaitu sepuluh peratus daripada hampir enam ratus rakan Facebook saya jumlah itu sudah cukup membanggakan diri saya sebagai seorang manusia biasa. Ingatan kawan-kawan itu cukup bererti sekali.

Isteri saya "tak main" Facebook. Seperti biasa ucapannya ditulis istimewa pada kad ucapan yang tidak pernah lupa diberikan setiap tahun sejak awal perkahwinan. Kak Yong, tak cukup dengan kata-kata manis dalam kad turut menulis dalam Facebook dengan mengingatkan saya bahawa "If i'm a little unusual myself, remember I got it from you."

Itu ayat dalam kad yang diberikan kepada saya pada tahun 1999. Ketika itu dia berusia 15 tahun dan berada dalam tingkatan 3. Memang benar kalau dia nampak agak lain sedikit kemungkinan besar itu diwarisi daripada saya (mengikut katanya). Tetapi dia harus ingat bahawa kalau lain sangat perangainya, saya harap itu bukan turun daripada saya. Baik apa pun, saya amat terharu dengan ucapan kasih sayangnya dan ucapan maaf atas apa yang dilakukan. Saya harap anak-anak sedar bahawa saya sentiasa memaafkan baik sebesar mana kesalahan mereka. Saya dan isteri juga bukan sekadar sentiasa mendoakan tetapi juga mengusahakan yang terbaik untuk mereka.

Baby yang berada di Kuantan ada menelefon pada waktu tengahari selain turut menulis ucapan menerusi Facebook. Tulisannya mencuit perasaan saya dan saya memberitahu bahawa sudah tentu saya terharu. Lain-lain ucapan saya terima daripada anak-anak saudara saya, anak-anak angkat saya yang kesemuanya perempuan, kawan-kawan serta dua tiga orang bekas pelajar di institut tempat saya mengajar di Pekan yang masih memanggil saya cikgu.

Yang menarik, seumur hidup saya artis Melayu pertama yang menghantar ucapan ialah Hasnul Rahmat. Hasnul seorang pelakon yang amat saya senangi kerana senyumannya dan saya dapati dia seorang anak muda yang bersopan-santun serta pandai menghormati "orang tua" seperti saya yang dipanggilnya abang. Itu memang sudah menjadi budaya orang filem yang turut menjangkiti guru-guru sekolah. Contoh paling jelas apa yang berlaku di sekolah isteri saya. Seorang guru muda yang baru sahaja mula mengajar akan memanggil seorang guru veteran seperti isteri saya dengan panggilan "kak." Bayangkan betapa besar jurang perbezaan umur mereka. Isteri saya akan bersara pada penghujung tahun depan. Oleh kerana isteri saya dipanggil "kak" maka sudah tentu guru muda yang jauh lebih muda daripada anak-anak saya itu akan memanggil saya abang.

Selepas Hasnul, Sofea Jane melakar sejarah sebagai satu-satunya pelakon wanita Melayu pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Ini seorang lagi artis yang saya kagumi yang tidak pernah memberi masalah sepanjang penggambaran filem Hanyut. Artis yang saya panggil Piah sembilan belas tahun lalu ini juga pandai menghormati orang.

Selain itu ada dua mesej istimewa yang saya terima. Satu daripada sasterawan muda Rahimidin Zahari yang memanggil saya Kekanda manakala satu lagi daripada Julia Fraser produser filem Hanyut yang tidak pernah lupa bertanyakan tentang kesihatan isteri saya setiap kali berhubung atau bertemu muka. Saya bergurau memberi respons kepada Julia dengan memberitahunya bahawa dialah satu-satunya produser filem dalam dunia yang mengirim ucapan.

Antara ucapan daripada sahabat, rakan dan kenalan, ada satu yang agak istimewa. Ucapan itu datangnya daripada pengarah filem U-Wei bin Haji Saari yang berbunyi, "Selamat Hari Lahir paduka sahabatku. Semoga yang baik-baik menemui kamu. Perhubungan kita amat besar erti dan amat aku hargai. Allah lindungi dari kecelakaan."

Bunyinya lain daripada yang lain tak ubah seperti dailog dalam Wangi Jadi Saksi. Paduka merupakan satu panggilan atau gelaran mulia. Mengenali U-Wei, dia jarang sekali mahu mensia-siakan tutur katanya. Saya tersenyum membaca ucapan itu tetapi di hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Tulisan ini sekadar mencatat rasa bangga saya. Walaupun tidak seramai mana tetapi apa yang berlaku hari ini memberitahu saya bahawa masih ada juga kawan-kawan yang mengingati saya yang bunyi setiap ucapan itu dapat saya rasakan amat jujur dan ikhlas sekali. Saya amat menghargai ingatan serta doa mereka. Cuma yang saya kesalkan, mungkin antara mereka itu yang sudah menyambut ulang tahun kelahiran tetapi kerana saya tidak rajin bermain Facebook sudah pasti banyak yang saya terlepas pandang dan tidak pernah menghantar ucapan selamat hari lahir.

Peristiwa yang berlaku sepanjang hari ulang tahun kelahiran saya hari ini turut memberitahu dengan jelas bahawa sahabat filem saya sebenarnya memang tidak ramai. Lagipun sejak dulu lagi saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai orang filem. Saya menyertai Hanyut kerana kebetulan U-Wei bin Haji Saari sahabat yang saya kenali sejak dua puluh dua tahun dulu dan mungkin juga kerana dia melihat ada sesuatu pada diri saya yang serba-sedikit boleh membantu pengurusan filem itu. Kerana dia jugalah produser Julia Fraser serta pelakon seperti Hasnul dan Sofea mengenali saya. Kalau boleh saya mahu tambah seorang lagi iaitu Khalid Salleh yang memang sudah mengenali saya sejak zaman Teater Elit lagi. Begitu kecil sekali bilangannya. Memang saya ikhlas.

Monday, 6 September 2010

Kisah Set Pinggan Pyrex

Sewaktu zaman bujang saya mengajar sementara di sebuah sekolah menengah di Johol, saya tinggal di Kuala Pilah di kawasan berek JKR Jalan Melang yang terletak di belakang Women Hospital. Saya tidak pasti apakah sekarang ini Women Hospital sudah diberi nama baru atau masih kekal dengan nama lama.

Kedua-dua teman serumah saya lebih berusia daripada saya. Ketika itu umur saya belum pun mencapai sembilan belas. Abang Zul berusia dua puluh lapan tahun yang merupakan abang paling tua yang kata-katanya tidak pernah kami bangkang. Dia tidak banyak cakap tetapi sesekali mengeluarkan kata-kata sudah pasti bisa. Abang Sham pula berusia kira-kira dua puluh lima tahun, periang orangnya dan sama seperti saya memang banyak cakap.

Kedua-dua mereka bekerja dengan jabatan kerajaan dengan pendapatan yang tidak begitu besar. Pada usia begitu sudah tentu kedua-duanya selalu bercakap tentang hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi bila saya tanya kenapa mereka masih belum berkahwin jawab mereka mudah. "Dengan gaji banyak ni apa kita orang nak bagi makan anak orang?"

Agaknya kerana itulah saya ditinggalkan kekasih. Bila sahaja dia mendapat tahu saya cuma mengajar sementara tanpa perancangan masa depan serta-merta dia memberitahu bahawa teman lelaki lamanya yang pada waktu itu sedang menuntut di luar negara tiba-tiba sahaja kerap mengirim surat. Bagi saya mudah, kalau hatinya sudah berbelah-bagi buat apa saya tunggu. Elok ditamatkan sahaja perhubungan kami. Dalam keadaan begitu sudah tentu saya juga tidak mampu memberi makan anak orang. Saya pasti bekas kekasih saya itu akan mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana dia berjaya meneruskan pengajian di tingkatan enam dan bekas teman lelakinya pula sudah mahu berbaik semula. Saya cuma mampu mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Ah! Perempuan..

Sungguhpun masih tidak pasti mampu menyara anak orang pada satu hari saya terkejut melihat Abang Zul dan Abang Sham membawa balik beberapa set pinggan-mangkuk. Saya bertanya untuk apa. Kata mereka, "Kita kumpullah sikit-sikit. Nanti kalau nak menikah senang dah ada barang rumah." Betul juga. Tiba-tiba Abang Sham mencadangkan kepada saya. "Kau belilah Shah, nanti nak menikah senang," memang bagus idea itu tetapi saya jawab, "Mana saya mampu nak beli, nak hantar duit kat mak pun tak cukup."
Tetapi Abang Sham memberitahu, "Alah! Kau bayarlah sikit-sikit. Nanti abang aturkan. Kami pun bukan bayar cash. Bayar sikit-sikit.."

Keesokan harinya dia membawa balik katalog dan menyuruh saya memilih. Kata Abang Sham set pinggan berjenama Pyrex dijamin tahan lama dan memang paling bagus di dunia. Saya tidak pernah tahu jenis pinggan-mangkuk tetapi kerana terpengaruh dengan mereka lalu saya bersetuju untuk membeli satu set pinggan Pyrex yang rekabentuknya diberi nama Chelsea. Ada enam pinggan, enam set cawan dan piring dan sebuah mangkuk panjang bersegi. Saya tidak pasti apa jenis mangkuknya.

Selama enam bulan berikutnya saya berjaya menyelesaikan hutang set pinggan Pyrex itu dan bayaran terakhir saya langsaikan pada bulan terakhir saya mengajar. Selepas berhenti mengajar set pinggan Pyrex itu saya bawa balik ke kampung di Batu Pahat dan saya berikan kepada ibu saya. Saya tidak pernah lihat arwah ibu saya menggunakan set pinggan tersebut. Tetapi saya amat berbangga kerana set pinggan Pyrex itu sentiasa tersimpan baik di dalam kabinet yang sesiapa juga akan melihatnya kalau duduk di ruang tamu. Itulah hadiah pertama saya untuk ibu dan sekurang-kurangnya dia dapat juga merasa wang gaji saya walaupun saya tidak dapat mengirimkan setiap bulan.

Selepas saya berkahwin pinggan itu masih menjadi milik ibu saya sehinggalah dia meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu. Hanya selepas itu saya mengambil semula set pinggan Pyrex itu. Isteri saya kerap juga menggunakan set pinggan itu untuk hidangan tetamu. Memang benar kata Abang Sham, Pyrex jenama yang tahan lama kerana usia set itu sudah tiga puluh lima tahun jika dikira daripada tarikh set itu saya beli. Saya tidak tahu bila set pinggan itu dibuat. Sudah tentu beberapa tahun sebelum sampai ke Malaysia yang menjadikan usianya lebih daripada tiga puluh lima tahun.

Ramadhan tahun ini mangkuk panjang Pyrex itu isteri saya gunakan untuk mengisi puding yang dibuatnya beberapa hari lalu. Baru tadi saya menjamah lagi puding yang masih ada separuh lagi tersimpan di dalam peti sejuk. Tidak ada orang yang mampu membuat puding sesedap puding buatan isteri saya. Melihat itu hati saya amat tersentuh. Abang Zul sudah lebih sepuluh tahun meninggal dunia manakala Abang Sham sudah lama tidak saya temui. Kali terakhir kami bertemu di Rembau kira-kira sepuluh tahun lalu. Pasti dia sudah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan.

Ibu saya juga sudah lama meninggalkan kami tetapi set pinggan Pyrex itu masih boleh digunakan dan saya pasti akan tahan untuk beberapa tahun akan datang. Saya tidak tahu entah berapa lama lagi kami diizinkan Allah untuk menggunakan set pinggan itu. Saya harap anak-anak saya akan menyimpan set pinggan itu dengan baik bila kami sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu-satunya barangan yang paling saya sayang yang bakal menjadi pusaka tinggalan kami, bukan kerana nilai ringgitnya tetapi kenangan yang amat tinggi nilainya.

Salam Ramadhan dan Selamat Menyambut Aidilfitri.

Sunday, 29 August 2010

Tak ada siapapun terkorban..

Di persimpangan masuk ke Hotel Inderapura tempat saya selalu menginap bila ada urusan di Pekan ada satu deretan gerai makan. Setiap kali saya ke sana saya dapati hanya beberapa gerai sahaja yang dibuka. Ada juga yang sekejap buka sekejap tutup. Pernah sekali saya bersarapan di salah sebuah gerai kerana saya lihat ada seorang perempuan tua menebar roti canai. Saya teringatkan roti canai arwah ibu saya yang rasanya memang berbeza daripada roti canai mamak. Ternyata benar. Roti canai buatan perempuan itu rasanya menyamai roti canai buatan rumah arwah ibu saya. Saya tak tahu apa rahsia di sebalik rasa itu. Hanya beberapa kali sahaja saya berpeluang menikmati roti canai perempuan tua itu kerana selepas itu kedainya tidak lagi beroperasi.

Lot kedai di sebelah hujung berhampiran jalan masuk ke hotel itu memang tidak pernah saya kunjungi. Tetapi baru-baru ini bila ke sana saya dan sahabat saya makan di gerai itu kerana kebetulan tidak ada gerai lain dibuka. Pemiliknya sepasang suami-isteri dan anak perempuannya bertindak sebagai pembantu. Semasa anak perempuan itu menghantar makanan saya sempat bertanya. "Awak ni tak sekolah ke esok?"

Dia tersenyum mendengar soalan saya,
"Saya cuti Pak cik."
"Awak belajar kat mana?"
"Saya buat Fine Art kat UiTM."
Sudah tentu saya terperanjat kerana anak itu nampak seperti masih bersekolah.
"Tahun berapa?"
"Tahun dua, Pak Cik."
"Awak cuti ke?"

Kemudian dia menjawab, "Saya sambung cuti. Tengah mohon buat PJJ,"
"Oo gitu..Kenapa tak nak buat full time?" tanya saya lagi.
"Sebenarnya adik saya seorang dah masuk kolej, seorang lagi pun baru nak masuk. Jadi saya kena tinggal sini tolong mak."
"Boleh dapat ke?"
"Boleh. Cuma tunggu surat aje."

Budak itu kemudian kembali ke kaunter untuk mengambil air. Bila dia datang semula saya bertanya lagi,
"Bila buat PJJ awak nak cari kerja ke?"
"Taklah. Kerja sinilah tolong mak dgn ayah."
"Oh gitu.. maknanya awak ni berkorbanlah ya?"

Sambil berjalan kembali membawa dulang air itu dia menjawab sambil tersenyum,
"Tak adalah Pak Cik. Memang saya dah rancang macam tu. Tak ada siapapun terkorban.."

Saya dan sahabat saya Fadzil hanya mampu memandang satu sama lain mendengar jawapan anak itu.

Sunday, 25 July 2010

Perlu bermula dari atas

Saya tak pandai bercakap atau mengulas tentang politik. Mahu bercakap tentang perpaduan Melayu juga saya tak pandai kerana bimbang ia akan menjurus kepada soal politik yang memang selalu saya cuba elak.

Namun hari ini saya mahu mencatat juga sesuatu mengenai isu itu semata-mata kerana tertarik dengan kenyataan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said atau lebih mesra dipanggil Pak Samad. Pak Samad diwawancara Mingguan Malaysia mengenai isu perpaduan Melayu. Secara ringkas dia mahukan usaha perpaduan Melayu itu perlu bermula dari atas dan itulah yang dipilih menjadi tajuk wawancara tersebut.

Kata Pak Samad, "Cuma persoalan saya akan bersetujukah Najib untuk melupakan kebangsawanannya dan berfikir sebagai pemimpin marhaen yang baru; bersediakah Hadi untuk melupakan keulamakannya berfikir bagaimana untuk membibitkan satu bangsa yang baru dan jujur. Ini khayalan yang mungkin mudah ditertawakan.

Pemimpin mesti kembali kepada landasan. Landasan itu telah ada, maka periksa semula apakah kita ikut landasan itu atau tidak. Kalau tidak bagaimana kita harus kembali ikut landasan itu."

Pak Samad merupakan Sasterawan Negara pertama dijemput merasmikan pelancaran filem dan filem tersebut ialah Perempuan, Isteri dan Jalang yang berlangsung pada 1993 di Kelab Diraja Selangor. Ini juga bermakna U-Wei mencatat sejarah mengundang seorang Sasterawan Negara merasmikan filemnya. Saya amat berbangga kerana walaupun saya tak ikut U-Wei dalam filem pertamanya tetapi saya diberi penghormatan menjadi pengacara majlis tersebut. Sayangnya, majlis itu dicemari satu peristiwa yang juga menjadi sejarah. Seorang sasterawan agung yang mendapat penghormatan tertinggi Kerajaan tidak dibenarkan masuk oleh pengurusan kelab semata-mata kerana beliau memakai capal. Aneh sungguh.

Wednesday, 9 June 2010

Salam untuk Cikgu Rahman Yeop

Pada malam Rabu lepas saya mempunyai temu janji dengan seseorang tetapi pada saat-saat akhir temu janji terpaksa dibatalkan kerana datuk kepada kawan saya itu meninggal dunia. Memang sejak-sejak akhir ini saya lebih suka duduk di rumah pada waktu malam dan cuba sebaik mengkin mengurangkan urusan di luar rumah. Mungkin kerana waktu siang sudah cukup meletihkan.

Selepas makan malam saya membantu isteri menyiapkan borang-borang cukai pendapatan. Sudah banyak hari dia sibuk dengan urusan tersebut sebagai memenuhi syarat untuk kakitangan yang bakal bersara. Dia akan bersara pada tahun hadapan. Pagi itu selepas selesai dia menduduki peperiksaan PTK saya membawanya ke pejabat Kumpulan Wang Amanah Pencen. Berlaku sedikit kekeliruan di situ kerana pihak KWSP yang mengarahkan dia ke KWAP sedangkan urusan tersebut seharusnya dibuat oleh pihak JPA. Anehnya, pegawai Jabatan Pelajaran yang memberikan taklimat juga tidak memberitahu secara jelas tentang prosedur tersebut.

Sedang saya sibuk itu tiba-tiba saya menerima panggilan daripada Cikgu Rahman Yeop. Itu panggilan kedua pada hari yang sama. Sebelum itu dia menelefon bertanyakan alamat blog saya dan sudah saya hantarkan menerusi sms. Saya tidak menyangka dia akan menelefon. Cukup terharu saya mendengar kata-katanya, "Terima kasihlah Mat Shah, ingatkan cikgu dan tulis pasal cikgu," begitu lebih kurang bunyi ayat pertamanya. Dia merujuk kepada tulisan saya "Tribute To Cikgu Abdul Rahman Yeop" bertarikh 25 Oktober 2008.

Lalu saya jawab, "Saya tak ada apa nak balas jasa cikgu, saya cuma boleh menulis aje, saya tulis apa yang saya rasa. Jasa cikgu cukup besar dalam hidup saya."

Kemudian dia berkata,"Tak adalah. Apa sangat yang cikgu buat untuk kamu Mat Shah."

"Tak cikgu, jasa cikgu terlalu besar. Saya tak jadi macam ni hari ni kalau tak kerana cikgu," tak dapat saya bayangkan perasaan saya ketika itu.

Selepas itu kami bersembang seketika. dia bertanyakan tentang isteri dan anak-anak dan sebelum mengakhiri perbualan dia sempat bertanya kenapa tak banyak komen dalam blog saya dan dia juga bertanya, "Dia orang tak suka dengar cerita tu ke atau dia orang tak suka kat saya ke?" tanyanya.

Saya memberitahu Cikgu Rahman memang tak banyak komen tetapi saya menerima banyak panggilan telefon, e-mel dan juga sms sebaik tulisan saya itu dipetik moderator untuk dimuatkan dalam laman web SDARA. Ketika itu baru ramai kawan tahu saya menulis dalam laman blog dan alamat blog saya juga turut dipaut laman web tersebut. Hangat juga seketika cerita tentang tulisan saya itu dan turut dibualkan beberapa hari dalam e-group kami.

Saya hanya bercerita tentang kisah sebenar yang pernah berlaku antara saya dan Cikgu Rahman yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa sebelum ini. Kawan-kawan di SDAR juga tidak ada yang tahu. Itu cara saya menghargai jasa-jasa Cikgu Rahman Yeop. Bagaimana boleh saya menafikan jasanya yang menjadi pemula kepada kehidupan saya. Dia membuka jalan untuk saya meniti kehidupan. Saya tahu dan saya tetap ingat, sebaik saya melangkah dulu langkah pertama saya itu sudah diaturkan oleh manusia bernama Rahman Yeop dengan izin Allah. Tanpa langkah pertama tidak mungkin ada langkah seterusnya. Cuma selepas daripada itu, apabila tiba di persimpangan saya terpaksa membuat keputusan sendiri. Sekalipun pada waktu itu saya telah membuat keputusan-keputusan yang salah, tetapi pada hari ini saya sedar bahawa keputusan-keputusan yang salah itu sebenarnya betul. "I have made the right wrong decisions." Blog ini berteraskan pada kata-kata itu.

Salam untuk yang amat dikasihi Cikgu (Datuk) Abdul Rahman Yeop, isterinya dan juga seisi keluarga. Walaupun kami jarang sekali berjumpa tetapi dia tetap bertakhta di hati saya. Saya rasa tidak ada salahnya tulisan pada hari ini saya akhiri dengan rasa sebak dan dengan titis air mata.

Monday, 10 May 2010

Hanyut 1

Saya sedang duduk di sebelah U-Wei melihat rakaman penggambaran adegan Sofia Jane terjun ke dalam sungai dan cuba berenang ke tengah. Dalam pada itu saya mendengar suara kru kegembiraan kerana adegan itu cuma mengambil masa beberapa saat sahaja. Dengan hanya satu take U-Wei memberitahu semua bahawa shot itu bagus sekali dan dia berpuas hati.

Sedang kami asyik melihat ulang tayang tiba-tiba kedengaran suara Sofia Jane yang muncul dengan kostumnya yang basah kuyup. Agaknya dia mahu mendengar dari mulut U-Wei sendiri apakah betul apa yang dilakukannya tadi benar-benar bagus,

"Macam mana? Okey ke?"

"Okey, bagus sekali," jawab U-Wei.

"Ikhlas?" tanya Sofia lagi.

"Ikhlas, betul," U-Wei menganggukkan kepala.

Sofia seperti tidak percaya bahawa dia sudah melakukan adegan tersebut dengan begitu baik sekali dan hanya dengan satu take. Tiba-tiba saya lihat matanya merah dan hampir menitiskan air mata. Dia memang cukup terharu. Kemudian dia dibawa pergi dari situ oleh pembantunya.

Semasa kami makan tengahari bersama sambil mendengar bermacam-macam cerita daripada U-Wei dan Patrick Teoh, saya lihat mata Sofia masih lagi merah. Mungkin juga merah itu disebabkan matanya pedih terkena air Sungai Jelai ketika berenang tadi. Tetapi kalau merah matanya itu kerana menangis, saya tidak tahu berapa lama dia menangis kegembiraan.

-petikan drp;
Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei
- Mohd Shah Ibrahim

HANYUT

Filem Hanyut memulakan penggambaran pada pagi 10 Mei 2010.

Salam untuk semua.

Friday, 26 March 2010

Tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas..

Bila blog ini mula diwujudkan pada awal 2008 dulu saya tidak pernah terfikir tentang "hits." Kalau ada orang sudi melawat, persilakan. Kalau ada yang tak mahu baca pun tak mengapa. Saya ada sebab-sebab tersendiri mengapa menulis dalam blog.

Saya tahu ramai juga kawan yang mengikuti blog ini. Walaupun jarang sekali saya mendapat maklum balas menerusi komen tetapi ada beberapa orang yang suka menghantar sms selepas membaca artikel saya. Atau bila berjumpa mereka menyebut tentang tulisan saya dan meminta saya memberi penjelasan. Ada juga yang memberitahu tentang tulisan yang paling mereka suka dan kemudian memberi komen.

Mungkin kerana sudah agak lama tidak menulis tiba-tiba malam tadi ada kawan menghantar sms berbunyi, "Shah, tulis sesuatu dalam blog kau. Apa-apalah buat penghibur sepi. Aku sepi sangat." Aduhai! Begitu sekali. Agaknya saya ini boleh jadi penghibur sepi.

Mesej itu membuat saya terharu kerana rupa-rupanya ada juga orang yang menghargai tulisan saya. Ia juga mengingatkan saya betapa sudah lama saya tidak berhubung dengan kawan-kawan. Kadang-kadang timbul rasa bersalah. Kalau ditanya memang tidak dapat dielak kerana sejak akhir-akhir ini semakin bertambah urusan dunia dan kerana terlalu banyak yang perlu difikir, semakin jarang saya menghubungi kawan-kawan.

Satu waktu dulu pondok wakaf di laman Balai Seni jadi tempat singgah wajib setiap kali kalau saya ada urusan sekitar kawasan itu. Di situlah saya dapat bertemu ramai kawan. Yang sudah lama tak ketemu tiba-tiba muncul di situ. Di situ juga dapat menjamah "kopi dan roti" Sani Sudin atau teh buatan Aris Aziz. Selepas kawan-kawan di situ merajuk dan tidak mahu lagi memijak laman balai tidak ada lagi tempat yang lebih selesa untuk berkumpul walaupun Istana Budaya yang bersebelahan tidak pernah menutup pintu untuk saya.

Dulu kerap juga saya berhubung dengan seorang kawan bernama Haji Shapiai Mohd Ramly seorang penulis dan penyair terkenal dari Johor. Kami pernah sama-sama mengajar di Kulai pada satu waktu dulu tetapi berlainan sekolah. Sejak beberapa bulan kebelakangan saya tidak lagi menghubungi beliau. Projek di Johor Bahru pun tidak menjadi kenyataan dan saya tidak lagi turun ke Johor Bahru. Setelah sekian lama, dua hari lepas saya terbaca berita dalam akhbar tentang Haji Shapiai yang akan turut menyertai Malam Puisi Riong di UTM yang akan berlangsung pada Sabtu ini. Beliau disebut sebagai penyair mapan Johor yang akan menyertai tiga nama besar iaitu Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Datuk Lat serta Ramli Sarip. Semoga beliau akan diberikan kesihatan dan kesejahteraan untuk terus berkarya. Saya sebenarnya terharu, orang seperti Haji Shapiai pun sudi mengikuti blog saya.

Pagi ini sekali lagi saya rasa terharu kerana seorang lagi orang ternama dalam dunia sastera tanahair menghubungi saya. Dia amat dikenali terutama di kalangan orang seni dan budaya. Sebaik saya membuka Facebook tiba-tiba terpacul namanya dalam ruang chat dan terus memberi salam.

Tulisnya, "Salam Kekanda, sibuk?"
Terus saya jawab, "Salam, tak sibuk sangat, masih sempat lagi bernafas.."
Dia membalas, "Ha ha ha."

Dia menghubungi saya untuk menjemput hadir ke pementasan Menunggu Kata Dari Tuhan satu lagi buah tangan bekas bos saya Dinsman. Malangnya, saya tidak dapat memenuhi undangannya kerana pada malam Sabtu akan datang saya ada satu urusan penting di luar Kuala Lumpur. Sudah dua atau tiga kali dia menjemput saya untuk ke beberapa majlis tetapi belum lagi berkesempatan kerana setiap kali dia menyampaikan undangan saya ada urusan lain dan kebetulan semuanya di luar Kuala Lumpur.

Tiba-tiba saya terfikir. Saya kata saya tak sibuk, masih sempat lagi bernafas, kenapa harus saya lupa pada kawan-kawan? Kawan-kawan masih ramai ingat pada saya.

Orang yang saya maksudkan ialah Rahimidin Zahari, sahabat yang saya gelar orang Istana kerana dia pegawai di Istana Budaya. Kadang-kadang segan juga kerana Rahimidin juga kerap mengikuti blog saya. Dan bertambah segan lagi kerana buku saya yang ditunggu-tunggunya selama ini masih belum terbit. Bagaimanapun, insyaAllah Sdr Rahimidin, kalau tidak ada aral melintang buku itu akan terbit juga sempena pelancaran filem Hanyut. Kita hanya merancang..

Friday, 5 March 2010

Bila saya pakejkan maruah..

Joe Hamid salah seorang anggota asal Kru Tanah Licin. Dia menyertai kami selepas U-Wei menyiapkan drama kedua atau ketiganya. Sekarang Joe seorang pengarah yang nampaknya lebih selesa dengan video dokumentari dan berkhidmat di FM Productions milik Astro. Menurut Joe, bila sahaja ada masa terluang dia akan membaca blog saya. Dia salah seorang peminat setia yang akan menghubungi saya setiap kali tulisan saya keluar. Komennya tidak ditulis pada laman blog tetapi dia lebih suka menghantar sms.

Malam tadi entah kenapa tiba-tiba dia menghantar sms mengenai sesuatu yang menarik tentang U-Wei. Itu cerita lama mengenai kata-kata hikmat U-Wei yang disebut Joe sebagai "magic words" yang selalu keluar dari mulut U-Wei. Saya tidak berhasrat menulis tentang perkara itu kerana rasanya lebih elok saya simpan untuk buku saya. Apa yang ingin saya bicarakan hanya mengenai satu komen Joe mengapa blog saya sepi.

Mungkin saya pernah sebut sebelum ini, kalau ada cerita, adalah. Kalau tak ada saya tidak akan mengemaskini blog ini. Tapi kata Joe, seorang penulis yang bagus ialah penulis yang selalu menulis. Lalu saya jawab, "Kalau selalu menulis tapi isi entah apa-apa pun tak guna. Biar jarang tulis, sekali keluar menusuk kalbu."

Kalau jumlah sesuatu itu boleh dijadikan kayu ukur maka itu bererti kalau banyak buku maka baguslah seseorang penulis itu. Atau kalau banyak filem maka bagus jugalah pengarah itu.

Saya tidak pernah percaya pada kuantiti. Kalau mahu mengurus, banyak kerja sudah saya lakukan kerana ada macam-macam kerja yang boleh diurus. Kalau mahu kerja filem, banyak pengarah yang mungkin sudah saya ikut. Begitu juga kalau semata-mata mahu menyanyi, banyak tempat boleh menyanyi. Hari-hari mengendeng duduk dengan Usop dan Sani, boleh saja saya ikut mereka kerana jumlah show mereka pun boleh tahan juga.

Saya percaya Joe mungkin tersasul malam tadi atau mungkin juga dia cuba menjolok saya. Dia bukan tak tahu seperti yang pernah saya sebut dalam facebook, "I'm not cheap. Saya bukan murah kerana dalam setiap yang saya lakukan saya pakejkan sekali maruah diri. Sebab itu sukar sekali saya mahu bekerja dengan orang."

Laman blog ini ialah maruah saya. Buku Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei juga maruah saya dan sudah tentu filem Hanyut juga maruah saya. Bila saya pakejkan maruah maka harga diri saya jadi mahal dan bunyinya macam sombong sekali. Tetapi kata U-Wei, sombong tak jadi hal. Lagipun saya bukan bercakap tentang ringgit.

Pernah seorang kawan bertanya berapa saya dapat sebagai penerbit bersekutu filem Hanyut. Lalu saya jawab, "Satu juta." Spontan kawan itu memberikan reaksi, "Oooi, banyaknya engkau dapat..boleh pencen lepas ni."

Ya, memang betul satu juta tetapi yang tahu nilai satu juta itu hanya saya dan U-Wei. Julia Fraser juga sudah mula memahami saya agaknya. Saya tahu mereka mampu berikan "nilai maruah" itu kepada saya. Sebab itu saya ada dalam Hanyut walaupun saya sedang menulis Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei. Memang saya sombong..

Terima kasih kepada Joe Hamid @ Joe Ham. Dia menjolok saya malam tadi maka pagi ini saya menulis untuk menghiburkan hatinya yang tidak pernah serik menjengah laman yang sudah lama sepi ini.

Sunday, 24 January 2010

Juwitaku Sayang

Saya tidak pernah tahu arwah ayah saya dulu minat dengan seni. Saya hanya tahu tentang kegiatan seninya semasa saya baru belajar main gitar ketika berusia tiga belas tahun dan belum tahu bagaimana nak "tune" tali gitar. Selepas seharian membelasah gitar lama yang dihadiahkan arwah abang ipar saya, tiba-tiba gitar saya itu sumbang sekali bunyinya. Sudah tentu saya jadi resah kerana saya sedang giat berlatih. Saya seperti hilang sabar sementara menunggu abang saya balik dari pejabat. Abang saya itu memang suka main muzik semasa di sekolah dan hanya dialah harapan saya untuk membetulkan bunyi gitar yang sumbang itu. Dia peminat Cliff Richard dan kumpulan the Shadows.

Mungkin telinganya sendiri kurang senang dengan bunyi gitar itu, tiba-tiba saya lihat ayah saya datang kepada saya lalu "merampas" gitar tersebut. Saya terkejut. Saya ingatkan dia marah dan mahu berbuat sesuatu kepada gitar itu. Tetapi jangkaan saya salah. Dia "merampas" gitar itu dengan baik dan terus duduk di tangga membetulkan bunyinya. Bila siap dia memainkan sedikit melodi sebuah lagu ghazal yang masih saya ingat sampai sekarang. Sekali lagi saya terkejut kerana rupa-rupanya ayah saya itu memang pandai main gitar. Setelah selesai dia tidak berkata sepatah pun. Antara senyum dan tidak, dia menyerahkan kembali gitar yang sudah dibetulkan bunyinya itu dan sepatah kata orang Johor, dia terus "menonong" keluar. Memang begitulah ayah saya dengan saya, tidak bercakap banyak dan kami memang jarang berkomunikasi.

Bila melihat dia sudah agak jauh meninggalkan rumah dengan basikalnya, saya yang masih dalam keadaan "trauma" terus mendapatkan ibu saya bertanyakan tentang peristiwa mengejutkan yang baru saya alami itu. Saya juga cuba bertanyakan tentang kegiatan seni ayah saya. Walaupun agak keberatan tetapi ibu saya bercerita juga. Menurutnya, memang ayah saya itu aktif dalam bangsawan satu ketika dulu. Dia pernah berlakon dan dia juga suka menyanyi dan main muzik. Tetapi rahsia itu tidak pernah diberitahu kepada anak-anak. Mungkin dia tidak mahu anak-anak tahu kegiatannya masa muda. Kata ibu saya lagi, kalau mendodoikan saya sama ada dalam buaian atau di pangkuannya dia suka menyanyikan lagu Juwitaku Sayang. Sungguh saya rasa terharu.

Pernah saya bercerita sebelum ini betapa dia bangga mendengar saya juga pandai menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Ketika itu saya memang sudah pandai bermain gitar tetapi masih juga sekali-sekala mendapatkan khidmatnya membetulkan tali gitar itu. Sayangnya dia tidak pernah mahu bercerita tentang pengalaman muziknya tidak sebagaimana saya dengan anak-anak yang bebas bertanya dan bercakap apa saja.

Mengenai anak-anak saya pula, Faresha dan Shahida memang suka pada muzik. Mereka sangat suka menyanyi dan saya tahu mereka boleh menyanyi dengan baik. Tetapi selama ini apa yang saya tahu mereka hanya menyanyi bila mendengar lagu-lagu di radio atau CD. Semasa di sekolah rendah mereka sanggup mengumpul duit membeli kaset-kaset album Inggeris seperti Backstreet Boys, West Life dan beberapa kumpulan lain yang menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu. Saya tidak tahu tentang kaset lagu-lagu melayu yang mereka beli kecuali album KRU. Shahida (adik), sungguhpun sangat suka menyanyi dan turut mempunyai khazanah beratus-ratus lagu dalam kepalanya tetapi tidak berapa suka terlibat dalam kegiatan seni semasa di sekolah tetapi kakaknya Faresha memang aktif dan beberapa tahun menyertai kumpulan dikir barat. Sungguhpun begitu saya tidak pernah melihat dia membuat persembahan sehinggalah pada satu malam dia memberikan saya satu kejutan.

Waktu itu kalau tidak silap saya dia berada di tingkatan tiga dan saya membawa keluarga bercuti di Desaru. Pada malam itu buat pertama kalinya dalam sejarah saya membawa mereka ke dewan karaoke pusat peranginan tersebut. Saya sangkakan cuma mahu masuk sekejap menyanyi satu dua lagu kerana sudah lama tidak menyanyi bersama dengan isteri (Kali terakhir kami menyanyi bersama di hadapan khalayak sewaktu persembahan di maktab). Saya menyanyikan sebuah lagu dan bila habis saya dengar ada bunyi "tepukan ringan," tepukan yang diberikan seperti buat syarat. Tetapi bila saja tiba giliran Faresha, sebaik dia menyanyikan baris pertama lagu Hero yang dipopularkan Whitney Houston, saya dengar tepukan gemuruh dan bukan tepukan sekadar buat syarat. Saya terperanjat mendengarkan anak saya boleh menyanyi dengan begitu baik sekali. Sayang sekali adik tidak mahu menyanyi di hadapan kami pada malam itu, mungkin kerana malu. Tetapi saya tahu sejak bekerja dia dan kawan-kawannya mempunyai "aktiviti seni" mereka sendiri di Kuantan. Dia tidak menyebutnya secara langsung tetapi saya tahu dia juga menyanyi dan sudah tentu dia boleh menyanyi dengan hebat di hadapan kawan-kawannya.

Malam tadi sekali lagi Faresha membuat kejutan. Saya membawa isteri, Faresha dan adik kecilnya Nurbaya untuk menyaksikan persembahan saya bersama-sama Usop dan Sani di Laman Santai di Istana Budaya. Selain Kopratasa, Zamani dan Farah Ashikin turut membuat persembahan. Sementara menunggu persembahan kedua kami selepas Farah, saya bangun untuk ke belakang pentas menyertai Usop dan Sani. Tiba-tiba saya lihat Farah bergerak ke arah meja di mana isteri dan anak-anak saya duduk. Dia sedang menyampaikan sebuah lagu Inggeris dan tanpa disangka-sangka menghulur mikrofon ke arah Faresha. Ketika itu juga anak sulung saya itu dengan begitu selamba menyambung baris lagu tersebut. Sudah tentu Farah sendiri terkejut. Kejadian yang sama berulang sewaktu menyampaikan lagu terakhir, Farah meminta bantuannya yang masih duduk untuk menyambung satu dua baris lagu tersebut.

Saya melihat dari jauh menggeleng-gelengkan kepala. Saya sangkakan malam itu hanya abah saja yang menyanyi dengan Pak Cik Usop dan Pak Cik Sani. Rupa-rupanya anak saya pun turut menyanyi di Laman Santai walaupun sebaris dua lirik. Dalam hati saya hanya mampu berkata, "Hai, anak abah.."

Sungguhpun mereka minat menyanyi tetapi memang sejak kecil lagi anak-anak saya tahu abahnya tidak pernah mahukan mereka jadi artis sekali pun berbakat. Pernah saya bergurau dengan mereka, kata saya, "Kalau ada anak abah jadi artis abah tembak dengan senapang gajah." Saya harap adik mereka Siti Nurbaya juga sekadar minat menyanyi di rumah atau di sekolah dan tidak menyimpan sebarang niat untuk jadi artis sekalipun dia juga sangat pandai menyanyi dan cekap menghafal lirik seperti kakak-kakaknya. Alangkah baik kalau secekap itu juga Nurbaya dalam pelajaran matematiknya.

Usop dan Sani akan terus menyanyi selepas ini kerana itu kerjaya mereka dan selagi Kopratasa masih punya suara dan tenaga. Semasa kami duduk bersembang di belakang pentas Usop ada menerima undangan menerusi sms dan saya mendengar perbincangannya dengan Sani mengenai undangan tersebut. Saya juga tahu Kopratasa sudah mempunyai jadual mereka untuk beberapa bulan akan datang.

Saya pula akan terus dengan kerja saya, Ahad yang lalu sampai Selasa saya berada di Lipis kerana urusan persediaan filem Hanyut selain meneruskan menulis Kenapa Saya Tak Ikut U-Wei dan mencatat pengalaman dalam blog Saya Tak Ada MBA ini. Untuk dua hari berikutnya pula saya dijemput mengajar di sebuah pusat latihan kemahiran di Pekan, Pahang. Saya baru kembali ke Kuala Lumpur semalam dan petang tadi dari pejabat di Shah Alam saya terus ke Laman Santai berlatih ala kadar dan malam buat persembahan. Untuk tiga minggu akan datang program saya hampir sama dengan minggu lepas.

Secara ikhlas, saya menyanyi sekadar suka-suka bila ada kelapangan. Saya bukan mahu jadi artis kerana kalau mahu jadi artis pada 1986 dulu saya sudah menyertai Usop dan Sani untuk buat album. Saya mahu jadi seperti arwah ayah saya, mungkin selepas ini saya juga akan mendodoikan cucu-cucu tetapi dengan lagu-lagu Kopratasa selain lagu kesukaan arwah ayah saya "Juwitaku Sayang." Dan kalau Allah melanjutkan usia, saya juga mahu tolong "tune"kan tali gitar cucu-cucu saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ibu dan ayah saya.

Sunday, 17 January 2010

Kopratasa 25 tahun

Pada tahun 2009, genaplah usia Kopratasa 25 tahun. Dilahirkan di Teater Elit yang berpejabat di No. 7A, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru pada tahun 1984, pada mulanya Usop, Sani dan saya cuma main-main muzik dan menyanyi di bilik belakang yang kami panggil studio. Kemudian bila bos kami Dinsman mendengar beberapa puisi yang berjaya kami jadikan lagu dia terus mencadangkan supaya kami menyanyi di pentas dengan membawa nama Grup Teater Elit. Pertama kali di Kompleks Budaya Negara (kini sudah jadi ASWARA) dan seterusnya di beberapa pentas lain.

Di Teater Elit jugalah M. Nasir melihat kami menyanyi pada satu petang ketika dia datang untuk satu urusan lain. Kemudian semuanya jadi sejarah apabila pada tahun 1986 M. Nasir menerbitkan album pertama Kopratasa berjudul Keringat Dalam Pasrah dan pada waktu itu saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada "menjadi artis." Siso masuk menggantikan saya.

Kopratasa terus berjuang dengan konsep puisi dan tidak pernah tersasar hingga ke hari ini dan merupakan kumpulan penyanyi lagu puisi pertama di Malaysia yang masih mampu bertahan selama itu. Sepanjang rakan-rakan saya itu menjadi artis tidak pernah saya melihat mereka di pentas secara "live" sehinggalah pada tahun 2008 saya berpeluang menonton persembahan mereka di Laman Santai Istana Budaya bersama-sama isteri dan anak-anak.

Mungkin Kopratasa bukan sebuah kumpulan yang layak untuk menerima sebarang penghargaan. Kerana itu agaknya tidak ada pihak pun yang perasan tentang usia kumpulan tersebut yang sudah mencecah 25 tahun. Kalau ada pun, mungkin pihak-pihak tertentu hanya akan sedar tentang perkara itu dalam tempoh dua puluh hingga tiga puluh tahun akan datang dan penghargaan itu hanya akan datang selepas Usop, Sani dan Siso sudah tiada lagi di dunia. Saya harap "wakil-wakil" mereka (mungkin cucu-cucu mereka) yang bakal naik ke pentas menerima penghargaan tersebut bagi pihak mereka nanti dapat bersabar menantikan saat-saat manis itu.

Oleh kerana itu, sebelum tahun 2009 melabuhkan tirai, saya berusaha mendapatkan penajaaan daripada rakan kongsi saya Zed untuk persembahan Kopratasa sempena Majlis Makan Malam SDARA 2009 (Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak) yang berlangsung pada 26 Disember bertempat di Dewan Puspanitapuri Putrajaya. Sungguhpun tidak dihebahkan, sekurang-kurangnya dapat juga kami bersama-sama meraikan "Hari Jadi Kopratasa Ke 25 tahun" di hadapan rakan-rakan SDARA saya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku pada malam itu. Pertama, mungkin itulah pertama kali dalam sejarah majlis makan malam SDARA sebuah persembahan artis ditaja. Kedua, Kopratasa yang membuat persembahan pada malam itu ialah Kopratasa yang terdiri daripada anggota-anggota asal iaitu Usop, Sani dan saya sendiri dan itu merupakan pertama kali kami membuat persembahan bersama selepas "berpisah" dalam satu majlis dengan kehadiran yang agak besar. Ketiga, persembahan itu disaksikan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang diundang khas dan keempat, buat pertama kalinya saya dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir menyampaikan lagu yang paling disukainya iaitu My Way walaupun ketika dia sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Di bawah merupakan antara koleksi gambar persembahan kami serta gambar ketibaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah di Dewan Puspanitapuri. Selebihnya ada terdapat di dalam Facebook saya.

Saya belum lagi habis bercerita. Kelima, pada malam itu Zed turut mengundang sahabat saya pembikin filem tersohor U-Wei Haji Saari, Julia Fraser (penerbit filem terbaru U-Wei berjudul Hanyut yang sedang dalam persiapan untuk penggambaran pada April 2010) dan juga jurufoto filem Hanyut iaitu Jo Ghazali. Kesemua gambar yang saya paparkan di sini merupakan hasil kerja Jo.

Sudah tentu saya menganggapnya sebagai satu peristiwa paling bersejarah dalam hidup kerana dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir. Tetapi ia menjadi lebih bersejarah lagi kerana sepanjang saya bersahabat dengan U-Wei selama 21 tahun, itulah pertama kali dia melihat dan mendengar saya menyanyi walaupun memang dia amat tahu sejarah saya bersama Kopratasa. Dia bersetuju untuk datang pada malam itu semata-mata kerana diberitahu bahawa saya akan membuat persembahan dengan Kopratasa. Dan di akhir lagu My Way yang menjadi lagu penutup persembahan kami, saya dapat lihat U-Wei bangun bertepuk tangan.

Pada malam itu saya tidak pedulikan orang lain. Bagi saya persembahan itu hanya untuk U-Wei dan Tun Mahathir. Yang lain kebanyakannya kawan-kawan saya dan juga bekas guru-guru yang sememangnya tidak hairan kerana sudah biasa melihat saya beraksi di pentas sejak di sekolah lagi. Bila melihat dia bangun dapat saya rasakan U-Wei suka dengan persembahan kami. Sudah tentu Tun Mahathir tidak dapat bangun kerana dia negarawan yang tidak boleh lepas laku macam seniman seperti U-Wei.

Dengar khabarnya pada malam itu U-Wei ada membisikkan sesuatu mengenai persembahan kami kepada Ida, isteri saya . Pada malam itu juga anak-anak saya Ainur Faresha, Ainur Shahida dan Siti Nurbaya cukup terharu dapat duduk semeja dengan Kopratasa dan juga Pak Cik U-Wei mereka.


Nota kaki;

Baru-baru ini, ketika bertemu di pejabatnya, dengan "sombongnya" saya bergurau memberitahu U-Wei, "U-Wei, I go for nothing less than original." (Maaf, saya tidak pandai menterjemah ayat tersebut).
Saya merujuk kepada diri saya yang merupakan anggota asal Kopratasa dan juga anggota asal Kru Tanah Licin, kru produksi yang ditubuhkannya ketika dia mula-mula kembali ke tanah air 21 tahun lampau.
Meminjam bahasa budak-budak sekarang, "Kalau tak ori saya tak mainlah..."