Monday, 7 December 2009

Kusangka baru pukul satu, rupa-rupanya dah pukul lima..

Semalam semasa bersama U-Wei, daripada tengahari hingga ke petang menyusuri Sungai Miang dan sebatang sungai lagi di Nenasi, Pekan. U-Wei sempat melontar "Pantun Meratap" yang dikutipnya dari Sumatera sewaktu melakukan kajian mengenai pantun satu waktu dulu. Lebih kurang berbunyi begini (maaf kalau tak tepat);

Kusangka baru pukul satu,
rupa-rupanya dah pukul lima,
kusangka abang yang lalu,
rupa-rupanya baju yang sama.

Saya cukup tertarik dengan pantun di atas serta beberapa pantun lagi. Kisah tentang orang meratap itu juga cukup menarik sehinggakan sepanjang menyusuri dua batang sungai itu saya asyik memikirkan bahawa itu satu bahan cukup menarik untuk ditulis.

Sebagaimana dia pernah mengejutkan saya bila menegaskan bahawa soalan itu lebih penting daripada jawapan, mengenai pantun pula, katanya pembayang itu lebih penting daripada maksud.

Malam sebelumnya (5 Disember 2009) saya sudah mula menulis KENAPA SAYA TAK IKUT U-WEI sebaik mendaftar masuk di Hotel Mega View Kuantan. Buku tersebut akan siap sebaik siapnya filem HANYUT. Kalau boleh mahu saja saya selitkan satu bab khas mengenai U-Wei dan Pantun Melayu. Pasti menarik. Nanti-nantikanlah..

Wednesday, 2 December 2009

Expect the unexpected

(Rakan kongsi saya Zed selalu mengingatkan anaknya supaya "Always expect the unexpected." Saya rasa tidak perlu saya terjemahkan ayat tersebut. Bila dia bercerita tentang perkara itu saya terus teringat tentang satu kisah yang pernah berlaku kepada diri saya kira-kira 33 tahun lalu. Pada ketika itu apa yang berlaku sememangnya di luar jangkaan saya).

Selepas keluar keputusan MCE yang amat mengecewakan, saya menghantar beberapa permohonan untuk menyambung pelajaran di samping turut memohon pekerjaan. Seperti pernah saya kisahkan dalam Temuduga ke ITM, permohonan tersebut ditolak sehingga saya benci mendengar nama ITM. Permohonan untuk mengikuti latihan di maktab perguruan masih belum keluar. Pada ketika itu saya hampir-hampir putus harapan sehinggalah saya menerima satu surat panggilan temuduga bagi jawatan Kerani Pos. Saya tidak menaruh harapan langsung tetapi saya rasa apa salahnya kalau saya cuba. Temuduga dijalankan di sebuah bangunan lama di Bandar Hilir Melaka.

Pada sesi temuduga yang dijalankan pada waktu pagi itu saya lihat tidak ramai yang datang. Seingat saya kurang daripada lima orang. Mungkin sudah ada sesi temuduga pada hari-hari sebelumnya. Sebelum dipanggil masuk saya memang cukup bersedia. Tanyalah apa saja saya rasa saya boleh jawab. Nama Yang Di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong, Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet dan apa juga isu semasa saya memang bersedia. Saya amat yakin kerana saya suka membaca dan mengambil tahu tentang isu semasa. Saya juga yakin, pejam mata saya boleh dapat kerja tersebut kalau soalan-soalan berkaitan ditanya dan saya berjaya menjawab.

Bila tiba giliran saya, dengan penuh yakin saya melangkah masuk. Rupa-rupanya bilik temuduga itu hanya sebuah bilik pejabat kecil. Saya lihat seorang pegawai Cina sedang duduk membelek dokumen di hadapannya. Menyedari saya sedang tercegat berdiri dia menjemput saya duduk.

Sebaik saya duduk dia terus bertanyakan tentang keputusan peperiksaan saya serta beberapa maklumat tentang testimonial saya. Dia menyebut satu persatu dan berkata, "Very good," dia bercakap Inggeris.

"So what are you doing now?"

"Not much."

"What do you mean?" dia menjatuhkan cermin matanya.

"Well, actually I'm not doing anything, sir. I had a part-time job a few months back as a construction worker," saya tidak menyebut langsung tentang pengalaman saya sebagai guru sementara kerana pada waktu itu surat pengesahan bahawa saya pernah mengajar selama enam bulan di sebuah sekolah menengah di Johol tertinggal di rumah tempat saya menumpang di Kuala Pilah.

"For how long?" dia bertanya.

"One day, sir," saya menjawab.

"Working for one day, you call it part time?"

Saya diam.

"So what else did you do?"

"I was doing wiring works in Jelebu, sir," kali ini saya perlu menjelaskan supaya dia tidak bertanya lanjut, "But just for 3 days, sir."

Saya lihat dia tersenyum.

"So you are here to be a Postal Clerk," dia menarik nafas dan kemudian menyambung, "Are you really interested to become one or you're just trying your luck? Based on your papers here, even though there's nothing excellent but I think you have some potentials to do something better, you know," dia merenung saya.

Saya tunduk tidak menjawab.

"Have you applied for other things?"

"Oh, yes, sir. I did apply for teachers training, but I haven't received any news yet."

"In case you are successful with that application, and you have landed on this job, do you think you want to quit and go to college?"

"I don't know, sir. I have never thought about that."

"Okay, back to my question. Are you really interested with this job?"

"I think so."

"Hey! Gentleman, look here. This is not a "main-main" job, you know. Do you know how important is postal service to the nation?"

"I know, sir."

"What do you mean?"

"If all the postmen in Malaysia go on strike, there will be a very big problem," itu sahaja yang saya tahu untuk menjawab. Saya tidak teringat untuk menggunakan istilah gangguan sistem komunikasi.

"There you are! At least you know about what you are applying for," dia tersenyum. Saya rasa orang tua ini memang suka senyum walaupun ketika dia meninggikan suara.

Dia menyambung lagi, "Now, I want to ask you one very simple question."

Wah! Sudah sampai saatnya. Saya betul-betul bersedia dan terus membetulkan postur badan dengan duduk tegak menunggu soalan-soalan yang sudah tentu mahu menguji kebijaksanaan saya. Lagipun baru sekejap tadi dia memuji saya. Temuduga ini mungkin panjang sedikit kerana soalan-soalan seperti yang saya jangkakan masih belum keluar.

Tiba-tiba dia mengajukan soalan pertama yang tiba-tiba keluar seperti ledakan peluru,"What is 12 times 12?"

"What?" saya terkejut mendengar soalan tersebut. Saya benar-benar tergamam. Aduh! Saya tidak menjangka soalan seperti itu akan keluar dari mulut Cina tua itu. Otak saya berpinar. Bukan kerana saya tidak boleh menjawab. Itu sifir yang memang saya hafal sejak daripada darjah 4 lagi tetapi bila dalam situasi sebegitu saya ditanya memang saya tergamam.

"Didn't you hear me? I just asked you. What is 12 times 12?" lembut sungguh nadanya.

Saya masih diam.

"Gentleman! What is it?" dia seperti mengejutkan saya.

"I'm not sure, sir," saya menjawab tergagap-gagap.

"Hey! I thought you are so good. Based on what I see here you can easily get the job. And as I said you have some potentials. You can even become a Postmaster one day. And today, you are here because you want to be a postal clerk, don't tell me you don't know what the answer is."

Saya rasa saya perlu menjawab. Walaupun dalam beberapa saat semangat saya kembali pulih dan saya sudah tahu jawapan bagi soalan yang paling tidak disangka-sangka itu, tetapi saya rasa sudah agak terlewat. Kalau saya jawab mungkin saya nampak bodoh. Peluang terakhir saya ialah menangkis kata-katanya supaya nampak lebih bijak sedikit daripada pegawai tua itu.

"I'm sorry, sir. Did I say I didn't know? I only said I was not sure. That makes a difference, sir," saya puas hati dapat menjawab.

Dia menyandarkan badan ke kerusi, menanggalkan cermin mata dan menggigit batang bingkai cermin matanya itu sambil mengangguk-nganggukkan kepala. Dia merenung saya agak lama dan kemudian melemparkan senyuman. Saya rasa dia suka cara saya menjawab.

"Oh, yes, yes. Now I remember. You said you were not sure. Okay, gentleman. You may go now."

Saya tidak menyangka temuduga itu akan berakhir begitu sahaja. Dengan perlahan saya pun bangun sambil menundukkan badan sebagai tanda hormat dan mengucapkan terima kasih kepada Cina tua itu. Semasa saya berdiri dia masih memandang muka saya dengan senyuman penuh bermakna.

Sewaktu berjalan keluar menuruni tangga kayu bangunan usang itu saya mendengar suaranya memanggil calon berikutnya. "Next!"

Kira-kira seminggu selepas menerima jawapan yang memberitahu saya berjaya masuk ke maktab perguruan, saya juga menerima surat jawapan daripada Jabatan Pos mengenai keputusan temuduga tersebut. Surat itu menawarkan saya jawatan Kerani Pos dan saya diminta melapor diri di Melaka pada awal tahun 1976.

Saya mengambil keputusan untuk tidak mahu menjadi kerani pos. Sebaliknya saya memilih untuk ke maktab. Selepas itu saya hanya berada di kaunter pos untuk urusan pos dan bukan sebagai kerani.

Wednesday, 21 October 2009

Perempuan, Isteri dan Jalang lebih komersial

Banyak sudah orang menulis tentang perkara ini. Para pejuang bahasa sudah menulis dan mereka yang terlibat dalam bidang berkaitan penjenamaan juga pernah menulis kalau tidak silap saya.

Pagi ini saya membaca akhbar dan meneliti satu berita penting mengenai pelaksanaan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris yang mengikut jadual asalnya akan mula dilaksanakan pada 2012 tetapi Kerajaan mengambil keputusan untuk mempercepatkannya ke tahun 2011. Oleh kerana dulu sudah banyak mengeluh panjang maka kali ini saya hanya mampu mengeluh pendek. MBMMBI tidak akan lahir kalau PPSMI dulu diberi masa secukupnya untuk dikaji sebelum dilaksanakan. Kita telah membazir masa dan tenaga serta wang ringgit yang banyak kerana kesilapan tidak melakukan kajian sewajarnya terhadap cadangan tersebut. Dengan rasa penuh hormat terhadap yang dikasihi Tun Dr. Mahathir, saya tidak menentang PPSMI tetapi saya tidak menyokong sepenuhnya bukan dari segi idea dan konsep tetapi dari segi kaedah pelaksanaannya yang terburu-buru. Bagi saya masih banyak perkara yang perlu diperhalusi kerana kalau sesuatu itu dibuat secara tergesa-gesa maka akan banyak berlaku cacat-cela. Malah saya ada mencoret bahawa kalau saya yang memegang jawatan Menteri Pendidikan pada waktu itu saya akan meletak jawatan sekiranya cadangan saya tentang kaedah pelaksanaannya ditolak Perdana Menteri.

Mungkin Tun berpendapat kalau bukan waktu itu bila lagi mahu dilaksanakan? Tetapi itulah jadinya. Bila pihak-pihak berkepentingan tidak dilibatkan untuk memperhalusi cadangan tersebut maka ia meletup menjadi satu isu besar. Pada peringkat pelaksanaannya pula guru-guru yang sepatutnya mengajar mata-mata pelajaran dalam bahasa Inggeris tidak bersedia dan menjadi bahan ketawa murid-murid sendiri. Begitu juga kaedah pembekalan peralatan yang menjadikan banyak kening rakyat Malaysia terangkat.

Seperti saya nyatakan, saya tidak menentang malah saya cuba mempertahankannya. Sama ada betul atau salah itu soal lain kerana dalam negara demokrasi kita berhak menyatakan pendapat. Tetapi kerana banyak kawan yang menelefon meminta saya tidak menyentuh perkara tersebut yang sudah hangat menjadi isu politik, maka dengan rela hati saya menarik balik tulisan tersebut. Lagipun kata kawan-kawan yang kononnya mahu jadi penerbit buku saya itu mereka lebih suka kalau tulisan saya bebas daripada teguran-teguran berbau politik. Biar tidak ada komen tidak mengapa asalkan blog saya bersih. Itu yang mereka mahu. Tetapi itu soal lain. Saya mahu berbicara tentang penjenamaan.

Apa yang ingin saya sentuh ialah kalau sekiranya usaha memartabat bahasa Melayu ini "berjaya" dicapai, harapan saya ialah supaya sikap prejudis masyarakat terhadap jenama Melayu yang kononnya tidak komersial akan terhakis secara perlahan.

Sebenarnya sehingga sekarang saya masih keliru dan tidak faham dengan istilah "nama komersial." Semasa U-Wei memberitahu tentang judul filem pertamanya pada satu malam di rumahnya di Zoo View, Hulu Kelang, saya terkejut bila mendengar dia menyebut "Perempuan, Isteri dan Jalang." Dia faham melihat reaksi saya. Sebenarnya saya bukan tidak bersetuju tetapi saya memberi reaksi begitu kerana U-Wei mengejutkan saya dengan satu perkara yang tidak disangka-sangka.
"Engkau sebut banyak kali Mat Shah, lama-lama mesti sedap," katanya.

Memang pada mulanya agak janggal tetapi selepas menyebutnya berulang-kali memang rasa sedap. Sudah tentu kalau disebut The Woman, The Wife and The Whore lebih enak kerana judul bahasa Inggeris lebih komersial bunyinya. Masyarakat Malaysia memang bersedia menerima jenama Jebsen and Jessen daripada nama Jasman dan Johan. Atau Scott & English daripada Soep & Melayu. Siapa berani mengeluarkan kereta berjenama Fuad? Tetapi kalau jenama Ford memang komersial, kononnya. Tetapi saya percaya pada U-Wei dan akhirnya judul Melayu itu memang tidak dinafikan jadi lebih sedap daripada judul Inggeris. Bila berjumpa hingga ke hari ini kami masih mempertahankan judul filem itu sepenuhnya walapun Lembaga Penapis Filem telah membuang perkataan jalang daripada kamus filem Melayu dan menggantikannya dengan perkataan Inggeris dot, dot, dot.

Siapa pun tidak tahu bahawa U-Wei juga seorang pejuang bahasa Melayu. Dia memperjuang bahasa Melayu dengan caranya tersendiri. Dia memartabat bahasa Melayu menerusi kerja sepenuh masanya sebagai seorang tukang cerita dan tukang buat filem. U-Wei suka menggunakan perkataan tukang. Dia merantau ke seluruh pelosok dunia membawa filem Melayu dengan judul Melayu dan gaya bahasa sebenar sebagaimana kita mendengar orang Melayu bercakap. Bagi saya dia mempunyai jatidiri yang sukar dipersoal berkaitan bahasa dan filem. Dia tidak pernah tunduk pada persekitaran sekalipun gelombang Inggeris mampu memukul, menggoyah pendirian dan seterusnya menghanyutkan pemikirannya. Walaupun tidak dinafikan pada peringkat awal bila kembali ke tanah air dia mempunyai sedikit masalah dengan bahasa, tetapi seperti pernah saya coretkan dalam tulisan berjudul "Sepetang Bersama U-Wei bin Haji Saari" dalam blog ini, pembentangan kertas kerjanya di Balai Seni Lukis Negara pada petang itu memang memeranjatkan kerana amat baik sekali bahasanya. Memang ada beberapa kejanggalan kerana saya tahu U-Wei suka pada kejanggalan. Umpamanya, dia menggunakan perkataan pelantar bagi platform. Baginya kejanggalan akan jadi biasa dan secara perlahan akan diterima umum sekiranya disebut atau dilatih sekerap mungkin. Cubalah kerana kalau tidak dicuba kita tidak akan rasa nikmat sesuatu perkara itu. Soal salah atau betul itu soal lain.

Saya suka bercerita tentang U-Wei kerana memang menjadi hasrat saya untuk menulis buku "Kenapa Saya Tidak Ikut U-Wei" yang pertama kali saya sebut di hadapannya pada tahun 1992 juga bertempat di Zoo View. Tetapi setelah puas difikirkan saya berpendapat judul tersebut terlalu mengongkong dan mungkin memerlukan sedikit kajian ilmiah bagi menyokong beberapa pendapat. Saya bukan orang akademik dan saya tidak mahu mewujudkan sebarang ikatan antara buku saya dengan hal-hal akademik. Kerana itu saya memilih judul "Saya Tidak Ada MBA" yang tidak mengikat saya dan menjadikan saya lebih bebas bercerita tentang apa juga perkara. Tentang U-Wei saya lebih terarah mencatat pengalaman serta menulis serba-sedikit tentang pemikirannya.

Saya suka mencatat pengalaman ini kerana U-Wei masih bernafas. Dia boleh membaca tulisan saya dan oleh kerana dia masih hidup lagi sekiranya terdapat sebarang fakta yang mencurigakan atau tidak tepat dia berpeluang memperbetulkannya. Saya berpendapat, apa guna menulis setelah seseorang itu sudah tiada di dunia ini? Baik apa pun yang kita tulis, siapa yang mahu mempertikaikannya? Orang mati sudah tentu tidak mampu bangkit untuk mempertahankan diri, menyanggah pendapat atau cerita yang tidak tepat itu. Kerana itu saya tidak bersetuju dengan sesi pengkisahan sejarah yang merepek, bercerita tentang seseorang itu rapat dengan tokoh itu, rapat sejak zaman anak-anak, makan-minum dan tidur-baring di rumahnya, dia kahwin orang itu ada, dia bercerai pun orang itu ada. Kenapa tidak bercerita tentang karya, tentang pemikiran dan tentang sumbangan sahaja tanpa mengaitkan hal-hal peribadi? Pelik sungguh orang Melayu.

Saturday, 17 October 2009

You can have the painting, but give me the frame. (Bhg akhir)

Kamal mempunyai aktiviti bermusim. Ada satu ketika saya lihat dia gila melukis. Kerana itu dia kerap melarikan diri bersembunyi di tanah kampung miliknya di Hulu Langat. Hanya setelah lukisannya siap baru dia balik ke pejabat menunjukkan hasilnya kepada kami. Lukisan itu akan digantung di bilik pejabatnya dan sesekali saya perhatikan dia asyik memerhatikan lukisan itu. Entah apa yang difikirkannya saya tak tahu.

Tidak lama selepas itu dia bertukar hobi pula. Tiba-tiba sahaja dia gilakan motosikal besar. Saya perhatikan dia sudah tidak lagi bercakap tentang lukisan. Setiap hari dia akan mencari seseorang di pejabat untuk bercerita tentang motosikal besar sambil menunjukkan pelbagai jenis majalah berkaitan. Pada mulanya saya fikir Kamal hanya minat membaca majalah berkenaan tetapi rupa-rupanya tidak lama selepas itu dia benar-benar membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi dan dia memeranjatkan kami di pejabat kerana muncul lengkap berpakaian seperti pelumba motosikal.

Tidak lama kemudian dia memberitahu dia berhasrat untuk membeli sebuah lagi motosikal. Menurutnya motosikal yang dibeli sebelum itu kurang memuaskan hatinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan semula tentang alasannya itu. Apa yang disebutnya terlalu teknikal dan memang saya tak akan faham kerana saya tidak minat tentang hal-hal teknikal mengenai apa juga kenderaan termasuk kereta. Saya hanya tahu memandu dan sekiranya berlaku kerosakan saya akan memanggil mekanik.

Seperti saya katakan, hobinya bermusim. Selepas beberapa waktu Kamal seperti melupakan hobi bermotosikal besar. Motosikal besar pertama dijual kepada Haris seorang pengarah filem iklan yang sebelum itu bernaung di bawah payung Cinequip. Yang saya tahu motosikal kedua masih disimpan tetapi dia tidak lagi menunggangnya. Dia kembali normal seperti sediakala memandu Toyota Land Cruisernya atau sesekali memandu Mercedes antik yang pernah dijadikan teksi pada tahun-tahun enam puluhan.

Selalunya kalau dia tidak mengarah filem iklan dia akan datang ke pejabat hampir setiap hari untuk membantu kerja-kerja kami. Walaupun dia merupakanpemegang saham utama dan juga memegang jawatan pengerusi dia tidak pernah mengambil elaun atau sebarang keuntungan daripada Cinequip. Kalau dia mengarah filem iklan untuk Cinequip, dia hanya mengambil bayaran pengarah. Itu sahaja. Tetapi sebagai pengerusi dia tidak pernah membiarkan Cinequip menghadapi masalah terutama kewangan. Setiap kali berdepan masalah aliran tunai, Rahmat akan menemui Kamal di bilik sebelah untuk mengadu hal. Mereka akan duduk berbincang lama. Apa yang saya tahu setiap kali perkara itu berlaku, bila keluar muka Rahmat sudah pasti berseri-seri kerana Kamal tidak pernah menghampakan kami.

Walaupun dia pengarah filem iklan tidak dinafikan dia juga gila filem. Di pejabat ada saja laser disc filem baru yang dibawanya untuk kami tonton bersama. Setiap kali menonton sudah tentu ada saja bahan bualannya mengenai filem. Saya selalu tertanya-tanya mengapa Kamal tidak mahu mengarah filem cereka seperti U-Wei dan rakan-rakan filem lain? Saya memang ingin melihat Kamal mengarah sebuah filem cereka satu hari nanti. Bukan kerana saya mahu bekerja dengannya. Saya sekadar mahu berbangga kerana dia juga kawan baik saya. Cuma saya bimbang. Apakah Kamal mampu bercerita selama satu ratus sepuluh minit atau sekurang-kurangnya tujuh puluh minit? Selama berpuluh tahun dia hidup dengan ayat-ayat filem yang panjangnya hanya beberapa saat sahaja. Paling panjang pun mungkin dua atau tiga minit. Bukan mudah bagi mereka yang datang dari dunia filem iklan untuk bercerita dengan baik dalam filem cereka. Tetapi saya tahu Kamal ada menyimpan dendam. Dia pernah bercerita tentang filem impiannya iaitu sebuah filem yang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat India yang tinggal di sebuah estet yang diadaptasi daripada buku The Return karya KS Maniam. Kamal memberitahu saya tentang impiannya itu sebelum saya mendengar nama Mamat Khalid. Kamal mengimpikan mengarah sebuah filem India? Mesti ada sesuatu yang istimewa.

Kami pernah berbincang tentang filem itu kerana saya juga tertarik untuk mendalami pemikiran masyarakat India. Namun, apa yang lebih menarik, bayangan Kamal tentang filem itu ialah babak api pada permulaan cerita. Kenapa Kamal memilih api saya tidak tahu. Bila saya teringatkan kisah ini saya akan teringat pada Kaki Bakar. U-Wei suka pada api. Tetapi apakah makna api bagi Kamal?

Semasa Kamal gila melukis dulu pada satu hari tiba-tiba dia memanggil kami bermesyuarat. Katanya dia mahu membuat satu projek istimewa. "My personal project," katanya. Dia bercadang mahu membuat video dokumentari mengenai Latif Mohidin seorang pelukis yang disanjunginya. Bagaimana dia kenal dengan Latif saya kurang pasti. Tetapi mendengar cerita Kamal saya rasa mereka sudah kenal lama. Saya kenal Latif semasa di Teater Elit tetapi saya tak pasti sama ada dia masih ingat lagi pada saya lagi. Tetapi nama Latif amat dekat di hati saya kerana saya pernah mengabadikan puisinya berjudul Kembara Malam dan Dada Laut sebagai lagu-lagu untuk Kopratasa.

Projek tersebut bermula tidak lama selepas itu. Saya lihat Kamal seperti tergesa-gesa. Entah apa yang dikejarnya saya tak faham. Dia juga tidak pernah mengarahkan saya membuat sebarang persediaan. Dia juga tidak menyediakan skrip kerana katanya apa yang kami perlu buat hanya merakam sebanyak mungkin. “We just shoot and keep the footage,” katanya. Footage tersebut akan disimpan dan satu hari nanti bila sudah ada penaja baru dia akan menulis skrip dan menyunting bahan-bahan sedia ada. Kebetulan ketika itu Cinequip sudah membeli sebuah kamera video berkualiti. Ini memudahkan kami membuat penggambaran bila perlu.

Apabila sampai di rumah Latif di Lembah Keramat saya terperanjat melihat dua unit rumah teres satu tingkat miliknya itu bukan lagi sebuah rumah. Rumah itu sebenarnya sudah bertukar wajah menjadi sebuah galeri lukisan yang amat menarik walaupun dari luar nampak biasa. Latif juga membina tingkat atas yang dijadikan studio untuk dia berkarya. Memang hebat. Pelukis di Malaysia boleh hidup mewah kalau berjaya mencipta nama. Dengarnya sekarang Latif sudah berpindah ke sebuah banglo mewah di Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan Latif sekarang sukar ditemui kata kawan-kawan yang rapat dengannya.

Sedang saya merayau-rayau meninjau dan mengagumi setiap sudut dan terkejut melihat betapa banyaknya lukisan yang tergantung, tiba-tiba saya terpandang Kamal yang sedang memberikan penerangan mengenai sebuah lukisan kepada Sidek, jurukamera Cinequip. “You see Sidek, look at his stroke,” dan kemudian dia bercakap itu dan ini dan macam-macam lagi dalam bahasa yang memang saya tak mungkin akan faham. Saya juga tidak tahu bagaimana hendak mengajuknya. Saya tertarik melihat Kamal bercakap penuh gaya dan perasaan. Perlahan-lahan saya bergerak ke arah mereka dan kemudian berdiri di belakang Kamal agak lama juga. Sedang asyik bercakap tiba-tiba dia perasankan saya lalu berpusing dan bertanya. Dia mungkin menyedari saya sudah lama mengikuti perbincangan tersebut,

“What do you think Shah?”
“What about, Mal?”
“The painting. I’m asking you. What do you think about the painting?”
“What? The painting”? saya terdiam seketika dan kononnya cuba memeriksa lukisan tersebut.

Sebenarnya saya tidak dapat memikirkan tentang jawapan kepada soalannya itu. Tetapi tiba-tiba saja terkeluar dari mulut saya,
“Well, I think Mal, you can have the painting, but give me the frame.”

Saya terjemahkan perbualan itu di bawah.
“Apa pendapat engkau Shah?”
“Pendapat apa Mal?”
“Pasal lukisan ni. Aku tanya engkau ni. Apa pendapat engkau tentang lukisan ni?”
“Apa Mal? Lukisan ni? Aku rasa Mal, engkau boleh ambil lukisan ni tapi bagi aku bingkainya.”

Saya tidak sedar. Saya bukan mahu menyindir, kurang ajar atau bermaksud apa-apa. Kata-kata itu lahir daripada minda bawah sedar saya yang mungkin sudah lama tersimpan dan menunggu saat sahaja untuk dihamburkan. Memang pun. Untuk apa lukisan itu bagi saya? Saya bukan datang mahu menilai lukisan. Saya ke situ untuk bekerja. Kerja saya ialah sebagai pengurus produksi. Peduli apa dengan lukisan Latif walau secantik mana sekali pun. Katakanlah kepada saya lukisan itu nilainya puluhan ribu atau ratusan ribu. Yang saya nampak hanya sekeping kanvas yang diwarna dengan cat pelbagai warna yang menjadikan gambar-gambar yang entah apa-apa juga maknanya. Saya benar-benar tak tahu apa juga yang diconteng Latif Mohidin. Tetapi yang saya tahu bingkainya memang cantik.

Saya tahu Kamal sedikit tersentuh dengan kata-kata saya. Tetapi itulah saya. Saya akui kata-kata saya itu mempunyai maksud tersirat yang tidak saya sengajakan. Kamal tahu sendiri apa maknanya. Mungkin saya juga ibarat lukisan Latif.

Saya hanya bekerja dengan Cinequip selama dua tahun enam bulan sahaja. Seperti biasa bila saya dapati orang tidak dapat menilai saya dan meletakkan saya ditempat sewajarnya, saya tidak akan tunggu lama. Saya akan berhijrah. Biarlah orang menzalimi saya tetapi saya tidak akan melakukan perkara sama kepada orang lain.

Walaupun sudah meninggalkan Cinequip saya masih pergi menemui Kamal sekali-sekala kerana dia bekas bos saya yang amat saya hormati. Ada sekali dia berkata, “I’m sorry Shah, we didn’t treat you well when you were here.” Namun, walau apa pun yang pernah berlaku saya tetap suka padanya. Dia seorang budak Kolej yang baik. Dia juga mempunyai ketajaman pemikiran yang sukar dicari. Bagi saya dia merupakan antara yang terhebat dalam dunianya. Dia bijak dan dia juga banyak mengajar saya.

Selepas bertahun-tahun tidak bertemu, tiba-tiba saya terserempak dengan Kamal Mustafa di Balai Seni Lukis Negara di satu majlis pada tahun lepas. Majlis tersebut disempurnakan Menteri KeKKWA ketika itu iaitu Datuk Mohd. Shafei Afdal. Sudah tentu dia terkejut melihat saya di situ. Mungkin dia terfikir saya masih dengan "projek apresiasi bingkai lukisan" seperti dulu. Atau mungkin dia tertanya-tanya apakah saya sudah pandai menilai lukisan. Tetapi bila saya menjelaskan saya hanya membantu mengurus S. Amin Shahab, baru dia faham. Sudah tentu itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana Kamal juga tahu dalam hidup ini saya memang tidak akan lari jauh daripada bidang pengurusan.

Sempat juga dia mengulangi apa yang pernah disebutnya dulu, “I’m sorry Shah, we didn’t treat you well when you were with us.” Sebiji maksud ayatnya. Ah! Sudah-sudahlah tu Kamal, bisik hati saya. Saya sudah lama memaafkan Cinequip.

Setahun selepas saya mendapat kemerdekaan daripada Cinequip, Rahmat berhenti untuk mengubah haluan. Dia terjun ke dunia korporat. Bila Rahmat sudah tiada Kamal bercadang mahu menutup Cinequip kerana menurutnya dia bukan mahu menjalankan perniagaan kerana dia tidak ada masa langsung untuk itu. Pendapatannya sebagai pengarah filem iklan sudah lebih daripada cukup sekurang-kurangnya untuk persaraannya nanti. Dia menubuhkan Cinequip dulu bukan untuk dirinya tetapi untuk membantu Rahmat. Dia ada memberitahu saya tentang keputusannya itu bila saya melawat Cinequip. Penutupan Cinequip dibuat dengan cara cukup terhormat. Sebelum ditutup semua kakitangan dibayar pampasan secukupnya, sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh sebuah syarikat sendirian berhad.

Selepas Cinequip ditutup Sidek dan Kamarudin Abu menubuhkan syarikat baru dikenali sebagai Cinequip Production Sdn. Bhd. Mereka mengambil alih semua peralatan Cinequip dan menyewa pejabat yang sama dari Kamal. Tetapi beberapa tahun kemudian Sidek meninggalkan Din dan kemudian Din membuka pejabat dan studio yang lebih besar di Mutiara Damansara. Kamarudin Abu merupakan seorang penyunting filem dan video yang berpengalaman. Semasa bekerja dengan Edit House milik Patrick Teoh dahulu, Cinequip selalu menggunakan khidmatnya. Kerana itu saya jadi rapat dengannya. Menyedari kebolehannya saya memperkenalkan Din kepada U-Wei kerana saya tahu U-Wei memerlukan orang-orang terbaik untuk menyokongnya berkarya.

Din Abu memang bertuah. Sebaik diperkenalkan U-Wei terus “jatuh cinta” dengan cara dia bekerja dan juga hasil kerjanya. Mereka memang ada “chemistry.” Ini berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1988 di mana saya cuba memperkenalkan M. Nasir kepada U-Wei. Saya menjemput kedua-duanya datang berhari raya di rumah saya di Taman Sri Rampai pada waktu itu. Kerana sibuk melayan tetamu, saya tidak berpeluang mendengar perbualan mereka berdua. Apa yang saya lihat U-Wei lebih banyak bercakap dengan Dollah Ali. Selepas pertemuan itu U-Wei tidak pernah bertanya tentang nama M. Nasir. Saya berpendapat memang tidak wujud chemistry antara mereka berdua. Nampaknya U-Wei lebih selesa dengan "muzik mentah" Embi C. Noer yang berakar tunjang daripada muzik pop M. Nasir.

Selepas mengenali U-Wei dan bekerja dengannya, pada tahun 1995 Kamaruddin Abu berpeluang mengikuti U-Wei ke Cannes Film Festival bersama-sama rombongan filem Kaki Bakar yang terdiri daripada U-Wei, Khalid Salleh, Shaharuddin Thamby, Sofea Jane dan Anwar Idris (penulis skrip). Mereka semua pergi. Hanya saya seorang sahaja yang tidak dapat ikut walaupun saya bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan pemergian mereka dan juga filem Kaki Bakar.


Nota kaki:

Kerana sebab-sebab yang hanya Kamal dan Latif sahaja tahu, video mengenai Latif Mohidin tidak pernah dibuat. Saya tidak tahu sama ada Kamal masih menyimpan footagenya dan apakah dia mempunyai perancangan tertentu mengenai perkara itu dalam waktu terdekat ini.

Friday, 16 October 2009

You can have the painting, but give me the frame.. (Bhg 3)

Saya mula mengurus video projek MLNG2 pada penghujung 1992. Projek ini membawa saya terbang ke Bintulu sekurang-kurangya dua kali sebulan. Oleh kerana ia merupakan “Progress Video” krew kami terpaksa sentiasa bersedia untuk dipanggil pada-pada bila masa. Pernah kami baru saja kembali ke Kuala Lumpur selepas itu diarahkan semula berangkat ke Bintulu untuk melakukan penggambaran satu peristiwa penting.

Pada masa yang sama saya juga ditugaskan menguruskan produksi sebuah lagi video untuk Petronas iaitu Baram Delta Gas Gathering yang memerlukan kami membuat penggambaran di beberapa pelantar minyak dalam kawasan tengah laut Miri. Bagi membolehkan krew kami mendapat pasport untuk bekerja di pelantar minyak kami terlebih dahulu diwajibkan mengikuti kursus keselamatan Safety and Emergency Procedures At Sea selama sepuluh hari di Kertih. Rahmat hanya terlibat di Bintulu sahaja tetapi untuk penggambaran di laut hanya saya, Sidek dan Zaini sahaja yang memiliki pasport. Sidek jurukamera manakala Zaini merupakan pembantunya.

Antara pengalaman menarik bekerja di tengah laut ialah ketika kami mengambil gambar kerja-kerja menanam cerucuk untuk pembinaan pelantar minyak. Peristiwa tersebut berlaku pada suatu malam. Ketika menjalankan proses tersebut saya dapati mereka tidak melakukan hentakan berterusan pada cerucuk tersebut sepertimana biasa kita lihat di darat. Apa yang mereka lakukan, selepas dua atau tiga kaki cerucuk tersebut dihentak masuk, proses tersebut akan dihentikan. Ketika itu saya lihat mereka semua lari berkumpul di satu sudut agak jauh dari kawasan bekerja. Kemudian seorang kakitangan akan pergi memeriksa sesuatu menggunakan sejenis meter bacaan. Saya tidak tahu apa yang dilakukan orang tersebut lalu saya bertanya dengan pegawai Petronas yang mengiringi kami untuk projek tersebut,
“Apa orang tu buat?”
“Baca meter.”
“Meter?”
“Meter, nak dapat reading gas.”
“Gas?”
“Yalah, kan yang kita buat ni platform oil and gas. Minyak kan ada gas.”
“Tu aku tau, tapi meter tu?”
“Meter tu nak check gaslah, mana tau kalau-kalau ada bocor.”

Kerana asyik memerhati proses kerja tersebut dan sambil menulis nota, saya seperti tidak perasan apa yang diberitahu kepada saya. Tiba-tiba saya tersedar,
“Eh! Apa engkau kata? Bocor?”
“Ha ah! Bocor,” jawabnya selamba.
“Habis, kalau bocor?”
“Apa lagi, meletuplah.”
“Meletup?”
“Ya.”
“Kalau meletup?”
“Apa bendalah soalan engkau ni. Kalau bocor meletup, habislah, dengan kita-kita sekali.”
“Alamak,” takutnya saya mendengar kata-kata pegawai itu. Seram bulu roma saya.
“Betul ke engkau cakap ni?”
“Apa tak betulnya? Takkan engkau tak tau risiko kita kat tengah laut ni. Engkau ada soalan lain ke? Baik tanya siap-siap. Engkau tak nak tanya kalau meletup kita ni boleh selamat ke tidak?”
“Aduh,” saya tergamam.
“Datang sini, itulah risikonya.”

Saya beredar jauh dari situ membiarkan Sidek dan Zaini meneruskan kerja mereka. Saya naik ke atas dek bahagian hadapan barge itu. Tidak ada apa yang saya nampak. Malam gelap gelita. Bunyi air laut tiba-tiba sahaja menakutkan saya. Saya memandang ke langit. Saya nampak bulan. Saya terbayangkan wajah-wajah isteri dan anak-anak. Saya bertanya pada diri, apa juga yang aku buat di tengah-tengah lautan ini? Kerana bayaran lebih kurang empat puluh ribu ringgit setiap kali penggambaran di tengah lautan untuk Cinequip, kami terpasa berdepan dengan risiko yang paling maksimum. Kalau berlaku mala-petaka tidak ada jalan keluar dari sini. Rupa-rupanya sebaik kami melangkah kaki menaiki boat Katamaran untuk ke tengah laut menyertai barge tersebut, kami memang sudah sedia menempah maut.

Memang kami semua ada diberitahu semasa mengikuti kursus keselamatan dulu tentang satu kejadian kebakaran paling dahsyat di sebuah pelantar minyak di Laut Utara. Bencana kebakaran di pelantar minyak The Piper Alpha itu berlaku pada 6 Julai 1988 dan mengorbankan seratus enam puluh tujuh nyawa. Tetapi menurut fasilitator itu, di Malaysia belum pernah berlaku peristiwa sedemikian dan kemungkinan untuk berlaku amat tipis kerana prosedur pemeriksaan keselamatan syarikat-syarikat minyak dan gas di Malaysia boleh dipercayai. Sungguhpun begitu katanya, malang tidak berbau. Kalau sampai masanya, perkara itu akan berlaku juga. Bagaimana kalau ditakdirkan Allah kejadian yang sama berlaku pada malam itu?

Saya tidak pernah bertanya Rahmat atau Kamal sebesar mana perlindungan insurans untuk diri saya sekiranya berlaku apa-apa. Kalau pun ada mungkin saya tidak ingat kerana saya hanya ingat pada perkara-perkara menarik. Contohnya, katakan perlindungan insurans untuk saya bernilai sejuta ringgit, sudah tentu akan saya ingat sampai mati. Kalau dibandingkan antara risiko yang saya hadapi dengan gaji serta perlindungan insurans yang tidak pernah saya ambil peduli itu yang mungkin kecil nilainya, saya rasa Cinequip tidak berlaku adil kepada saya.

Memang bila difikirkan Cinequip mendedahkan saya kepada banyak perkara. Saya mendapat banyak peluang belajar. Saya belajar tentang pembikinan video dokumentari, video projek, video latihan dan juga filem iklan dan saya berpeluang menimba ilmu mengenai teknologi maklumat, pengurusan berkualiti menyeluruh, alam sekitar dan berbagai lagi. Tetapi paling menarik saya banyak belajar tentang perkara-perkara teknikal berhubung industri minyak dan gas sepanjang membuat video projek-projek Petronas. Namun, bila saya tidak menerima layanan seadilnya apakah itu bermakna saya memang perlu membayar bagi segala ilmu dan pengalaman yang disediakan untuk saya menerusi “diskaun pendapatan” yang saya berikan kepada Cinequip? Berapa lama saya harus hidup begitu? Saya tahu Cinequip juga “universiti” yang tidak ternilai yang banyak mendidik saya. Tetapi perlukah kali ini saya juga dikenakan yuran sekali lagi? Cukuplah dengan bayaran “yuran” yang terpaksa saya bayar kepada para produser drama dahulu menerusi “diskaun pendapatan” bagi setiap kali produksi.

Kadang-kadang saya terfikir juga. Mentang-mentanglah saya dilahirkan sebagai lelaki. Kalau saya perempuan dan bekerja dalam dunia filem, sudah pasti saya mendapat banyak keistimewaan. Cuma wanita (walaupun bukan semua) memang sedikit berbeza. Mereka juga masih terpaksa memberikan diskaun. Cuma, kalau saya terpaksa memberikan diskaun pendapatan mereka mungkin terpaksa memberikan diskaun maruah.

Bersambung..

Thursday, 8 October 2009

You can have the painting but give me the frame.. Bhg (2)

Setelah menyertai Cinequip, projek pertama saya ialah video korporat MIMOS yang membawa saya bertemu banyak orang seperti Rustam Sani di MIMOS dan selepas itu bergaul dengan banyak orang bijak IT terutama di MIMOS sendiri. Saya juga berpeluang menemui ramai tokoh IT yang merupakan pengamal industri tempatan yang tidak pernah saya kenali dan melawat syarikat-syarikat IT terkemuka. Seperti yang saya katakan, itulah yang saya cari-cari. Dokumentari memberi saya peluang untuk belajar tentang pelbagai subjek.

Penglibatan saya dalam projek video korporat MIMOS memang menarik tetapi hasil kerja kami tidak boleh dibanggakan. Pembikinannya masih gaya lama tanpa elemen “hi-tech” yang sepatutnya dihasilkan bagi memprojekkan imej MIMOS sendiri sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam membangunkan bidang IT negara. Saya malu juga bila ditanya mengenai video tersebut. Saya merupakan sebahagian daripada tenaga penerbitannya tetapi apa yang mampu saya lakukan? Saya bukan daripada kumpulan karyawan. Saya hanya seorang pengurus.

Selepas itu ada beberapa lagi video yang saya terlibat. Antaranya video TQM untuk Institut Tadbiran Negara (INTAN) dan juga video EIA untuk Jabatan Alam Sekitar. Kedua-duanya memang boleh dibanggakan kerana mendapat sentuhan Kamal Mustafa sebagai penulis skrip dan saya pula membuat terjemahan ke Bahasa Melayu. Kamal pemilik utama Cinequip yang juga merupakan seorang pengarah filem iklan terkenal yang mempunyai pengalaman lebih dua puluh tahun dalam dunia filem iklan. Sebelum itu Allahyarham Yasmin Ahmad belum lagi mengganas dengan sentuhan barunya dalam pembikinan filem iklan.

Kamal juga budak MCKK. Kerana itu tidak menghairankan bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di Cinequip. Agaknya kalau boleh memberi salam pun mahu disebut dalam bahasa Inggeris. Saya tidak ada masalah tentang perkara itu. Saya boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan. Dengan budak MCKK boleh, dengan budak STAR boleh, dengan budak MRSM pun boleh. Apa lagi dengan budak-budak TKC. Rasanya itu dengan budak TKC yang paling sesuai kerana “teman sebilik” saya selama ini pun budak TKC.

Bahasa Inggeris digunakan bukan sekadar di pejabat dan semasa bekerja di lokasi tetapi juga dalam pergaulan harian dengan masyarakat filem dokumentari dan iklan. Saya dapati bahasa Inggeris menjadi jurang pemisah antara dua golongan dalam dunia filem di Malaysia yang secara tidak langsung mewujudkan satu sistem kasta. Golongan filem dokumentari dan iklan menganggap diri mereka seperti kelas masyarakat yang lebih tinggi berbanding golongan yang terlibat dalam filem cereka dan drama. Dari klien ke agensi, produksi hingga kepada tenaga kerja, saya dapat merasakan mereka memandang rendah terhadap golongan yang satu lagi.

Dalam perbualan, tulisan sama ada skrip, proposal dan juga surat-menyurat bahasa Inggeris diutamakan sehingga kadang-kadang saya jadi rimas. Pernah bahasa Melayu yang saya gunakan menjadi bahan ketawa bukan sahaja dalam kalangan orang-orang Cinequip tetapi juga klien. Masa itulah saya amat terasa akan perbezaan budayanya. U-Wei juga amat hebat bahasa Inggerisnya. Dia belajar dan tinggal di Amerika Syarikat selama hampir dua belas tahun dan dia juga berjaya menakluk wanita Amerika untuk menjadi isterinya. Dia bukan sekadar boleh bercakap tetapi dia juga berfikir dan bermimpi dalam bahasa Inggeris. Tetapi selama mengenalinya saya tahu dia tidak suka mengagung-agungkan bahasa tersebut. Kalau dengan kawan-kawan dia lebih selesa bercakap Melayu. Kami juga tidak pernah bercakap Inggeris bila bekerja dan bergaul kecuali bila perlu. Di sini saya dapat melihat rupa dan wajah Melayu U-Wei walaupun saya tidak pernah cuba meneka jiwanya yang sebenar.

Rahmat dan Kamal rakan sekelas dan sebilik semasa di sekolah dulu. Kamal adik ipar Hassan Merican (sekarang Pengerusi dan CEO Petronas) dan Rahmat pula rakan baik Hassan. Sungguhpun begitu, semasa Cinequip menyertai tender penerbitan video projek syarikat milik Petronas, Malaysian Liquified Natural Gas (MLNG 2), Cinequip berjaya memenangi tender tersebut berdasarkan merit dan bukan kerana pengaruh sesiapa. Pendek kata Cinequip memang memenuhi syarat 3C iaitu compliance, competency dan competitiveness yang tidak boleh dipersoalkan. Itu yang menyebabkan saya kagum kerana Cinequip mempunyai latar belakang kerja yang agak baik dan namanya memang senang dijual. Dalam dunia penerbitan dokumentari dan iklan, nama Cinequip ketika itu merupakan satu nama yang amat dihormati dan tulang belakangnya terdiri daripada mereka yang ada nama dalam industri terutama Kamal. Sebab itu saya bangga menjadi sebahagian daripadanya. Ini bermakna saya sudah berjaya menambah satu nama lagi dalam sejarah kerjaya saya selain nama-nama Dinsman, Aziz Deraman, U-Wei dan beberapa yang lain. Semua nama ini sudah tentu mempunyai nilai tertentu bagi diri saya dan sudah tentu boleh “dijual” bila keadaan memerlukan.

Bersambung..

Wednesday, 7 October 2009

You can have the painting but give me the frame.. Bhg (1)

(Saya pernah memberikan tajuk yang sama sebelum ini untuk posting pada awal 2008. Tetapi posting itu berkaitan dengan episod yang berlaku ketika saya bersama Sani Sudin melihat pameran lukisan di Balai Seni Lukis Negara di mana kami terserempak dengan Sasterawan Negara A. Samad Said (Pak Samad). Tulisan saya ini ialah episod sebenar bagaimana "kata-kata hikmat" yang menjadi mainan hidup saya itu keluar daripada mulut saya).

Sedang saya mencari-cari kerja itu tiba-tiba Dollah Ali jurukamera yang dilantik U-Wei sebagai pengarah fotografi filem Perempuan, Isteri dan Jalang memberitahu saya bahawa ada sebuah syarikat penerbitan dokumentari dan filem iklan sedang mencari pengurus produksi. Nama syarikat itu Cinequip Sdn. Bhd berpejabat di Bangsar. Okey juga tu, kata hati saya. Lagipun menurut Dollah dia memang kenal dengan Rahmat pengarah urusan syarikat itu. Rahmat kawan lamanya. Budak kolej. Katanya lagi, saya mungkin kenal. Rahmat orang Mersing dan ramai saudara-mara di Batu Pahat.

Saya terfikir. Mungkin sudah sampai masanya saya mengubah haluan sementara menunggu Perempuan, Isteri dan Jalang siap. Mungkin selepas itu saya akan kembali bekerja dengan U-Wei. Lagipun kami mempunyai perancangan yang besar kalau nama U-Wei sudah meletup. Kalau mengikut apa yang kami bincangkan di rumah Hazali di Taman Permata sebelum saya mengambil keputusan menarik diri, Perempuan, Isteri dan Jalan hanya satu batu loncatan. U-Wei tak perlu risau tentang saya. Biar anggota Krew Tanah Licin yang lain mengikutnya kerana itu sahaja cara mereka cari makan. Saya tak apa kerana saya tahu cari makan cara lain.

Memang sudah lama saya teringin buat dokumentari. Tetapi saya belum pernah menemui peluang tersebut. Dengarnya buat dokumentari dan filem iklan tidak seperti buat drama atau filem. Budaya kerja mereka berbeza. Mungkin budaya fikir mereka juga berbeza. Dengar khabarnya juga bayaran juga tidak seperti buat drama atau filem. Lagipun kalau buat dokumentari banyak yang boleh saya pelajari. Bermacam-macam subjek ada. Memang saya suka belajar. Lagipun buat filem atau video dokumentari juga boleh membantu mengembangkan rangkaian kenalan saya. Kita bukan bekerja dengan produser. Kita bekerja dengan klien yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mungkin jabatan kerajaan atau mungkin juga syarikat korporat. Lalu saya tekadkan hati. Saya minta Dollah Ali memberitahu Rahmat bahawa saya bersedia untuk menemuinya.
Beberapa hari selepas itu saya menelefon Cinequip dan berpeluang bercakap dengan Rahmat Mustaffa. Saya terus membuat temujanji. Rahmat meminta saya datang beberapa hari kemudian.

Pejabat Cinequip letaknya tingkat atas sebuah bangunan rumah kedai lama di Lorong Maarof Bangsar. Bila saya sampai Rahmat terus menyambut saya. Saya terasa pelik. Bila bersalam dia seperti tidak mahu melepaskan tangan saya. Sambil menggenggam tangan saya dia sempat bercakap lagi mengenai perkara lain. Dalam hati saya berkata, menarik juga karektor kawan Dollah Ali ini. Seorang lagi orang seni. Dia bercakap dengan nada yang cukup lembut, teratur dan sepanjang masa asyik tersenyum.
Memang benar, Rahmat budak MCKK. Dia berasal dari Mersing tetapi kerap juga ke Batu Pahat kerana saudara-maranya ramai di situ. Ada antara mereka yang amat saya kenali terutama bapa saudaranya Pak Idin yang seorang tokoh masyarakat di Batu Pahat. Pak Idin tinggal tidak jauh dari rumah saya. Saya di Gunung Soga manakala Pak Idin di Jalan Kluang hanya beberapa meter sahaja dari simpang masuk ke kawasan rumah saya. Itu merupakan common ground yang membuatkan kami lebih selesa dan memberi lebih ruang untuk bercerita. Bagi saya, common ground itu penting dalam PR kerana mampu membantu memperkukuh silaturrahim.

Seperti saya fikirkan, Rahmat memang berjiwa seni. Bila saya tanya tentang keyboard yang ada di biliknya, dia bercerita bahawa waktu di MCKK dulu dia memang bermain muzik. Itu pun satu lagi common ground yang menarik. Samalah kita, saya berkata dalam hati. Kalau dia pun minat muzik lebih senang kami berkawan.
Selepas itu Rahmat bertanya tentang pengalaman saya. Cukup mudah, bila saya sebut saya pernah bekerja dengan U-Wei, Rahmat tidak teragak-agak untuk memberitahu, “You’re close to getting the job. You’re almost there, you know,” saya sudah mengagak. Nama U-Wei memang boleh saya jual dan boleh saya jadikan pasport bila perlu untuk menyeberangi mana-mana sempadan.

Maka kami pun bersembang panjang. Sebagai orang seni dan terlibat dalam pembikinan filem iklan dan dokumentari sudah tentu dia tidak ada cerita lain kecuali cerita-cerita tentang filem. Sayangnya, dia bukan dalam bidang filem cereka. Kerana itu bila bercakap tentang produksi filem cereka tempatan, saya rasa saya lebih banyak tahu lagi kerana saya pernah berada dalam dunia tersebut walaupun sekadar di pinggiran. Bila saya bercerita tentang U-Wei, Rahmat kelihatan tertarik. Katanya dia memang tahu U-Wei hebat. Walaupun sudah lama mendengar nama U-Wei dia sendiri tidak pernah berpeluang berjumpa dengannya. Banyak juga soalan Rahmat tentang U-Wei, tentang kerjanya dan juga pengalaman saya bekerja dengan U-Wei. Saya dapat rasakan sebenarnya Rahmat seperti mahu menguji saya. Mungkin itu cara dia menemuduga. Mungkin juga dia mahu mendapatkan bukti bahawa saya benar-benar memilki pengalaman yang diperlukan dan apakah benar saya orang U-Wei. Bila dia bertanya mengapa saya tak ikut U-Wei, saya jawab mudah. Bajet tidak mengizinkan. Dalam erti kata lain, saya cuba menghantar signal kepada Rahmat dan memberitahunya bahawa “I’m not cheap.”
Rahmat memberitahu, kalau saya diterima bekerja saya akan ditugaskan mengendalikan sebuah dokumentari Majlis Keselamatan Jalan Raya. Saya ditawarkan jawatan pengurus produksi secara freelance. Ertinya saya bebas. Saya tidak terikat dengan Cinequip. Selepas siap satu projek saya boleh bekerja dengan orang lain. Kalau sekiranya diperlukan selepas itu saya boleh datang bekerja semula. Bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu saya diberitahu projek tersebut dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Saya sedikit kecewa. Saya sudah melakukan sebahagian kerja asas dan Rahmat sudah melihat bagaimana saya membuat peracangan. Mungkin kerana itu agaknya dia bertukar fikiran. Kira-kira sebulan selepas itu dia memanggil saya dan menawarkan saya bekerja sepenuh masa dan bukan lagi secara freelance.

Sudah tentu gaji yang ditawarkan tidak memenuhi harapan saya kerana seperti saya katakan tadi “I’m not cheap.” Memang jauh daripada apa yang saya harapkan. Tetapi begitulah pemikiran orang bisnes di Malaysia. Dalam apa situasi sekalipun, ayat-ayat memancing yang sama yang akan kita dengar. “Kita buat dulu ya, lepas tu kita fikir pasal bayaran. Nanti bila berjaya kita sama-sama share the cake.” Ataupun begini, “Kita tak tahu macam mana engkau kerja, tapi lepas engkau buktikan barulah kita boleh semak semula. Masa tu kalau engkau nak bulan pun kita orang boleh bagi.” Ada juga yang kata, “Aku tak boleh bayar engkau mahal sangat, nanti apa orang lain yang dah senior kat kompeni ni kata.” Ini yang saya tak faham tentang orang bisnes di negara yang sebelum merdeka dulu dikenali sebagai Malaya.

Saya harap Rahmat akan sentiasa ingat tentang signal yang saya hantar yang mengatakan bahawa saya bukannya murah. Dan saya juga berharap apa yang ditawarkan kepada saya hanya untuk sementara dan akan disemak semula selepas saya membuktikan kemampuan pengurusan saya.Tetapi pada masa yang sama, saya juga perlu bersedia. Kalau orang cuba mempergunakan saya, saya juga tahu menggunakan segala sumber yang ada sama ada sumber dalaman Cinequip atau sumber luaran menerusi rangkaiannya untuk kepentingan masa depan saya.

Bersambung..

Thursday, 17 September 2009

Ampun dan Maaf di Aidilfitri

Sekadar untuk memanaskan badan (kerana saya akan kembali menulis selepas Aidilfitri ini), saya tampalkan catatan saya dalam facebook mengenai AMPUN DAN MAAF yang sedang bertaburan di setiap ceruk dan ruang sehingga saya tidak dapat melihat apa-apa nilai lagi dalam ucapan Ampun dan Maaf itu kecuali yang datangnya dengan penuh rasa ikhlas yang sudah tentu kita dapat merasakan keikhlasan tersebut. Ini yang saya catatkan;

Maka berhamburanlah AMPUN & MAAF bersulam kata manis dan sesekali dihiasi pula titis air mata; lebih dramatik lagi dipersembahkan dengan nada kata penuh kesal dan tersekat-sekat dalam sebak rasa sebagai satu proses untuk melapangkan dada. Dan sipenerima pun penuh percaya tanpa memikir bahawa sipemohon itu akan mengulang kesilapan yang sama selesai Ramadhan dan hari lebaran ini. Cis!

Selamat menyambut Aidilfitri.

Wednesday, 15 July 2009

Salam untuk sahabat

Kepada beberapa orang sahabat yang setia mengikuti blog saya sehinggakan ada yang sibuk menelefon, untuk memudahkan kerja biar saya jelaskan bahawa kesibukan kerja menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa untuk menulis.

Bagi saya menyunting artikel yang sudah siap ditulis mudah sekali tetapi menyunting pengalaman yang ada di dalam kepala bukan satu kerja mudah.

Salam.

Tuesday, 26 May 2009

Engkau kan pandai tulis-tulis...

-->
(Saya tujukan khas tulisan ini untuk Ibu Hamimah yang berada di Seremban. Kalau mengikut turutan sebenar, cerita ini elok dibaca sebelum Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur).

Ibu angkat saya memang masin mulutnya. Sebelum berangkat ke Pulau Pinang untuk mengikuti kursus perguruan pada Februari tahun 1976, saya pergi menjenguknya bersama-sama beberapa orang kawan yang semuanya dianggap sebagai anak-anak angkatnya. Tujuan kami ialah untuk mengucapkan selamat tinggal kerana sebahagian besar kawan-kawan saya itu akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan juga luar negara. Tentang saya, dia memang sudah tahu bahawa saya akan mengikuti latihan perguruan di Pulau Pinang.
Saya tidak tahu apakah yang istimewa tentang diri saya kerana sebaik sahaja dia duduk saya merupakan orang pertama yang disoal,
“Bila engkau berangkat?”
“19 haribulan, mak,” jawab saya.
Selepas itu dia memandang ke arah lain sambil berkata, “Hah! Sampai sana menyangkutlah tu.”
Semua yang mendengar tunduk diam sambil tersenyum simpul. Seperti biasa tidak seorang pun berani memberi sebarang komen bila orang tua itu bercakap kecuali jika ditanya. Mereka faham bahawa maksudnya saya akan terpaut dengan seseorang bila berada di maktab nanti. Semasa berjalan meninggalkan rumah ibu angkat kami perkara itu terus jadi gurauan dan teruk juga saya diusik kawan-kawan.
Bila sampai di maktab saya tidak teringat langsung tentang apa yang pernah disebutnya. Saya menjalani kehidupan seperti biasa sebagai pelatih yang bakal jadi guru. Saya seronok berkawan dengan ramai orang tetapi soal tersangkut dengan mana-mana gadis pelatih tidak pernah saya fikirkan walaupun saya tahu banyak juga yang cantik menawan. Lagipun pada ketika itu luka di hati saya masih belum sembuh. Tetapi rupa-rupanya di sebalik perasaan luka dan dendam itu, dalam diam-diam akhirnya saya terpaut hati pada seorang gadis yang saya kenali semasa dia belajar di Kolej Tunku Kurshiah dahulu.
Di maktab kami mengikuti kursus yang sama. Oleh kerana dia merupakan satu-satunya kenalan saya maka sejak hari pertama kuliah kami sudah duduk bersebelahan dan sejak itu kami jarang berenggang. Secara kebetulan nombor maktab kami agak menarik. Nombor saya 273 manakala nombornya 237. Rumah sukan kami juga sama, kami semeja di dewan makan dan hampir ke mana sahaja kami akan bersama sehinggakan ada seorang pensyarah memberitahu bahawa kisah kami menjadi gossip hangat di kalangan para pensyarah. Kami juga mempunyai minat yang sama. Semasa bersekolah dulu dia menyanyi dan saya pula bermain gitar dalam kugiran yang mengiringinya. Bila di maktab kami menyambung minat tersebut, saya bermain muzik dan dia menyanyi. Kami juga pernah berduet dan memenangi satu pertandingan nyanyian.
Akhirnya, saya benar-benar “tersangkut.” Apa yang ibu angkat saya pernah katakan dahulu berlaku juga. Saya tidak perlu bersusah-payah mencari cinta kerana cinta itu rupa-rupanya ada di sebelah saya. Kami bernikah semasa berada di tahun kedua.
Selepas tiga tahun berkahwin masih belum ada tanda-tanda kami akan menimang cahaya mata. Kami sudah mula risau. Ada juga beberapa kali kami rasa teruja bila isteri saya tidak datang haid. Saya menyangka dia akan mengandung. Malangnya selepas menjalani ujian di klinik, rupa-rupanya itu hanya amaran palsu. Pernah dia menangis kecewa dan bila itu berlaku saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Oleh kerana itu kami cuba berikhtiar dengan mendapatkan rawatan tradisional dahulu. Namun setelah hampir dua tahun usaha kami masih juga belum berhasil. Usia perkahwinan kami sudah masuk ke tahun ke lima.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Alangkah kecewanya kami, selepas menjalani pemeriksaan doktor memberitahu bahawa peluang kami untuk menimang cahaya mata amat tipis sekali. Sekali lagi isteri saya menangis dan sekali lagi saya tidak tahu apa yang perlu saya buat untuk memujuknya. Namun kami lalui dugaan itu dengan penuh kesabaran. Baru kami tahu betapa hebatnya dugaan bagi pasangan yang tidak ada cahaya mata. Apatah lagi mereka yang sudah lama mendirikan rumah tangga. Bukan sekadar kawan-kawan di sekolah tetapi juga saudara-mara cukup gemar mengusik sehinggakan ada kalanya saya tidak tahan mendengar. Bagi saya, soal pasangan tidak mempunyai cahaya mata tidak wajar dijadikan gurauan.
Namun kami tidak putus asa. Kami terus berdoa walaupun terpaksa menunggu dengan harapan yang kami sedar sememangnya tipis kerana itulah keputusan pakar perubatan. Kami juga tidak dapat menduga apa akan berlaku di hari-hari mendatang. Namun ikatan kami tetap utuh dan saya pernah menyatakan kepada isteri saya bahawa saya tidak akan berubah sekalipun kami tidak mempunyai cahaya mata.
Perkara ini pernah dibangkitkan seseorang di hadapan saya. Dia memberitahu saya kalau perkara yang sama berlaku kepadanya mungkin dia sudah menikahi perempuan lain untuk mendapatkan zuriat. Menurutnya, zuriat itu maruah lelaki. Terbakar juga saya mendengar kata-katanya. Lalu saya jawab, memang saya tidak nafikan perkara itu diharuskan. Tetapi setelah sekian lama bercinta, berjanji bulan dan bintang dan mengharungi suka-duka bersama tetapi bila timbul masalah tidak boleh mendapat zuriat, tiba-tiba saya berpaling tadah. Saya meninggalkan isteri saya itu seorang diri menghadapi masalah tersebut. Adakah ini adil? Haruskah saya melupakan segala bulan dan bintang yang saya janjikan dahulu? Lagipun perkara ini tidak pernah kami janjikan sama ada secara lisan maupun bertulis. Hubungan yang kami bina dulu bukan kerana zuriat. Kami menjalin kasih sayang atas dasar cinta antara satu sama lain dan bukan kerana “Kalau kau boleh memberi aku zuriat maka aku cinta padamu dan andainya kau gagal, kita terpaksa lupakan soal cinta kita dan segala janji-janji dulu kerana aku terpaksa cari perempuan lain. Ini terpaksa aku lakukannya demi maruah aku.”
Mendengar kata-kata saya, kawan itu terus terdiam. Saya katakan lagi, perkara ini tidak timbul dalam lafaz taklik semasa kami bernikah dulu. Saya cuba tanyakan kepada dia apakah makna ego lelaki? Dia tidak menjawab. Apa kata kalau selepas bernikah dengan perempuan lain tiba-tiba saya gagal juga mendapat anak? Di mana harus saya letakkan ego lelaki saya? Mungkin benar doktor yang memeriksa kami itu mempunyai pelbagai alasan kukuh dalam memberi keputusan kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan ilmu yang dipelajarinya. Tetapi kita tidak harus lupa pada kuasa Allah yang kalau Dia kata jadi maka jadilah tanpa mengira dalam situasi mana sekalipun. Saya beritahu kawan itu apa yang mampu saya buat hanya terus berdoa dan mohon kepadaNya. Selepas selesai saya berkhutbah kawan itu terus diam.
Pada penghujung tahun 1982 saya membawa isteri saya ke Seremban melawat ibu angkat saya. Kami ke sana untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya tentang kes kami. Seperti biasa, belum pun ditanya terpacul soalan yang dinanti-nantikan seolah-olah dia tahu hajat dan isi hati kami,
“Dah berapa lama engkau orang kahwin?”
“Tak lama lagi masuk enam tahun mak.”
“Engkau orang dah pergi berubat?” tanyanya.
“Dah mak, dah puas berubat,” jawab saya.
“Mana engkau orang pergi?”
“Bidan kampung dah, doktor pun dah pergi jugak,” saya menjelaskan.
“Doktor kata apa?” dia bertanya lagi.
“Doktor kata tak boleh dapat. Memang susah, mak,” saya menjawab penuh kecewa. Isteri saya hanya mendiamkan diri.
“Pergi balik. Jumpa doktor tu balik,” katanya tegas.
Dalam hati saya bertanya, apa hal pula orang tua ini? Bukankah saya sudah menceritakan bahawa doktor di Johor Bahru memberitahu kami keputusan pemeriksaan tersebut. Harapan kami untuk mendapat zuriat memang tipis. Mungkin tidak ada langsung.
“Jumpa doktor lagi mak?” saya bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Iye, pergi balik hospital. Doktor bukan Tuhan,” dia terus beralih ke topik lain.
Kembali ke Johor Bahru, sekali lagi kami ke Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah di Johor Bahru. Kes isteri saya dikaji semula dan sekali lagi pemeriksaan dijalankan terhadap kami berdua. Akhirnya doktor memutuskan bahawa isteri saya perlu menjalani rawatan. Mendengar kata-kata doktor itu saya rasa seperti ada harapan baru. Bagaimanapun kalau tidak silap isteri saya hanya sempat menjalani dua kali rawatan sahaja kerana pada hari rawatan ketiga dia agak keberatan untuk ke hospital. Dia juga memberitahu saya badannya rasa kurang sihat dan meminta saya menghantarnya ke klinik. Sampai di klinik saya terpaksa meninggalkannya kerana urusan kerja. Apabila balik ke rumah pada waktu tengahari saya bertanya apa kata doktor. Dia tersenyum. Saya hairan mengapa dia tersenyum begitu. Rupa-rupanya doktor memberitahu bahawa keputusan ujian air kencingnya positif. Bayangkan betapa gembiranya saya bila mendapat tahu tentang keputusan tersebut. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan saya pada saat itu. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kalau tidak silap, selepas dua bulan sekali lagi saya membawa isteri saya ke hospital untuk pengesahan dan bila diperiksa doktor-doktor di situ terperanjat. Mereka menganggapnya satu kes istimewa. Sekali lagi saya teringat kata-kata ibu angkat saya.
Selepas meninggalkan Johor Bahru kerana mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur pada awal tahun 1984, saya masih belum mendapat pekerjaan walaupun sudah mencuba di beberapa tempat. Seperti biasa bila dalam kesusahan saya akan pergi menemui ibu angkat saya. Kali ini saya ke Seremban seorang diri. Kebiasaannya kalau ada orang lain dia tidak akan menyentuh hal-hal peribadi. Kerana itu untuk mengelakkan perkara tersebut lebih baik jangan pergi seorang diri. Tetapi kali ini saya nekad. Saya redha dan kalau ditakdirkan dia mahu membelasah saya secukupnya, persilakanlah. Saya bersedia kerana saya tahu saya sudah banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan mengenai kehidupan saya.
Saya sampai di rumahnya kira-kira jam 3 petang. Selepas memberi salam saya menunggu agak lama. Tiba-tiba ibu angkat saya keluar menyambut saya.
“Hah! Engkau. Masuklah. Mak seorang aje kat rumah ni.”
Saya terus masuk. Saya perasan dia asyik memerhatikan saya dengan wajah kurang ceria. Tiba-tiba dia bersuara,
“Patutlah dah berapa hari ni mak asyik mimpikan engkau. Rupa-rupanya engkau nak datang,” dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Saya tak faham apa maksudnya.
“Duduklah,” katanya sambil menarik langsir yang tadi bertutup.
Siap, kata hati saya. Dia dah mula dah. Kalau termimpikan saya tentu ada kes berat yang mahu diberitahu. Saya senyap tak berani berkata sepatah pun.
“Engkau tau mak mimpi apa?” dia merenung tepat ke mata saya. “Mak nampak muka engkau susah aje. Kenapa engkau ni?” Dia masih lagi berdiri di tepi tingkap. Saya terasa dia amat sedih melihat keadaan saya.
Kemudian dia menghampiri sofa dan terus duduk di hadapan saya. Saya perhatikan sekali lagi. Mukanya berkerut. Nampak sekali dia seperti berkongsi kesedihan saya.
“Susah betul mak tengok engkau ni. Cuba engkau cakap.”
Saya menarik nafas panjang. Bukan senang nak bercerita dengan orang tua ini. “Mana tak susah mak.. Saya tak dapat kerja lagi. Farida pun tak lama lagi bersalin.”
“Dia ada kat mana ni?”
“Kat kampung dengan mak dia. Teluk Intan.”
“Dia tak mengajar ke?”
“Tak. Dia cuti.”
“Hai! Belum bersalin dah cuti. Cuti apa?”
“Cuti tanpa gaji mak. Sampai bersalin. Dah dekat tiga bulan dah. Lepas tu saya nak bawak pindah KL. Saya dah buat dah, uruskan dia tukar KL.”
“Hah! Tak bergajilah tu,” dia mengalih pandangan. Kemudian menyambung cakap, “Yang engkau ni tak pasal-pasal berhenti kat Johor tu kenapa?”
“Panjang cerita mak..” rasanya berat juga saya mahu bercerita.
“Tak apalah. Engkau cerita, mak dengar.”
Mendengar kata-katanya itu saya berasa lega. Saya mahu terus bercerita tetapi saya terpaksa mengambil sedikit masa. Memetik kata-kata seorang penulis Inggeris yang saya sudah lupa namanya, "It's not that the story is long but it takes a long time to make it short." Memang benar, ceritanya tidak sepanjang mana tetapi untuk meringkaskannya mengambil masa agak panjang.
 Saya dapat rasakan bila saya becerita orang tua itu mendengar dengan penuh tekun. Saya rasa tidak ada satu ayat pun yang terlepas daripada pendengarannya. Matanya juga tidak lepas daripada memandang saya. Memang saya cukup terharu. Selesai saya bercerita dia bertanya, “Dah tu engkau nak buat apa lepas ni?”
“Tak taulah mak, hari tu dah pergi interviu jugak. Yang satu tu syarikat buku, tapi tak ada jawab pun.”
Ibu angkat saya mengeluh panjang. Tiba-tiba dia bangun menuju ke dapur tanpa berkata sepatah pun. Bimbang juga saya melihat dia begitu. Apakah dia bosan mendengar cerita saya tadi?
Memang saya ada memohon jawatan di syarikat penerbitan Longman yang ketika itu berpejabat di Wisma Damansara. Saya menaruh harapan tinggi kerana pengurus besar yang menemuduga saya ada menyebut, “If you want a car, we’ll give you one. With that you can even drive to Timbuktu. But on one condition. Please bring back sales.” Cuma saya takut, belum tentu saya boleh jadi seorang salesman yang baik. Tapi kalau tak dapat pun tak apa. Tak ada kereta pun tak mengapa. Kalau boleh saya mahu cari kerja lain. Saya tak suka kerja jadi jurujual.
Lama juga dia di belakang. Bunyi seperti dia menjerang air. Atau mungkin juga dia bersolat. Sedang saya mengelamun tiba-tiba dia bersuara sambil membawa secawan air,
“Boleh dapat ke…?” nada ibu angkat saya bertanya itu seperti kurang yakin saya boleh dapat kerja tersebut. Biasanya kalau dia berkata begitu memang tak dapat nampaknya. Saya hanya diam.
Kemudian dia berkata, “Mak rasa macam tak dapat aje. Engkau jangan harap sangat..”
Dia memandang saya. Sayu sungguh pandangannya. Tiba-tiba keluar dari mulutnya, “Eh, engkau kan pandai tulis-tulis, kan?”
Saya tergamam. Saya berkata dalam hati, sejak bila pula saya pandai menulis? Mana mak dengar ni?
“Engkau kan cikgu, engkau carilah kerja yang ada tulis-tulis. Engkau kan pandai tulis,” ibu angkat saya itu beriya-iya menegaskan yang saya pandai menulis. Tiba-tiba wajahnya yang sayu bertukar menjadi ceria.
"Dah, minum. Minum dulu. Ada rezeki engkau, insyaAllah."
Saya tak faham orang tua ini. Memang saya minat menulis, sejak kecil dulu. Dan saya rasa saya boleh menulis kalau diperlukan. Lagipun peperiksaan M.C.E dulu saya dapat distinction untuk Bahasa Melayu. Memang saya minat bahasa. Tetapi saya belum pernah lagi menulis apa-apa yang besar kecuali beberapa kertas kerja yang saya pelajari ilmunya semasa menghadiri kursus MARA. Dan yang paling saya rasa hebat ialah menulis surat cinta. Masa bercinta dulu memang saya suka menulis surat-surat panjang. Itu saja testimonial yang saya ada. Kerana itu kata-kata ibu angkat saya itu sukar untuk saya percaya. Saya bertanya pada diri saya, “Menulis?”
Petang itu bila menantunya Nadi balik dari kerja, dia mengajak saya keluar bersama. Katanya, “Marilah, mak nak ajak engkau jalan-jalan ni.” Pada mulanya saya agak keberatan. Lebih baik saya tidur saja. Tetapi saya terfikir, pasti ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Terus saya menukar fikiran. Memang betul, syarahannya sepanjang berada di dalam kereta itu cukup panjang yang hampir kesemuanya masih saya ingat hingga ke hari ini. Bila Nadi dan isterinya turun membeli barang di kedai, kami tinggal di dalam kereta dan sesi syarahan menjadi lebih menarik seperti satu perbicaraan tertutup.
Di sebelah malam selepas makan dia meminta Nadi menghantar saya ke stesen bas untuk kembali ke Kuala Lumpur. Seperti biasa selepas bertemu ibu angkat saya itu hati saya jadi tenang semula. Semangat saya yang hilang datang kembali. Memang benar, bertemu dengannya pasti melegakan. Perkara itu berlaku bukan sekali tetapi sudah banyak kali dan saya masih juga tidak dapat memahaminya. Apa istimewanya dia dan di mana kehebatannya, wallahu’alam. Apa yang saya tahu dia hanya seorang manusia biasa, seorang tua yang penyayang yang selalu membuatkan kita terasa bertapa dekatnya dia sekalipun berjauhan. Tetapi apa yang jelas, mulutnya masin kerana apa yang dikatakannya ditakdirkan Allah, selalu berlaku. Apakah selepas ini akan berlaku keajaiban lagi?
Sepanjang berada di dalam bas SKS fikiran saya kosong. Tidak ada apa yang saya fikirkan kerana semakin saya cuba fikirkan tentang kata-kata ibu angkat saya itu semakin keliru jadinya. Menulis? Mana mungkin saya boleh menulis. Saya terus terlelap.

Saturday, 16 May 2009

Wajah-wajah kotor Kuala Lumpur 2

Saya sampai di hadapan pintu Teater Elit kira-kira lima belas minit selepas meninggalkan Bangunan Jaya. Pejabatnya terletak di tingkat tiga sebuah bangunan bersebelahan bangunan di mana terdapat Bank Bumiputra berhampiran persimpangan Jalan Raja Abdullah/Jalan Raja Muda. Di tingkat bawah bangunan itu terdapat sebuah klinik iaitu Klinik Salmah. Bila saya sampai di tingkat tiga saya dapati ia tidak kelihatan seperti sebuah pejabat. Jeriji pintu pun tidak dipasang tetapi pintunya terbuka luas. Dari luar saya dapat lihat ada empat buah meja terletak di dalam ruang yang agak sempit. Meja-mejanya berselerak. Saya mula berasa tidak sedap hati. Apakah benar ini pejabat “orang besar-besar” seperti yang Aziz katakan tadi? Tidak mungkin pejabat orang besar begini rupanya. Saya mendekati pintu pejabat itu dan bila saya menarik daun pintu yang terbuka itu memang betul ada tertampal nama Teater Elit. Tiba-tiba saya teringat. Kalau tidak silap inilah syarikat yang pernah mementaskan teater dari filem ke pentas berjudul “Esok Untuk Siapa.” Teater Elit juga pernah buat teater tari di Hotel Century. Ingatan itu semakin jelas. Ya, betul. Memang sah. Saya pernah terbaca dalam surat khabar dulu. Saya pun memberi salam.

Seorang perempuan muda keluar dan bertanya, “Kamu Mat Shah ke? Yang telefon tadi?”

Dalam hati saya berkata, budak ini kurang asam betul. Sudahlah dia tidak menjawab salam saya, cara dia bercakap seperti tidak tahu menghormati orang lebih tua. Umur saya sudah hampir dua puluh lapan tahun dan akan jadi bapa tidak lama lagi sedangkan umur budak perempuan itu saya rasa mungkin dalam awal dua puluhan. Boleh ke dia panggil saya Mat Shah sahaja dan dia “kamu-kamukan” saya. Siapa budak ini agaknya?

“Ya, saya Mohd. Shah.”

“Masuklah, Tuan dengan Abang Shah tengah tunggu kamu kat bilik.” Ha! Kamu lagi.

Tuan? Oh! Mungkin betul ini tempat orang besar seperti yang Aziz katakan tadi. Bos pun dia panggil tuan.

Saya mengekori budak perempuan itu ke bilik tengah pejabat itu. Tiba-tiba hati saya berbelah-bagi sekali lagi. Saya tidak percaya bahawa ini pejabat Teater Elit yang buat pementasan terhebat Esok Untuk Siapa dan juga teater tari seperti yang pernah saya baca di akhbar. Kalau sebelum masuk tadi saya ragu-ragu melihat keadaan meja-meja yang berselerak, kemudian saya berasa lega bila mendengar budak perempuan yang kurang asam tadi menyebut nama Tuan. Tetapi apabila berjalan menghampiri bilik di mana menurut kata budak itu Tuan dan Abang Shah sedang menunggu, saya rasa lemah semangat semula. Pejabat apa ini? Di hadapan bilik itu ada tergantung beberapa helai tuala dan juga t-shirt lusuh. Ini pejabat atau rumah?

Budak perempuan itu berdiri di pintu dan memberitahu,

“Tuan, abang Shah, Mat Shah dah sampai ni,” kemudian budak perempuan itu menyuruh saya masuk.

“Hey! Masuk, masuk, yes come in,” nada suara itu macam saya kenal. Itu Shah yang bercakap di telefon dengan saya tadi. “Okey, so engkau Mat Shah? Apa khabar?” kami bersalaman.

“Khabar baik,” jawab saya.

Kemudian saya menghulurkan tangan kepada lelaki yang dipanggil “Tuan” itu. Shah terus memperkenalkan “Tuan” kepada saya.

Let me introduce, yang ini, meet Din, Mr. Dinsman. Aku Shah, call me Abang Shah. We spoke on the phone just now.”

Kemudian saya dijemput duduk. Sebaik duduk sempat juga saya terfikir. Akhirnya saya dapat bertemu dengan orang yang mementaskan Esok Untuk Siapa dan juga teater tari di Hotel Century. Memang betul, itulah orangnya.

“Aku, engkau pernah jumpa mana-mana ke?” saya menggelengkan kepala. “Dia ni?” sambil menunjuk ke arah Dinsman, “Engkau pernah tengok?”

“Pernah. Kat TV,” saya menjawab dengan amat yakin sekali.

“TV? TV kat mana?”

“Sudut Seni,” jawab saya. Memang saya pernah melihat Dinsman dalam rancangan Sudut Seni terbitan RTM semasa di Kulai dulu. Dalam program itu dia diundang untuk berbicara tentang penulisan skrip TV. Berapi-api dia bercakap kerana dia tidak setuju bila skripnya diusik oleh penerbit TV.

Dinsman tersenyum memandang saya sambil menyedut rokok Gudang Garam.

“Dah lama kenal Aziz? Aziz kata dia kawan lama engkau.”

Payah juga saya mahu menjawab. Kalau saya jawab ya saya terpaksa berbohong tetapi kalau saya jawab tidak maknanya Aziz yang berbohong. Mungkin bosan menunggu jawapan saya Shah meneruskan bicara,

It’s okay. Macam ni, aku ni sebenarnya malas nak tanya history engkau dengan dia, how you got to know him or vice-versa. Kita semua ada history, good or bad. You know what I mean.. Tapi yang penting engkau nak kerja kan? And aku, aku nak cari orang untuk kerja dengan aku. Sorry, dengan Teater Elit,” dia tersengeh. Shah bercakap seperti orang memberi syarahan. Setiap kali bercakap tangannya turut “bercakap” sama, menggapai seperti tangan Spiderman.

So aku ingat we go straight to the point. Dulu engkau cikgu, betul? Then engkau kerja dengan…?”

Yamaha Music,” saya menjawab.

Sorry, aku lupa, engkau dah cakap over the phone tadi. “So, engkau buat apa sekarang?” Shah bertanya lagi.

“Tak ada apa, tengah cari kerja,” jawab saya.

“Dulu cikgu, kenapa berhenti?” Shah bertanya lagi.

“Panjang cerita.”

Never mind, forget about it. I’m not interested to know much about you, about your background. Likewise, I don’t want people to know who the hell I am. Kat sini kita tak interested nak tau background orang. Pasal experience kerja tak apa..Betul Din?” dia tergelak.

Dinsman tidak memberi reaksi. Dia juga masih belum bersuara. Dia memandang tepat ke arah saya sambil menghisap rokok. Dalam hati saya berkata, Abang Shah ni, quite a character. Menarik tetapi agak membimbangkan. Saya rasa lagi banyak abang botak ini bercakap lebih banyak keperibadiannya terserlah. Bunyi seperti orang bijak tetapi belum tentu lagi. Berikan saya beberapa minit mendengar dia bercakap sudah pasti saya dapat menilai sama ada dia benar-benar bijak atau sebaliknya.

“Okey, Din, aku brief dia okey?” dia meminta izin Dinsman untuk menerangkan kepada saya mungkin tentang skop kerja agaknya. Dinsman menganggukkan kepala.

Your last appointment, Sir?”

Dia panggil saya Sir? Terkejut saya dipanggil begitu.

“Oh! Saya dulu Executive Officer, Yamaha Music.”

“Aku tahulah Yamaha Music, kan dah cakap tadi. Tak payah repeat! You are not here to waste my time, man! I’m a busy man,” Shah mengherdik saya.

Sudah tentu saya terkejut diperlakukan begitu. Tetapi tak mengapa. Saya tahu saya penyabar dan saya akan cuba jadi orang paling sabar di dunia ketika ini kerana saya hanya mahukan pekerjaan. Lagipun selama ini sabar memang menjadi senjata saya dalam apa juga peperangan. Saya sudah mengalami keadaan lebih teruk daripada apa yang sedang saya lalui sekarang semasa temuduga untuk permohonan ke ITM dahulu.

Melihat Shah begitu Dinsman seperti kurang senang. Dia membetulkan tempat duduknya.

“Yamaha mana??? Yamaha banyak Yamaha, Yamaha KL pun ada,” dia meninggikan suara lagi.

“Yamaha JB,” saya jawab ringkas.

“Oh, JB…Hey! JB tu kampung aku..I’m a JB guy, engkau tau? Nama sebenar aku Syed Shahab. My great grandfather, my grandfather, my father, my mother, brothers and sisters semua orang JB. Engkau tahu Wadi Hana, Wadi Hassan?” Saya cuma senyum dan mengangguk.

“Engkau orang JB?”

“Tak, Batu Pahat,”

But you look like one, you know,” dia memandang saya atas bawah dengan mata terjegil. “Oh, so engkau orang BP. Eh! Engkau taulah Kampung Arab semua?” katanya lagi.

“Tau.”

“Dekat dengan rumah engkau?”

“Dekat aje. Dulu sekolah saya pun memang banyak budak Arab.”

“Oh gitu. So you know Al Bajrai and all those bullshits..”

Saya senyum sahaja.

Ada satu perkara yang menghairankan saya. Sejak masuk hingga ke saat bercakap itu mereka langsung tidak bertanyakan sijil-sijil atau dokumen-dokumen peribadi saya. Ini temuduga ke atau saja panggil untuk sembang-sembang? Biasanya kalau temuduga perkara pertama yang diminta ialah dokumen-dokumen, sijil dan sebagainya. Selepas itu baru sesi soal-jawab.

“Oh sorry, now back to your case. Yamaha.. yes, apa engkau buat sana?”

“Saya buat PR and sales to government schools, government departments,” saya pun nak tunjuk yang saya juga boleh cakap orang putih. ”I was responsible in setting-up the first primary school all-brass band in the state untuk Sekolah St Joseph. Lepas tu saya banyak buat promotions, concerts untuk Yamaha...” belum habis saya bercakap dia mencelah,

“Lagi?”

“Seminar pun saya pernah buat. Seminar Muzik 3M untuk guru-guru kat Johor. Saya buat dengan Japan Foundation.”

Oh I see…” entah dia tahu atau tidak makna 3M dan apa itu Japan Foundation saya kurang pasti.

So you must be familiar with advertising, I guess,” Shah berkata lagi. Saya dapati memang hebat dia bercakap Inggeris. Memang agak memalukan kalau orang JB tidak pandai berbahasa Inggeris kerana orang di seberang tambak sana hampir semua tahu berbahasa Inggeris.

“Sikit-sikit,” saya menjawab.

How much do you know about advertising?”

“Tak banyak. Dulu saya more on PR.. Advertising kita ada agensi. Tapi saya adalah involved sikit-sikit.”

“Ah! Itu tak susah. Itu engkau boleh belajar. Kejap aje. Kalau engkau ikut aku nanti semua engkau pandai. Jual orang pun nanti engkau pandai. Hmm, good, good. You can write?”

“Boleh,” saya menjawab penuh yakin.

“Apa engkau biasa tulis?”

“Kertas kerja.”

Perfect,” Shah memetik jarinya dan terus bangun dari kerusinya. “Amacam Din?” Dia berdiri memandang Dinsman dan Dinsman tersenyum. Dinsman memang belum berkata sepatah pun sepanjang temuduga itu. Matanya terkebil-kebil memerhati saya seperti sedang membaca perwatakan saya. Risau juga bila direnung begitu sejak masuk tadi. Saya lihat dia menyambung menghisap sebatang lagi Gudang Garam.

“Okey, engkau tau Teater Elit, kan?”

“Tau.”

“Mana engkau tau?”

“Baca surat khabar, majalah, tv…”

“So, engkau kenallah Dinsman ni?”

“Tau tapi tak kenal.”

“Oh, sorry, lupa, aku dah tanya tadi. Hah, yes, yes engkau ada cakap pasal Sudut Seni tadi,” dia memegang kepalanya yang licin berkilat itu. Sesekali saya tengok Shah bercakap seperti orang hilang fokus. Macam orang hilang akal pun ada juga. “Engkau tau kita buat apa?”

“Yang saya tau buat teater. Yang tu,” saya menunjuk ke arah poster Esok Untuk Siapa di belakang Dinsman, “Lepas tu teater tari kat Hotel Century, itu aje.”

Kedua-dua mereka senyum. “Tadi engkau kata engkau tengok Sudut Seni kan? Engkau pun minat seni jugak? Apa engkau buat dulu?”

“Teater, masa kat kolej dulu ada juga belajar sikit-sikit. Belajar Dramatic English dengan Cikgu Nordin Hassan,” saya memberitahu penuh bangga. Tetapi saya lihat Dinsman masih tidak memberi sebarang reaksi. Dia tak kenal ke Nordin Hasssan? Bisik hati saya.

“Lagi?”

“Saya main muzik sejak sekolah lagi. Berlakon pentas pun ada tapi sikit sangat. Masa mengajar saya involved dengan teater kat sekolah, persatuan belia kat Kulai. Lepas tu untuk Jabatan Pelajaran Johor, banyak juga. Dengan Jabatan Pelajaran saya pun involved buat Malam Kebudayaan Johor.”

“Malam Kebudayaan Johor? Tak pernah dengar pun..”

“Ada, kita orang buat kat Dewan Foon Yew. Besar. Sultan pun suka sampai Pengarah Pelajaran dapat Dato’ masa tu.”

Oh I see. Macam mana aku orang JB pun tak tau ni.. Err.. Engkau tau tak kita buat advertising?” Shah bertanya lagi sambil menggoyang-goyangkan tangan kanannya.

“Tak.”

We’re doing advertising. Kita ada a few good clients, engkau tau?” Saya diam. Boleh tahan juga Teater Elit ini. Pengiklanan pun buat juga tapi kenapa ofis macam ni?

“Okey, ni ada engkau punya first assignment. Nampak ni?” saya tengok Shah bercakap penuh authority sampaikan saya tertanya-tanya siapa bos sebenar di sini. Dia atau Dinsman? Gaya Dinsman duduk pun saya tahu meja besar itu miliknya. Bukan meja Shah dan itu memang bukan bilik Shah. Tetapi tiba-tiba sahaja dia boleh berkata ada tugasan pertama untuk saya sedangkan Dinsman belum pun berkata apa-apa lagi. Dia menunjukkan kepada saya satu salinan brosur Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiba-tiba Dinsman bersuara,

“Ni, sebenarnya kita tengah design brochure macam ni untuk Dewan. Dulu dah buat tapi tu untuk tahun dulu. Tahun ni kena buat lagi. Kena buat dua. Satu yang ini dan satu lagi macam yang ini. Tapi kali ni kita nak write-up lebih baik. Engkau kena tulis. Brochure, boleh?” barulah keluar suaranya yang sebelum itu menyepi seribu bahasa. Bunyinya garau tetapi lembut. Saya perhatikan dia bercakap sungguh berhati-hati. Temponya perlahan tidak seperti Shah yang bercakap seperti peluru machine-gun. Belum sempat saya menjawab Shah mencelah,

“Engkau boleh. Never say no. I know you can do it.”

Saya membelek brosur tersebut. “Boleh….saya cuba.”

“Ha, that’s the spirit I want,” Shah bercakap orang putih lagi.

Saya seronok mendengar saya sudah mendapat tugasan pertama. Maknanya memang sah mereka mahu mengambil saya bekerja di situ. Seterusnya Dinsman menunjukkan saya contoh-contoh lain brosur Dewan Bahasa dan Pustaka. Mungkin DBP merupakan salah satu “good clients” seperti diberitahu Shah. Hebat sungguh Teater Elit ini sungguhpun keadaan pejabatnya tidak seberapa. Menyedari Dinsman sibuk memberi penerangan Shah keluar dari bilik. Saya dapat rasakan Shah tidak boleh bercakap tentang perkara dalaman. Dia hanya boleh bercakap tentang hal-hal luaran. Sebab itu agaknya bila Dinsman mula bercakap tentang menulis brosur secara terperinci dia kepanasan. Dari bilik itu saya dapat mendengar dia bercakap di telefon. Kuat sungguh suaranya.

Tidak berapa lama selepas itu Shah masuk dan duduk semula di sebelah saya.

“Dah okey?” dia bertanya Dinsman. Dinsman cuma mengangguk. Memang pendiam sungguh bos Teater Elit ini. Nak jawab okey pun payah.

All right, now, talking about your salary. How much do you expect to be paid?” semakin rancak nampaknya Shah bercakap orang putih. Mula-mula saya rasa tidak mahu menjawab dalam bahasa Inggeris sebab saya tidak mendengar sepatah pun Dinsman bercakap Inggeris. Tetapi untuk mengajar Shah, saya rasa perlu juga saya tunjukkan sedikit yang saya juga boleh bercakap seperti dia,

I don’t know, it’s up to the management.

No,come on, man, you should know how much you are worth! Engkau kena tahu.”

Sorry, Abang Shah. I’m afraid if I tell you how much I’m worth, I don’t think you can afford to pay me,” saya menjawab dengan senyuman.

“He! He! Pandai engkau jawab ya, pandai cakap orang putih eh,” dia seperti mengejek dengan senyuman.

Fine, macam ni, one thousand? You think it’s okay with you?”

Alamak seribu aje? Itu elaun saya di Yamaha tidak masuk gaji. Tiba-tiba saya rasakan dunia ini gelap dengan tiba-tiba. Beberapa saat kemudian saya kuatkan semangat. Saya terpaksa juga menjawab,

“Okey.”

Tak kisahlah. Seribu pun seribulah asalkan bergaji. Kerja ini pun mungkin sementara sahaja. Kalau ada peluang lebih baik saya cabut. Saya hanya perlu cari sedikit modal bagi membolehkan saya menyambung nafas. Sambil itu saya akan cari kerja lain yang mungkin boleh menawarkan gaji lebih besar sesuai dengan kehidupan di KL. Siapa sanggup duduk KL dengan gaji seribu? Terima sahajalah untuk sementara waktu. Lagipun saya belum ada komitmen lain pada masa itu. Saya tidak perlu fikirkan tentang sewa rumah kerana saya menumpang di kuarters tempat adik ipar saya buat sementara sehingga isteri saya bersalin. Bila dia habis pantang dan mula mengajar barulah saya terpaksa mencari rumah sewa. Saya juga tidak memiliki kereta. Kalau mahu ke pejabat saya cuma berjalan kaki dari kuarters houseman Hospital Besar yang mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja.

So, can you start tomorrow?”

“Boleh.”

Come, let me show you around,” kata Shah.

Show me around? Apa nak ditunjukkan kepada saya? Ofis itu bukan besar pun. Ruang depan memang saya tahu. Empat buah meja, sempit. Kalau bukan muhrim berlaga entah berapa kali batal wudhuk. Bilik pun cuma dua saja termasuk bilik Dinsman. Tadi saya nampak bilik belakang gelap-gelita.

Dinsman hanya tersenyum melihat saya bangun. Memang dia tidak bercakap banyak. Kemudian Shah memperkenalkan saya kepada gadis yang kurang asam tadi. Dia ada meja khas di satu sudut bertentangan dengan ruang sempit yang saya sebutkan tadi. Namanya Ella. Rupa-rupanya dia tidak sebagaimana yang saya sangka. Dia nampak okey.

Kemudian saya lihat ada dua orang lelaki, seorang lebih kurang sebaya umur saya manakala seorang lagi yang berkulit putih agak muda sedikit. Mungkin mereka baru sahaja sampai ketika saya di dalam bilik Dinsman tadi. Saya lihat yang berkulit putih sedang memegang pisau memotong kertas manakala yang berambut panjang sedang asyik menampal sesuatu di atas kadbod tebal. Entah apa yang mereka buat saya tak pasti. Shah memperkenalkan saya kepada mereka. Yang berambut panjang bernama Sani Sudin manakala yang berkulit putih namanya Hazali bin Haji Ramli. Mereka sekadar tersenyum. Itu sahaja kakitangan Teater Elit kata Shah.

Seterusnya Shah menunjukkan meja saya, salah satu daripada empat meja di ruang hadapan itu berdekatan meja Sani dan Hazali. Siapa yang duduk di meja satu lagi? Dia tidak memberi tahu saya. Tetapi sebelum dia keluar saya nampak dia mengeluarkan kunci dan membuka laci di meja hadapan saya untuk mengambil sesuatu. Tahulah saya itu mejanya. Dia juga duduk di ruang yang sama dan mejanya sama besar dengan meja kami semua.

Menulis? Betullah seperti kata ibu angkat saya beberapa hari lepas. Dia yang suruh saya mencari kerja yang ada kaitan dengan menulis. Rupa-rupanya saya tak perlu bersusah-payah mencari kerana kerja itu amat dekat dengan saya. Balik ke kuarters houseman, saya termenung memikirkan apa yang ibu angkat saya pernah katakan.

Malam itu saya ke Bangunan Jaya sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada Aziz. Tanpa pertolongannya belum tentu saya boleh mendapat kerja. A good start, kata Aziz . Dia pun pandai cakap orang putih juga. Katanya dahulu dia belajar di IKM. Aziz berasa lega dapat membantu kerana baginya mungkin dia dilahirkan ke dunia ini untuk menolong orang dengan apa cara sekalipun. Tidak semestinya menerusi kerjanya sebagai bomoh.

Bagi saya pula tidak dapat saya bayangkan bagaimana dapat saya membalas budi baik Aziz. Saya amat bersyukur. Saya rasa mungkin semua ini berlaku kerana saya tidak memilih kawan. Saya memang dididik supaya tidak memilih kawan. Saya dididik oleh arwah ayah saya, Ibrahim Rimau yang tidak pernah memilih kawan.

Seperkara lagi, Allah menunjukkan kebesaranNya hanya bermula daripada akhbar tabloid yang saya nampak di lorong belakang ketika sedang menikmati roti canai, hati saya digerakkan untuk bertemu Aziz dan selepas itu pertolongan daripada Allah itu akhirnya sampai juga, bukan menerusi agensi pekerjaan tetapi menerusi seorang bomoh.



Nota kaki:

Selama berkhidmat di Teater Elit, Dinsman tidak pernah bertanyakan tentang kelulusan saya. Dia tidak pernah melihat sekalipun sijil L.C.E saya.