Friday, 16 October 2009

You can have the painting, but give me the frame.. (Bhg 3)

Saya mula mengurus video projek MLNG2 pada penghujung 1992. Projek ini membawa saya terbang ke Bintulu sekurang-kurangya dua kali sebulan. Oleh kerana ia merupakan “Progress Video” krew kami terpaksa sentiasa bersedia untuk dipanggil pada-pada bila masa. Pernah kami baru saja kembali ke Kuala Lumpur selepas itu diarahkan semula berangkat ke Bintulu untuk melakukan penggambaran satu peristiwa penting.

Pada masa yang sama saya juga ditugaskan menguruskan produksi sebuah lagi video untuk Petronas iaitu Baram Delta Gas Gathering yang memerlukan kami membuat penggambaran di beberapa pelantar minyak dalam kawasan tengah laut Miri. Bagi membolehkan krew kami mendapat pasport untuk bekerja di pelantar minyak kami terlebih dahulu diwajibkan mengikuti kursus keselamatan Safety and Emergency Procedures At Sea selama sepuluh hari di Kertih. Rahmat hanya terlibat di Bintulu sahaja tetapi untuk penggambaran di laut hanya saya, Sidek dan Zaini sahaja yang memiliki pasport. Sidek jurukamera manakala Zaini merupakan pembantunya.

Antara pengalaman menarik bekerja di tengah laut ialah ketika kami mengambil gambar kerja-kerja menanam cerucuk untuk pembinaan pelantar minyak. Peristiwa tersebut berlaku pada suatu malam. Ketika menjalankan proses tersebut saya dapati mereka tidak melakukan hentakan berterusan pada cerucuk tersebut sepertimana biasa kita lihat di darat. Apa yang mereka lakukan, selepas dua atau tiga kaki cerucuk tersebut dihentak masuk, proses tersebut akan dihentikan. Ketika itu saya lihat mereka semua lari berkumpul di satu sudut agak jauh dari kawasan bekerja. Kemudian seorang kakitangan akan pergi memeriksa sesuatu menggunakan sejenis meter bacaan. Saya tidak tahu apa yang dilakukan orang tersebut lalu saya bertanya dengan pegawai Petronas yang mengiringi kami untuk projek tersebut,
“Apa orang tu buat?”
“Baca meter.”
“Meter?”
“Meter, nak dapat reading gas.”
“Gas?”
“Yalah, kan yang kita buat ni platform oil and gas. Minyak kan ada gas.”
“Tu aku tau, tapi meter tu?”
“Meter tu nak check gaslah, mana tau kalau-kalau ada bocor.”

Kerana asyik memerhati proses kerja tersebut dan sambil menulis nota, saya seperti tidak perasan apa yang diberitahu kepada saya. Tiba-tiba saya tersedar,
“Eh! Apa engkau kata? Bocor?”
“Ha ah! Bocor,” jawabnya selamba.
“Habis, kalau bocor?”
“Apa lagi, meletuplah.”
“Meletup?”
“Ya.”
“Kalau meletup?”
“Apa bendalah soalan engkau ni. Kalau bocor meletup, habislah, dengan kita-kita sekali.”
“Alamak,” takutnya saya mendengar kata-kata pegawai itu. Seram bulu roma saya.
“Betul ke engkau cakap ni?”
“Apa tak betulnya? Takkan engkau tak tau risiko kita kat tengah laut ni. Engkau ada soalan lain ke? Baik tanya siap-siap. Engkau tak nak tanya kalau meletup kita ni boleh selamat ke tidak?”
“Aduh,” saya tergamam.
“Datang sini, itulah risikonya.”

Saya beredar jauh dari situ membiarkan Sidek dan Zaini meneruskan kerja mereka. Saya naik ke atas dek bahagian hadapan barge itu. Tidak ada apa yang saya nampak. Malam gelap gelita. Bunyi air laut tiba-tiba sahaja menakutkan saya. Saya memandang ke langit. Saya nampak bulan. Saya terbayangkan wajah-wajah isteri dan anak-anak. Saya bertanya pada diri, apa juga yang aku buat di tengah-tengah lautan ini? Kerana bayaran lebih kurang empat puluh ribu ringgit setiap kali penggambaran di tengah lautan untuk Cinequip, kami terpasa berdepan dengan risiko yang paling maksimum. Kalau berlaku mala-petaka tidak ada jalan keluar dari sini. Rupa-rupanya sebaik kami melangkah kaki menaiki boat Katamaran untuk ke tengah laut menyertai barge tersebut, kami memang sudah sedia menempah maut.

Memang kami semua ada diberitahu semasa mengikuti kursus keselamatan dulu tentang satu kejadian kebakaran paling dahsyat di sebuah pelantar minyak di Laut Utara. Bencana kebakaran di pelantar minyak The Piper Alpha itu berlaku pada 6 Julai 1988 dan mengorbankan seratus enam puluh tujuh nyawa. Tetapi menurut fasilitator itu, di Malaysia belum pernah berlaku peristiwa sedemikian dan kemungkinan untuk berlaku amat tipis kerana prosedur pemeriksaan keselamatan syarikat-syarikat minyak dan gas di Malaysia boleh dipercayai. Sungguhpun begitu katanya, malang tidak berbau. Kalau sampai masanya, perkara itu akan berlaku juga. Bagaimana kalau ditakdirkan Allah kejadian yang sama berlaku pada malam itu?

Saya tidak pernah bertanya Rahmat atau Kamal sebesar mana perlindungan insurans untuk diri saya sekiranya berlaku apa-apa. Kalau pun ada mungkin saya tidak ingat kerana saya hanya ingat pada perkara-perkara menarik. Contohnya, katakan perlindungan insurans untuk saya bernilai sejuta ringgit, sudah tentu akan saya ingat sampai mati. Kalau dibandingkan antara risiko yang saya hadapi dengan gaji serta perlindungan insurans yang tidak pernah saya ambil peduli itu yang mungkin kecil nilainya, saya rasa Cinequip tidak berlaku adil kepada saya.

Memang bila difikirkan Cinequip mendedahkan saya kepada banyak perkara. Saya mendapat banyak peluang belajar. Saya belajar tentang pembikinan video dokumentari, video projek, video latihan dan juga filem iklan dan saya berpeluang menimba ilmu mengenai teknologi maklumat, pengurusan berkualiti menyeluruh, alam sekitar dan berbagai lagi. Tetapi paling menarik saya banyak belajar tentang perkara-perkara teknikal berhubung industri minyak dan gas sepanjang membuat video projek-projek Petronas. Namun, bila saya tidak menerima layanan seadilnya apakah itu bermakna saya memang perlu membayar bagi segala ilmu dan pengalaman yang disediakan untuk saya menerusi “diskaun pendapatan” yang saya berikan kepada Cinequip? Berapa lama saya harus hidup begitu? Saya tahu Cinequip juga “universiti” yang tidak ternilai yang banyak mendidik saya. Tetapi perlukah kali ini saya juga dikenakan yuran sekali lagi? Cukuplah dengan bayaran “yuran” yang terpaksa saya bayar kepada para produser drama dahulu menerusi “diskaun pendapatan” bagi setiap kali produksi.

Kadang-kadang saya terfikir juga. Mentang-mentanglah saya dilahirkan sebagai lelaki. Kalau saya perempuan dan bekerja dalam dunia filem, sudah pasti saya mendapat banyak keistimewaan. Cuma wanita (walaupun bukan semua) memang sedikit berbeza. Mereka juga masih terpaksa memberikan diskaun. Cuma, kalau saya terpaksa memberikan diskaun pendapatan mereka mungkin terpaksa memberikan diskaun maruah.

Bersambung..

No comments: