Friday, 9 January 2009

Selat Tebrau Tanjung Puteri

Minggu lepas saya ada mengirim sms kepada Rahimidin Zahari untuk bertanya khabar. Memang sudah lama kami tidak bersua muka. Kali terakhir bertemu beberapa minggu sebelum Ramadhan tahun lepas di wakaf Aris Aziz dan Sani Sudin. Selepas itu saya terus menghilangkan diri dan tidak lagi menempuh perkarangan Balai Seni Lukis Negara yang sudah jadi seperti kawasan larangan bagi diri saya. Walaupun saya tahu sahabat saya S. Amin Shahab masih lagi berkarya di situ dalam serba kedaifan, tetapi apakan daya. Saya masih belum mampu mengubat luka hati yang rasanya bukan mudah untuk sembuh. Namun begitu saya masih juga meneruskan kerja-kerja perancangan untuk Amin tetapi kali ini dilakukan dari jarak jauh.

Saya berjanji dengan Rahimidin untuk bertemu dalam minggu ini dan secara kebetulan bila Sani Sudin mengaturkan pertemuan dengan seorang pegawai di IB pada Rabu lepas, saya rasa saya tidak harus melepaskan peluang bertemu dengan satu-satunya (antara sekian ramai) sahabat yang sudi meng”link”kan blog saya dengan blognya. Bila nama kita dipautkan dengan nama besar, kalau pun nama kita sendiri tidak menjadi besar, dapat jadi "besar sikit pun" jadilah. Saya juga amat berterima kasih kerana itu menyebabkan semakin ramai orang melawat blog saya. Mungkin Dinsman juga terjumpa blog saya menerusi blog Rahimidin.

Selesai urusan dengan Sani Sudin dan Yazid, Rahimidin mengajak saya ke pejabat kecilnya. Masih juga seperti dulu. Susunan dan suasana yang tidak berubah. Bagi mereka yang tidak biasa dan tidak memahami mungkin boleh jadi sesak nafas berada di dalam bilik kecil itu kerana dipenuhi buku dan majalah yang bukan sedikit. Ruang untuk menulis di meja pun tidak ada. Saya rasa dia lebih banyak menggunakan PCnya.

Berada di dalam bilik Rahimidin membuatkan saya teringat kisah U-Wei membawa saya ke rumah Salleh Ben Joned di Subang Jaya. Ketika itu U-Wei sedang merancang untuk membuat filem Amuk yang skripnya ditulis Salleh sendiri. Sebaik saja masuk, saya terpegun melihat betapa banyaknya buku dan majalah yang tersusun bermula dari pintu masuk hinggalah ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah itu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pula keadaan di tingkat atas.

Di bawah kerusi yang kami duduk, di pinggirnya, di bawah meja, di tepi dinding, di sebelah meja makan, semuanya buku, buku, buku atau majalah. Peliknya, bila ada sesuatu perkara yang dibincang yang merujuk kepada seseorang penulis atau tulisan, dengan begitu mudah Salleh boleh ingat di mana letaknya majalah atau buku yang dimaksudkan. Dia tidak memerlukan sistem khutubkhanah.

Agaknya Rahimidin juga begitu. Ketika mengumpulkan beberapa buku yang mahu dihadiahkan kepada saya, saya perhatikan begitu mudah dia menarik buku-buku tersebut daripada timbunan tertentu. Memang dia tahu di mana letaknya apa yang diperlukan. Saya rasa kalau bilik itu dikemas, sudah pasti dia sendiri jadi keliru kerana sistemnya terganggu.

Selain beberapa naskhah buku dia turut menghadiahkan saya CD Orkestra Simfoni Kebangsaan berjudul Irama Tanah Pusaka. Saya meneliti cover CD itu dan mendapati tajuk salah sebuah lagu yang paling saya minati ada tertulis di situ. Sudah tentu saya teruja sekali mahu mendengar bagaimana lagu tersebut digubah dan dipersembahkan oleh OSK.

Tanjung Puteri lagu klasik pilihan saya yang amat istimewa. Setiap kali mendengar atau memainkan lagu itu sama ada dengan gitar atau keyboard, saya pasti merasa sayu yang tidak dapat saya bayangkan. Pernah juga saya jadi begitu sebak mendengarnya dan hampir menitiskan air mata. Irama dan liriknya pasti mengingatkan saya pada bandaraya Johor Bahru yang begitu banyak sekali menyimpan kenangan. Dan sudah tentu sekaligus saya akan teringat pada Selat Tebrau yang banyak menyimpan rahsia kehidupan saya. Di situ terkuburnya harapan dan di situ juga terbenamnya janji-janji yang tidak pernah tertunai. Entah bila agaknya saya akan dapat menunaikan janji-janji itu dan entah bila pula harapan itu dapat saya penuhi.

Saya mohon kepada Allah supaya diberikan kesihatan tubuh badan dan saya juga bermohon supaya dipanjangkan sedikit kehidupan ini. Berilah peluang kepada saya untuk menebus segala kesilapan dan izinkan juga saya menyelesaikan apa yang tertangguh. Kalau doa ini dimakbulkan, sudah tentu bila sampai waktu dijemput pulang kepadaNya saya tidak akan merasa terkilan.

Saya tidak tahu sama ada sahabat saya itu perasan semasa dia bercakap saya sudah mengelamun jauh ke Selat Tebrau. Saya tidak mendengar apa yang dibicarakannya tetapi bila tersedar saya memberitahu Rahimidin bahawa saya pernah menghubungi Allahyarham Usman Awang beberapa tahun sebelum dia kembali ke rahmatullah. Saya memohon izin untuk mendapatkan salinan sajaknya mengenai Selat Tebrau. Saya tidak ingat tajuknya tetapi saya pasti sajak yang agak panjang itu ada dalam himpunan sajak salah sebuah buku teks sastera tingkatan lima pada tahun-tahun enam puluhan. Malangnya, menurut Usman dia sendiri sudah lupa dan tidak dapat membantu saya.

Rupa-rupanya Rahimidin tahu tentang sajak itu. Saya harap dia akan dapat mencarikan sajak itu untuk saya dan kalau dapat nanti akan saya rakamkan sajak itu di dalam blog ini. Ia mungkin tidak memberi sebarang makna kepada orang lain tetapi sesungguhnya ia amat bererti bagi diri saya.

Tanjung Puteri

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Teberau airnya biru
Di pantai Lido tepian mandi
Ramai orang di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

Tanjung Sikijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Nota kaki;

1. Awal pagi tadi saya menghubungi sahabat saya Haji Shapiai Ramly. Kalau apa yang saya cuba usahakan bersama Yayasan Warisan Johor menjadi kenyataan, selepas ini saya akan lebih kerap turun ke Johor Bahru. Saya tahu, Selat Tebrau akan terus menanti kedatangan saya. Selama ini pun ia tak pernah memungkiri janji-janjinya.

2. Skrip Amuk akhirnya jatuh ke tangan Adman Salleh. Tetapi Amuk Adman bukan seperti Amuk yang selalu U-Wei ceritakan kepada saya.
Walaupun saya bukan orang seni tetapi minat terhadap seni membuatkan saya selalu bersimpati pada nasib karya yang tidak sempat ditiupkan roh ke dalam jasadnya.

3 comments:

Imron Kuswandi M. said...
This comment has been removed by a blog administrator.
seniman jalanan said...

Salam...

En. Shah, aku dah lama nak tahu apa yg En. U-wei rasa utk filem Amuk tu...

Aku adalh pelajar filem bimbingan En. U-wei dan ingin tahu apa yang En Shah tahu pasal cerita Amuk tu...

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Seniman Jalanan,
kalau kita jatuh dengan cinta seseorang, kalau hajat tak kesampaian, cinta putus di tengah jalan, lupakan saja wanita itu. Memang sudah ditakdirkan bukan jodoh kita.
Bila itu berlaku, apa juga cerita semasa bercinta dulu kita simpan saja jadikan kenangan peribadi. Usah dibangkit atau diulang-ulang.
Harap faham.