Friday, 13 March 2009

Demi masa

Rasanya sudah banyak kali juga saya sebut dalam blog ini bahawa saya tidak pernah belajar hingga ke universiti. Saya banyak belajar daripada pengalaman yang dikutip menerusi pekerjaan dalam pelbagai bidang, pergaulan dengan kawan-kawan dan juga belajar daripada buku-buku yang saya baca.

Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah pengurusan masa. Dalam Al-Quran sendiri ada surah khusus mengenai masa. Mungkin kerana itu saya amat menghargai dan menghormati masa.

Apa yang saya pelajari menerusi pengalaman, untuk menjadi seorang pengurus yang baik, sebelum kita pergi jauh bercakap tentang perkara-perkara yang lebih kompleks mengenai pengurusan masa, cara kita mengurus ruang bekerja itu lebih utama. Lihat bagaimana kita mengurus meja kita, menyusun peralatan pejabat, meletakkan diari atau planner dan sebagainya. Saya juga belajar bahawa bahan-bahan yang tidak berguna jangan disimpan kerana ia akan menambah serabut ruang kita bekerja. Time Management Handbook itu masih saya simpan hingga ke hari ini dan masih menjadi kitab asas pengurusan untuk panduan saya. Memang terbukti benar, bila saya mempraktikkannya saya rasa lega dan kepala saya tidak berserabut terutama dalam kerja-kerja pengurusan yang saya lakukan. Saya juga dapat melatih diri saya merancang dan mengurus masa dengan lebih baik.

Apa yang saya tulis ini sekadar pengalaman saya terlibat dalam kerja-kerja pengurusan. Saya tidak mahu melibatkan orang seni kerana mereka berbeza dari segi banyak perkara. Jangan ditanya bagaimana mereka menyusun ruang bekerja, jangan ditanya bagaimana mereka mengurus masa mereka kerana mereka berada dalam dunia sendiri yang tidak mungkin mudah difahami orang biasa. Bagi saya, kerana saya banyak bergaul dengan orang seni, sama ada penulis, pelukis, penghibur dan sebagainya, saya tidak mahu mempersoalkan cara mereka mengurus diri, ruang bekerja dan juga masa mereka. Seserabut mana yang kita lihat ruang bekerja mereka, tarik satu benda mereka akan tahu bahawa benda itu hilang. Jangan cuba kita kemas ruang bekerja orang seni kerana bila dikemas cantik rasa saya mereka akan hilang selera untuk bekerja kerana itu bukan suasana yang boleh memberikan mereka keselesaan.

Saya pernah bercerita sebelum ini tentang lawatan saya ke rumah Salleh Ben Joned bersama U-Wei Haji Saari dan bagaimana dengan mudah Salleh menarik majalah berkaitan apa yang sedang dibicarakannya dengan U-Wei ketika itu. Dia tahu di mana letaknya majalah berkenaan. Begitu juga bila saya berjumpa Rahimidin Zahari di bilik pejabatnya. Bagi saya dia bukan termasuk dalam golongan pengurus seperti saya. Dia seorang penulis atau lebih senang disebut karyawan yang selalu juga saya panggil orang seni. Jangan cuba diusik apa juga yang ada di biliknya kerana kalau dibuat begitu rasa saya Rahimidin terpaksa mengambil cuti panjang dan berhenti menulis buat beberapa waktu.

Oleh kerana saya menulis tentang masa ini dari sudut pengurusan saya harap perkara ini tidak menyentuh perasaan orang-orang seni terutama sahabat-sahabat saya kerana memang bukan itu maksud sebenar saya. Saya menulis kerana beberapa minggu ini saya agak tersentuh melihat e-group kumpulan 6976 SDARA (Sekolah Datuk Abdul Razak) yang semakin menyepi. Kalau dulu hampir setiap hari ada sahaja orang menulis pelbagai isu, sejak kebelakangan ini kalau hendak melihat satu mesej pun payah. Semasa musim pilihanraya, bertalu-talu kawan-kawan menulis sama ada yang menyokong Kerajaan atau menyokong pembangkang. Tiba-tiba semua jadi pandai dan bercakap lebih daripada orang politik.

Sebahagian besar sahabat-sahabat saya yang menyertai e-group itu merupakan mereka yang terpelajar. Kebanyakan mereka belajar di seberang laut dan berkedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing. Sudah tentu sebagai kumpulan profesional mereka mampu mengurus masa dengan lebih baik dan sibuk bukan merupakan satu alasan terbaik. Lalu malam tadi saya cuba menjentik perasaan mereka dengan menulis sesuatu bertajuk Medan Ini Semakin Sepi.

Saya cuba bertanya sesibuk mana mereka sehinggakan tidak ada masa untuk menulis? Saya juga memberitahu, kalau benar anggapan saya itu satu hari nanti saya mahu menulis sesuatu tentang sesibuk mana kita sebenarnya.

Bila orang menyebut perkataan sibuk kadang-kala saya jadi hairan. Apakah tidak mencukupi masa dua puluh empat jam sehari yang diberikan Tuhan sehinggakan kita memberi alasan sibuk bagi banyak perkara yang gagal kita lakukan? Bagaimana kita mengurus masa kita sebenarnya? Kalau ditanya mengapa tidak menelefon, jawabnya sudah pasti kerana sibuk. Kalau ditanya kenapa tidak sempat sms, sudah tentu jawapannya serupa, kerana sibuk. Tidak boleh balik ke kampung walaupun sekali dalam setahun juga kerana sibuk?

Sebenarnya saya kurang selesa kalau isteri saya memberitahu saudara-mara di kampung atau kawan-kawan bahawa kami tidak dapat menjanjikan bila mahu berjumpa lagi kerana bergantung pada masa saya yang selalu sibuk. Oh! Tidak. Saya tidak sesibuk yang isteri saya sebut atau sesibuk yang orang lain fikirkan. Saya ada banyak masa. Sesibuk mana saya sekalipun setiap hari kalau berjauhan saya akan pastikan saya menelefon isteri atau anak-anak saya. Sesibuk mana sekalipun kalau anak-anak saya keluar rumah saya akan pastikan saya menghubungi mereka untuk mengetahui sama ada mereka sudah sampai ke destinasi dan bila mereka akan pulang ke rumah. Saya juga memastikan akan menelefon adik-beradik saya setiap dua minggu untuk mengetahui keadaan mereka terutama abang dan kakak yang semakin meningkat usia mereka. Mengenai urusan lain, semua yang menjadi keutamaan akan saya masukkan dalam sistem peringatan telefon bimbit saya bagi memastikan saya tidak lupa.

Saya ada memberitahu sahabat-sahabat saya itu. Jangan beri alasan sibuk kerana tidak dapat menulis dalam e-group. Mustahil mereka tidak boleh memperuntukkan masa lima minit untuk duduk di hadapan komputer. Jangan beri alasan sibuk kerana tidak menelefon atau sms. Saya bertanya, berapa kali mereka ke tandas dalam sehari? Jarak perjalanan dari pejabat ke tandas berapa jauh? Kalau mahu, dalam perjalanan ke tandas itu masih boleh menelefon atau sms. Atau mungkin semasa mencangkung di dalam tandas masih boleh menelefon atau sms kalau mereka mahu. Jangan cuba beritahu saya mereka langsung tidak berehat sebentar sesibuk mana sekalipun. Dalam masa berehat itu, kalau mereka ingat sudah tentu mereka masih boleh menelefon, sms atau menarik keyboard komputer untuk menghantar mesej.

Jadi apa sebab sebenarnya? Bukan kerana sibuk. Saya lebih suka kalau sahabat-sahabat saya itu berterus-terang sahaja memberitahu bahawa mereka lupa dan lupa itu berlaku kerana e-group kami bukan menjadi keutamaan dalam jadual harian mereka. Atau mungkin kerana tidak ada modal untuk dibicarakan. Habis cerita.

Ada beberapa orang yang memberi reaksi kepada tulisan saya. Seorang memberitahu bahawa capaian internetnya digantung buat sementara dan dia mengingatkan saya supaya jangan cepat merajuk. Saya jawab dengan memberitahu sahabat saya itu bahawa saya bukan merajuk tetapi saya rasa terkilan.

Seorang lagi memberitahu dia sibuk kerana ke Kelantan dan selepas ini akan ke Sabah pula semuanya atas urusan bisnes. Saya mahu bertemu dengannya dan dia bersetuju untuk bertemu sebelum 18hb. Sekurang-kurangnya dalam kesibukan aktiviti bisnesnya dia masih mengikuti e-group kami dan bersedia memperuntukkan masa beberapa minit untuk menjawab. Maknanya dia masih juga ada sedikit waktu dalam masa dua puluh empat jam sehari yang diberikan Tuhan untuk menjaga hati sahabat seperti saya.

Yang lain? Semuanya teramat sibuk agaknya kerana sehingga ke saat ini masih belum menjawab. Medan kami itu semakin sepi jadinya.

2 comments:

Radzi Yaacob said...

Salam,
Sebenarnya saya 'terserempak' dengan blog abang ketika mencari puisi-puisi dari lagu Kopratasa. Sebelum ni jarang sekali saya nak 'tengok' senikata lagu Kopratasa. Tapi bila sudah 'dibaca' baru terasa keindahan lagu-lagu Kopratasa.
Saya yakin buku abang bila di terbitkan nanti akan dibaca oleh ramai orang. Terimakasih kerana sudi bercerita tentang pengalaman abang.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Radzi,
Salam perkenalan. Terima kasih kerana meminati Kopratasa.
Bagi saya, seseorang yang mencari adalah orang yang amat jujur dengan dirinya. Bila dia jujur dengan diri, payah untuk dipertikaikan kejujurannya terhadap orang lain.