Friday, 15 May 2009

Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur

Pada pagi itu saya bersarapan di sebuah warung yang terletak di satu lorong bersebelahan Masjid Pakistan. Beberapa hari sebelum itu saya hanya membeli nasi lemak dari seorang peniaga yang berniaga dengan motosikalnya yang setiap pagi akan berada di kawasan gerai berhampiran wad bersalin Hospital Besar. Nasi lemaknya memang sedap dan setiap kali di situ dia dikerumuni banyak orang. Tetapi sekarang kawasan gerai tersebut sudah tiada lagi kerana sudah dipindahkan ke Medan Selera di Jalan Raja Muda di pinggir kawasan hospital.

Sedang saya bersarapan tiba-tiba saya terpandang pada salah satu akhbar tabloid yang tergantung di kedai bersebelahan. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya. Saya amati tajuk yang terpampang itu. “Bomoh VIP.” Saya termenung seketika. Seperti ada sesuatu yang saya cuba fikirkan. “Bomoh VIP..bomoh VIP,” bisik hati saya. Saya terus berfikir.

Eh! Mengapa tidak? Saya terus bangun dan menarik akhbar yang tergantung itu.

Saya berhenti makan dan terus membaca. Nama bomoh tersebut Aziz dan dinyatakan di situ dia beroperasi di sebuah unit kediaman di Bangunan Jaya berhadapan Hotel South East Asia. Menurut apa yang saya baca lagi para pelanggannya kebanyakannya golongan VIP dan dia mengakui sudah banyak membantu mereka dalam hal-hal rumah-tangga, bisnes dan lain-lain. Ada juga kalangan artis yang mendapatkan rawatannya. Dalam hati saya berkata, alangkah baiknya kalau saya dapat berkenalan dengan bomoh ini. Bukan saya mahu berubat atau minta apa-apa daripadanya. Saya sekadar mahu berkenalan dengannya. Mana tahu dia boleh memperkenalkan saya kepada mana-mana VIP yang mungkin boleh memberi saya pekerjaan di syarikatnya. Saya cuma mahukan kerja. Walaupun bukan tetap asalkan dapat menyambung hidup buat sementara jadilah.

Setelah menghabiskan roti canai dan teh tarik tanpa membuang masa saya terus melangkah menuju ke Bangunan Jaya. Walaupun baru berpindah ke Kuala Lumpur tetapi saya memang biasa dengan kawasan itu kerana semasa masih mengajar dahulu setiap kali ke Kuala Lumpur saya memang suka menginap di Hotel South East Asia. Sesampainya saya di sana saya menuju ke lobi lif tetapi saya kurang bernasib baik kerana hari itu lif rosak. Saya terpaksa menaiki tangga.

Keadaan bangunan itu memang uzur sekali dan langsung tidak terjaga kebersihannya. Saya terkejut kerana nampaknya masih ada juga bangunan seperti ini di Kuala Lumpur. Sedang saya menaiki tangga kelihatan beberapa orang penagih dadah sedang “bersarapan”. Ha! Ini dia the ugly side of Kuala Lumpur. Datuk Bandar pun memang tidak pernah sampai ke bangunan ini. Saya tidak menghiraukan mereka kerana saya ada urusan penting yang perlu disegerakan. Mereka juga tidak menghiraukan saya. Saya terus mendaki tangga. Sampai di tingkat berkenaan, saya memerhati sekeliling. Saya cuba mencari unit kediaman Aziz. Ada sebuah unit yang pintunya terbuka luas. Dari luar saya perhatikan keadaannya agak suram dan menyeramkan. Saya berjalan mendekati unit tersebut dan saya terus terpandang pada barangan perubatan tradisional tersusun bertentangan pintu masuk. Sah, inilah tempatnya, kata hati saya. Bau kemenyan yang harum mengatakan memang saya tidak salah. Saya memberi salam. Selang beberapa saat salam saya berjawab.

Seorang lelaki muncul menyambut saya di pintu. Dia menjemput saya masuk. Saya tidak perlu bertanya. Saya tahu itu Aziz kerana melihat pada susuk badannya, perwatakan serta kalung besar seperti tasbih tergantung di lehernya sama seperti gambar yang saya lihat dalam akhbar tadi. Lagipun hanya dia seorang di situ. Rambutnya panjang dan dia memakai dastar yang dililit kemas di kepalanya. Nampak seperti imej pahlawan dahulu kala. Bila saya sudah berada di dalam suasananya lebih menyeramkan. Ada beberapa batang lilin diletakkan berhampiran pelbagai jenis minyak yang tersusun berserta pelbagai jenis akar kayu. Saya juga lihat di atas lantai terdapat tasbih, kain merah, kuning, hitam dan putih siap berlipat dan tersusun kemas. Di dindingnya pula penuh bertampal pelbagai ayat Quran. Aziz mempersilakan saya duduk. Dia perasan saya sedang memerhati sekeliling.

“Ya, apa hajatnya?” Aziz terus bertanya sambil tangannya menaburkan kemenyan ke atas bekas yang memang telah sedia dinyalakan. Bau kemenyan semakin kuat.

“Tak ada apa bang, saja datang,” saya menjawab selamba.

Dia merenung saya. Terperanjat agaknya bila mendengar jawapan saya.

“Eh, selalu orang datang sini semua ada hajat. Yang engkau ni saja-saja datang pulak,” dia tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia berhenti menabur kemenyan.

“Tak, saya saja datang saja nak kenal dengan abang,” jawab saya.

“Ooh gitu. Nak kenal…Dari mana ni?”

“Saya dari kuarters houseman kat GH ni. Dekat aje.”

“Buat apa kat GH? Kerja ke?”

“Tak de bang, adik ipar saya houseman kat UH. Tapi isteri dia houseman kat GH. Saya tengah cari kerja jadi menumpang kat kuarters dia orang,” saya cuba menjelaskan satu persatu.

Aziz nampak faham apa yang saya katakan. Sebab itu agaknya dia tidak perlu bertanya makna houseman di UH (University Hospital) dan juga houseman di GH (General Hospital).

“Dah lama duduk situ?”

“Taklah, baru dua minggu. Saya seorang aje tumpang situ. Orang rumah balik kampung tunggu masa nak bersalin.”

“Oh gitu. Anak nombor berapa?”

“Anak pertama, bang.”

“Engkau orang mana?”

“Johor. Orang Batu Pahat tapi sebelum ni kerja kat JB.”

“Kerja apa dulu?” Aziz menyoal saya satu persatu begitu ringkas dan saya cuba menjawab seringkas mungkin. Sambil menyoal dia langsung tidak memandang saya. Matanya tertumpu ke arah bekas kemenyan yang masih berasap di depannya.

“Mula dulu cikgu.”

“Maktab ke U?”

“Maktab aje bang.”

“Lepas tu?”

“Dulu tak minat mengajar, lagi pun duit tak cukup, tanggungan banyak, jadi saya berhenti, kerja dengan syarikat sekolah muzik. Lepas tu berhenti lagi.”

“Kenapa pulak?”

“Panjang cerita bang. Kerja dengan orang lain. Tauke Melayu, kerabat. Tapi pengurusan orang lain pegang, susah Melayu macam saya. Semua dia orang control. Macam-macam hal. Kes dengki, aniaya,” dan seterusnya saya menceritakan kepadanya secara terperinci bagaimana saya boleh berhenti kerja. Sepanjang saya bercerita Aziz tunduk mendengar sambil menghisap paipnya. Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Saya tidak tahu kenapa. Selesai saya bercerita, Aziz bertanya,

“Jadi apa boleh abang tolong?”

“Tak taulah bang. Yang saya tau saya tengah cari kerja. Saya baru duduk sini. Bukan kenal sangat orang KL ni. Ada, kawan tu memang ada. Saudara pun ada jugak tapi nak jumpa dia orang segan, bang. Saya pun tengah macam ni. Sebab tu saya nak cuba mintak tolong dengan abang. Mana tau kalau-kalau ada kawan-kawan abang yang nak pakai orang, saya memang nak sangat cari kerja,” jawab saya.

Kemudian saya luahkan terus hajat saya sebenar walaupun dengan berat hati.

“Kalau ada VIP lagi bagus bang, mana tahu,” saya berkata lagi dengan penuh harapan.

Aziz tersenyum dan kemudian tergelak kecil.

“Mana engkau tau VIP?”

“Baca surat khabar,” saya memandang pada akhbar tabloid yang terletak di atas lantai tidak jauh dari tempat kami duduk. Aziz perasan saya memandang pada akhbar itu. Dia diam agak lama juga. Seperti berfikir sesuatu.

“Ada tu memang ada,” dia menjawab sambil mengetuk paipnya. Kemudian dia mengeluarkan lebihan tembakau dan mencungkil bahagian dalam paipnya. Selepas itu dia mencekut tembakau daripada bekasnya dan mengisi tembakau baharu itu.

“Baru hari tu. Ada seorang ni. Kawan abang jugak. Selalu jugak datang sini. Hari tu dia cakap memang nak pakai orang, tapi sekarang tak ada sini pulak. Abang baru telefon ofis dia pagi ni. Dia tak ada, ofis kata pergi out-station. Boleh engkau telefon abang sehari dua lagi?”

“Boleh,” jawab saya. Saya menarik nafas lega. Mungkin ada harapan.

“Nanti abang bagi nombor telefon sini,” dia bangun dan terus ke belakang. Mungkin ke dapur agaknya. Beberapa minit kemudian dia keluar membawa dua cawan kopi. Aromanya dari jauh sudah dapat saya hidu. Dia duduk semula dan menghulurkan secawan kepada saya.

“Jemput minum. Ini aje yang ada. Engkau dah minum pagi ni?”

“Dah bang, terima kasih. Kat gerai roti canai tadi. Belakang Masjid Pakistan. Kat situlah saya nampak surat khabar tu.”

Kami terus bersembang.

Saya tidak tahu kenapa Aziz sudi menerima saya. Mudah sekali kami jadi mesra bercerita tentang banyak perkara. Aziz banyak bercerita tentang latar belakangnya dan juga cerita-cerita tentang orang-orang yang datang untuk mendapatkan perkhidmatannya. Banyak juga kisah menarik. Tetapi menurutnya, kisah paling menarik sepanjang dia jadi bomoh ialah apa yang berlaku pada hari itu.

Saya cuba bertanya, "Cerita apa bang?"

Sambil ketawa dia berkata, “Rupa-rupanya kat KL ni ada juga orang datang jumpa abang bukan pasal nak berubat tapi nak minta carikan kerja,” dan dia ketawa lagi. Saya juga ketawa sama.

Sedang kami bersembang tiba-tiba muncul sepasang lelaki dan perempuan di muka pintu memberi salam. Aziz bangun menyambut mereka di pintu dan terus menjemput mereka duduk. Dia memperkenalkan saya kepada pasangan tersebut, “Ni adik saya baru sampai dari Johor.” Saya tidak berkata apa-apa, seperti mengiyakan kenyataan Aziz. Saya menghulurkan tangan bersalam dengan si lelaki.

Selepas bertanya mereka datang dari mana, Aziz berkata, “Tak apa, nak terus cerita, ceritalah. Bukan orang lain. Ni adik saya ni.” Kemudian dia menyambung, “Kalau nak sembang dulu pun tak apa.”

Saya bangga kerana Aziz mengaku saya adiknya. Tetapi saya rasa kurang selesa melihat wajah kedua-duanya yang begitu muram sekali seperti ada masalah besar. Saya memberitahu Aziz, “Bang, tak pe bang. Biar saya keluar kejap. Nanti karang saya naik,” kata saya sambil mengenyitkan mata. Saya harap Aziz faham bahawa saya memang mahu terus balik. Aziz menganggukkan kepala dan sebelum keluar sekali lagi saya bersalaman dengan si lelaki tadi.

Genap dua hari selepas itu saya menelefon Aziz. Katanya dia ada berita gembira. Menurut Aziz, kawannya sudah kembali ke Kuala Lumpur dan Aziz meminta saya datang ke tempatnya dengan segera. Tidak sampai sepuluh minit saya sudah terpacul di depan pintu kediamannya.

“Amboi! Cepatnya sampai?”

“Saya telefon kat kedai koperasi depan tu bang. Lepas sarapan tadi. Lif pun dah okey.”

Seperti sebelumnya dia menghidangkan saya kopi.

“Eh! Baru aje minum bang, kata saya.

“Tak baik, ni rezeki ni, jemputlah.” Saya tidak dapat menolak rezeki.

“Terima kasih, bang.”

“Kawan abang ni memang tengah cari orang. Nak cari orang pandai menulis kata dia tadi. Pagi-pagi tadi dia telefon. Tapi abang tak tau apa kerja tu. Tapi abang dah cakap abang ada kawan. Memang pandai menulis. Sorrylah, abang terus cakap aje. Engkau boleh menulis ke?” dia bertanya sambil mencapai telefon. Saya tidak menjawab.

“Tadi dia telefon entah kat mana entah. Tapi dia kata memang dah balik KL. Bila engkau telefon, terus abang telefon ofis dia tapi kata dia orang dia tak sampai lagi. Orang besar-besar macam tu lah. Bukan tentu bila masuk ofis.”

Berderau darah saya mendengar kata-kata Aziz. Orang besar-besar?

Saya lihat Aziz mendail. Memang dia bersungguh-sungguh mahu membantu saya walaupun saya bukan pelanggan yang datang untuk mendapatkan perhidmatannya. Nasib saya memang baik. Kebetulan kawannya baru sahaja sampai di pejabat. Aziz terus memberitahu bahawa kawan yang disebutnya pada awal pagi tadi masih belum dapat kerja. Lalu dia meminta kawannya itu membantu sekiranya boleh. Apa yang membuatkan saya terharu Aziz memberitahu kawannya itu bahawa dia sudah lama mengenali saya dan saya merupakan kawan baiknya.

“Nama kawan abang ni Shah jugak, ofis dia kat Kampung Baru, kau cakap dengan dia, kau aturlah bila boleh jumpa,” Aziz berbisik sambil menyerahkan telefon tersebut kepada saya.

Saya memberi salam dan memperkenalkan diri. Bila Shah bertanya tentang pengalaman, terus saya terangkan bahawa saya bekas guru di Kulai dan kemudian menyertai sebuah syarikat di Johor Bahru yang mengendalikan sekolah muzik terkenal di Malaysia. Dia bertanya sama ada saya mempunyai pengalaman dalam bidang pengiklanan. Terus saya jawab ada. Sebenarnya tidak kerana waktu bekerja di Yamaha dulu saya hanya terlibat dalam bidang jualan dan promosi sahaja tetapi saya biasa berurusan dengan sebuah agensi pengiklanan kecil.

“Bila engkau boleh datang?” Shah bertanya.

“Sekarang pun boleh. Saya kat tempat Abang Aziz ni.”

“Oh ya, betul. Okey, kalau macam tu, I'm quite free now. Engkau tau Bank Bumi Kampung Baru?”

“Tau.”

Good. Sebelah Bank Bumi, kalau engkau berdiri menghadap bank, engkau datang dari tempat Aziz kan? Okey, sebelah kanan ada bangunan tiga tingkat, kita orang kat atas sekali, nombor 7A. Ada tulis kat pintu, kecik aje, Teater Elit. Faham?”

“Apa dia?”

“Kat pintu kita orang ni ada tulis Teater Elit, faham?” agak keras nada suaranya bila mengulangi

“Faham. Okey, saya datang sekarang,” saya terus meletak telefon.

“Bang , dia suruh saya datang sekarang. Boleh saya pergi bang?”

“Pergilah, mudah-mudahan. Abang doa, insyaallah,” Aziz terus menghulurkan tangan bersalam dengan saya.

Bila saya bangun, Aziz turut bangun dan menghantar saya ke pintu. Sebelum masuk ke dalam lif saya menoleh ke arahnya. Dia masih berdiri di pintu melihat saya sambil tersenyum. Saya berasa cukup terharu.

2 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Mohd. Shah,
Cerita yang menarik. Macam sebuah cerpen.
Boleh sambung ceritanya..nak tahu juga akhiran cerita.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam Haji,
Terima kasih. Ada sambungannya. Lepas ini cerita macam mana saya dapat kerja di Teater Elit. Tengah edit.