Thursday, 7 May 2009

Kalau tak kenal pun tak mengapa..

Benarkah bila kita berkata bahawa kita telah mengenali seseorang itu selama tiga puluh tahun itu bererti kita betul-betul mengenali orang itu? Katakanlah kita mempunyai seorang kawan yang sama-sama masuk ke sekolah rendah dan kemudian sama-sama juga ke sekolah menengah. Selepas menamatkan pelajaran masing-masing pergi melanjutkan pelajaran atau membawa haluan masing-masing dan hanya bertemu semula mungkin sepuluh atau lima belas tahun selepas itu. Katakan bila dikira daripada tarikh kita mengenalinya buat kali pertama sehingga ke saat ini yang berjumlah tiga puluh tahun, apakah bila ditanya kita boleh katakan bahawa kita telah mengenali kawan itu selama tempoh tersebut?

Ataupun, kita hanya mengenalinya bila masuk ke sekolah menengah dan sama-sama belajar selama lima atau atau tujuh tahun dan selepas itu masing-masing pergi menyambung pelajaran dan bertemu semula selepas masing-masing sudah berkeluarga dan anak-anak pun sudah bekerja atau berkahwin. Bolehkah kita katakan bahawa kita sudah saling-mengenali selama dua atau tiga puluh tahun? Saya rasa tidak. Dalam kes-kes seperti di atas jika ditanya saya akan mengatakan saya hanya mula mengenali orang itu pada tahun sekian tetapi bukan mengenalinya selama tempoh sekian.

Saya hanya boleh mengakui bahawa saya telah mengenali seseorang itu selama tempoh sekian lama jika sekiranya kami sama-sama membesar, sama-sama pergi belajar di tempat yang sama atau berdekatan, dan kemudian tinggal berdekatan dan kerap bertemu dan tidak pernah dipisahkan oleh satu tempoh yang panjang. Saya kenal isterinya sebelum mereka bernikah lagi, saya mengenali anak-anaknya sejak kecil lagi dan saya melihat anak-anaknya membesar sehinggalah mereka tamat belajar dan masing-masing berkeluarga. Itu baru betul. Memang saya mengenali kawan saya itu selama tempoh seperti disebutkan.

Baru-baru ini seorang sahabat menganjurkan satu kutipan derma untuk para pelajar sekolah kami. Kempen derma tersebut telah diuar-uarkan dalam e-group bekas pelajar sekolah kami. Setelah beberapa waktu kempen kutipan derma tersebut kurang mendapat sambutan. Lalu sahabat saya itu menghantar mesej memberitahu betapa sedihnya dia kerana daripada sejumlah lebih lapan ratus orang yang mendaftar dalam e-group tersebut dia hanya berjaya mengutip sebanyak dua ribu lebih sahaja. Katanya, kalau masing-masing menderma sebanyak lima puluh ringgit seorang, kutipan tersebut boleh mencapai lebih empat puluh ribu ringgit, cukup untuk membiayai projek yang diperlukan para pelajar sekolah kami itu.

Saya masih belum menderma tetapi sebaik mendapat mesej tersebut saya terus meminta sahabat saya di pejabat membuat pindahan wang ke akaun sahabat saya itu. Kemudian saya memaklumkan kepada dia menerusi sms bahawa saya sudah menderma dan memintanya supaya jangan bersedih. Selang beberapa minit saya mendapat balasan berbunyi seperti di bawah;

"Betoi. Ape x sedihnya. I ask frm my batch a bisnesman, dia kata mntk maaf bisnes x bagus, full stop. Kot2 la RM1,000 ke, 100 ke atau 50 ke. Ini zero. X sedih ke? Pakai mercedes, umah bunglow. Wat is 100 or to to him?"

Sudah tentu. Kalau saya mengalami perkara yang sama saya juga akan berasa sedih. Logiknya, kalau orang yang memiliki rumah bungalow dan mercedes tidak mungkin menolak untuk menderma sekurang-kurangnya seratus ringgit untuk berbakti kepada para pelajar bekas sekolahnya yang amat memerlukan. Mungkin benar ekonomi negara sedang mengalami kegawatan tetapi memberikan jawapan sebegitu memang memeranjatkan. Dia bukan memberikan jawapan kepada orang yang tidak dikenali tetapi orang itu seseorang yang dikenalinya ketika bersekolah lagi sejak berusia tiga belas tahun.

Entahlah. Pengalaman saya sendiri melihat banyak perubahan yang berlaku pada kawan-kawan yang sama-sama bersekolah dahulu. Dahulu mereka lain tetapi bila masing-masing sudah dewasa dan berkerjaya, gaya percakapan sudah berubah, cara melayan kawan-kawan lama juga sudah berubah dan sudah tentu jika diselidiki lebih dalam lagi sikap mereka juga banyak sudah berubah. Ada yang tidak lagi fasih berbahasa Melayu, ada yang gaya duduknya pun terlalu "korporat" walaupun ketika berhadapan dengan seorang kawan lama dan bila bercakap terlalu rasmi bunyinya sehinggakan saya sendiri berasa ragu-ragu untuk bergurau dengan mereka.

Ada juga beberapa orang yang bila bercakap langsung tidak tahu menjaga perasaan kita yang sudah lama tidak bertemu. Begitu sombong, bongkak sekali dan meninggi diri. Kalau bercerita tentang perkembangan diri masing-masing mereka terlupa bahawa antara kawan-kawan di sekeliling ada yang kurang bernasib baik dalam hidup. Semuanya seperti kata orang sekarang bercakap ikut sedap mulut. Mereka juga seperti terlupa asal-usul diri dan juga terlupa bahawa kami amat mengenali siapa mereka semasa mula-mula bertemu di sekolah dahulu.

Saya tidak pernah menyesali apa yang saya lalui. Saya tidak menyesali mengenali kawan-kawan jenis itu kerana itu merupakan salah satu episod kehidupan yang perlu saya lalui yang sudah ditentukan Tuhan. Pengalaman-pengalaman itu banyak menyedarkan saya supaya tidak terlena dibuai mimpi. Kerana itu saya bersyukur saya tidak banyak berubah. Bila bertemu kawan-kawan lama saya masih seperti dahulu. Saya masih mampu bergelak-ketawa dengan gurauan dan kenakalan yang juga masih seperti dulu. Walaupun saya pernah melalui fasa kehidupan yang ternyata mampu mengubah perangai, sikap dan perwatakan saya tetapi saya amat bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk tidak tunduk pada alam yang sering cuba melalaikan saya. Kekuatan inilah yang memungkinkan saya masih terus mampu bernafas meredah kehidupan yang berliku yang penuh dengan pelbagai cabaran yang kadang-kala boleh membuatkan nafas terhenti seketika. Dengan kekuatan inilah saya masih mampu membuatkan hampir setiap kawan lama berasa selesa dengan saya dan tidak serik untuk bertemu lagi.

Tentang kawan-kawan tadi, saya berpendapat biarkanlah mereka meneruskan kehidupan dengan cara mereka kalau mereka merasakan itu boleh memberi mereka kebahagiaan zahir dan batin. Bagi saya mudah sahaja. Lebih baik saya tidak mengenali mereka langsung pada satu waktu dahulu. Seperti kebanyakan orang yang baru saya kenali, jika begitulah sikap mereka, mengapa saya harus ambil peduli lagi. Mereka tidak ada kena-mengena dengan hidup saya. Kalau tak kenal pun tak mengapa. Habis cerita.

No comments: