Wednesday, 29 April 2009

Rasa hati seorang cikgu

Saya seorang manusia yang amat menghargai sejarah kehidupan. Kerana itu saya suka mencatat kisah-kisah kehidupan, mengingati perkara-perkara silam yang membawa nostalgia yang bagi saya amat tinggi nilainya dalam kehidupan saya. Bagi saya setiap episod kehidupan itu amat penting kerana kesemuanya berlaku dalam satu turutan, daripada satu episod membawa kepada episod yang lain. Tidak ada yang dahulu, sudah tentu tidak akan ada apa yang kita alami sekarang. Walaupun sesetengah perkara itu berlaku kerana keputusan kita sendiri (sama ada keputusan yang salah atau keputusan yang betul, atau keputusan salah yang betul yang saya panggil the right wrong decision), kenapa ia berlaku tidak wajar dipersoal kerana itu sudah ditentukan Ilahi yang kita kenali sebagai takdir.

Saya rasa saya masih mampu mengingati banyak kisah silam, sama ada pengalaman saya sendiri di zaman kanak-kanak mahupun kisah-kisah semasa saya di alam remaja. Sudah tentu apa yang saya alami bila sudah dewasa lebih banyak yang saya ingat. Cuma sejak akhir-akhir ini ingatan saya menjadi agak lemah terutama tentang perkara-perkara yang baru berlaku. Saya juga mudah lupa nama orang yang baru sebentar saya temui. Dari segi saintifik ini ada kaitan dengan otak kita yang rasanya ramai yang tahu tentang apa yang akan berlaku bila umur kita semakin meningkat. Bagi mengatasi masalah tersebut, saya terpaksa mencari kaedah supaya tidak lupa tentang sesuatu perkara seperti mencatat atau melatih diri memikirkan sesuatu perkara itu berulang-kali.

Guru kelas saya semasa di darjah satu namanya Cikgu Omar. Dia sudah meninggal dunia agak lama juga. Guru saya di darjah dua namanya Cikgu Atan Long manakala semasa berada di darjah tiga guru saya bernama Cikgu Hashim. Saya sudah lupa sama ada kedua-dua mereka masih ada lagi di dunia ini. Allahyarham Cikgu Taufik pula mengajar saya sejak dari darjah empat hingga ke darjah enam. Tempoh selama tiga tahun itu membuatkan dia amat mengenali murid-muridnya dan saya tahu dia amat sayangkan saya serta beberapa orang kawan lain seperti Md Noor Mahmud, Khalid Embong dan Tajul Ariffin. Ini kerana kami berempat merupakan murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran dan saling bersaing. Setiap kali peperiksaan sudah tentu tempat pertama hingga ke empat menjadi milik kami. Selalunya saya merupakan murid terbaik dan mereka sukar mengalahkan saya. Kerana itu Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah yang kami kenali sebagai Penghulu Mohd Noor amat kenal dengan saya. Setiap kali di upacara penyampaian hadiah tahunan dia akan menegur saya semasa menyerahkan hadiah. "Hah! Anak Berahim lagi." (Dato' Hj Mohd Noor ialah bapa kepada Dato' Haji Jumaat, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka 1988-1993).

Tetapi bila berada di peringkat menengah sudah tentu segala-galanya boleh berubah. Md Noor yang bersama-sama saya ke sekolah berasrama penuh akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran di seberang laut. Khalid dan Tajul walaupun tidak mendapat peluang seperti kami juga berjaya belajar ke luar negara. Jadi, antara kami berempat, hanya saya yang tinggal di Malaysia dan sekadar mampu mengharungi sungai-sungai kehidupan sambil mencatat setiap kisah yang berlaku.

Kembali kepada isu yang ingin saya bicarakan, bila bertemu dengan Md Noor atau Tajul, kami tidak pernah lupa bercakap tentang zaman kanak-kanak dahulu dan bercerita tentang kawan-kawan lama serta guru-guru kami. Bila bercakap tentang guru-guru, kami bukan sahaja ingat pada guru-guru kelas tetapi juga guru besar kami allahyarham Cikgu Taib serta guru-guru lain seperti Cikgu Sharifah, Cikgu Radin Shamsuddin dan Cikgu Ahmad Hashim. Md Noor dan Tajul mempunyai banyak maklumat kerana sering balik ke kampung di Batu Pahat dan masih mempunyai rangkaian kawan-kawan yang boleh dihubungi. Sebab itu Md Noor tahu siapa anak-anak Cikgu Hashim, bila Cikgu Taufik meninggal dunia dan macam-macam cerita lagi. Begitu juga dengan Tajul.

Saya tidak pasti apakah masih ada ramai orang seperti kami yang menghargai kehidupan masa silam khususnya dalam mengingati zaman persekolahan serta guru-guru yang pernah berjasa dalam hidup kita. Saya membangkitkan perkara ini kerana terkejut dengan satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini berkaitan perkara yang sama.

Pada hari itu saya dan isteri sedang membeli barangan di sebuah pasaraya berdekatan kawasan perumahan kami. Isteri saya memang mempunyai daya ingatan yang kuat. Semasa mendekati kaunter bayaran, sebaik terpandangkan seorang ibu dengan anaknya dia terus menegur si ibu. Memang benar, itu ibu kepada bekas anak muridnya di sekolah rendah dahulu. Budak lelaki yang berdiri di sebelahnya itu ialah bekas anak muridnya dan bila isteri saya memperkenalkan diri dia kelihatan teruja bertemu bekas gurunya. Tetapi sayang, dia langsung tidak ingat nama isteri saya. "Siapa ya? Siapa ya? Alah! Lupa," katanya sambil menggaru-garu kepala.

Sudah tentu apa yang berlaku itu amat menyedihkan. Saya tidak dapat menduga perasaan isteri saya ketika itu. Tetapi kalau saya berada di tempatnya sudah tentu saya rasa amat terkilan. Betapa nama guru yang pernah mendidiknya satu waktu dulu langsung tidak mempunyai nilai dalam kehidupan budak lelaki itu. Dia mungkin baru berada dalam tingkatan tiga atau empat. Dibandingkan dengan saya, Md Noor dan Tajul yang sudah lebih empat puluh tahun meninggalkan sekolah rendah, budak itu yang baru sahaja tiga atau empat tahun dengan begitu mudah boleh lupa pada nama cikgunya sendiri. Saya harap itu hanya satu kes terpencil dan saya harap apa yang berlaku bukan gambaran sebenar sikap generasi muda sekarang.

Di sebalik peristiwa tersebut, isteri saya memang bertuah kerana ramai juga bekas murid-muridnya yang rajin datang menziarah terutama pada musim aidilfitri. Ada yang baru meninggalkan sekolah rendah, ada yang sedang belajar di universiti, malah ada juga yang sudah bekerja. Ada juga bekas murid-muridnya yang rajin menelefon atau menghantar sms. Tetapi paling menarik, seorang bekas muridnya yang sekarang sedang belajar di UIA Kuantan memang tidak pernah lupa memohon doa restu isteri saya setiap kali sebelum menduduki peperiksaan semester. Baru-baru ini bekas muridnya itu melangsungkan pertunangan dengan rakan sekelasnya dulu dan pada hari itu sibuk sekali kedua-duanya berSMS dengan isteri saya. Khabarnya berita itu juga heboh di kalangan beberapa orang guru yang juga rapat dengan pasangan tersebut.

Saya juga suka melayan bekas murid-murid isteri saya. Sungguhpun saya sedar mereka tidak tahu nama saya, tetapi saya amat berbesar hati kerana mereka juga mudah mesra dengan saya. Kalau terserempak di mana-mana ada sahaja yang menegur dan akan terdengar mereka memanggil "Pak Cik!" sekalipun sambil lalu menunggang motosikal.

Di sekolah juga begitu. Oleh kerana saya merupakan suami paling aktif menghantar dan mengambil isteri dan kerap berada di sekolah dan suka "menyibuk" bila ada acara tertentu, memang ramai murid yang mengenali saya. Bila berselisih memang ada sahaja yang menegur atau memberi salam dan memanggil saya pak cik sekalipun mereka sebenarnya sebaya dengan cucu-cucu saudara saya yang juga bersekolah di situ.

Cuma ada sekali saya rasa amat tersentuh bila seorang murid memberi salam kepada saya dengan menyebut, "Assalamu'alaikum Cikgu." Lalu saya jawab salamnya dengan rasa amat terharu. Saya terkedu seketika. Pada ketika itu juga saya terus teringat zaman saya jadi guru dulu. Alangkah bahagianya hati seorang guru di saat-saat begitu.

Nota kaki;

Saya masih ingat sepenuhnya lirik lagu Guru Malaysia dan kalau disuruh menyanyikan lagu itu memang saya tidak ada masalah. Rangkap akhir merupakan rangkap yang paling saya suka.


Amanah yang diberi
kami tak persiakan
apa yang kami janji
tunai tetap kami tunaikan.

No comments: