Thursday, 30 April 2009

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Pada tahun 1988, bila Dr. Mahathir mengumumkan rombakan kabinet, sebuah kementerian baru telah diwujudkan yang dinamakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Oleh kerana pelancongan merupakan salah satu sumber utama ekonomi negara, Dr. Mahathir mahukan sebuah kementerian yang dapat memberi fokus terhadap pembangunan dan penggalakan industri pelancongan dan seterusnya melipatgandakan usaha menjana ekonomi negara.

Walaupun sebagai rakyat marhaen saya tidak mahu mempersoalkan langkah tersebut tetapi berhubung kebudayaan yang digabungkan dengan pelancongan saya benar-benar tidak dapat memahami rasionalnya. Mungkin pada masa itu Dr. Mahathir merasakan bahawa pelancongan dan kebudayaan berkait rapat dan saling melengkap antara satu sama lain. Saya juga mengagak, jika disatukan kebudayaan boleh dipakejkan dengan pelancongan bagi tujuan komersil. Wallahu'alam.

Sebelum itu Bahagian Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang diterajui Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kami hanya sempat duduk sebumbung dengan Najib tidak sampai dua tahun. Najib mengambil alih jawatan daripada Dato' Sulaiman Daud pada tahun 1986 ketika berlangsungnya projek pertama saya bersama Bahagian Kebudayaan iaitu Ekspo Warisan Seni dan Kraf Tradisi Malaysia di Stadium Negara. Sulaiman merasmikan upacara pembukaan manakala Najib merasmikan upacara penutup. Ketika itu jugalah pejabat kami di Wisma Keramat musnah dijilat api. Selepas itu kami menumpang sementara di Kompleks Budaya Negara di mana terletaknya Aswara sekarang ini. Beberapa bulan selepas itu baru kami berpindah ke Pusat Bandar Damansara di mana Bahagian Belia dan Sukan turut ditempatkan di situ. Pejabat Najib di tingkat atas sekali. Apabila dipisahkan pada tahun 1988 Najib terus menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Menariknya, pengumuman Dr. Mahathir itu mendapat reaksi kurang senang daripada kalangan budayawan. Mereka berpendapat amat tidak wajar Dr. Mahathir mendahulukan Pelancongan daripada Kebudayaan kerana ini memberi gambaran seolah-olah Pelancongan lebih diutamakan sedangkan sepatutnya kementerian itu dinamakan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Saya tidak ingat apa lagi hujah mereka mengenai perkara tersebut kerana ramai yang memberi reaksi panas. Apa yang saya faham bagi mereka langkah itu merupakan satu penghinaan terhadap kebudayaan.

Ketika itu saya berkhidmat secara kontrak di Cawangan Pengurusan Bahagian Kebudayaan di bawah Ketua Pengarahnya A. Aziz Deraman. Sebagai "orang Aziz Deraman" sudah tentu saya mengikuti isu tersebut dengan penuh minat. Saya mengikuti perkembangan isu tersebut dari semasa ke semasa. Pernah juga saya mendengar komen peribadi Aziz mengenai perkara itu. Sebagai budayawan sudah tentu dia juga tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Perbualannya dengan beberapa orang budayawan yang datang melawatnya di pejabat juga ada membincangkan betapa harapan para budayawan amat tipis terhadap kemampuan Sabarudin Chik sebagai menteri untuk memelihara kebudayaan Melayu yang menjadi teras kepada kebudayaan kebangsaan. Sabarudin dilantik bagi melipatgandakan usaha menjana ekonomi negara. Justeru, dia juga sudah pasti akan memberikan lebih tumpuan kepada pelancongan dan bila merancang sesuatu untuk kebudayaan dia mungkin tidak dapat lari daripada melihatnya dari sudut ekonomi. Namun, sebagai seorang pegawai tinggi Kerajaan, Aziz perlu berhati-hati supaya tidak menampakkan rasa kurang senangnya itu.

Dalam keributan isu tersebut beberapa pertemuan telah diadakan di Pusat Bandar Damansara . Saya lihat ramai budayawan yang datang. Ketika itu Bahagian Kebudayaan terpaksa terus beroperasi di situ sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berpindah ke kementerian baru. Sungguhpun tentangan para budayawan semakin meningkat tetapi saya berpendapat bukan mudah untuk menundukkan Dr. Mahathir yang dikenali dengan ketegasannya. Namun semangat para budayawan nampaknya semakin tinggi dan masih berkeras dan tidak berhenti menyuarakan pendapat. Saya difahamkan pelbagai sesi perbincangan sama ada secara sulit atau terbuka di luar Bahagian Kebudayaan terus diadakan.

Pada suatu hari, kawan baik saya Azminuddin, orang kanan Aziz Deraman di Bahagian Kebudayaan memberitahu saya Aziz mahu kami mengikutnya ke Kuala Selangor pada hujung minggu. Saya bertanya untuk apa. Katanya ada satu pertemuan penting akan berlaku mengenai isu kebudayaan yang sedang hangat diperkatakan. Untuk mendapatkan kepastian saya bertanya Aziz sendiri. Memang benar, menurutnya para budayawan akan berkumpul di Kuala Selangor dan diharapkan pertemuan tersebut akan membuahkan hasil yang ditunggu-tunggu selama ini.

Pada hari tersebut, dari Kuala Lumpur Aziz mengarahkan saya memandu terus ke sebuah dewan orang ramai di Kuala Selangor. Katanya Sabarudin Chik dijangka merasmikan satu acara yang saya sendiri sudah lupa apa acaranya. Bila kami sampai di sana saya lihat memang sudah ramai para budayawan berkumpul. Antaranya Prof Zainal Kling, Dr. Firdaus, dan Dr. Malik Munip. Kalau tidak silap Latif Bakar juga ada bersama. Saya dapat merasakan suasana tegang seolah-olah akan berlaku satu pergaduhan besar. Para budayawan berkumpul di satu sudut dan mereka kelihatan seperti menunggu masa untuk menerkam Sabarudin. Memang benar, sebaik Sabarudin selesai merasmikan majlis dan berjalan melawat gerai pameran, saya lihat para budayawan terus mengerumuni beliau. Saya hanya melihat dari jauh kerana bos saya Aziz Deraman tidak menyertai para budayawan mendekati Sabarudin. Sebab itu saya tidak dapat menceritakan butiran mengenai apa yang dibicarakan mereka. Tetapi dapat saya lihat beberapa orang bercakap berapi-api sehinggakan Sabarudin tidak sanggup berdepan dengan mereka. Mungkin kerana tidak tahan panas dikerumuni begitu, akhirnya Sabarudin Chik mengaku kalah dan terus "lari lintang-pukang" meninggalkan majlis. Alasannya dia ada majlis lain pada hari itu.

Selepas makan tengahari Aziz memberitahu kami bahawa selepas itu ada satu majlis tertutup akan diadakan di pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor. Saya terus bertanya, "Kita orang boleh masuk ke Encik Aziz?"
"Tak apa, you masuk ikut I."

Sesampainya kami di sana saya lihat kumpulan budayawan yang sama sudah sedia berada di dalam dewan mesyuarat. Saya dan Azminuddin tidak bercakap banyak kerana kami sendiri tidak tahu apa agenda sebenar "mesyuarat" dan apa yang akan berlaku seterusnya. Tetapi kami dapat merasakan kehangatan bilik mesyuarat tersebut sungguhpun bangunan pejabat itu merupakan bangunan yang baru siap dibina lengkap dengan sistem pendingin hawa yang canggih.

Kami berasa hairan kenapa mesyuarat masih belum bermula. Kelihatan mereka duduk berbincang hangat. Mereka seperti menunggu sesuatu. Sedang kami menunggu itu tiba-tiba ada orang masuk memberitahu sesuatu kepada kumpulan budayawan dan serta-merta dewan menjadi senyap sunyi. Beberapa saat kemudian pintu bilik mesyuarat dibuka dan muncul satu lembaga berbaju putih. Oh! Rupa-rupanya itulah orang yang mereka tunggu-tunggu. Namanya Muhammad anak Muhammad Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu. Tetapi saya hairan. Kenapa pula dia yang datang?

Setelah Menteri Besar Selangor itu duduk, maka "mesyuarat" pun bermula. Saya sudah lupa siapa yang mempengerusikan mesyuarat tetapi selepas mukaddimah pengerusi, beberapa orang budayawan diberi peluang bercakap memberi hujah mengenai isu pelancongan dan kebudayaan. Memang rata-rata mereka berkeras mahukan supaya nama kementerian diubah menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Mereka melahirkan rasa bimbang dengan menterinya dan mereka turut bimbang dengan masa depan kebudayaan itu sendiri yang sudah pasti akan cuba "dijual" oleh Sabarudin yang tidak pernah diketahui sebagai seorang manusia yang cintakan budaya. Itu kata salah seorang daripada mereka. Walaupun mustahil untuk mendapatkan seorang menteri yang mampu menghayati Dasar Kebudayaan Kebangsaan, tetapi mereka berharap supaya menteri baru itu dapat belajar menghormati dan seterusnya memelihara dan mempertahankan kebudayaan Melayu yang menjadi teras kepada dasar tersebut.

Selepas puas para budayawan berhujah, kemudian tiba giliran seorang pegawai PTD kementerian yang baru dilantik untuk memberi hujah. Aduh! Entah dari mana datangnya pegawai itu dan apa pula latar belakangnya. Saya tahu dia memang ditugaskan untuk menyertai diskusi tersebut tetapi saya berpendapat lebih baik dia tidak bercakap langsung kalau dia sendiri tidak memahami Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Saya bukan mahu mengaku pandai tetapi sungguhpun saya tidak pernah belajar muzik secara formal saya dapat mengesan bila orang melakukan kesilapan ketika bermain muzik atau menyanyi sumbang.

Selepas pegawai PTD itu duduk, orang terakhir diberi peluang bercakap ialah pegawai PTD bernama Aziz Deraman yang baru sahaja dinamakan sebagai Setiausaha Bahagian Kebudayaan bagi menggantikan jawatan lamanya iaitu Ketua Pengarah Kebudayaan. Seperti saya katakan, sungguhpun saya tidak belajar muzik tetapi saya tahu. Bagi saya, "nyanyian" Aziz memang sedap dan mengasyikkan. Sebelum dia bercakap tentang isu utama, terlebih dahulu dia mengupas intipati Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan menghuraikannya satu persatu. Kemudian dia bercakap tentang kebudayaan Melayu, usaha-usaha yang sudah dilakukan sebelum ini dan halatuju serta apa persediaan Bahagian Kebudayaan dalam menghadapi cabaran masa depan. Memang tidak dinafikan Aziz memang hebat bila bercakap tentang kebudayaan yang sudah menjadi darah-dagingnya. Pada petang itu saya tidak nampak Aziz sebagai seorang pegawai PTD. Petang itu dia merupakan seorang budayawan tulen. Saya juga melihat Aziz meletakkan dirinya bersama-sama para budayawan. Tetapi demi memelihara kedudukannya sebagai seorang pegawai Kementerian dengan begitu bijaksana dia mengatur ayat menjadikan kami yang mendengarnya tidak merasakan Aziz juga tidak memihak kepada budayawan seratus-peratus sungguhpun tidak menolak tuntutan mereka. Bagi budayawan yang sudah tentu memahami pendirian Aziz serta turut memahami kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan, saya rasa mereka dapat menerima apa yang dihujahkannya.

Setelah Aziz selesai barulah Muhammad dijemput bersuara. Saya tidak ingat sepenuhnya tetapi antara yang diucapkan Menteri Besar Selangor yang baru itu ialah dia memberitahu para budayawan bahawa dia amat memahami hasrat dan tuntutan mereka dan bersimpati dengan perjuangan mereka. Sebagai seorang pemimpin Melayu sudah tentu menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan kebudayaan Melayu dan juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Sungguhpun begitu tidak bererti dia akan menyokong sekiranya para budayawan bertindak di luar batasan. Kerana itu Muhammad berjanji akan membawa perkara tersebut ke peringkat atasan menerusi saluran tertentu dan dia percaya perkara tersebut akan berjaya diselesaikan. Dia kelihatan amat pasti dengan perkara itu. Paling saya ingat dia menyebut tentang "umpama menarik rambut dalam tepung."

Bila acara selesai semua yang hadir turun ke bawah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Muhammad. Saya lihat dia sempat bermesra dengan beberapa orang di situ. Dia juga memeluk Malik Munip sambil memberitahu kami bahawa Malik pernah mengajarnya di universiti. (Pada pilihanraya berikutnya Malik bertanding kerusi Parlimen Muar dan menang).

Saya tidak tahu apakah memang benar Muhammad Muhammad Taib yang mengangkat tuntutan budayawan itu ke kabinet atau ada tangan lain yang turut masuk campur. Tetapi tidak lama selepas peristiwa di Kuala Selangor itu akhirnya Dr. Mahathir bersetuju untuk mengubah nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Ertinya, dalam perjuangan tersebut kumpulan budayawan telah menang.

Bila Kadir Sheikh Fadzir menjadi menterinya, nama Kementerian juga bertukar menjadi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Pelik juga fikir saya. Bukankah kesenian itu cabang kebudayaan? Mengapa perlu disebut lagi? Saya tidak tahu, mungkin idea itu datang daripada Dr. Mahathir sendiri sebagai mengubat hati para budayawan yang pernah terluka pada satu waktu dahulu.

Setelah sekian lama duduk sebumbung dengan pelancongan akhirnya kebudayaan dipisahkan lagi. Pelancongan tinggal sendirian manakala Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kemudian diubah lagi oleh Pak Lah menjadi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tetapi bila Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Lalu saya ingin bertanya. Mengapa kali ini tidak ada lagi para budayawan yang mahu bersuara seperti apa yang berlaku pada tahun 1988? Apakah penerangan dan komunikasi itu lebih utama daripada kebudayaan? Atau kali ini mereka boleh menerimanya kerana kebudayaan sudah "dikahwinkan" dengan pihak lain dan menterinya pula memang orang yang kononnya sayangkan budaya? Saya tidak kenal Zainal Kling, Firdaus Abdullah, Latif Bakar atau Malik Munip serta lain-lain. Saya hanya kenal Aziz Deraman. Ingin sekali saya mendengar dia bersuara kali ini. Itu pun kalau dia mahu.

Maaf, saya sekadar bertanya dan saya harap akan mendapat jawapannya.

Nota kaki;

Jawatan terakhir Dato' A. Aziz Deraman dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1194-2004).

No comments: