Friday, 6 March 2009

Srikandi Cintaku

Semasa memulakan blog ini awal tahun lalu, saya tidak pernah tahu mengapa saya menulis “Now back to Dunia Seni for good” dalam ruangan profil. Sememangnya saya tidak pernah merancang untuk kembali ke dunia yang telah lama saya tinggalkan itu dan kalau kembali pun saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan. Mungkin apa yang saya tulis itu digerakkan oleh satu rasa yang sukar untuk saya jelaskan.

Mustahil saya mahu jadi penyanyi atau bermain muzik pada peringkat umur “senja” sebegini. Lagipun Kopratasa memang sudah lengkap sejak 23 tahun lalu tanpa ketiadaan saya (setelah ditolak dua tahun saya bersama-sama Sani Sudin dan Usop pada peringkat awal penubuhannya) dan pada usia 25 tahun kematangan dan kemantapan Kopratasa tidak perlu dipertikaikan yang bagi saya merupakan satu pencapaian yang tidak ada tolok bandingnya dan sudah pasti tidak memerlukan sebarang rombakan. Kalau ada pun saya menyertai mereka semula sekadar untuk suka-suka dalam sesi-sesi tertentu.

Untuk kembali bekerja dalam dunia drama dan filem Melayu juga tidak mungkin kerana saya sudah kehilangan banyak tenaga ketika bersama-sama U-Wei Haji Saari dulu. Saya pernah hampir "terbakar" selepas filem U-Wei "Kaki Bakar" menjejakkan kaki ke Cannes Film Festival pada tahun 1995 dahulu. Kecuali kalau ditawarkan satu pakej bisnes yang menarik yang sukar ditolak, mungkin saya akan memberi pertimbangan. Tetapi untuk berlari ke sana ke mari menggalas beban sebagai pengurus produksi seperti yang pernah saya lakukan dulu, saya tahu saya tidak mampu bersaing di dalam gelanggang dengan para pemain baru. Saya letih dan tidak mahu terbakar seperti dulu.

Tetapi tanpa disedari, memang benar kata-kata kita ialah doa kita. Apa yang saya ucapkan itu benar-benar berlaku. Sejak awal tahun ini tiba-tiba saya dibawa kembali ke dunia itu untuk bersama-sama Sani, Usop dan Siso. Saya bukan mahu jadi penyanyi tetapi saya sedang menyaksikan sekelompok manusia yang berusaha keras untuk mengubah takdir yang memberikan saya banyak pengajaran. Seperti yang pernah Zaidi Omar ucapkan, ND Lala hanya penyebab tetapi yang menjadikan nasibnya berubah semuanya digerakkan Allah SWT. Itu jugalah yang sedang berlaku kepada kelompok manusia itu. Dengan kuasa Allah juga tempat itu menjadi tempat pertemuan dan menyatukan kami semula. Walaupun dulu kami kerap bertemu tetapi sejak awal tahun ini kami bertemu lebih kerap lagi. Lebih kerap kami bertemu, lebih banyak saya dapat belajar tentang kehidupan.

Malam ini selepas selesai menguruskan isteri saya di Hospital Kuala Lumpur yang telah berada di situ sejak malam Isnin lalu kerana mild stroke, saya terus ke tempat ND Lala kerana diminta menghadiri perjumpaan yang antara lain untuk membincangkan penganjuran satu lagi acara Santai Bersama Selebriti – berhibur sambil buat duit. Sebelum ini acara pertama yang dianjurkan yang berlangsung di Wisma PGRM Cheras mendapat sambutan menggalakkan. Saya memang terlibat bersama-sama Kopratasa dalam konsert mini tersebut. Untuk acara yang akan datang saya tidak tahu sama ada akan terlibat lagi di atas pentas kerana saya sudah mula terasa bahawa saya akan mula sibuk dengan beberapa perkara lain yang tiba-tiba datang tidak disangka-sangka.

Selesai perjumpaan, seperti biasa kami semua turun ke kedai mamak di hujung bangunan. Seperti biasa juga memang banyak perkara yang dibincangkan berkaitan aktiviti kami. Pernah beberapa kali kami bersurai jam 4 pagi semata-mata kerana mahu menimba ilmu daripada ND. Namun sesekali ada juga cerita-cerita sampingan yang ditimbulkan yang menambah cerita suasana malam.

Malam ini, entah bagaimana tiba-tiba Usop menyebut tentang isu panas yang sedang bergelora sejak beberapa hari lalu berhubung karyanya Srikandi Cintaku. Lirik lagu itu dihasilkannya pada tahun 1987 di set penggambaran drama TV3 Budi Semantan. Drama tersebut arahan sahabat kami Rohani Yousoff yang lebih mesra dipanggil Kak Ani yang kami kenali sejak bekerja di Teater Elit. Saya bukan mahu mencatat mengenai isu tersebut kerana bagi saya isu tersebut memang sensitif dan biarlah Usop mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai. Sebagai sahabat rapat yang amat mengenali jiwanya, saya akan menyokong apa saja tindakannya kerana saya memang percaya bahawa itu karya Usop. M. Nasir juga tahu dan tidak mustahil dia mungkin lebih tahu. Kalau orang bertanya mengapa saya percaya? Mudah saja. Setiap kali menyanyikan lagu ciptaan M. Nasir itu yang merupakan antara lagu yang amat saya minati, saya dapat merasakan berada dalam diri Usop.

Selepas puas meluahkan rasa terkilannya, Usop bangun meninggalkan kami. Dia terpaksa balik awal kerana ada urusan di Shah Alam awal pagi esok. Sebenarnya saya juga perlu balik awal. Baby keseorangan di rumah kerana Kak Yong berada di HKL menemani emaknya. Janji saya pada Baby akan balik secepat mungkin dan kemudian memberitahunya akan sampai di rumah sebelum jam 12.30. Tetapi nampaknya saya akan terlewat juga kerana sedang kami bersiap untuk bangkit daripada kerusi masing-masing Sani membangkitkan sesuatu yang menarik mengenai Srikandi Cintaku. Katanya, “Apa yang Usop tulis, Nasir dapat, Usop pun dapat.” Itulah bahasa Sani Sudin. Ringkas dan padat tetapi penuh makna.

Maksud Sani, apa yang ditulis Usop dalam lirik lagu itu akhirnya benar-benar terjadi. Mula-mula M. Nasir kehilangan srikandi cintanya Junainah (Nana). Tidak lama kemudian Usop pula kehilangan srikandi cintanya Ummi. Cuma M. Nasir menduda tidak lama kerana kekosongan itu diisi oleh Marlia Musa tidak lama selepas itu. Tetapi Usop masih bertahan menduda sampai ke hari ini. Kalau tidak silap saya Ummi meninggal pada awal tahun 2000. Mungkin terbukti semangat Usop tetap bersemadi bersama srikandi cintanya.

Kami yang berada di situ terdiam mendengar kata-kata Sani. Memang benar. Dendangkan lagu itu dan rasakan apa yang pernah dilalui dua karyawan itu. Saya turunkan lirik Srikandi Cintaku sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap karya agung sahabat saya bernama Usop.

Dingin malam tirai kenanganku
Menyerlahkan sekurun ingatan
Terciptalah rimba kehidupan
Percintaan dalam perjuangan

Kesetiaan sebagai bekalan
Bisikan mu penuh pengharapan
Tiada garis dapat memisahkan
Segalanya kudratMu Tuhan

Alam bagai mengerti
Segala yang terjadi
Embun menitis panas simpati
Pertemuan tiada awal akhir

Perutusan berdarah ku terima
Gugur kuntum di tengah halaman
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu

Kan kuusung oh jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku

Lirik Usop/Lagu M. Nasir

4 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Sdr. Mohd Shah,
Assalamualaikum!
Pengalaman saudara itu kalau dibukukan tentu menarik.
Kalau bertemu kembali dengan Cikgu Rahman Yeop kirim salam kepadanya. Saya ada hantar kumpulan sajak saya kepadanya, tapi sampai sekarang dia tak jawab. Mungkin dia sibuk atau pun saya terlupa letak alamat saya dan no. telefon.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam Sdr Shapiai,
memang ada niat untuk dibukukan sejak idea tersebut dicetus oleh Sdr Rahimidin Zahari. Semangat membara tetapi masanya belum tiba sebab belum tentu boleh dapat penerbit.
Sani sudin sendiri sudah mengumpul banyak bahan mengenai pengalaman Kopratasa untuk dibukukan.
Tentang Cikgu Rahman Yeop, insyaallah akan saya susuli. Nanti saya akan berikan no tel sdr.

ayyub said...

Sdr Mohd Shah,

Beberapa kali saya layan saudara bersama kopratasa, yang terakhir sekali masa exhibition anak alam di R.A. gallery disember lepas. saya rapat dengan sdr mohd yusof othman (anaknya satu batch dengan saya).

ya, kami juga sdarian. dan saya baru tau yg "bekas" ahli kopratasa ini juga merupakan seorang sdarian. kecilnya dunia...

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Macam mana boleh saya hubungi sdr? Maaf kerana terlepas pandang komen ini.