Tuesday, 26 May 2009

Engkau kan pandai tulis-tulis...

-->
(Saya tujukan khas tulisan ini untuk Ibu Hamimah yang berada di Seremban. Kalau mengikut turutan sebenar, cerita ini elok dibaca sebelum Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur).

Ibu angkat saya memang masin mulutnya. Sebelum berangkat ke Pulau Pinang untuk mengikuti kursus perguruan pada Februari tahun 1976, saya pergi menjenguknya bersama-sama beberapa orang kawan yang semuanya dianggap sebagai anak-anak angkatnya. Tujuan kami ialah untuk mengucapkan selamat tinggal kerana sebahagian besar kawan-kawan saya itu akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan juga luar negara. Tentang saya, dia memang sudah tahu bahawa saya akan mengikuti latihan perguruan di Pulau Pinang.
Saya tidak tahu apakah yang istimewa tentang diri saya kerana sebaik sahaja dia duduk saya merupakan orang pertama yang disoal,
“Bila engkau berangkat?”
“19 haribulan, mak,” jawab saya.
Selepas itu dia memandang ke arah lain sambil berkata, “Hah! Sampai sana menyangkutlah tu.”
Semua yang mendengar tunduk diam sambil tersenyum simpul. Seperti biasa tidak seorang pun berani memberi sebarang komen bila orang tua itu bercakap kecuali jika ditanya. Mereka faham bahawa maksudnya saya akan terpaut dengan seseorang bila berada di maktab nanti. Semasa berjalan meninggalkan rumah ibu angkat kami perkara itu terus jadi gurauan dan teruk juga saya diusik kawan-kawan.
Bila sampai di maktab saya tidak teringat langsung tentang apa yang pernah disebutnya. Saya menjalani kehidupan seperti biasa sebagai pelatih yang bakal jadi guru. Saya seronok berkawan dengan ramai orang tetapi soal tersangkut dengan mana-mana gadis pelatih tidak pernah saya fikirkan walaupun saya tahu banyak juga yang cantik menawan. Lagipun pada ketika itu luka di hati saya masih belum sembuh. Tetapi rupa-rupanya di sebalik perasaan luka dan dendam itu, dalam diam-diam akhirnya saya terpaut hati pada seorang gadis yang saya kenali semasa dia belajar di Kolej Tunku Kurshiah dahulu.
Di maktab kami mengikuti kursus yang sama. Oleh kerana dia merupakan satu-satunya kenalan saya maka sejak hari pertama kuliah kami sudah duduk bersebelahan dan sejak itu kami jarang berenggang. Secara kebetulan nombor maktab kami agak menarik. Nombor saya 273 manakala nombornya 237. Rumah sukan kami juga sama, kami semeja di dewan makan dan hampir ke mana sahaja kami akan bersama sehinggakan ada seorang pensyarah memberitahu bahawa kisah kami menjadi gossip hangat di kalangan para pensyarah. Kami juga mempunyai minat yang sama. Semasa bersekolah dulu dia menyanyi dan saya pula bermain gitar dalam kugiran yang mengiringinya. Bila di maktab kami menyambung minat tersebut, saya bermain muzik dan dia menyanyi. Kami juga pernah berduet dan memenangi satu pertandingan nyanyian.
Akhirnya, saya benar-benar “tersangkut.” Apa yang ibu angkat saya pernah katakan dahulu berlaku juga. Saya tidak perlu bersusah-payah mencari cinta kerana cinta itu rupa-rupanya ada di sebelah saya. Kami bernikah semasa berada di tahun kedua.
Selepas tiga tahun berkahwin masih belum ada tanda-tanda kami akan menimang cahaya mata. Kami sudah mula risau. Ada juga beberapa kali kami rasa teruja bila isteri saya tidak datang haid. Saya menyangka dia akan mengandung. Malangnya selepas menjalani ujian di klinik, rupa-rupanya itu hanya amaran palsu. Pernah dia menangis kecewa dan bila itu berlaku saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Oleh kerana itu kami cuba berikhtiar dengan mendapatkan rawatan tradisional dahulu. Namun setelah hampir dua tahun usaha kami masih juga belum berhasil. Usia perkahwinan kami sudah masuk ke tahun ke lima.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Alangkah kecewanya kami, selepas menjalani pemeriksaan doktor memberitahu bahawa peluang kami untuk menimang cahaya mata amat tipis sekali. Sekali lagi isteri saya menangis dan sekali lagi saya tidak tahu apa yang perlu saya buat untuk memujuknya. Namun kami lalui dugaan itu dengan penuh kesabaran. Baru kami tahu betapa hebatnya dugaan bagi pasangan yang tidak ada cahaya mata. Apatah lagi mereka yang sudah lama mendirikan rumah tangga. Bukan sekadar kawan-kawan di sekolah tetapi juga saudara-mara cukup gemar mengusik sehinggakan ada kalanya saya tidak tahan mendengar. Bagi saya, soal pasangan tidak mempunyai cahaya mata tidak wajar dijadikan gurauan.
Namun kami tidak putus asa. Kami terus berdoa walaupun terpaksa menunggu dengan harapan yang kami sedar sememangnya tipis kerana itulah keputusan pakar perubatan. Kami juga tidak dapat menduga apa akan berlaku di hari-hari mendatang. Namun ikatan kami tetap utuh dan saya pernah menyatakan kepada isteri saya bahawa saya tidak akan berubah sekalipun kami tidak mempunyai cahaya mata.
Perkara ini pernah dibangkitkan seseorang di hadapan saya. Dia memberitahu saya kalau perkara yang sama berlaku kepadanya mungkin dia sudah menikahi perempuan lain untuk mendapatkan zuriat. Menurutnya, zuriat itu maruah lelaki. Terbakar juga saya mendengar kata-katanya. Lalu saya jawab, memang saya tidak nafikan perkara itu diharuskan. Tetapi setelah sekian lama bercinta, berjanji bulan dan bintang dan mengharungi suka-duka bersama tetapi bila timbul masalah tidak boleh mendapat zuriat, tiba-tiba saya berpaling tadah. Saya meninggalkan isteri saya itu seorang diri menghadapi masalah tersebut. Adakah ini adil? Haruskah saya melupakan segala bulan dan bintang yang saya janjikan dahulu? Lagipun perkara ini tidak pernah kami janjikan sama ada secara lisan maupun bertulis. Hubungan yang kami bina dulu bukan kerana zuriat. Kami menjalin kasih sayang atas dasar cinta antara satu sama lain dan bukan kerana “Kalau kau boleh memberi aku zuriat maka aku cinta padamu dan andainya kau gagal, kita terpaksa lupakan soal cinta kita dan segala janji-janji dulu kerana aku terpaksa cari perempuan lain. Ini terpaksa aku lakukannya demi maruah aku.”
Mendengar kata-kata saya, kawan itu terus terdiam. Saya katakan lagi, perkara ini tidak timbul dalam lafaz taklik semasa kami bernikah dulu. Saya cuba tanyakan kepada dia apakah makna ego lelaki? Dia tidak menjawab. Apa kata kalau selepas bernikah dengan perempuan lain tiba-tiba saya gagal juga mendapat anak? Di mana harus saya letakkan ego lelaki saya? Mungkin benar doktor yang memeriksa kami itu mempunyai pelbagai alasan kukuh dalam memberi keputusan kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan ilmu yang dipelajarinya. Tetapi kita tidak harus lupa pada kuasa Allah yang kalau Dia kata jadi maka jadilah tanpa mengira dalam situasi mana sekalipun. Saya beritahu kawan itu apa yang mampu saya buat hanya terus berdoa dan mohon kepadaNya. Selepas selesai saya berkhutbah kawan itu terus diam.
Pada penghujung tahun 1982 saya membawa isteri saya ke Seremban melawat ibu angkat saya. Kami ke sana untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya tentang kes kami. Seperti biasa, belum pun ditanya terpacul soalan yang dinanti-nantikan seolah-olah dia tahu hajat dan isi hati kami,
“Dah berapa lama engkau orang kahwin?”
“Tak lama lagi masuk enam tahun mak.”
“Engkau orang dah pergi berubat?” tanyanya.
“Dah mak, dah puas berubat,” jawab saya.
“Mana engkau orang pergi?”
“Bidan kampung dah, doktor pun dah pergi jugak,” saya menjelaskan.
“Doktor kata apa?” dia bertanya lagi.
“Doktor kata tak boleh dapat. Memang susah, mak,” saya menjawab penuh kecewa. Isteri saya hanya mendiamkan diri.
“Pergi balik. Jumpa doktor tu balik,” katanya tegas.
Dalam hati saya bertanya, apa hal pula orang tua ini? Bukankah saya sudah menceritakan bahawa doktor di Johor Bahru memberitahu kami keputusan pemeriksaan tersebut. Harapan kami untuk mendapat zuriat memang tipis. Mungkin tidak ada langsung.
“Jumpa doktor lagi mak?” saya bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Iye, pergi balik hospital. Doktor bukan Tuhan,” dia terus beralih ke topik lain.
Kembali ke Johor Bahru, sekali lagi kami ke Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Kes isteri saya dikaji semula dan sekali lagi pemeriksaan dijalankan terhadap kami berdua. Akhirnya doktor memutuskan bahawa isteri saya perlu menjalani rawatan. Mendengar kata-kata doktor itu saya rasa seperti ada harapan baru. Bagaimanapun kalau tidak silap isteri saya hanya sempat menjalani dua kali rawatan sahaja kerana pada hari rawatan ketiga dia agak keberatan untuk ke hospital. Dia juga memberitahu saya badannya rasa kurang sihat dan meminta saya menghantarnya ke klinik. Sampai di klinik saya terpaksa meninggalkannya kerana urusan kerja. Apabila balik ke rumah pada waktu tengahari saya bertanya apa kata doktor. Dia tersenyum. Saya hairan mengapa dia tersenyum begitu. Rupa-rupanya doktor memberitahu bahawa keputusan ujian air kencingnya positif. Bayangkan betapa gembiranya saya bila mendapat tahu tentang keputusan tersebut. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan saya pada saat itu. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kalau tidak silap, selepas dua bulan sekali lagi saya membawa isteri saya ke hospital untuk pengesahan dan bila diperiksa doktor-doktor di situ terperanjat. Mereka menganggapnya satu kes istimewa. Sekali lagi saya teringat kata-kata ibu angkat saya.
Selepas meninggalkan Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur pada awal tahun 1984, saya masih belum mendapat pekerjaan walaupun sudah mencuba di beberapa tempat. Seperti biasa bila dalam kesusahan saya akan pergi menemui ibu angkat saya. Kali ini saya ke Seremban seorang diri. Kebiasaannya kalau ada orang lain dia tidak akan menyentuh hal-hal peribadi. Kerana itu untuk mengelakkan perkara tersebut lebih baik jangan pergi seorang diri. Tetapi kali ini saya nekad. Saya redha dan kalau ditakdirkan dia mahu membelasah saya secukupnya, persilakanlah. Saya bersedia kerana saya tahu saya sudah banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan mengenai kehidupan saya.
Saya sampai di rumahnya kira-kira jam 3 petang. Selepas memberi salam saya menunggu agak lama. Tiba-tiba ibu angkat saya keluar menyambut saya.
“Hah! Engkau. Masuklah. Mak seorang aje kat rumah ni.”
Saya terus masuk. Saya perasan dia asyik memerhatikan saya dengan wajah kurang ceria. Tiba-tiba dia bersuara,
“Patutlah dah berapa hari ni mak asyik mimpikan engkau. Rupa-rupanya engkau nak datang,” dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Saya tak faham apa maksudnya.
“Duduklah,” katanya sambil menarik langsir yang tadi bertutup.
Siap, kata hati saya. Dia dah mula dah. Kalau termimpikan saya tentu ada kes berat yang mahu diberitahu. Saya senyap tak berani berkata sepatah pun.
“Engkau tau mak mimpi apa?” dia merenung tepat ke mata saya. “Mak nampak muka engkau susah aje. Kenapa engkau ni?” Dia masih lagi berdiri di tepi tingkap. Saya terasa dia amat sedih melihat keadaan saya.
Kemudian dia menghampiri sofa dan terus duduk di hadapan saya. Saya perhatikan sekali lagi. Mukanya berkerut. Nampak sekali dia seperti berkongsi kesedihan saya.
“Susah betul mak tengok engkau ni. Cuba engkau cakap.”
Saya menarik nafas panjang. Bukan senang nak bercerita dengan orang tua ini. “Mana tak susah mak.. Saya tak dapat kerja lagi. Farida pun tak lama lagi bersalin.”
“Dia ada kat mana ni?”
“Kat kampung dengan mak dia. Teluk Intan.”
“Dia tak mengajar ke?”
“Tak. Dia cuti.”
“Hai! Belum bersalin dah cuti. Cuti apa?”
“Cuti tanpa gaji mak. Sampai bersalin. Dah dekat tiga bulan dah. Lepas tu saya nak bawak pindah KL. Saya dah buat dah, uruskan dia tukar KL.”
“Hah! Tak bergajilah tu,” dia mengalih pandangan. Kemudian menyambung cakap, “Yang engkau ni tak pasal-pasal berhenti kat Johor tu kenapa?”
“Panjang cerita mak..” rasanya berat juga saya mahu bercerita.
“Tak apalah. Engkau cerita, mak dengar.”
Mendengar kata-katanya itu saya berasa lega. Saya mahu terus bercerita tetapi saya terpaksa mengambil sedikit masa. Memetik kata-kata seorang penulis Inggeris yang saya sudah lupa namanya, "It's not that the story is long but it takes a long time to make it short." Memang benar, ceritanya tidak sepanjang mana tetapi untuk meringkaskannya mengambil masa agak panjang.
 Saya dapat rasakan bila saya becerita orang tua itu mendengar dengan penuh tekun. Saya rasa tidak ada satu ayat pun yang terlepas daripada pendengarannya. Matanya juga tidak lepas daripada memandang saya. Memang saya cukup terharu. Selesai saya bercerita dia bertanya, “Dah tu engkau nak buat apa lepas ni?”
“Tak taulah mak, hari tu dah pergi interviu jugak. Yang satu tu syarikat buku, tapi tak ada jawab pun.”
Ibu angkat saya mengeluh panjang. Tiba-tiba dia bangun menuju ke dapur tanpa berkata sepatah pun. Bimbang juga saya melihat dia begitu. Apakah dia bosan mendengar cerita saya tadi?
Memang saya ada memohon jawatan di syarikat penerbitan Longman yang ketika itu berpejabat di Wisma Damansara. Saya menaruh harapan tinggi kerana pengurus besar yang menemuduga saya ada menyebut, “If you want a car, we’ll give you one. With that you can even drive to Timbuktu. But on one condition. Please bring back sales.” Cuma saya takut, belum tentu saya boleh jadi seorang salesman yang baik. Tapi kalau tak dapat pun tak apa. Tak ada kereta pun tak mengapa. Kalau boleh saya mahu cari kerja lain. Saya tak suka kerja jadi jurujual.
Lama juga dia di belakang. Bunyi seperti dia menjerang air. Atau mungkin juga dia bersolat. Sedang saya mengelamun tiba-tiba dia bersuara sambil membawa secawan air,
“Boleh dapat ke…?” nada ibu angkat saya bertanya itu seperti kurang yakin saya boleh dapat kerja tersebut. Biasanya kalau dia berkata begitu memang tak dapat nampaknya. Saya hanya diam.
Kemudian dia berkata, “Mak rasa macam tak dapat aje. Engkau jangan harap sangat..”
Dia memandang saya. Sayu sungguh pandangannya. Tiba-tiba keluar dari mulutnya, “Eh, engkau kan pandai tulis-tulis, kan?”
Saya tergamam. Saya berkata dalam hati, sejak bila pula saya pandai menulis? Mana mak dengar ni?
“Engkau kan cikgu, engkau carilah kerja yang ada tulis-tulis. Engkau kan pandai tulis,” ibu angkat saya itu beriya-iya menegaskan yang saya pandai menulis. Tiba-tiba wajahnya yang sayu bertukar menjadi ceria.
"Dah, minum. Minum dulu. Ada rezeki engkau, insyaAllah."
Saya tak faham orang tua ini. Memang saya minat menulis, sejak kecil dulu. Dan saya rasa saya boleh menulis kalau diperlukan. Lagipun peperiksaan M.C.E dulu saya dapat distinction untuk Bahasa Melayu. Memang saya minat bahasa. Tetapi saya belum pernah lagi menulis apa-apa yang besar kecuali beberapa kertas kerja yang saya pelajari ilmunya semasa menghadiri kursus MARA. Dan yang paling saya rasa hebat ialah menulis surat cinta. Masa bercinta dulu memang saya suka menulis surat-surat panjang. Itu saja testimonial yang saya ada. Kerana itu kata-kata ibu angkat saya itu sukar untuk saya percaya. Saya bertanya pada diri saya, “Menulis?”
Petang itu bila menantunya Nadi balik dari kerja, dia mengajak saya keluar bersama. Katanya, “Marilah, mak nak ajak engkau jalan-jalan ni.” Pada mulanya saya agak keberatan. Lebih baik saya tidur saja. Tetapi saya terfikir, pasti ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Terus saya menukar fikiran. Memang betul, syarahannya sepanjang berada di dalam kereta itu cukup panjang yang hampir kesemuanya masih saya ingat hingga ke hari ini. Bila Nadi dan isterinya turun membeli barang di kedai, kami tinggal di dalam kereta dan sesi syarahan menjadi lebih menarik seperti satu perbicaraan tertutup.
Di sebelah malam selepas makan dia meminta Nadi menghantar saya ke stesen bas untuk kembali ke Kuala Lumpur. Seperti biasa selepas bertemu ibu angkat saya itu hati saya jadi tenang semula. Semangat saya yang hilang datang kembali. Memang benar, bertemu dengannya pasti melegakan. Perkara itu berlaku bukan sekali tetapi sudah banyak kali dan saya masih juga tidak dapat memahaminya. Apa istimewanya dia dan di mana kehebatannya, wallahu’alam. Apa yang saya tahu dia hanya seorang manusia biasa, seorang tua yang penyayang yang selalu membuatkan kita terasa bertapa dekatnya dia sekalipun berjauhan. Tetapi apa yang jelas, mulutnya masin kerana apa yang dikatakannya ditakdirkan Allah, selalu berlaku. Apakah selepas ini akan berlaku keajaiban lagi?
Sepanjang berada di dalam bas SKS fikiran saya kosong. Tidak ada apa yang saya fikirkan kerana semakin saya cuba fikirkan tentang kata-kata ibu angkat saya itu semakin keliru jadinya. Menulis? Mana mungkin saya boleh menulis. Saya terus terlelap.

2 comments:

rObOt said...

Suka baca blog En, tp lm sudah xupdate.

mungkin boleh kunjungi sesawang ini, untuk berkongsi ilmu penulisan (:

www.kapasitor.net

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam robot,
terima kasih kerana suka membaca blog saya.
Sekadar makluman, blog ini bukan blog harian atau mingguan atau bulanan yang perlu diupdate.
Saya juga tidak membincangkan isu-isu semasa seperti blog-blog lain.
Saya hanya akan bercerita bila ada cerita yang ingin saya ceritakan. Semuanya kisah benar dan bukan direka-reka. Kalau kisah yang saya paparkan selama ini dijadikan koleksi dalam bentuk buku, ia nanti bukan sebuah novel. Ia lebih merupakan catatan pengalaman.
Kalau masih suka, harap bersabar kerana masih ada lagi cerita yang belum saya keluarkan.
Tentang ilmu penulisan, maaf Robot, saya tak ada ilmu menulis untuk dikongsi. Saya menulis secara kebetulan kerana suka pada bahasa dan kebetulan saya ada cerita untuk disampaikan.
salam.