Friday, 13 March 2009

Demi masa

Rasanya sudah banyak kali juga saya sebut dalam blog ini bahawa saya tidak pernah belajar hingga ke universiti. Saya banyak belajar daripada pengalaman yang dikutip menerusi pekerjaan dalam pelbagai bidang, pergaulan dengan kawan-kawan dan juga belajar daripada buku-buku yang saya baca.

Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah pengurusan masa. Dalam Al-Quran sendiri ada surah khusus mengenai masa. Mungkin kerana itu saya amat menghargai dan menghormati masa.

Apa yang saya pelajari menerusi pengalaman, untuk menjadi seorang pengurus yang baik, sebelum kita pergi jauh bercakap tentang perkara-perkara yang lebih kompleks mengenai pengurusan masa, cara kita mengurus ruang bekerja itu lebih utama. Lihat bagaimana kita mengurus meja kita, menyusun peralatan pejabat, meletakkan diari atau planner dan sebagainya. Saya juga belajar bahawa bahan-bahan yang tidak berguna jangan disimpan kerana ia akan menambah serabut ruang kita bekerja. Time Management Handbook itu masih saya simpan hingga ke hari ini dan masih menjadi kitab asas pengurusan untuk panduan saya. Memang terbukti benar, bila saya mempraktikkannya saya rasa lega dan kepala saya tidak berserabut terutama dalam kerja-kerja pengurusan yang saya lakukan. Saya juga dapat melatih diri saya merancang dan mengurus masa dengan lebih baik.

Apa yang saya tulis ini sekadar pengalaman saya terlibat dalam kerja-kerja pengurusan. Saya tidak mahu melibatkan orang seni kerana mereka berbeza dari segi banyak perkara. Jangan ditanya bagaimana mereka menyusun ruang bekerja, jangan ditanya bagaimana mereka mengurus masa mereka kerana mereka berada dalam dunia sendiri yang tidak mungkin mudah difahami orang biasa. Bagi saya, kerana saya banyak bergaul dengan orang seni, sama ada penulis, pelukis, penghibur dan sebagainya, saya tidak mahu mempersoalkan cara mereka mengurus diri, ruang bekerja dan juga masa mereka. Seserabut mana yang kita lihat ruang bekerja mereka, tarik satu benda mereka akan tahu bahawa benda itu hilang. Jangan cuba kita kemas ruang bekerja orang seni kerana bila dikemas cantik rasa saya mereka akan hilang selera untuk bekerja kerana itu bukan suasana yang boleh memberikan mereka keselesaan.

Saya pernah bercerita sebelum ini tentang lawatan saya ke rumah Salleh Ben Joned bersama U-Wei Haji Saari dan bagaimana dengan mudah Salleh menarik majalah berkaitan apa yang sedang dibicarakannya dengan U-Wei ketika itu. Dia tahu di mana letaknya majalah berkenaan. Begitu juga bila saya berjumpa Rahimidin Zahari di bilik pejabatnya. Bagi saya dia bukan termasuk dalam golongan pengurus seperti saya. Dia seorang penulis atau lebih senang disebut karyawan yang selalu juga saya panggil orang seni. Jangan cuba diusik apa juga yang ada di biliknya kerana kalau dibuat begitu rasa saya Rahimidin terpaksa mengambil cuti panjang dan berhenti menulis buat beberapa waktu.

Oleh kerana saya menulis tentang masa ini dari sudut pengurusan saya harap perkara ini tidak menyentuh perasaan orang-orang seni terutama sahabat-sahabat saya kerana memang bukan itu maksud sebenar saya. Saya menulis kerana beberapa minggu ini saya agak tersentuh melihat e-group kumpulan 6976 SDARA (Sekolah Datuk Abdul Razak) yang semakin menyepi. Kalau dulu hampir setiap hari ada sahaja orang menulis pelbagai isu, sejak kebelakangan ini kalau hendak melihat satu mesej pun payah. Semasa musim pilihanraya, bertalu-talu kawan-kawan menulis sama ada yang menyokong Kerajaan atau menyokong pembangkang. Tiba-tiba semua jadi pandai dan bercakap lebih daripada orang politik.

Sebahagian besar sahabat-sahabat saya yang menyertai e-group itu merupakan mereka yang terpelajar. Kebanyakan mereka belajar di seberang laut dan berkedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing. Sudah tentu sebagai kumpulan profesional mereka mampu mengurus masa dengan lebih baik dan sibuk bukan merupakan satu alasan terbaik. Lalu malam tadi saya cuba menjentik perasaan mereka dengan menulis sesuatu bertajuk Medan Ini Semakin Sepi.

Saya cuba bertanya sesibuk mana mereka sehinggakan tidak ada masa untuk menulis? Saya juga memberitahu, kalau benar anggapan saya itu satu hari nanti saya mahu menulis sesuatu tentang sesibuk mana kita sebenarnya.

Bila orang menyebut perkataan sibuk kadang-kala saya jadi hairan. Apakah tidak mencukupi masa dua puluh empat jam sehari yang diberikan Tuhan sehinggakan kita memberi alasan sibuk bagi banyak perkara yang gagal kita lakukan? Bagaimana kita mengurus masa kita sebenarnya? Kalau ditanya mengapa tidak menelefon, jawabnya sudah pasti kerana sibuk. Kalau ditanya kenapa tidak sempat sms, sudah tentu jawapannya serupa, kerana sibuk. Tidak boleh balik ke kampung walaupun sekali dalam setahun juga kerana sibuk?

Sebenarnya saya kurang selesa kalau isteri saya memberitahu saudara-mara di kampung atau kawan-kawan bahawa kami tidak dapat menjanjikan bila mahu berjumpa lagi kerana bergantung pada masa saya yang selalu sibuk. Oh! Tidak. Saya tidak sesibuk yang isteri saya sebut atau sesibuk yang orang lain fikirkan. Saya ada banyak masa. Sesibuk mana saya sekalipun setiap hari kalau berjauhan saya akan pastikan saya menelefon isteri atau anak-anak saya. Sesibuk mana sekalipun kalau anak-anak saya keluar rumah saya akan pastikan saya menghubungi mereka untuk mengetahui sama ada mereka sudah sampai ke destinasi dan bila mereka akan pulang ke rumah. Saya juga memastikan akan menelefon adik-beradik saya setiap dua minggu untuk mengetahui keadaan mereka terutama abang dan kakak yang semakin meningkat usia mereka. Mengenai urusan lain, semua yang menjadi keutamaan akan saya masukkan dalam sistem peringatan telefon bimbit saya bagi memastikan saya tidak lupa.

Saya ada memberitahu sahabat-sahabat saya itu. Jangan beri alasan sibuk kerana tidak dapat menulis dalam e-group. Mustahil mereka tidak boleh memperuntukkan masa lima minit untuk duduk di hadapan komputer. Jangan beri alasan sibuk kerana tidak menelefon atau sms. Saya bertanya, berapa kali mereka ke tandas dalam sehari? Jarak perjalanan dari pejabat ke tandas berapa jauh? Kalau mahu, dalam perjalanan ke tandas itu masih boleh menelefon atau sms. Atau mungkin semasa mencangkung di dalam tandas masih boleh menelefon atau sms kalau mereka mahu. Jangan cuba beritahu saya mereka langsung tidak berehat sebentar sesibuk mana sekalipun. Dalam masa berehat itu, kalau mereka ingat sudah tentu mereka masih boleh menelefon, sms atau menarik keyboard komputer untuk menghantar mesej.

Jadi apa sebab sebenarnya? Bukan kerana sibuk. Saya lebih suka kalau sahabat-sahabat saya itu berterus-terang sahaja memberitahu bahawa mereka lupa dan lupa itu berlaku kerana e-group kami bukan menjadi keutamaan dalam jadual harian mereka. Atau mungkin kerana tidak ada modal untuk dibicarakan. Habis cerita.

Ada beberapa orang yang memberi reaksi kepada tulisan saya. Seorang memberitahu bahawa capaian internetnya digantung buat sementara dan dia mengingatkan saya supaya jangan cepat merajuk. Saya jawab dengan memberitahu sahabat saya itu bahawa saya bukan merajuk tetapi saya rasa terkilan.

Seorang lagi memberitahu dia sibuk kerana ke Kelantan dan selepas ini akan ke Sabah pula semuanya atas urusan bisnes. Saya mahu bertemu dengannya dan dia bersetuju untuk bertemu sebelum 18hb. Sekurang-kurangnya dalam kesibukan aktiviti bisnesnya dia masih mengikuti e-group kami dan bersedia memperuntukkan masa beberapa minit untuk menjawab. Maknanya dia masih juga ada sedikit waktu dalam masa dua puluh empat jam sehari yang diberikan Tuhan untuk menjaga hati sahabat seperti saya.

Yang lain? Semuanya teramat sibuk agaknya kerana sehingga ke saat ini masih belum menjawab. Medan kami itu semakin sepi jadinya.

Wednesday, 11 March 2009

How do I love thee, let me count the ways...

Tiga hari selepas menulis tentang Srikandi Cintaku tanpa tiba-tiba isteri saya diserang angin ahmar kecil atau juga dikenali sebagai mini stroke/minor stroke atau mild stroke. Siapa yang tidak terperanjat. Bila perkara itu berlaku serta-merta saya teringat pada kisah M. Nasir dan Usop yang saya catat dalam tulisan tersebut. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan mereka ketika menerima perutusan berdarah dan tiba-tiba medan dirasakan sepi dan terus jadi terpaku pilu. Dan bagaimana pula perasaan mereka pada saat-saat mengusung jenazah cinta masing-masing?

Aduh! Memang macam-macam yang saya fikirkan. Kalau jadi begini apa akan saya lakukan. Kalau jadi begitu apa pula yang perlu saya buat. Semuanya ligat berlegar di dalam kepala saya. Namun, walau apa pun yang berlaku saya akan redha kerana itu bukan kehendak saya. Semua itu sudah ditentukan Allah SWT. Apa yang perlu saya lakukan cuma berusaha supaya perkara lebih buruk tidak akan berlaku. Pada malam itu juga isteri saya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur. Semua urusan selesai kira-kira jam 12 tengah malam. Walaupun dengan berat hati saya terpaksa meninggalkannya di hospital. Mulai Selasa setiap tengahari dan petang saya berulang ke hospital menjenguk isteri saya. Anak-anak saya pula bergilir-gilir menunggu emak mereka. Kebetulan pada minggu lepas anak kedua saya yang mengajar di KPM Kuantan sedang bercuti seminggu, jadi kami tidak menghadapi banyak masalah.

Alhamdulillah, selepas empat malam isteri saya dibenarkan keluar dan sekarang telah kembali mengajar. Saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya kerana pergerakannya nampak seperti biasa kecuali dia tidak dapat bergerak sepantas dulu. Cuma menurutnya, ada sebutan perkataan tertentu yang agak merimaskan. Katanya dia tidak dapat menyebut perkataan-perkataan itu dengan betul. Mulai sekarang dia perlu dipantau dan dijaga.

Saya telah mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti tertentu bagi menyesuaikan dengan apa yang saya lalui sekarang. Soal kerja-kerja di rumah bukan masalah. Selama ini pun banyak kerja yang saya lakukan untuk membantu meringankan bebannya. Mengemas rumah, basuh pinggan, menyidai, mengangkat dan kemudian melipat kain memang biasa saya lakukan walaupun tidak diminta. Cuma saya agak berat dalam hal memasak. Walaupun masa mula-mula mendirikan rumah tangga dahulu saya rasa seperti saya yang lebih pandai memasak tetapi selepas dia "berkursus intensif" dengan arwah ibu saya dan mengutip banyak pengalaman, saya sudah jauh ketinggalan. Saya hanya memilih untuk membuat nasi atau maggi goreng. Waktu ini sementara anak sulung saya ada di rumah nampaknya dialah yang memasak tetapi kalau dia sudah bekerja nanti sudah tentu saya tidak ada pilihan lain. Bagi saya tidak mengapa kalau saya terpaksa mengubah banyak perkara. Kalau selama tiga puluh dua tahun terlalu banyak dia berkorban untuk saya, kali ini giliran saya pula. Apa yang penting kehidupan perlu diteruskan dan agenda yang ada tidak mungkin perlu berhenti, cuma saya perlu pandai mengatur jadual kerja supaya tidak lagi balik ke rumah jam 3 atau 4 pagi.

Semalam saya sempat bertemu seorang sahabat sementara menunggu untuk menjemput isteri saya dari sekolah. Sahabat saya itu telah melakukan banyak perkara untuk mengubah kehidupan tetapi masih tidak berjaya. Akhirnya dia memilih untuk beralih ke bidang pertanian dan sekarang sudah mula menikmati hasil titik peluhnya itu. Sedang kami bersembang tentang kehidupan masing-masing tiba-tiba sahabat saya itu membangikitkan tentang pengorbanan isterinya selama tujuh belas tahun hidup bersama dan kemudian dia membuat kenyataan berikut,
"Yalah Shah, buruk-buruk pun bini aku jugak.."
Lalu saya memintas, "Eh! Itu cakap engkau. Engkau tak dengar apa bini engkau cakap lagi." "Apa pulak?" tanya sahabat saya.
"Selama tujuh belas tahun ni dia kata, buruk-buruk laki aku jugak.." Sahabat saya itu tidak terkata apa dan terus tergelak besar.

Beberapa malam lepas, ketika dia sudah lena saya merenung wajah isteri saya. Tiba-tiba saya teringat pada sajak Elizabeth Barrett Browning yang sama-sama kami pelajari semasa di maktab dulu. Sebak sekali saya rasakan mengenang kisah silam itu. Sajak yang saya turunkan di bawah ini sudah dianggap sebagai sajak milik kami berdua yang kami kongsi isi dan semangatnya sejak mula kami jatuh cinta hingga ke saat ini.

How do I love thee?

How do I love thee? Let me count the ways.
I love thee to the depth and breadth and height my soul can reach,
when feeling out of sight for the ends of being and ideal grace.
I love thee to the level of every day's most quiet need, by sun and candle-light.
I love thee freely, as men strive for right.
I love thee purely, as they turn from praise.
I love thee with the passion put to use In my old griefs, and with my childhood's faith.
I love thee with a love I seemed to lose with my lost saints.
I love thee with the breath, smiles, tears, of all my life;
and, if God choose, I shall but love thee better after death.

- Elizabeth Barrett Browning

Nota kaki:
Teringat saya pada pensyarah kami John Cardosa yang selalu melayan saya dan isteri seperti anak-anaknya sama ada di dalam atau di luar kelas.

Friday, 6 March 2009

Srikandi Cintaku

Semasa memulakan blog ini awal tahun lalu, saya tidak pernah tahu mengapa saya menulis “Now back to Dunia Seni for good” dalam ruangan profil. Sememangnya saya tidak pernah merancang untuk kembali ke dunia yang telah lama saya tinggalkan itu dan kalau kembali pun saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan. Mungkin apa yang saya tulis itu digerakkan oleh satu rasa yang sukar untuk saya jelaskan.

Mustahil saya mahu jadi penyanyi atau bermain muzik pada peringkat umur “senja” sebegini. Lagipun Kopratasa memang sudah lengkap sejak 23 tahun lalu tanpa ketiadaan saya (setelah ditolak dua tahun saya bersama-sama Sani Sudin dan Usop pada peringkat awal penubuhannya) dan pada usia 25 tahun kematangan dan kemantapan Kopratasa tidak perlu dipertikaikan yang bagi saya merupakan satu pencapaian yang tidak ada tolok bandingnya dan sudah pasti tidak memerlukan sebarang rombakan. Kalau ada pun saya menyertai mereka semula sekadar untuk suka-suka dalam sesi-sesi tertentu.

Untuk kembali bekerja dalam dunia drama dan filem Melayu juga tidak mungkin kerana saya sudah kehilangan banyak tenaga ketika bersama-sama U-Wei Haji Saari dulu. Saya pernah hampir "terbakar" selepas filem U-Wei "Kaki Bakar" menjejakkan kaki ke Cannes Film Festival pada tahun 1995 dahulu. Kecuali kalau ditawarkan satu pakej bisnes yang menarik yang sukar ditolak, mungkin saya akan memberi pertimbangan. Tetapi untuk berlari ke sana ke mari menggalas beban sebagai pengurus produksi seperti yang pernah saya lakukan dulu, saya tahu saya tidak mampu bersaing di dalam gelanggang dengan para pemain baru. Saya letih dan tidak mahu terbakar seperti dulu.

Tetapi tanpa disedari, memang benar kata-kata kita ialah doa kita. Apa yang saya ucapkan itu benar-benar berlaku. Sejak awal tahun ini tiba-tiba saya dibawa kembali ke dunia itu untuk bersama-sama Sani, Usop dan Siso. Saya bukan mahu jadi penyanyi tetapi saya sedang menyaksikan sekelompok manusia yang berusaha keras untuk mengubah takdir yang memberikan saya banyak pengajaran. Seperti yang pernah Zaidi Omar ucapkan, ND Lala hanya penyebab tetapi yang menjadikan nasibnya berubah semuanya digerakkan Allah SWT. Itu jugalah yang sedang berlaku kepada kelompok manusia itu. Dengan kuasa Allah juga tempat itu menjadi tempat pertemuan dan menyatukan kami semula. Walaupun dulu kami kerap bertemu tetapi sejak awal tahun ini kami bertemu lebih kerap lagi. Lebih kerap kami bertemu, lebih banyak saya dapat belajar tentang kehidupan.

Malam ini selepas selesai menguruskan isteri saya di Hospital Kuala Lumpur yang telah berada di situ sejak malam Isnin lalu kerana mild stroke, saya terus ke tempat ND Lala kerana diminta menghadiri perjumpaan yang antara lain untuk membincangkan penganjuran satu lagi acara Santai Bersama Selebriti – berhibur sambil buat duit. Sebelum ini acara pertama yang dianjurkan yang berlangsung di Wisma PGRM Cheras mendapat sambutan menggalakkan. Saya memang terlibat bersama-sama Kopratasa dalam konsert mini tersebut. Untuk acara yang akan datang saya tidak tahu sama ada akan terlibat lagi di atas pentas kerana saya sudah mula terasa bahawa saya akan mula sibuk dengan beberapa perkara lain yang tiba-tiba datang tidak disangka-sangka.

Selesai perjumpaan, seperti biasa kami semua turun ke kedai mamak di hujung bangunan. Seperti biasa juga memang banyak perkara yang dibincangkan berkaitan aktiviti kami. Pernah beberapa kali kami bersurai jam 4 pagi semata-mata kerana mahu menimba ilmu daripada ND. Namun sesekali ada juga cerita-cerita sampingan yang ditimbulkan yang menambah cerita suasana malam.

Malam ini, entah bagaimana tiba-tiba Usop menyebut tentang isu panas yang sedang bergelora sejak beberapa hari lalu berhubung karyanya Srikandi Cintaku. Lirik lagu itu dihasilkannya pada tahun 1987 di set penggambaran drama TV3 Budi Semantan. Drama tersebut arahan sahabat kami Rohani Yousoff yang lebih mesra dipanggil Kak Ani yang kami kenali sejak bekerja di Teater Elit. Saya bukan mahu mencatat mengenai isu tersebut kerana bagi saya isu tersebut memang sensitif dan biarlah Usop mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai. Sebagai sahabat rapat yang amat mengenali jiwanya, saya akan menyokong apa saja tindakannya kerana saya memang percaya bahawa itu karya Usop. M. Nasir juga tahu dan tidak mustahil dia mungkin lebih tahu. Kalau orang bertanya mengapa saya percaya? Mudah saja. Setiap kali menyanyikan lagu ciptaan M. Nasir itu yang merupakan antara lagu yang amat saya minati, saya dapat merasakan berada dalam diri Usop.

Selepas puas meluahkan rasa terkilannya, Usop bangun meninggalkan kami. Dia terpaksa balik awal kerana ada urusan di Shah Alam awal pagi esok. Sebenarnya saya juga perlu balik awal. Baby keseorangan di rumah kerana Kak Yong berada di HKL menemani emaknya. Janji saya pada Baby akan balik secepat mungkin dan kemudian memberitahunya akan sampai di rumah sebelum jam 12.30. Tetapi nampaknya saya akan terlewat juga kerana sedang kami bersiap untuk bangkit daripada kerusi masing-masing Sani membangkitkan sesuatu yang menarik mengenai Srikandi Cintaku. Katanya, “Apa yang Usop tulis, Nasir dapat, Usop pun dapat.” Itulah bahasa Sani Sudin. Ringkas dan padat tetapi penuh makna.

Maksud Sani, apa yang ditulis Usop dalam lirik lagu itu akhirnya benar-benar terjadi. Mula-mula M. Nasir kehilangan srikandi cintanya Junainah (Nana). Tidak lama kemudian Usop pula kehilangan srikandi cintanya Ummi. Cuma M. Nasir menduda tidak lama kerana kekosongan itu diisi oleh Marlia Musa tidak lama selepas itu. Tetapi Usop masih bertahan menduda sampai ke hari ini. Kalau tidak silap saya Ummi meninggal pada awal tahun 2000. Mungkin terbukti semangat Usop tetap bersemadi bersama srikandi cintanya.

Kami yang berada di situ terdiam mendengar kata-kata Sani. Memang benar. Dendangkan lagu itu dan rasakan apa yang pernah dilalui dua karyawan itu. Saya turunkan lirik Srikandi Cintaku sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap karya agung sahabat saya bernama Usop.

Dingin malam tirai kenanganku
Menyerlahkan sekurun ingatan
Terciptalah rimba kehidupan
Percintaan dalam perjuangan

Kesetiaan sebagai bekalan
Bisikan mu penuh pengharapan
Tiada garis dapat memisahkan
Segalanya kudratMu Tuhan

Alam bagai mengerti
Segala yang terjadi
Embun menitis panas simpati
Pertemuan tiada awal akhir

Perutusan berdarah ku terima
Gugur kuntum di tengah halaman
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu

Kan kuusung oh jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku

Lirik Usop/Lagu M. Nasir