Tuesday, 26 May 2009

Engkau kan pandai tulis-tulis...

-->
(Saya tujukan khas tulisan ini untuk Ibu Hamimah yang berada di Seremban. Kalau mengikut turutan sebenar, cerita ini elok dibaca sebelum Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur).

Ibu angkat saya memang masin mulutnya. Sebelum berangkat ke Pulau Pinang untuk mengikuti kursus perguruan pada Februari tahun 1976, saya pergi menjenguknya bersama-sama beberapa orang kawan yang semuanya dianggap sebagai anak-anak angkatnya. Tujuan kami ialah untuk mengucapkan selamat tinggal kerana sebahagian besar kawan-kawan saya itu akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan juga luar negara. Tentang saya, dia memang sudah tahu bahawa saya akan mengikuti latihan perguruan di Pulau Pinang.
Saya tidak tahu apakah yang istimewa tentang diri saya kerana sebaik sahaja dia duduk saya merupakan orang pertama yang disoal,
“Bila engkau berangkat?”
“19 haribulan, mak,” jawab saya.
Selepas itu dia memandang ke arah lain sambil berkata, “Hah! Sampai sana menyangkutlah tu.”
Semua yang mendengar tunduk diam sambil tersenyum simpul. Seperti biasa tidak seorang pun berani memberi sebarang komen bila orang tua itu bercakap kecuali jika ditanya. Mereka faham bahawa maksudnya saya akan terpaut dengan seseorang bila berada di maktab nanti. Semasa berjalan meninggalkan rumah ibu angkat kami perkara itu terus jadi gurauan dan teruk juga saya diusik kawan-kawan.
Bila sampai di maktab saya tidak teringat langsung tentang apa yang pernah disebutnya. Saya menjalani kehidupan seperti biasa sebagai pelatih yang bakal jadi guru. Saya seronok berkawan dengan ramai orang tetapi soal tersangkut dengan mana-mana gadis pelatih tidak pernah saya fikirkan walaupun saya tahu banyak juga yang cantik menawan. Lagipun pada ketika itu luka di hati saya masih belum sembuh. Tetapi rupa-rupanya di sebalik perasaan luka dan dendam itu, dalam diam-diam akhirnya saya terpaut hati pada seorang gadis yang saya kenali semasa dia belajar di Kolej Tunku Kurshiah dahulu.
Di maktab kami mengikuti kursus yang sama. Oleh kerana dia merupakan satu-satunya kenalan saya maka sejak hari pertama kuliah kami sudah duduk bersebelahan dan sejak itu kami jarang berenggang. Secara kebetulan nombor maktab kami agak menarik. Nombor saya 273 manakala nombornya 237. Rumah sukan kami juga sama, kami semeja di dewan makan dan hampir ke mana sahaja kami akan bersama sehinggakan ada seorang pensyarah memberitahu bahawa kisah kami menjadi gossip hangat di kalangan para pensyarah. Kami juga mempunyai minat yang sama. Semasa bersekolah dulu dia menyanyi dan saya pula bermain gitar dalam kugiran yang mengiringinya. Bila di maktab kami menyambung minat tersebut, saya bermain muzik dan dia menyanyi. Kami juga pernah berduet dan memenangi satu pertandingan nyanyian.
Akhirnya, saya benar-benar “tersangkut.” Apa yang ibu angkat saya pernah katakan dahulu berlaku juga. Saya tidak perlu bersusah-payah mencari cinta kerana cinta itu rupa-rupanya ada di sebelah saya. Kami bernikah semasa berada di tahun kedua.
Selepas tiga tahun berkahwin masih belum ada tanda-tanda kami akan menimang cahaya mata. Kami sudah mula risau. Ada juga beberapa kali kami rasa teruja bila isteri saya tidak datang haid. Saya menyangka dia akan mengandung. Malangnya selepas menjalani ujian di klinik, rupa-rupanya itu hanya amaran palsu. Pernah dia menangis kecewa dan bila itu berlaku saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Oleh kerana itu kami cuba berikhtiar dengan mendapatkan rawatan tradisional dahulu. Namun setelah hampir dua tahun usaha kami masih juga belum berhasil. Usia perkahwinan kami sudah masuk ke tahun ke lima.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Alangkah kecewanya kami, selepas menjalani pemeriksaan doktor memberitahu bahawa peluang kami untuk menimang cahaya mata amat tipis sekali. Sekali lagi isteri saya menangis dan sekali lagi saya tidak tahu apa yang perlu saya buat untuk memujuknya. Namun kami lalui dugaan itu dengan penuh kesabaran. Baru kami tahu betapa hebatnya dugaan bagi pasangan yang tidak ada cahaya mata. Apatah lagi mereka yang sudah lama mendirikan rumah tangga. Bukan sekadar kawan-kawan di sekolah tetapi juga saudara-mara cukup gemar mengusik sehinggakan ada kalanya saya tidak tahan mendengar. Bagi saya, soal pasangan tidak mempunyai cahaya mata tidak wajar dijadikan gurauan.
Namun kami tidak putus asa. Kami terus berdoa walaupun terpaksa menunggu dengan harapan yang kami sedar sememangnya tipis kerana itulah keputusan pakar perubatan. Kami juga tidak dapat menduga apa akan berlaku di hari-hari mendatang. Namun ikatan kami tetap utuh dan saya pernah menyatakan kepada isteri saya bahawa saya tidak akan berubah sekalipun kami tidak mempunyai cahaya mata.
Perkara ini pernah dibangkitkan seseorang di hadapan saya. Dia memberitahu saya kalau perkara yang sama berlaku kepadanya mungkin dia sudah menikahi perempuan lain untuk mendapatkan zuriat. Menurutnya, zuriat itu maruah lelaki. Terbakar juga saya mendengar kata-katanya. Lalu saya jawab, memang saya tidak nafikan perkara itu diharuskan. Tetapi setelah sekian lama bercinta, berjanji bulan dan bintang dan mengharungi suka-duka bersama tetapi bila timbul masalah tidak boleh mendapat zuriat, tiba-tiba saya berpaling tadah. Saya meninggalkan isteri saya itu seorang diri menghadapi masalah tersebut. Adakah ini adil? Haruskah saya melupakan segala bulan dan bintang yang saya janjikan dahulu? Lagipun perkara ini tidak pernah kami janjikan sama ada secara lisan maupun bertulis. Hubungan yang kami bina dulu bukan kerana zuriat. Kami menjalin kasih sayang atas dasar cinta antara satu sama lain dan bukan kerana “Kalau kau boleh memberi aku zuriat maka aku cinta padamu dan andainya kau gagal, kita terpaksa lupakan soal cinta kita dan segala janji-janji dulu kerana aku terpaksa cari perempuan lain. Ini terpaksa aku lakukannya demi maruah aku.”
Mendengar kata-kata saya, kawan itu terus terdiam. Saya katakan lagi, perkara ini tidak timbul dalam lafaz taklik semasa kami bernikah dulu. Saya cuba tanyakan kepada dia apakah makna ego lelaki? Dia tidak menjawab. Apa kata kalau selepas bernikah dengan perempuan lain tiba-tiba saya gagal juga mendapat anak? Di mana harus saya letakkan ego lelaki saya? Mungkin benar doktor yang memeriksa kami itu mempunyai pelbagai alasan kukuh dalam memberi keputusan kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan ilmu yang dipelajarinya. Tetapi kita tidak harus lupa pada kuasa Allah yang kalau Dia kata jadi maka jadilah tanpa mengira dalam situasi mana sekalipun. Saya beritahu kawan itu apa yang mampu saya buat hanya terus berdoa dan mohon kepadaNya. Selepas selesai saya berkhutbah kawan itu terus diam.
Pada penghujung tahun 1982 saya membawa isteri saya ke Seremban melawat ibu angkat saya. Kami ke sana untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya tentang kes kami. Seperti biasa, belum pun ditanya terpacul soalan yang dinanti-nantikan seolah-olah dia tahu hajat dan isi hati kami,
“Dah berapa lama engkau orang kahwin?”
“Tak lama lagi masuk enam tahun mak.”
“Engkau orang dah pergi berubat?” tanyanya.
“Dah mak, dah puas berubat,” jawab saya.
“Mana engkau orang pergi?”
“Bidan kampung dah, doktor pun dah pergi jugak,” saya menjelaskan.
“Doktor kata apa?” dia bertanya lagi.
“Doktor kata tak boleh dapat. Memang susah, mak,” saya menjawab penuh kecewa. Isteri saya hanya mendiamkan diri.
“Pergi balik. Jumpa doktor tu balik,” katanya tegas.
Dalam hati saya bertanya, apa hal pula orang tua ini? Bukankah saya sudah menceritakan bahawa doktor di Johor Bahru memberitahu kami keputusan pemeriksaan tersebut. Harapan kami untuk mendapat zuriat memang tipis. Mungkin tidak ada langsung.
“Jumpa doktor lagi mak?” saya bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Iye, pergi balik hospital. Doktor bukan Tuhan,” dia terus beralih ke topik lain.
Kembali ke Johor Bahru, sekali lagi kami ke Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Kes isteri saya dikaji semula dan sekali lagi pemeriksaan dijalankan terhadap kami berdua. Akhirnya doktor memutuskan bahawa isteri saya perlu menjalani rawatan. Mendengar kata-kata doktor itu saya rasa seperti ada harapan baru. Bagaimanapun kalau tidak silap isteri saya hanya sempat menjalani dua kali rawatan sahaja kerana pada hari rawatan ketiga dia agak keberatan untuk ke hospital. Dia juga memberitahu saya badannya rasa kurang sihat dan meminta saya menghantarnya ke klinik. Sampai di klinik saya terpaksa meninggalkannya kerana urusan kerja. Apabila balik ke rumah pada waktu tengahari saya bertanya apa kata doktor. Dia tersenyum. Saya hairan mengapa dia tersenyum begitu. Rupa-rupanya doktor memberitahu bahawa keputusan ujian air kencingnya positif. Bayangkan betapa gembiranya saya bila mendapat tahu tentang keputusan tersebut. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan saya pada saat itu. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kalau tidak silap, selepas dua bulan sekali lagi saya membawa isteri saya ke hospital untuk pengesahan dan bila diperiksa doktor-doktor di situ terperanjat. Mereka menganggapnya satu kes istimewa. Sekali lagi saya teringat kata-kata ibu angkat saya.
Selepas meninggalkan Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur pada awal tahun 1984, saya masih belum mendapat pekerjaan walaupun sudah mencuba di beberapa tempat. Seperti biasa bila dalam kesusahan saya akan pergi menemui ibu angkat saya. Kali ini saya ke Seremban seorang diri. Kebiasaannya kalau ada orang lain dia tidak akan menyentuh hal-hal peribadi. Kerana itu untuk mengelakkan perkara tersebut lebih baik jangan pergi seorang diri. Tetapi kali ini saya nekad. Saya redha dan kalau ditakdirkan dia mahu membelasah saya secukupnya, persilakanlah. Saya bersedia kerana saya tahu saya sudah banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan mengenai kehidupan saya.
Saya sampai di rumahnya kira-kira jam 3 petang. Selepas memberi salam saya menunggu agak lama. Tiba-tiba ibu angkat saya keluar menyambut saya.
“Hah! Engkau. Masuklah. Mak seorang aje kat rumah ni.”
Saya terus masuk. Saya perasan dia asyik memerhatikan saya dengan wajah kurang ceria. Tiba-tiba dia bersuara,
“Patutlah dah berapa hari ni mak asyik mimpikan engkau. Rupa-rupanya engkau nak datang,” dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Saya tak faham apa maksudnya.
“Duduklah,” katanya sambil menarik langsir yang tadi bertutup.
Siap, kata hati saya. Dia dah mula dah. Kalau termimpikan saya tentu ada kes berat yang mahu diberitahu. Saya senyap tak berani berkata sepatah pun.
“Engkau tau mak mimpi apa?” dia merenung tepat ke mata saya. “Mak nampak muka engkau susah aje. Kenapa engkau ni?” Dia masih lagi berdiri di tepi tingkap. Saya terasa dia amat sedih melihat keadaan saya.
Kemudian dia menghampiri sofa dan terus duduk di hadapan saya. Saya perhatikan sekali lagi. Mukanya berkerut. Nampak sekali dia seperti berkongsi kesedihan saya.
“Susah betul mak tengok engkau ni. Cuba engkau cakap.”
Saya menarik nafas panjang. Bukan senang nak bercerita dengan orang tua ini. “Mana tak susah mak.. Saya tak dapat kerja lagi. Farida pun tak lama lagi bersalin.”
“Dia ada kat mana ni?”
“Kat kampung dengan mak dia. Teluk Intan.”
“Dia tak mengajar ke?”
“Tak. Dia cuti.”
“Hai! Belum bersalin dah cuti. Cuti apa?”
“Cuti tanpa gaji mak. Sampai bersalin. Dah dekat tiga bulan dah. Lepas tu saya nak bawak pindah KL. Saya dah buat dah, uruskan dia tukar KL.”
“Hah! Tak bergajilah tu,” dia mengalih pandangan. Kemudian menyambung cakap, “Yang engkau ni tak pasal-pasal berhenti kat Johor tu kenapa?”
“Panjang cerita mak..” rasanya berat juga saya mahu bercerita.
“Tak apalah. Engkau cerita, mak dengar.”
Mendengar kata-katanya itu saya berasa lega. Saya mahu terus bercerita tetapi saya terpaksa mengambil sedikit masa. Memetik kata-kata seorang penulis Inggeris yang saya sudah lupa namanya, "It's not that the story is long but it takes a long time to make it short." Memang benar, ceritanya tidak sepanjang mana tetapi untuk meringkaskannya mengambil masa agak panjang.
 Saya dapat rasakan bila saya becerita orang tua itu mendengar dengan penuh tekun. Saya rasa tidak ada satu ayat pun yang terlepas daripada pendengarannya. Matanya juga tidak lepas daripada memandang saya. Memang saya cukup terharu. Selesai saya bercerita dia bertanya, “Dah tu engkau nak buat apa lepas ni?”
“Tak taulah mak, hari tu dah pergi interviu jugak. Yang satu tu syarikat buku, tapi tak ada jawab pun.”
Ibu angkat saya mengeluh panjang. Tiba-tiba dia bangun menuju ke dapur tanpa berkata sepatah pun. Bimbang juga saya melihat dia begitu. Apakah dia bosan mendengar cerita saya tadi?
Memang saya ada memohon jawatan di syarikat penerbitan Longman yang ketika itu berpejabat di Wisma Damansara. Saya menaruh harapan tinggi kerana pengurus besar yang menemuduga saya ada menyebut, “If you want a car, we’ll give you one. With that you can even drive to Timbuktu. But on one condition. Please bring back sales.” Cuma saya takut, belum tentu saya boleh jadi seorang salesman yang baik. Tapi kalau tak dapat pun tak apa. Tak ada kereta pun tak mengapa. Kalau boleh saya mahu cari kerja lain. Saya tak suka kerja jadi jurujual.
Lama juga dia di belakang. Bunyi seperti dia menjerang air. Atau mungkin juga dia bersolat. Sedang saya mengelamun tiba-tiba dia bersuara sambil membawa secawan air,
“Boleh dapat ke…?” nada ibu angkat saya bertanya itu seperti kurang yakin saya boleh dapat kerja tersebut. Biasanya kalau dia berkata begitu memang tak dapat nampaknya. Saya hanya diam.
Kemudian dia berkata, “Mak rasa macam tak dapat aje. Engkau jangan harap sangat..”
Dia memandang saya. Sayu sungguh pandangannya. Tiba-tiba keluar dari mulutnya, “Eh, engkau kan pandai tulis-tulis, kan?”
Saya tergamam. Saya berkata dalam hati, sejak bila pula saya pandai menulis? Mana mak dengar ni?
“Engkau kan cikgu, engkau carilah kerja yang ada tulis-tulis. Engkau kan pandai tulis,” ibu angkat saya itu beriya-iya menegaskan yang saya pandai menulis. Tiba-tiba wajahnya yang sayu bertukar menjadi ceria.
"Dah, minum. Minum dulu. Ada rezeki engkau, insyaAllah."
Saya tak faham orang tua ini. Memang saya minat menulis, sejak kecil dulu. Dan saya rasa saya boleh menulis kalau diperlukan. Lagipun peperiksaan M.C.E dulu saya dapat distinction untuk Bahasa Melayu. Memang saya minat bahasa. Tetapi saya belum pernah lagi menulis apa-apa yang besar kecuali beberapa kertas kerja yang saya pelajari ilmunya semasa menghadiri kursus MARA. Dan yang paling saya rasa hebat ialah menulis surat cinta. Masa bercinta dulu memang saya suka menulis surat-surat panjang. Itu saja testimonial yang saya ada. Kerana itu kata-kata ibu angkat saya itu sukar untuk saya percaya. Saya bertanya pada diri saya, “Menulis?”
Petang itu bila menantunya Nadi balik dari kerja, dia mengajak saya keluar bersama. Katanya, “Marilah, mak nak ajak engkau jalan-jalan ni.” Pada mulanya saya agak keberatan. Lebih baik saya tidur saja. Tetapi saya terfikir, pasti ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Terus saya menukar fikiran. Memang betul, syarahannya sepanjang berada di dalam kereta itu cukup panjang yang hampir kesemuanya masih saya ingat hingga ke hari ini. Bila Nadi dan isterinya turun membeli barang di kedai, kami tinggal di dalam kereta dan sesi syarahan menjadi lebih menarik seperti satu perbicaraan tertutup.
Di sebelah malam selepas makan dia meminta Nadi menghantar saya ke stesen bas untuk kembali ke Kuala Lumpur. Seperti biasa selepas bertemu ibu angkat saya itu hati saya jadi tenang semula. Semangat saya yang hilang datang kembali. Memang benar, bertemu dengannya pasti melegakan. Perkara itu berlaku bukan sekali tetapi sudah banyak kali dan saya masih juga tidak dapat memahaminya. Apa istimewanya dia dan di mana kehebatannya, wallahu’alam. Apa yang saya tahu dia hanya seorang manusia biasa, seorang tua yang penyayang yang selalu membuatkan kita terasa bertapa dekatnya dia sekalipun berjauhan. Tetapi apa yang jelas, mulutnya masin kerana apa yang dikatakannya ditakdirkan Allah, selalu berlaku. Apakah selepas ini akan berlaku keajaiban lagi?
Sepanjang berada di dalam bas SKS fikiran saya kosong. Tidak ada apa yang saya fikirkan kerana semakin saya cuba fikirkan tentang kata-kata ibu angkat saya itu semakin keliru jadinya. Menulis? Mana mungkin saya boleh menulis. Saya terus terlelap.

Saturday, 16 May 2009

Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur 2

Saya sampai di hadapan pintu Teater Elit kira-kira lima belas minit selepas meninggalkan Bangunan Jaya. Pejabatnya terletak di tingkat tiga sebuah bangunan bersebelahan bangunan di mana terdapat Bank Bumiputra berhampiran persimpangan Jalan Raja Abdullah/Jalan Raja Muda. Di tingkat bawah bangunan itu terdapat sebuah klinik iaitu Klinik Salmah. Bila saya sampai di tingkat tiga saya dapati ia tidak kelihatan seperti sebuah pejabat. Jeriji pintu pun tidak dipasang tetapi pintunya terbuka luas. Dari luar saya dapat lihat ada empat buah meja terletak di dalam ruang yang agak sempit. Meja-mejanya berselerak. Saya mula berasa tidak sedap hati. Apakah benar ini pejabat “orang besar-besar” seperti yang Aziz katakan tadi? Tidak mungkin pejabat orang besar begini rupanya. Saya mendekati pintu pejabat itu dan bila saya menarik daun pintu yang terbuka itu memang betul ada tertampal nama Teater Elit. Tiba-tiba saya teringat. Kalau tidak silap inilah syarikat yang pernah mementaskan teater dari filem ke pentas berjudul “Esok Untuk Siapa.” Teater Elit juga pernah buat teater tari di Hotel Century. Ingatan itu semakin jelas. Ya, betul. Memang sah. Saya pernah terbaca dalam surat khabar dulu. Saya pun memberi salam.

Seorang perempuan muda keluar dan bertanya, “Kamu Mat Shah ke? Yang telefon tadi?”

Dalam hati saya berkata, budak ini kurang asam betul. Sudahlah dia tidak menjawab salam saya, cara dia bercakap seperti tidak tahu menghormati orang lebih tua. Umur saya sudah hampir dua puluh lapan tahun dan akan jadi bapa tidak lama lagi sedangkan umur budak perempuan itu saya rasa mungkin dalam awal dua puluhan. Boleh ke dia panggil saya Mat Shah sahaja dan dia “kamu-kamukan” saya. Siapa budak ini agaknya?

“Ya, saya Mohd. Shah.”

“Masuklah, Tuan dengan Abang Shah tengah tunggu kamu kat bilik.” Ha! Kamu lagi.

Tuan? Oh! Mungkin betul ini tempat orang besar seperti yang Aziz katakan tadi. Bos pun dia panggil tuan.

Saya mengekori budak perempuan itu ke bilik tengah pejabat itu. Tiba-tiba hati saya berbelah-bagi sekali lagi. Saya tidak percaya bahawa ini pejabat Teater Elit yang buat pementasan terhebat Esok Untuk Siapa dan juga teater tari seperti yang pernah saya baca di akhbar. Kalau sebelum masuk tadi saya ragu-ragu melihat keadaan meja-meja yang berselerak, kemudian saya berasa lega bila mendengar budak perempuan yang kurang asam tadi menyebut nama Tuan. Tetapi apabila berjalan menghampiri bilik di mana menurut kata budak itu Tuan dan Abang Shah sedang menunggu, saya rasa lemah semangat semula. Pejabat apa ini? Di hadapan bilik itu ada tergantung beberapa helai tuala dan juga t-shirt lusuh. Ini pejabat atau rumah?

Budak perempuan itu berdiri di pintu dan memberitahu,

“Tuan, abang Shah, Mat Shah dah sampai ni,” kemudian budak perempuan itu menyuruh saya masuk.

“Hey! Masuk, masuk, yes come in,” nada suara itu macam saya kenal. Itu Shah yang bercakap di telefon dengan saya tadi. “Okey, so engkau Mat Shah? Apa khabar?” kami bersalaman.

“Khabar baik,” jawab saya.

Kemudian saya menghulurkan tangan kepada lelaki yang dipanggil “Tuan” itu. Shah terus memperkenalkan “Tuan” kepada saya.

Let me introduce, yang ini, meet Din, Mr. Dinsman. Aku Shah, call me Abang Shah. We spoke on the phone just now.”

Kemudian saya dijemput duduk. Sebaik duduk sempat juga saya terfikir. Akhirnya saya dapat bertemu dengan orang yang mementaskan Esok Untuk Siapa dan juga teater tari di Hotel Century. Memang betul, itulah orangnya.

“Aku, engkau pernah jumpa mana-mana ke?” saya menggelengkan kepala. “Dia ni?” sambil menunjuk ke arah Dinsman, “Engkau pernah tengok?”

“Pernah. Kat TV,” saya menjawab dengan amat yakin sekali.

“TV? TV kat mana?”

“Sudut Seni,” jawab saya. Memang saya pernah melihat Dinsman dalam rancangan Sudut Seni terbitan RTM semasa di Kulai dulu. Dalam program itu dia diundang untuk berbicara tentang penulisan skrip TV. Berapi-api dia bercakap kerana dia tidak setuju bila skripnya diusik oleh penerbit TV.

Dinsman tersenyum memandang saya sambil menyedut rokok Gudang Garam.

“Dah lama kenal Aziz? Aziz kata dia kawan lama engkau.”

Payah juga saya mahu menjawab. Kalau saya jawab ya saya terpaksa berbohong tetapi kalau saya jawab tidak maknanya Aziz yang berbohong. Mungkin bosan menunggu jawapan saya Shah meneruskan bicara,

It’s okay. Macam ni, aku ni sebenarnya malas nak tanya history engkau dengan dia, how you got to know him or vice-versa. Kita semua ada history, good or bad. You know what I mean.. Tapi yang penting engkau nak kerja kan? And aku, aku nak cari orang untuk kerja dengan aku. Sorry, dengan Teater Elit,” dia tersengeh. Shah bercakap seperti orang memberi syarahan. Setiap kali bercakap tangannya turut “bercakap” sama, menggapai seperti tangan Spiderman.

So aku ingat we go straight to the point. Dulu engkau cikgu, betul? Then engkau kerja dengan…?”

Yamaha Music,” saya menjawab.

Sorry, aku lupa, engkau dah cakap over the phone tadi. “So, engkau buat apa sekarang?” Shah bertanya lagi.

“Tak ada apa, tengah cari kerja,” jawab saya.

“Dulu cikgu, kenapa berhenti?” Shah bertanya lagi.

“Panjang cerita.”

Never mind, forget about it. I’m not interested to know much about you, about your background. Likewise, I don’t want people to know who the hell I am. Kat sini kita tak interested nak tau background orang. Pasal experience kerja tak apa..Betul Din?” dia tergelak.

Dinsman tidak memberi reaksi. Dia juga masih belum bersuara. Dia memandang tepat ke arah saya sambil menghisap rokok. Dalam hati saya berkata, Abang Shah ni, quite a character. Menarik tetapi agak membimbangkan. Saya rasa lagi banyak abang botak ini bercakap lebih banyak keperibadiannya terserlah. Bunyi seperti orang bijak tetapi belum tentu lagi. Berikan saya beberapa minit mendengar dia bercakap sudah pasti saya dapat menilai sama ada dia benar-benar bijak atau sebaliknya.

“Okey, Din, aku brief dia okey?” dia meminta izin Dinsman untuk menerangkan kepada saya mungkin tentang skop kerja agaknya. Dinsman menganggukkan kepala.

Your last appointment, Sir?”

Dia panggil saya Sir? Terkejut saya dipanggil begitu.

“Oh! Saya dulu Executive Officer, Yamaha Music.”

“Aku tahulah Yamaha Music, kan dah cakap tadi. Tak payah repeat! You are not here to waste my time, man! I’m a busy man,” Shah mengherdik saya.

Sudah tentu saya terkejut diperlakukan begitu. Tetapi tak mengapa. Saya tahu saya penyabar dan saya akan cuba jadi orang paling sabar di dunia ketika ini kerana saya hanya mahukan pekerjaan. Lagipun selama ini sabar memang menjadi senjata saya dalam apa juga peperangan. Saya sudah mengalami keadaan lebih teruk daripada apa yang sedang saya lalui sekarang semasa temuduga untuk permohonan ke ITM dahulu.

Melihat Shah begitu Dinsman seperti kurang senang. Dia membetulkan tempat duduknya.

“Yamaha mana??? Yamaha banyak Yamaha, Yamaha KL pun ada,” dia meninggikan suara lagi.

“Yamaha JB,” saya jawab ringkas.

“Oh, JB…Hey! JB tu kampung aku..I’m a JB guy, engkau tau? Nama sebenar aku Syed Shahab. My great grandfather, my grandfather, my father, my mother, brothers and sisters semua orang JB. Engkau tahu Wadi Hana, Wadi Hassan?” Saya cuma senyum dan mengangguk.

“Engkau orang JB?”

“Tak, Batu Pahat,”

But you look like one, you know,” dia memandang saya atas bawah dengan mata terjegil. “Oh, so engkau orang BP. Eh! Engkau taulah Kampung Arab semua?” katanya lagi.

“Tau.”

“Dekat dengan rumah engkau?”

“Dekat aje. Dulu sekolah saya pun memang banyak budak Arab.”

“Oh gitu. So you know Al Bajrai and all those bullshits..”

Saya senyum sahaja.

Ada satu perkara yang menghairankan saya. Sejak masuk hingga ke saat bercakap itu mereka langsung tidak bertanyakan sijil-sijil atau dokumen-dokumen peribadi saya. Ini temuduga ke atau saja panggil untuk sembang-sembang? Biasanya kalau temuduga perkara pertama yang diminta ialah dokumen-dokumen, sijil dan sebagainya. Selepas itu baru sesi soal-jawab.

“Oh sorry, now back to your case. Yamaha.. yes, apa engkau buat sana?”

“Saya buat PR and sales to government schools, government departments,” saya pun nak tunjuk yang saya juga boleh cakap orang putih. ”I was responsible in setting-up the first primary school all-brass band in the state untuk Sekolah St Joseph. Lepas tu saya banyak buat promotions, concerts untuk Yamaha...” belum habis saya bercakap dia mencelah,

“Lagi?”

“Seminar pun saya pernah buat. Seminar Muzik 3M untuk guru-guru kat Johor. Saya buat dengan Japan Foundation.”

Oh I see…” entah dia tahu atau tidak makna 3M dan apa itu Japan Foundation saya kurang pasti.

So you must be familiar with advertising, I guess,” Shah berkata lagi. Saya dapati memang hebat dia bercakap Inggeris. Memang agak memalukan kalau orang JB tidak pandai berbahasa Inggeris kerana orang di seberang tambak sana hampir semua tahu berbahasa Inggeris.

“Sikit-sikit,” saya menjawab.

How much do you know about advertising?”

“Tak banyak. Dulu saya more on PR.. Advertising kita ada agensi. Tapi saya adalah involved sikit-sikit.”

“Ah! Itu tak susah. Itu engkau boleh belajar. Kejap aje. Kalau engkau ikut aku nanti semua engkau pandai. Jual orang pun nanti engkau pandai. Hmm, good, good. You can write?”

“Boleh,” saya menjawab penuh yakin.

“Apa engkau biasa tulis?”

“Kertas kerja.”

Perfect,” Shah memetik jarinya dan terus bangun dari kerusinya. “Amacam Din?” Dia berdiri memandang Dinsman dan Dinsman tersenyum. Dinsman memang belum berkata sepatah pun sepanjang temuduga itu. Matanya terkebil-kebil memerhati saya seperti sedang membaca perwatakan saya. Risau juga bila direnung begitu sejak masuk tadi. Saya lihat dia menyambung menghisap sebatang lagi Gudang Garam.

“Okey, engkau tau Teater Elit, kan?”

“Tau.”

“Mana engkau tau?”

“Baca surat khabar, majalah, tv…”

“So, engkau kenallah Dinsman ni?”

“Tau tapi tak kenal.”

“Oh, sorry, lupa, aku dah tanya tadi. Hah, yes, yes engkau ada cakap pasal Sudut Seni tadi,” dia memegang kepalanya yang licin berkilat itu. Sesekali saya tengok Shah bercakap seperti orang hilang fokus. Macam orang hilang akal pun ada juga. “Engkau tau kita buat apa?”

“Yang saya tau buat teater. Yang tu,” saya menunjuk ke arah poster Esok Untuk Siapa di belakang Dinsman, “Lepas tu teater tari kat Hotel Century, itu aje.”

Kedua-dua mereka senyum. “Tadi engkau kata engkau tengok Sudut Seni kan? Engkau pun minat seni jugak? Apa engkau buat dulu?”

“Teater, masa kat kolej dulu ada juga belajar sikit-sikit. Belajar Dramatic English dengan Cikgu Nordin Hassan,” saya memberitahu penuh bangga. Tetapi saya lihat Dinsman masih tidak memberi sebarang reaksi. Dia tak kenal ke Nordin Hasssan? Bisik hati saya.

“Lagi?”

“Saya main muzik sejak sekolah lagi. Berlakon pentas pun ada tapi sikit sangat. Masa mengajar saya involved dengan teater kat sekolah, persatuan belia kat Kulai. Lepas tu untuk Jabatan Pelajaran Johor, banyak juga. Dengan Jabatan Pelajaran saya pun involved buat Malam Kebudayaan Johor.”

“Malam Kebudayaan Johor? Tak pernah dengar pun..”

“Ada, kita orang buat kat Dewan Foon Yew. Besar. Sultan pun suka sampai Pengarah Pelajaran dapat Dato’ masa tu.”

Oh I see. Macam mana aku orang JB pun tak tau ni.. Err.. Engkau tau tak kita buat advertising?” Shah bertanya lagi sambil menggoyang-goyangkan tangan kanannya.

“Tak.”

We’re doing advertising. Kita ada a few good clients, engkau tau?” Saya diam. Boleh tahan juga Teater Elit ini. Pengiklanan pun buat juga tapi kenapa ofis macam ni?

“Okey, ni ada engkau punya first assignment. Nampak ni?” saya tengok Shah bercakap penuh authority sampaikan saya tertanya-tanya siapa bos sebenar di sini. Dia atau Dinsman? Gaya Dinsman duduk pun saya tahu meja besar itu miliknya. Bukan meja Shah dan itu memang bukan bilik Shah. Tetapi tiba-tiba sahaja dia boleh berkata ada tugasan pertama untuk saya sedangkan Dinsman belum pun berkata apa-apa lagi. Dia menunjukkan kepada saya satu salinan brosur Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiba-tiba Dinsman bersuara,

“Ni, sebenarnya kita tengah design brochure macam ni untuk Dewan. Dulu dah buat tapi tu untuk tahun dulu. Tahun ni kena buat lagi. Kena buat dua. Satu yang ini dan satu lagi macam yang ini. Tapi kali ni kita nak write-up lebih baik. Engkau kena tulis. Brochure, boleh?” barulah keluar suaranya yang sebelum itu menyepi seribu bahasa. Bunyinya garau tetapi lembut. Saya perhatikan dia bercakap sungguh berhati-hati. Temponya perlahan tidak seperti Shah yang bercakap seperti peluru machine-gun. Belum sempat saya menjawab Shah mencelah,

“Engkau boleh. Never say no. I know you can do it.”

Saya membelek brosur tersebut. “Boleh….saya cuba.”

“Ha, that’s the spirit I want,” Shah bercakap orang putih lagi.

Saya seronok mendengar saya sudah mendapat tugasan pertama. Maknanya memang sah mereka mahu mengambil saya bekerja di situ. Seterusnya Dinsman menunjukkan saya contoh-contoh lain brosur Dewan Bahasa dan Pustaka. Mungkin DBP merupakan salah satu “good clients” seperti diberitahu Shah. Hebat sungguh Teater Elit ini sungguhpun keadaan pejabatnya tidak seberapa. Menyedari Dinsman sibuk memberi penerangan Shah keluar dari bilik. Saya dapat rasakan Shah tidak boleh bercakap tentang perkara dalaman. Dia hanya boleh bercakap tentang hal-hal luaran. Sebab itu agaknya bila Dinsman mula bercakap tentang menulis brosur secara terperinci dia kepanasan. Dari bilik itu saya dapat mendengar dia bercakap di telefon. Kuat sungguh suaranya.

Tidak berapa lama selepas itu Shah masuk dan duduk semula di sebelah saya.

“Dah okey?” dia bertanya Dinsman. Dinsman cuma mengangguk. Memang pendiam sungguh bos Teater Elit ini. Nak jawab okey pun payah.

All right, now, talking about your salary. How much do you expect to be paid?” semakin rancak nampaknya Shah bercakap orang putih. Mula-mula saya rasa tidak mahu menjawab dalam bahasa Inggeris sebab saya tidak mendengar sepatah pun Dinsman bercakap Inggeris. Tetapi untuk mengajar Shah, saya rasa perlu juga saya tunjukkan sedikit yang saya juga boleh bercakap seperti dia,

I don’t know, it’s up to the management.

No,come on, man, you should know how much you are worth! Engkau kena tahu.”

Sorry, Abang Shah. I’m afraid if I tell you how much I’m worth, I don’t think you can afford to pay me,” saya menjawab dengan senyuman.

“He! He! Pandai engkau jawab ya, pandai cakap orang putih eh,” dia seperti mengejek dengan senyuman.

Fine, macam ni, one thousand? You think it’s okay with you?”

Alamak seribu aje? Itu elaun saya di Yamaha tidak masuk gaji. Tiba-tiba saya rasakan dunia ini gelap dengan tiba-tiba. Beberapa saat kemudian saya kuatkan semangat. Saya terpaksa juga menjawab,

“Okey.”

Tak kisahlah. Seribu pun seribulah asalkan bergaji. Kerja ini pun mungkin sementara sahaja. Kalau ada peluang lebih baik saya cabut. Saya hanya perlu cari sedikit modal bagi membolehkan saya menyambung nafas. Sambil itu saya akan cari kerja lain yang mungkin boleh menawarkan gaji lebih besar sesuai dengan kehidupan di KL. Siapa sanggup duduk KL dengan gaji seribu? Terima sahajalah untuk sementara waktu. Lagipun saya belum ada komitmen lain pada masa itu. Saya tidak perlu fikirkan tentang sewa rumah kerana saya menumpang di kuarters tempat adik ipar saya buat sementara sehingga isteri saya bersalin. Bila dia habis pantang dan mula mengajar barulah saya terpaksa mencari rumah sewa. Saya juga tidak memiliki kereta. Kalau mahu ke pejabat saya cuma berjalan kaki dari kuarters houseman Hospital Besar yang mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja.

So, can you start tomorrow?”

“Boleh.”

Come, let me show you around,” kata Shah.

Show me around? Apa nak ditunjukkan kepada saya? Ofis itu bukan besar pun. Ruang depan memang saya tahu. Empat buah meja, sempit. Kalau bukan muhrim berlaga entah berapa kali batal wudhuk. Bilik pun cuma dua saja termasuk bilik Dinsman. Tadi saya nampak bilik belakang gelap-gelita.

Dinsman hanya tersenyum melihat saya bangun. Memang dia tidak bercakap banyak. Kemudian Shah memperkenalkan saya kepada gadis yang kurang asam tadi. Dia ada meja khas di satu sudut bertentangan dengan ruang sempit yang saya sebutkan tadi. Namanya Ella. Rupa-rupanya dia tidak sebagaimana yang saya sangka. Dia nampak okey.

Kemudian saya lihat ada dua orang lelaki, seorang lebih kurang sebaya umur saya manakala seorang lagi yang berkulit putih agak muda sedikit. Mungkin mereka baru sahaja sampai ketika saya di dalam bilik Dinsman tadi. Saya lihat yang berkulit putih sedang memegang pisau memotong kertas manakala yang berambut panjang sedang asyik menampal sesuatu di atas kadbod tebal. Entah apa yang mereka buat saya tak pasti. Shah memperkenalkan saya kepada mereka. Yang berambut panjang bernama Sani Sudin manakala yang berkulit putih namanya Hazali bin Haji Ramli. Mereka sekadar tersenyum. Itu sahaja kakitangan Teater Elit kata Shah.

Seterusnya Shah menunjukkan meja saya, salah satu daripada empat meja di ruang hadapan itu berdekatan meja Sani dan Hazali. Siapa yang duduk di meja satu lagi? Dia tidak memberi tahu saya. Tetapi sebelum dia keluar saya nampak dia mengeluarkan kunci dan membuka laci di meja hadapan saya untuk mengambil sesuatu. Tahulah saya itu mejanya. Dia juga duduk di ruang yang sama dan mejanya sama besar dengan meja kami semua.

Menulis? Betullah seperti kata ibu angkat saya beberapa hari lepas. Dia yang suruh saya mencari kerja yang ada kaitan dengan menulis. Rupa-rupanya saya tak perlu bersusah-payah mencari kerana kerja itu amat dekat dengan saya. Balik ke kuarters houseman, saya termenung memikirkan apa yang ibu angkat saya pernah katakan.

Malam itu saya ke Bangunan Jaya sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada Aziz. Tanpa pertolongannya belum tentu saya boleh mendapat kerja. A good start, kata Aziz . Dia pun pandai cakap orang putih juga. Katanya dahulu dia belajar di IKM. Aziz berasa lega dapat membantu kerana baginya mungkin dia dilahirkan ke dunia ini untuk menolong orang dengan apa cara sekalipun. Tidak semestinya menerusi kerjanya sebagai bomoh.

Bagi saya pula tidak dapat saya bayangkan bagaimana dapat saya membalas budi baik Aziz. Saya amat bersyukur. Saya rasa mungkin semua ini berlaku kerana saya tidak memilih kawan. Saya memang dididik supaya tidak memilih kawan. Saya dididik oleh arwah ayah saya, Ibrahim Rimau yang tidak pernah memilih kawan.

Seperkara lagi, Allah menunjukkan kebesaranNya hanya bermula daripada akhbar tabloid yang saya nampak di lorong belakang ketika sedang menikmati roti canai, hati saya digerakkan untuk bertemu Aziz dan selepas itu pertolongan daripada Allah itu akhirnya sampai juga, bukan menerusi agensi pekerjaan tetapi menerusi seorang bomoh.



Nota kaki:

Selama berkhidmat di Teater Elit, Dinsman tidak pernah bertanyakan tentang kelulusan saya. Dia tidak pernah melihat sekalipun sijil L.C.E saya.