Saturday, 17 October 2009

You can have the painting, but give me the frame. (Bhg akhir)

Kamal mempunyai aktiviti bermusim. Ada satu ketika saya lihat dia gila melukis. Kerana itu dia kerap melarikan diri bersembunyi di tanah kampung miliknya di Hulu Langat. Hanya setelah lukisannya siap baru dia balik ke pejabat menunjukkan hasilnya kepada kami. Lukisan itu akan digantung di bilik pejabatnya dan sesekali saya perhatikan dia asyik memerhatikan lukisan itu. Entah apa yang difikirkannya saya tak tahu.

Tidak lama selepas itu dia bertukar hobi pula. Tiba-tiba sahaja dia gilakan motosikal besar. Saya perhatikan dia sudah tidak lagi bercakap tentang lukisan. Setiap hari dia akan mencari seseorang di pejabat untuk bercerita tentang motosikal besar sambil menunjukkan pelbagai jenis majalah berkaitan. Pada mulanya saya fikir Kamal hanya minat membaca majalah berkenaan tetapi rupa-rupanya tidak lama selepas itu dia benar-benar membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi dan dia memeranjatkan kami di pejabat kerana muncul lengkap berpakaian seperti pelumba motosikal.

Tidak lama kemudian dia memberitahu dia berhasrat untuk membeli sebuah lagi motosikal. Menurutnya motosikal yang dibeli sebelum itu kurang memuaskan hatinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan semula tentang alasannya itu. Apa yang disebutnya terlalu teknikal dan memang saya tak akan faham kerana saya tidak minat tentang hal-hal teknikal mengenai apa juga kenderaan termasuk kereta. Saya hanya tahu memandu dan sekiranya berlaku kerosakan saya akan memanggil mekanik.

Seperti saya katakan, hobinya bermusim. Selepas beberapa waktu Kamal seperti melupakan hobi bermotosikal besar. Motosikal besar pertama dijual kepada Haris seorang pengarah filem iklan yang sebelum itu bernaung di bawah payung Cinequip. Yang saya tahu motosikal kedua masih disimpan tetapi dia tidak lagi menunggangnya. Dia kembali normal seperti sediakala memandu Toyota Land Cruisernya atau sesekali memandu Mercedes antik yang pernah dijadikan teksi pada tahun-tahun enam puluhan.

Selalunya kalau dia tidak mengarah filem iklan dia akan datang ke pejabat hampir setiap hari untuk membantu kerja-kerja kami. Walaupun dia merupakanpemegang saham utama dan juga memegang jawatan pengerusi dia tidak pernah mengambil elaun atau sebarang keuntungan daripada Cinequip. Kalau dia mengarah filem iklan untuk Cinequip, dia hanya mengambil bayaran pengarah. Itu sahaja. Tetapi sebagai pengerusi dia tidak pernah membiarkan Cinequip menghadapi masalah terutama kewangan. Setiap kali berdepan masalah aliran tunai, Rahmat akan menemui Kamal di bilik sebelah untuk mengadu hal. Mereka akan duduk berbincang lama. Apa yang saya tahu setiap kali perkara itu berlaku, bila keluar muka Rahmat sudah pasti berseri-seri kerana Kamal tidak pernah menghampakan kami.

Walaupun dia pengarah filem iklan tidak dinafikan dia juga gila filem. Di pejabat ada saja laser disc filem baru yang dibawanya untuk kami tonton bersama. Setiap kali menonton sudah tentu ada saja bahan bualannya mengenai filem. Saya selalu tertanya-tanya mengapa Kamal tidak mahu mengarah filem cereka seperti U-Wei dan rakan-rakan filem lain? Saya memang ingin melihat Kamal mengarah sebuah filem cereka satu hari nanti. Bukan kerana saya mahu bekerja dengannya. Saya sekadar mahu berbangga kerana dia juga kawan baik saya. Cuma saya bimbang. Apakah Kamal mampu bercerita selama satu ratus sepuluh minit atau sekurang-kurangnya tujuh puluh minit? Selama berpuluh tahun dia hidup dengan ayat-ayat filem yang panjangnya hanya beberapa saat sahaja. Paling panjang pun mungkin dua atau tiga minit. Bukan mudah bagi mereka yang datang dari dunia filem iklan untuk bercerita dengan baik dalam filem cereka. Tetapi saya tahu Kamal ada menyimpan dendam. Dia pernah bercerita tentang filem impiannya iaitu sebuah filem yang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat India yang tinggal di sebuah estet yang diadaptasi daripada buku The Return karya KS Maniam. Kamal memberitahu saya tentang impiannya itu sebelum saya mendengar nama Mamat Khalid. Kamal mengimpikan mengarah sebuah filem India? Mesti ada sesuatu yang istimewa.

Kami pernah berbincang tentang filem itu kerana saya juga tertarik untuk mendalami pemikiran masyarakat India. Namun, apa yang lebih menarik, bayangan Kamal tentang filem itu ialah babak api pada permulaan cerita. Kenapa Kamal memilih api saya tidak tahu. Bila saya teringatkan kisah ini saya akan teringat pada Kaki Bakar. U-Wei suka pada api. Tetapi apakah makna api bagi Kamal?

Semasa Kamal gila melukis dulu pada satu hari tiba-tiba dia memanggil kami bermesyuarat. Katanya dia mahu membuat satu projek istimewa. "My personal project," katanya. Dia bercadang mahu membuat video dokumentari mengenai Latif Mohidin seorang pelukis yang disanjunginya. Bagaimana dia kenal dengan Latif saya kurang pasti. Tetapi mendengar cerita Kamal saya rasa mereka sudah kenal lama. Saya kenal Latif semasa di Teater Elit tetapi saya tak pasti sama ada dia masih ingat lagi pada saya lagi. Tetapi nama Latif amat dekat di hati saya kerana saya pernah mengabadikan puisinya berjudul Kembara Malam dan Dada Laut sebagai lagu-lagu untuk Kopratasa.

Projek tersebut bermula tidak lama selepas itu. Saya lihat Kamal seperti tergesa-gesa. Entah apa yang dikejarnya saya tak faham. Dia juga tidak pernah mengarahkan saya membuat sebarang persediaan. Dia juga tidak menyediakan skrip kerana katanya apa yang kami perlu buat hanya merakam sebanyak mungkin. “We just shoot and keep the footage,” katanya. Footage tersebut akan disimpan dan satu hari nanti bila sudah ada penaja baru dia akan menulis skrip dan menyunting bahan-bahan sedia ada. Kebetulan ketika itu Cinequip sudah membeli sebuah kamera video berkualiti. Ini memudahkan kami membuat penggambaran bila perlu.

Apabila sampai di rumah Latif di Lembah Keramat saya terperanjat melihat dua unit rumah teres satu tingkat miliknya itu bukan lagi sebuah rumah. Rumah itu sebenarnya sudah bertukar wajah menjadi sebuah galeri lukisan yang amat menarik walaupun dari luar nampak biasa. Latif juga membina tingkat atas yang dijadikan studio untuk dia berkarya. Memang hebat. Pelukis di Malaysia boleh hidup mewah kalau berjaya mencipta nama. Dengarnya sekarang Latif sudah berpindah ke sebuah banglo mewah di Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan Latif sekarang sukar ditemui kata kawan-kawan yang rapat dengannya.

Sedang saya merayau-rayau meninjau dan mengagumi setiap sudut dan terkejut melihat betapa banyaknya lukisan yang tergantung, tiba-tiba saya terpandang Kamal yang sedang memberikan penerangan mengenai sebuah lukisan kepada Sidek, jurukamera Cinequip. “You see Sidek, look at his stroke,” dan kemudian dia bercakap itu dan ini dan macam-macam lagi dalam bahasa yang memang saya tak mungkin akan faham. Saya juga tidak tahu bagaimana hendak mengajuknya. Saya tertarik melihat Kamal bercakap penuh gaya dan perasaan. Perlahan-lahan saya bergerak ke arah mereka dan kemudian berdiri di belakang Kamal agak lama juga. Sedang asyik bercakap tiba-tiba dia perasankan saya lalu berpusing dan bertanya. Dia mungkin menyedari saya sudah lama mengikuti perbincangan tersebut,

“What do you think Shah?”
“What about, Mal?”
“The painting. I’m asking you. What do you think about the painting?”
“What? The painting”? saya terdiam seketika dan kononnya cuba memeriksa lukisan tersebut.

Sebenarnya saya tidak dapat memikirkan tentang jawapan kepada soalannya itu. Tetapi tiba-tiba saja terkeluar dari mulut saya,
“Well, I think Mal, you can have the painting, but give me the frame.”

Saya terjemahkan perbualan itu di bawah.
“Apa pendapat engkau Shah?”
“Pendapat apa Mal?”
“Pasal lukisan ni. Aku tanya engkau ni. Apa pendapat engkau tentang lukisan ni?”
“Apa Mal? Lukisan ni? Aku rasa Mal, engkau boleh ambil lukisan ni tapi bagi aku bingkainya.”

Saya tidak sedar. Saya bukan mahu menyindir, kurang ajar atau bermaksud apa-apa. Kata-kata itu lahir daripada minda bawah sedar saya yang mungkin sudah lama tersimpan dan menunggu saat sahaja untuk dihamburkan. Memang pun. Untuk apa lukisan itu bagi saya? Saya bukan datang mahu menilai lukisan. Saya ke situ untuk bekerja. Kerja saya ialah sebagai pengurus produksi. Peduli apa dengan lukisan Latif walau secantik mana sekali pun. Katakanlah kepada saya lukisan itu nilainya puluhan ribu atau ratusan ribu. Yang saya nampak hanya sekeping kanvas yang diwarna dengan cat pelbagai warna yang menjadikan gambar-gambar yang entah apa-apa juga maknanya. Saya benar-benar tak tahu apa juga yang diconteng Latif Mohidin. Tetapi yang saya tahu bingkainya memang cantik.

Saya tahu Kamal sedikit tersentuh dengan kata-kata saya. Tetapi itulah saya. Saya akui kata-kata saya itu mempunyai maksud tersirat yang tidak saya sengajakan. Kamal tahu sendiri apa maknanya. Mungkin saya juga ibarat lukisan Latif.

Saya hanya bekerja dengan Cinequip selama dua tahun enam bulan sahaja. Seperti biasa bila saya dapati orang tidak dapat menilai saya dan meletakkan saya ditempat sewajarnya, saya tidak akan tunggu lama. Saya akan berhijrah. Biarlah orang menzalimi saya tetapi saya tidak akan melakukan perkara sama kepada orang lain.

Walaupun sudah meninggalkan Cinequip saya masih pergi menemui Kamal sekali-sekala kerana dia bekas bos saya yang amat saya hormati. Ada sekali dia berkata, “I’m sorry Shah, we didn’t treat you well when you were here.” Namun, walau apa pun yang pernah berlaku saya tetap suka padanya. Dia seorang budak Kolej yang baik. Dia juga mempunyai ketajaman pemikiran yang sukar dicari. Bagi saya dia merupakan antara yang terhebat dalam dunianya. Dia bijak dan dia juga banyak mengajar saya.

Selepas bertahun-tahun tidak bertemu, tiba-tiba saya terserempak dengan Kamal Mustafa di Balai Seni Lukis Negara di satu majlis pada tahun lepas. Majlis tersebut disempurnakan Menteri KeKKWA ketika itu iaitu Datuk Mohd. Shafei Afdal. Sudah tentu dia terkejut melihat saya di situ. Mungkin dia terfikir saya masih dengan "projek apresiasi bingkai lukisan" seperti dulu. Atau mungkin dia tertanya-tanya apakah saya sudah pandai menilai lukisan. Tetapi bila saya menjelaskan saya hanya membantu mengurus S. Amin Shahab, baru dia faham. Sudah tentu itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana Kamal juga tahu dalam hidup ini saya memang tidak akan lari jauh daripada bidang pengurusan.

Sempat juga dia mengulangi apa yang pernah disebutnya dulu, “I’m sorry Shah, we didn’t treat you well when you were with us.” Sebiji maksud ayatnya. Ah! Sudah-sudahlah tu Kamal, bisik hati saya. Saya sudah lama memaafkan Cinequip.

Setahun selepas saya mendapat kemerdekaan daripada Cinequip, Rahmat berhenti untuk mengubah haluan. Dia terjun ke dunia korporat. Bila Rahmat sudah tiada Kamal bercadang mahu menutup Cinequip kerana menurutnya dia bukan mahu menjalankan perniagaan kerana dia tidak ada masa langsung untuk itu. Pendapatannya sebagai pengarah filem iklan sudah lebih daripada cukup sekurang-kurangnya untuk persaraannya nanti. Dia menubuhkan Cinequip dulu bukan untuk dirinya tetapi untuk membantu Rahmat. Dia ada memberitahu saya tentang keputusannya itu bila saya melawat Cinequip. Penutupan Cinequip dibuat dengan cara cukup terhormat. Sebelum ditutup semua kakitangan dibayar pampasan secukupnya, sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh sebuah syarikat sendirian berhad.

Selepas Cinequip ditutup Sidek dan Kamarudin Abu menubuhkan syarikat baru dikenali sebagai Cinequip Production Sdn. Bhd. Mereka mengambil alih semua peralatan Cinequip dan menyewa pejabat yang sama dari Kamal. Tetapi beberapa tahun kemudian Sidek meninggalkan Din dan kemudian Din membuka pejabat dan studio yang lebih besar di Mutiara Damansara. Kamarudin Abu merupakan seorang penyunting filem dan video yang berpengalaman. Semasa bekerja dengan Edit House milik Patrick Teoh dahulu, Cinequip selalu menggunakan khidmatnya. Kerana itu saya jadi rapat dengannya. Menyedari kebolehannya saya memperkenalkan Din kepada U-Wei kerana saya tahu U-Wei memerlukan orang-orang terbaik untuk menyokongnya berkarya.

Din Abu memang bertuah. Sebaik diperkenalkan U-Wei terus “jatuh cinta” dengan cara dia bekerja dan juga hasil kerjanya. Mereka memang ada “chemistry.” Ini berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1988 di mana saya cuba memperkenalkan M. Nasir kepada U-Wei. Saya menjemput kedua-duanya datang berhari raya di rumah saya di Taman Sri Rampai pada waktu itu. Kerana sibuk melayan tetamu, saya tidak berpeluang mendengar perbualan mereka berdua. Apa yang saya lihat U-Wei lebih banyak bercakap dengan Dollah Ali. Selepas pertemuan itu U-Wei tidak pernah bertanya tentang nama M. Nasir. Saya berpendapat memang tidak wujud chemistry antara mereka berdua. Nampaknya U-Wei lebih selesa dengan "muzik mentah" Embi C. Noer yang berakar tunjang daripada muzik pop M. Nasir.

Selepas mengenali U-Wei dan bekerja dengannya, pada tahun 1995 Kamaruddin Abu berpeluang mengikuti U-Wei ke Cannes Film Festival bersama-sama rombongan filem Kaki Bakar yang terdiri daripada U-Wei, Khalid Salleh, Shaharuddin Thamby, Sofea Jane dan Anwar Idris (penulis skrip). Mereka semua pergi. Hanya saya seorang sahaja yang tidak dapat ikut walaupun saya bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan pemergian mereka dan juga filem Kaki Bakar.


Nota kaki:

Kerana sebab-sebab yang hanya Kamal dan Latif sahaja tahu, video mengenai Latif Mohidin tidak pernah dibuat. Saya tidak tahu sama ada Kamal masih menyimpan footagenya dan apakah dia mempunyai perancangan tertentu mengenai perkara itu dalam waktu terdekat ini.

1 comment:

Fiezanis273 said...

Salam Saudara Shah,

Boleh tak bantu saya di mana En. Sidek sekarang, kami pernah bekerjasama 12 tahun yang lalu. Saya ingin mendapatkan khidmat dia lagi. Harap Saudara Shah boleh bantu saya.

Terima kasih.

Afiza Mohd Annis
Toyo Eng & Const Sn. Bhd.