Thursday, 30 April 2009

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Pada tahun 1988, bila Dr. Mahathir mengumumkan rombakan kabinet, sebuah kementerian baru telah diwujudkan yang dinamakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Oleh kerana pelancongan merupakan salah satu sumber utama ekonomi negara, Dr. Mahathir mahukan sebuah kementerian yang dapat memberi fokus terhadap pembangunan dan penggalakan industri pelancongan dan seterusnya melipatgandakan usaha menjana ekonomi negara.

Walaupun sebagai rakyat marhaen saya tidak mahu mempersoalkan langkah tersebut tetapi berhubung kebudayaan yang digabungkan dengan pelancongan saya benar-benar tidak dapat memahami rasionalnya. Mungkin pada masa itu Dr. Mahathir merasakan bahawa pelancongan dan kebudayaan berkait rapat dan saling melengkap antara satu sama lain. Saya juga mengagak, jika disatukan kebudayaan boleh dipakejkan dengan pelancongan bagi tujuan komersil. Wallahu'alam.

Sebelum itu Bahagian Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang diterajui Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Kami hanya sempat duduk sebumbung dengan Najib tidak sampai dua tahun. Najib mengambil alih jawatan daripada Dato' Sulaiman Daud pada tahun 1986 ketika berlangsungnya projek pertama saya bersama Bahagian Kebudayaan iaitu Ekspo Warisan Seni dan Kraf Tradisi Malaysia di Stadium Negara. Sulaiman merasmikan upacara pembukaan manakala Najib merasmikan upacara penutup. Ketika itu jugalah pejabat kami di Wisma Keramat musnah dijilat api. Selepas itu kami menumpang sementara di Kompleks Budaya Negara di mana terletaknya Aswara sekarang ini. Beberapa bulan selepas itu baru kami berpindah ke Pusat Bandar Damansara di mana Bahagian Belia dan Sukan turut ditempatkan di situ. Pejabat Najib di tingkat atas sekali. Apabila dipisahkan pada tahun 1988 Najib terus menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Menariknya, pengumuman Dr. Mahathir itu mendapat reaksi kurang senang daripada kalangan budayawan. Mereka berpendapat amat tidak wajar Dr. Mahathir mendahulukan Pelancongan daripada Kebudayaan kerana ini memberi gambaran seolah-olah Pelancongan lebih diutamakan sedangkan sepatutnya kementerian itu dinamakan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Saya tidak ingat apa lagi hujah mereka mengenai perkara tersebut kerana ramai yang memberi reaksi panas. Apa yang saya faham bagi mereka langkah itu merupakan satu penghinaan terhadap kebudayaan.

Ketika itu saya berkhidmat secara kontrak di Cawangan Pengurusan Bahagian Kebudayaan di bawah Ketua Pengarahnya A. Aziz Deraman. Sebagai "orang Aziz Deraman" sudah tentu saya mengikuti isu tersebut dengan penuh minat. Saya mengikuti perkembangan isu tersebut dari semasa ke semasa. Pernah juga saya mendengar komen peribadi Aziz mengenai perkara itu. Sebagai budayawan sudah tentu dia juga tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Perbualannya dengan beberapa orang budayawan yang datang melawatnya di pejabat juga ada membincangkan betapa harapan para budayawan amat tipis terhadap kemampuan Sabarudin Chik sebagai menteri untuk memelihara kebudayaan Melayu yang menjadi teras kepada kebudayaan kebangsaan. Sabarudin dilantik bagi melipatgandakan usaha menjana ekonomi negara. Justeru, dia juga sudah pasti akan memberikan lebih tumpuan kepada pelancongan dan bila merancang sesuatu untuk kebudayaan dia mungkin tidak dapat lari daripada melihatnya dari sudut ekonomi. Namun, sebagai seorang pegawai tinggi Kerajaan, Aziz perlu berhati-hati supaya tidak menampakkan rasa kurang senangnya itu.

Dalam keributan isu tersebut beberapa pertemuan telah diadakan di Pusat Bandar Damansara . Saya lihat ramai budayawan yang datang. Ketika itu Bahagian Kebudayaan terpaksa terus beroperasi di situ sementara menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berpindah ke kementerian baru. Sungguhpun tentangan para budayawan semakin meningkat tetapi saya berpendapat bukan mudah untuk menundukkan Dr. Mahathir yang dikenali dengan ketegasannya. Namun semangat para budayawan nampaknya semakin tinggi dan masih berkeras dan tidak berhenti menyuarakan pendapat. Saya difahamkan pelbagai sesi perbincangan sama ada secara sulit atau terbuka di luar Bahagian Kebudayaan terus diadakan.

Pada suatu hari, kawan baik saya Azminuddin, orang kanan Aziz Deraman di Bahagian Kebudayaan memberitahu saya Aziz mahu kami mengikutnya ke Kuala Selangor pada hujung minggu. Saya bertanya untuk apa. Katanya ada satu pertemuan penting akan berlaku mengenai isu kebudayaan yang sedang hangat diperkatakan. Untuk mendapatkan kepastian saya bertanya Aziz sendiri. Memang benar, menurutnya para budayawan akan berkumpul di Kuala Selangor dan diharapkan pertemuan tersebut akan membuahkan hasil yang ditunggu-tunggu selama ini.

Pada hari tersebut, dari Kuala Lumpur Aziz mengarahkan saya memandu terus ke sebuah dewan orang ramai di Kuala Selangor. Katanya Sabarudin Chik dijangka merasmikan satu acara yang saya sendiri sudah lupa apa acaranya. Bila kami sampai di sana saya lihat memang sudah ramai para budayawan berkumpul. Antaranya Prof Zainal Kling, Dr. Firdaus, dan Dr. Malik Munip. Kalau tidak silap Latif Bakar juga ada bersama. Saya dapat merasakan suasana tegang seolah-olah akan berlaku satu pergaduhan besar. Para budayawan berkumpul di satu sudut dan mereka kelihatan seperti menunggu masa untuk menerkam Sabarudin. Memang benar, sebaik Sabarudin selesai merasmikan majlis dan berjalan melawat gerai pameran, saya lihat para budayawan terus mengerumuni beliau. Saya hanya melihat dari jauh kerana bos saya Aziz Deraman tidak menyertai para budayawan mendekati Sabarudin. Sebab itu saya tidak dapat menceritakan butiran mengenai apa yang dibicarakan mereka. Tetapi dapat saya lihat beberapa orang bercakap berapi-api sehinggakan Sabarudin tidak sanggup berdepan dengan mereka. Mungkin kerana tidak tahan panas dikerumuni begitu, akhirnya Sabarudin Chik mengaku kalah dan terus "lari lintang-pukang" meninggalkan majlis. Alasannya dia ada majlis lain pada hari itu.

Selepas makan tengahari Aziz memberitahu kami bahawa selepas itu ada satu majlis tertutup akan diadakan di pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor. Saya terus bertanya, "Kita orang boleh masuk ke Encik Aziz?"
"Tak apa, you masuk ikut I."

Sesampainya kami di sana saya lihat kumpulan budayawan yang sama sudah sedia berada di dalam dewan mesyuarat. Saya dan Azminuddin tidak bercakap banyak kerana kami sendiri tidak tahu apa agenda sebenar "mesyuarat" dan apa yang akan berlaku seterusnya. Tetapi kami dapat merasakan kehangatan bilik mesyuarat tersebut sungguhpun bangunan pejabat itu merupakan bangunan yang baru siap dibina lengkap dengan sistem pendingin hawa yang canggih.

Kami berasa hairan kenapa mesyuarat masih belum bermula. Kelihatan mereka duduk berbincang hangat. Mereka seperti menunggu sesuatu. Sedang kami menunggu itu tiba-tiba ada orang masuk memberitahu sesuatu kepada kumpulan budayawan dan serta-merta dewan menjadi senyap sunyi. Beberapa saat kemudian pintu bilik mesyuarat dibuka dan muncul satu lembaga berbaju putih. Oh! Rupa-rupanya itulah orang yang mereka tunggu-tunggu. Namanya Muhammad anak Muhammad Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu. Tetapi saya hairan. Kenapa pula dia yang datang?

Setelah Menteri Besar Selangor itu duduk, maka "mesyuarat" pun bermula. Saya sudah lupa siapa yang mempengerusikan mesyuarat tetapi selepas mukaddimah pengerusi, beberapa orang budayawan diberi peluang bercakap memberi hujah mengenai isu pelancongan dan kebudayaan. Memang rata-rata mereka berkeras mahukan supaya nama kementerian diubah menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Mereka melahirkan rasa bimbang dengan menterinya dan mereka turut bimbang dengan masa depan kebudayaan itu sendiri yang sudah pasti akan cuba "dijual" oleh Sabarudin yang tidak pernah diketahui sebagai seorang manusia yang cintakan budaya. Itu kata salah seorang daripada mereka. Walaupun mustahil untuk mendapatkan seorang menteri yang mampu menghayati Dasar Kebudayaan Kebangsaan, tetapi mereka berharap supaya menteri baru itu dapat belajar menghormati dan seterusnya memelihara dan mempertahankan kebudayaan Melayu yang menjadi teras kepada dasar tersebut.

Selepas puas para budayawan berhujah, kemudian tiba giliran seorang pegawai PTD kementerian yang baru dilantik untuk memberi hujah. Aduh! Entah dari mana datangnya pegawai itu dan apa pula latar belakangnya. Saya tahu dia memang ditugaskan untuk menyertai diskusi tersebut tetapi saya berpendapat lebih baik dia tidak bercakap langsung kalau dia sendiri tidak memahami Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Saya bukan mahu mengaku pandai tetapi sungguhpun saya tidak pernah belajar muzik secara formal saya dapat mengesan bila orang melakukan kesilapan ketika bermain muzik atau menyanyi sumbang.

Selepas pegawai PTD itu duduk, orang terakhir diberi peluang bercakap ialah pegawai PTD bernama Aziz Deraman yang baru sahaja dinamakan sebagai Setiausaha Bahagian Kebudayaan bagi menggantikan jawatan lamanya iaitu Ketua Pengarah Kebudayaan. Seperti saya katakan, sungguhpun saya tidak belajar muzik tetapi saya tahu. Bagi saya, "nyanyian" Aziz memang sedap dan mengasyikkan. Sebelum dia bercakap tentang isu utama, terlebih dahulu dia mengupas intipati Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan menghuraikannya satu persatu. Kemudian dia bercakap tentang kebudayaan Melayu, usaha-usaha yang sudah dilakukan sebelum ini dan halatuju serta apa persediaan Bahagian Kebudayaan dalam menghadapi cabaran masa depan. Memang tidak dinafikan Aziz memang hebat bila bercakap tentang kebudayaan yang sudah menjadi darah-dagingnya. Pada petang itu saya tidak nampak Aziz sebagai seorang pegawai PTD. Petang itu dia merupakan seorang budayawan tulen. Saya juga melihat Aziz meletakkan dirinya bersama-sama para budayawan. Tetapi demi memelihara kedudukannya sebagai seorang pegawai Kementerian dengan begitu bijaksana dia mengatur ayat menjadikan kami yang mendengarnya tidak merasakan Aziz juga tidak memihak kepada budayawan seratus-peratus sungguhpun tidak menolak tuntutan mereka. Bagi budayawan yang sudah tentu memahami pendirian Aziz serta turut memahami kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan, saya rasa mereka dapat menerima apa yang dihujahkannya.

Setelah Aziz selesai barulah Muhammad dijemput bersuara. Saya tidak ingat sepenuhnya tetapi antara yang diucapkan Menteri Besar Selangor yang baru itu ialah dia memberitahu para budayawan bahawa dia amat memahami hasrat dan tuntutan mereka dan bersimpati dengan perjuangan mereka. Sebagai seorang pemimpin Melayu sudah tentu menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan kebudayaan Melayu dan juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Sungguhpun begitu tidak bererti dia akan menyokong sekiranya para budayawan bertindak di luar batasan. Kerana itu Muhammad berjanji akan membawa perkara tersebut ke peringkat atasan menerusi saluran tertentu dan dia percaya perkara tersebut akan berjaya diselesaikan. Dia kelihatan amat pasti dengan perkara itu. Paling saya ingat dia menyebut tentang "umpama menarik rambut dalam tepung."

Bila acara selesai semua yang hadir turun ke bawah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Muhammad. Saya lihat dia sempat bermesra dengan beberapa orang di situ. Dia juga memeluk Malik Munip sambil memberitahu kami bahawa Malik pernah mengajarnya di universiti. (Pada pilihanraya berikutnya Malik bertanding kerusi Parlimen Muar dan menang).

Saya tidak tahu apakah memang benar Muhammad Muhammad Taib yang mengangkat tuntutan budayawan itu ke kabinet atau ada tangan lain yang turut masuk campur. Tetapi tidak lama selepas peristiwa di Kuala Selangor itu akhirnya Dr. Mahathir bersetuju untuk mengubah nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Ertinya, dalam perjuangan tersebut kumpulan budayawan telah menang.

Bila Kadir Sheikh Fadzir menjadi menterinya, nama Kementerian juga bertukar menjadi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Pelik juga fikir saya. Bukankah kesenian itu cabang kebudayaan? Mengapa perlu disebut lagi? Saya tidak tahu, mungkin idea itu datang daripada Dr. Mahathir sendiri sebagai mengubat hati para budayawan yang pernah terluka pada satu waktu dahulu.

Setelah sekian lama duduk sebumbung dengan pelancongan akhirnya kebudayaan dipisahkan lagi. Pelancongan tinggal sendirian manakala Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kemudian diubah lagi oleh Pak Lah menjadi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tetapi bila Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara Kebudayaan diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Lalu saya ingin bertanya. Mengapa kali ini tidak ada lagi para budayawan yang mahu bersuara seperti apa yang berlaku pada tahun 1988? Apakah penerangan dan komunikasi itu lebih utama daripada kebudayaan? Atau kali ini mereka boleh menerimanya kerana kebudayaan sudah "dikahwinkan" dengan pihak lain dan menterinya pula memang orang yang kononnya sayangkan budaya? Saya tidak kenal Zainal Kling, Firdaus Abdullah, Latif Bakar atau Malik Munip serta lain-lain. Saya hanya kenal Aziz Deraman. Ingin sekali saya mendengar dia bersuara kali ini. Itu pun kalau dia mahu.

Maaf, saya sekadar bertanya dan saya harap akan mendapat jawapannya.

Nota kaki;

Jawatan terakhir Dato' A. Aziz Deraman dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1194-2004).

Wednesday, 29 April 2009

Rasa hati seorang cikgu

Saya seorang manusia yang amat menghargai sejarah kehidupan. Kerana itu saya suka mencatat kisah-kisah kehidupan, mengingati perkara-perkara silam yang membawa nostalgia yang bagi saya amat tinggi nilainya dalam kehidupan saya. Bagi saya setiap episod kehidupan itu amat penting kerana kesemuanya berlaku dalam satu turutan, daripada satu episod membawa kepada episod yang lain. Tidak ada yang dahulu, sudah tentu tidak akan ada apa yang kita alami sekarang. Walaupun sesetengah perkara itu berlaku kerana keputusan kita sendiri (sama ada keputusan yang salah atau keputusan yang betul, atau keputusan salah yang betul yang saya panggil the right wrong decision), kenapa ia berlaku tidak wajar dipersoal kerana itu sudah ditentukan Ilahi yang kita kenali sebagai takdir.

Saya rasa saya masih mampu mengingati banyak kisah silam, sama ada pengalaman saya sendiri di zaman kanak-kanak mahupun kisah-kisah semasa saya di alam remaja. Sudah tentu apa yang saya alami bila sudah dewasa lebih banyak yang saya ingat. Cuma sejak akhir-akhir ini ingatan saya menjadi agak lemah terutama tentang perkara-perkara yang baru berlaku. Saya juga mudah lupa nama orang yang baru sebentar saya temui. Dari segi saintifik ini ada kaitan dengan otak kita yang rasanya ramai yang tahu tentang apa yang akan berlaku bila umur kita semakin meningkat. Bagi mengatasi masalah tersebut, saya terpaksa mencari kaedah supaya tidak lupa tentang sesuatu perkara seperti mencatat atau melatih diri memikirkan sesuatu perkara itu berulang-kali.

Guru kelas saya semasa di darjah satu namanya Cikgu Omar. Dia sudah meninggal dunia agak lama juga. Guru saya di darjah dua namanya Cikgu Atan Long manakala semasa berada di darjah tiga guru saya bernama Cikgu Hashim. Saya sudah lupa sama ada kedua-dua mereka masih ada lagi di dunia ini. Allahyarham Cikgu Taufik pula mengajar saya sejak dari darjah empat hingga ke darjah enam. Tempoh selama tiga tahun itu membuatkan dia amat mengenali murid-muridnya dan saya tahu dia amat sayangkan saya serta beberapa orang kawan lain seperti Md Noor Mahmud, Khalid Embong dan Tajul Ariffin. Ini kerana kami berempat merupakan murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran dan saling bersaing. Setiap kali peperiksaan sudah tentu tempat pertama hingga ke empat menjadi milik kami. Selalunya saya merupakan murid terbaik dan mereka sukar mengalahkan saya. Kerana itu Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah yang kami kenali sebagai Penghulu Mohd Noor amat kenal dengan saya. Setiap kali di upacara penyampaian hadiah tahunan dia akan menegur saya semasa menyerahkan hadiah. "Hah! Anak Berahim lagi." (Dato' Hj Mohd Noor ialah bapa kepada Dato' Haji Jumaat, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka 1988-1993).

Tetapi bila berada di peringkat menengah sudah tentu segala-galanya boleh berubah. Md Noor yang bersama-sama saya ke sekolah berasrama penuh akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran di seberang laut. Khalid dan Tajul walaupun tidak mendapat peluang seperti kami juga berjaya belajar ke luar negara. Jadi, antara kami berempat, hanya saya yang tinggal di Malaysia dan sekadar mampu mengharungi sungai-sungai kehidupan sambil mencatat setiap kisah yang berlaku.

Kembali kepada isu yang ingin saya bicarakan, bila bertemu dengan Md Noor atau Tajul, kami tidak pernah lupa bercakap tentang zaman kanak-kanak dahulu dan bercerita tentang kawan-kawan lama serta guru-guru kami. Bila bercakap tentang guru-guru, kami bukan sahaja ingat pada guru-guru kelas tetapi juga guru besar kami allahyarham Cikgu Taib serta guru-guru lain seperti Cikgu Sharifah, Cikgu Radin Shamsuddin dan Cikgu Ahmad Hashim. Md Noor dan Tajul mempunyai banyak maklumat kerana sering balik ke kampung di Batu Pahat dan masih mempunyai rangkaian kawan-kawan yang boleh dihubungi. Sebab itu Md Noor tahu siapa anak-anak Cikgu Hashim, bila Cikgu Taufik meninggal dunia dan macam-macam cerita lagi. Begitu juga dengan Tajul.

Saya tidak pasti apakah masih ada ramai orang seperti kami yang menghargai kehidupan masa silam khususnya dalam mengingati zaman persekolahan serta guru-guru yang pernah berjasa dalam hidup kita. Saya membangkitkan perkara ini kerana terkejut dengan satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini berkaitan perkara yang sama.

Pada hari itu saya dan isteri sedang membeli barangan di sebuah pasaraya berdekatan kawasan perumahan kami. Isteri saya memang mempunyai daya ingatan yang kuat. Semasa mendekati kaunter bayaran, sebaik terpandangkan seorang ibu dengan anaknya dia terus menegur si ibu. Memang benar, itu ibu kepada bekas anak muridnya di sekolah rendah dahulu. Budak lelaki yang berdiri di sebelahnya itu ialah bekas anak muridnya dan bila isteri saya memperkenalkan diri dia kelihatan teruja bertemu bekas gurunya. Tetapi sayang, dia langsung tidak ingat nama isteri saya. "Siapa ya? Siapa ya? Alah! Lupa," katanya sambil menggaru-garu kepala.

Sudah tentu apa yang berlaku itu amat menyedihkan. Saya tidak dapat menduga perasaan isteri saya ketika itu. Tetapi kalau saya berada di tempatnya sudah tentu saya rasa amat terkilan. Betapa nama guru yang pernah mendidiknya satu waktu dulu langsung tidak mempunyai nilai dalam kehidupan budak lelaki itu. Dia mungkin baru berada dalam tingkatan tiga atau empat. Dibandingkan dengan saya, Md Noor dan Tajul yang sudah lebih empat puluh tahun meninggalkan sekolah rendah, budak itu yang baru sahaja tiga atau empat tahun dengan begitu mudah boleh lupa pada nama cikgunya sendiri. Saya harap itu hanya satu kes terpencil dan saya harap apa yang berlaku bukan gambaran sebenar sikap generasi muda sekarang.

Di sebalik peristiwa tersebut, isteri saya memang bertuah kerana ramai juga bekas murid-muridnya yang rajin datang menziarah terutama pada musim aidilfitri. Ada yang baru meninggalkan sekolah rendah, ada yang sedang belajar di universiti, malah ada juga yang sudah bekerja. Ada juga bekas murid-muridnya yang rajin menelefon atau menghantar sms. Tetapi paling menarik, seorang bekas muridnya yang sekarang sedang belajar di UIA Kuantan memang tidak pernah lupa memohon doa restu isteri saya setiap kali sebelum menduduki peperiksaan semester. Baru-baru ini bekas muridnya itu melangsungkan pertunangan dengan rakan sekelasnya dulu dan pada hari itu sibuk sekali kedua-duanya berSMS dengan isteri saya. Khabarnya berita itu juga heboh di kalangan beberapa orang guru yang juga rapat dengan pasangan tersebut.

Saya juga suka melayan bekas murid-murid isteri saya. Sungguhpun saya sedar mereka tidak tahu nama saya, tetapi saya amat berbesar hati kerana mereka juga mudah mesra dengan saya. Kalau terserempak di mana-mana ada sahaja yang menegur dan akan terdengar mereka memanggil "Pak Cik!" sekalipun sambil lalu menunggang motosikal.

Di sekolah juga begitu. Oleh kerana saya merupakan suami paling aktif menghantar dan mengambil isteri dan kerap berada di sekolah dan suka "menyibuk" bila ada acara tertentu, memang ramai murid yang mengenali saya. Bila berselisih memang ada sahaja yang menegur atau memberi salam dan memanggil saya pak cik sekalipun mereka sebenarnya sebaya dengan cucu-cucu saudara saya yang juga bersekolah di situ.

Cuma ada sekali saya rasa amat tersentuh bila seorang murid memberi salam kepada saya dengan menyebut, "Assalamu'alaikum Cikgu." Lalu saya jawab salamnya dengan rasa amat terharu. Saya terkedu seketika. Pada ketika itu juga saya terus teringat zaman saya jadi guru dulu. Alangkah bahagianya hati seorang guru di saat-saat begitu.

Nota kaki;

Saya masih ingat sepenuhnya lirik lagu Guru Malaysia dan kalau disuruh menyanyikan lagu itu memang saya tidak ada masalah. Rangkap akhir merupakan rangkap yang paling saya suka.


Amanah yang diberi
kami tak persiakan
apa yang kami janji
tunai tetap kami tunaikan.

Tuesday, 28 April 2009

Membina kekuatan diri

Pagi semalam ketika sedang keseorangan di rumah seperti biasa, saya sedang menyiapkan bahan-bahan untuk menyediakan sarapan bila anak saya Baby menghantar sms. Selalunya itulah yang saya lakukan sebelum mula bekerja menghadap komputer.

Baby bertanyakan tentang tajuk berita di NST online mengenai penipuan akaun bank yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Sebenarnya saya yang menyuruh dia mencari maklumat tersebut di internet pada malam sebelumnya tetapi kerana kesibukan membelanja makan beberapa orang pelajar KPM Indera Mahkota dia tidak sempat melakukannya.

Selepas memberitahu dia sudah menemukan maklumat tersebut saya menghantar satu sms sebagai peringatan kepadanya. Saya meminta kalau boleh anak saya itu dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya setengah jam sehari untuk membaca akhbar online arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, the Star dan juga NST. Saya sebutkan bahawa perkara itu akan memberi banyak kelebihan yang akan membuatkan dia berasa lebih yakin bila masuk ke kelas berhadapan dengan para pelajar.

Bukan kepada Baby sahaja, kakaknya juga selalu saya ingatkan supaya banyak membaca akhbar dan juga majalah supaya lebih bermaklumat. Tidak kira sama ada akhbar atau majalah fizikal mahupun online. Kedua-dua anak saya itu merupakan pendidik yang seharusnya menjadikan memburu maklumat sebagai budaya hidup mereka. Bagi saya amat tidak wajar sekali kalau seseorang guru itu masih tertarik pada akhbar atau majalah sampah yang langsung tidak membawa kebaikan kepada pemikiran mereka sebagai pendidik. Keperibadian dan pemikiran kita dibentuk oleh apa yang kita baca.

Saya membangkitkan perkara ini kerana saya amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini apabila terlalu kerap masalah tentang kerendahan tahap pengetahuan am para graduan dipersoalkan dan dibicarakan secara umum. Kadang-kadang saya merasa pelik kerana di sebalik kemajuan ICT berteknologi tinggi di zaman ini yang membolehkan maklumat dicapai dengan mudah tetapi para graduan masih mempunyai tahap pengetahuan am yang amat rendah dan memalukan khususnya mengenai isu-isu semasa.

Baru-baru ini seorang sahabat memberitahu tentang betapa hebatnya pencapaian akademik calon-calon pelajar tajaan Petronas yang ditemuduganya. Tetapi bila tiba pada peringkat ujian pengetahuan am, kata sahabat saya itu "semua mereka gagal." Dia tidak memberitahu saya perincian perkara yang berlaku tetapi saya pasti mereka mungkin tidak tahu asal usul nama Petronas, sejarah penubuhannya dan siapa yang terlibat dan siapa pula Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya sekarang ini. Saya juga pasti, bila ditanya ramai tidak dapat menjawab bahawa ada anak syarikat Petronas yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Apa lagi kalau ditanya nama anak syarikat Petronas yang mengeluarkan LNG di Sarawak.

Pada hujung minggu lepas saya "tertonton" sebuah program bicara di saluran Astro. Kerana ada kerja lain saya tidak dapat mengikuti program tersebut sepenuhnya. Walaupun menonton sebahagian tetapi cukup untuk membuatkan pernafasan saya tersekat seketika. Program bicara tersebut membincangkan tentang masalah literasi politik. Ia menyebut tentang anak-anak muda khususnya para graduan yang bukan sahaja tidak faham tentang sistem politik tanah air tetapi juga sejarahnya. Ada graduan yang masih keliru dengan penggunaan Yang Berhormat, Yang Berbahagia, Yang Amat Berhormat dan Yang Amat Berbahagia. Itu sahaja yang mampu saya dengar. Itu bukan masalah baru kerana dalam pergaulan saya memang banyak yang masih keliru sekalipun mereka yang sudah berusia.

Baby amat bernasib baik kerana selepas satu temuduga dia terus mendapat tawaran kerja di KPM. Tetapi bagi Kak Yong, hampir setiap kali menghantarnya untuk beberapa temuduga saya akan pastikan supaya dia mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang tempat yang memanggilnya untuk temuduga tersebut. Saya selalu berpesan supaya dia tahu siapa nama menteri itu dan ini, siapa ketua setiausaha dan sebagainya. Saya pasti, ada di kalangan guru terutama mereka yang baru bekerja yang masih tidak faham tentang struktur pentadbiran negara. Mungkin mereka tidak tahu siapa nama Ketua Setiausaha Negara dan juga tidak tahu bahawa pentadbiran di sesebuah kementerian diterajui oleh seorang Ketua Setiausaha. Apa lagi untuk memahami apa itu PTD dan PTA dan di mana para pegawai ini ditempatkan dalam sistem pentadbiran negara. Itu baru tentang sistem pentadbiran negara, belum lagi kita bercakap tentang sistem politik dan perkara-perkara lain.

Bukan saya mahu berbangga tetapi ingin saya nyatakan bahawa anak-anak saya lebih bertuah kerana mereka berpeluang belajar hingga ke peringkat universiti. Saya tidak berpeluang ke menara gading tetapi untuk bersaing dalam pasaran saya terpaksa bergantung pada maklumat dan ilmu pengetahuan yang terpaksa saya peroleh melalui jalan lain. Hanya itu sahaja pilihan yang saya ada dalam usaha membina kekuatan diri. Saya juga perlu memastikan bahawa saya perlu konsisten dalam pencapaian saya dan mendapat lebih tinggi daripada "4 Flat" dalam pengetahuan am dan isu-isu semasa yang mungkin tidak terkejar oleh para graduan.

Saya bukan menujukan perkara ini kepada orang lain kerana siapa saya untuk mengajar orang lain. Saya hanya berharap kalau anak-anak saya membaca blog ini hati mereka akan terbuka untuk menyahut cabaran saya dan menilai betapa pentingnya maklumat dan pengetahuan am bagi faedah kerjaya mereka sendiri dan bagi membolehkan mereka kekal bersaing dalam pasaran.

Salam sayang daripada abah untuk Kak Yong Faresha dan Baby Shahida.

Kadang-kadang kejujuran pun meletihkan juga

Waktu itu kami sedang berehat di halaman rumah produser Kak Wan sementara menunggu untuk menyambung penggambaran drama TV Bukang Gantung Diri. Drama itu merupakan drama kedua U-Wei selepas Tempua Bersarang Rendah dan drama pertama saya bersama U-Wei pada tahun 1988.

Kalau tidak silap saya yang ada bersembang bersama kami pada masa itu ialah penulis skrip Anwar Idris, Hazali Hj Ramli dan Nan juru mekap kami. Entah macam mana tiba-tiba keluar cerita tentang satu kajian ilmiah yang dilakukan seseorang mengenai allahyarham P. Ramlee. U-Wei atau Anwar Idris mungkin masih ingat lagi siapa orangnya. Kajian tersebut berkaitan beberapa lirik lagu P. Ramlee dan yang paling menarik mengenai lirik lagu Gambus Jodoh. Ada satu baris lirik yang berbunyi, "Tanah yang licin, tanah yang licin tidak berduri, ibarat cincin, ibarat cincin lekat di jari."

Rasanya tidak perlu saya menghuraikan rahsia di sebalik lirik tersebut. Apa yang mahu saya ceritakan di sini ialah baris lirik tersebut telah memberi ilham kepada U-Wei untuk menamakan krew produksi kami sebagai Krew Tanah Licin.

U-Wei mempunyai harapan besar untuk memastikan supaya Krew Tanah Licin dapat terus bekerja bersama-samanya sehingga dia "membikin filem." Dia lebih suka perkataan membikin daripada mengarah. Sebelum itu dia mahu memperkasakan Krew Tanah Licin dari segi kerja dan pencapaian dan bila itu berlaku dengan sendirinya nama Krew Tanah Licin akan jadi besar. Apa yang berlaku selepas itu sama ada Krew Tanah Licin dapat terus hidup atau berkubur di tengah jalan akan terjawab selepas ini. Atau mungkin juga sudah terjawab dalam beberapa tulisan sebelum ini.

Selepas satu atau dua drama, Johari Abdul Hamid menyertai kami sebagai Propmaster. Joe seorang anak muda yang berbakat dan berjiwa seni. Kerana itu tidak lama selepas menyertai Krew Tanah Licin dia diangkat menjadi Art Director. Saya berpeluang bekerja dengan Joe dalam beberapa lagi drama U-Wei sehinggalah saya menarik diri daripada terlibat dalam filem sulung U-Wei Perempuan, Isteri dan Jalang (yang kemudiannya "didot-dotkan" oleh kumpulan orang-orang tua pencen di Lembaga Penapis Filem).

Kami terpisah agak lama. Saya tidak mendengar khabar berita mengenai Joe dan setelah sekian lama beberapa tahun lepas saya terserempak dengannya di Wangsa Maju ketika dia sedang sibuk dengan sebuah penggambaran. Dia masih lagi bersemangat bekerja sedangkan saya sudah terus hilang minat terhadap bidang filem dan drama. Saya perlu mengakui bahawa saya bukan dilahirkan untuk jadi orang seni. Saya dilahirkan ke dunia ini untuk menjadi pengurus, baik apa juga bidangnya. Hazali Haji Ramli sudah "naik pangkat" menjadi pengarah drama, Nan sudah balik ke Bentong dan hanya sesekali datang ke Kuala Lumpur bila ada kerja manakala Sutex atau lebih dikenali dengan panggilan Auntie Su oleh anak-anak saya bergiat cergas dalam bidang fesyen. Anwar Idris yang sudah hampir setahun tidak saya temui walaupun tinggal hanya dua kilometer dari rumah saya, khabarnya masih lagi menulis. Kalau tidak silap dia menang satu anugerah skrip terbaik pada tahun lepas. Saya tidak pasti sama ada anugerah RTM atau TV3. Tetapi ketika acara anugerah tersebut sedang ke udara, anak saya Kak Yong ada menghantar sms kepada saya memberitahu tentang kemenangan Anwar.

Kemudian saya mendengar lagi tentang perkembangan kerjaya Joe. Pada tahun lepas seseorang memberitahu saya bahawa dia sudah menjadi pengarah video dokumentari di FM Production yang banyak membekalkan program TV untuk Astro. Dengar khabarnya dia kerap juga melakukan penggambaran di luar negara. Kerana "kesibukan hidup" masing-masing kami masih belum berpeluang untuk bertemu.

Entah bagaimana tiba-tiba Joe menelefon saya semalam. Sudah tentu saya teruja bila ada sahabat lama yang masih ingat pada saya.

"Wah! Joe. Aku ingat aku kena buat kenduri do'a selamat, buat pulut kuning bila engkau telefon ni," itu ayat pertama saya sebelum sempat dia membuka mulut memberi salam.

Kami tidak sempat pun bersembang tentang perkara lain kerana tujuan utama Joe menelefon ialah untuk memberitahu bahawa dia baru terjumpa blog saya. Dia tertarik dengan tulisan saya bertajuk Demi Masa. Katanya, "Memang betul Shah, kita ni tak sesibuk mana pun.."

Malam tadi rupa-rupanya Joe ada menghantar dua mesej yang tidak saya sedari kerana saya tidur awal. Mesejnya berbunyi,

"Md. Shah, melayari blog kau..aku dpt seribu..mungkin sejuta ketenangan. Anda masih ada senjata yang brnama penulisan. Tringat saya masa kita brtungkus-lumus dgn Wei. Penulisan yang jujur lbh brmakna dari seribu buku yg menipu. Salam. Tq."

Itulah yang ditulis Joe dalam bahasa sms dan "dot-dot"nya pun saya salin sepenuhnya (sekadar bergurau lagi, dot dot itu bertujuan untuk memuaskan hati orang-orang tua pencen di Lembaga Penapis Filem).

Lalu pagi ini saya jawab smsnya,

"Salam Joe, kdg2 kejujuran pun meletihkan juga. Sebab tu aku tidur awal dan tak jwb msg."

Oleh kerana sekarang ini rakyat Malaysia terlalu inginkan "kebebasan bersuara," terpulang kepada mereka untuk bebas menyelongkar maksud ayat saya itu.

Di bawah ialah petikan kata-kata Soren Kierkegaard - 1813-1855, seorang penulis dan ahli falsafah Denmark.

"People demand freedom of speech to make up for the freedom of thought which they avoid."