Sunday, 21 December 2008

Seminar Pembiayaan Perniagaan MeCD

Sebaik sahaja selesai menyambut Aidiladha di rumah kakak sulung saya di Kluang baru-baru ini, petang yang sama saya dan keluarga terus ke Batu Pahat untuk merayakan pula hari yang mulia itu bersama-sama keluarga ibu saudara sepupu saya yang tinggal di Kampung Linau. Memang sudah jadi kebiasaan saya dan keluarga akan menziarahinya setiap kali balik balik ke Johor. Itulah satu-satunya ibu saudara sebelah ibu saya yang masih hidup yang sememangnya mempunyai hubungan amat rapat dengan arwah ibu saya dulu. Seperkara lagi, harapan saya supaya hubungan anak-anak saya dengan keluarga ibu saudara saya itu tidak terputus dan akan terus bertambah erat bila kami sudah tiada lagi di dunia.

Keesokan harinya kami terus ke Skudai dan berkampung di situ selama hampir seminggu. Ini kerana saya terlibat dengan Seminar Pembiayaan Perniagaan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) di mana saya dilantik sebagai Pengurus Acara oleh syarikat perunding yang dilantik Kementerian tersebut. Seminar tersebut diadakan di Pulai Springs Resort berdekatan kampus utama Universiti Teknologi Malaysia.

Seminar yang melibatkan kesemua agensi bank dan juga bukan bank di bawah MeCD itu bertemakan Mudah Pinjam Mudah Bayar. Ia bertujuan untuk mencari titik keseragaman daripada segi sistem pembiayaan dan juga bayaran balik serta pemberian geran. Mengikut perancangan yang dirangka sejak awal, ada tiga pembentangan kertas kerja. Satu daripada Bank Rakyat Indonesia manakala dua lagi daripada Grameen Bank dan Brac Bank Bangladesh. Ketiga-tiga bank luar tersebut mempunyai sistem pembiayaan dan kutipan balik yang baik dengan peratus NPL yang relatif rendah. Walaupun agak terlewat, inilah yang cuba dicontohi MeCD dan disesuaikan mengikut acuan Malaysia. Malangnya, kira-kira empat hari sebelum seminar, kami diberitahu bahawa hanya seorang sahaja yang dapat hadir iaitu wakil daripada BRI Indonesia. Kedua-dua yang diundang dari Bangladesh tidak dapat hadir.

Saya tidak tahu silap siapa tetapi saya dapat mengagak sejak awal lagi bahawa kami akan menghadapi masalah. Ini kerana kegagalan mendapat salinan kertas kerja sekalipun dalam bentuk soft copy sudah memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Urusan tersebut dipertanggungjawabkan kepada salah sebuah agensi MeCD.

Sudah lama saya tidak terlibat dengan acara besar seperti itu. Namun begitu saya tidak begitu bimbang walaupun menerima tawaran tidak sampai sebulan sebelum seminar berlangsung. Saya selalu berpegang pada prinsip asas yang menyatakan bahawa pengurusan itu sama sahaja baik dalam apa bidang sekalipun. Mungkin kerana itu saya tidak mempunyai masalah terlibat dalam apa juga bidang. Saya rasa mampu mengurus apa sahaja asalkan dapat mematuhi prinsip-prinsipnya.

Sungguhpun begitu saya terasa sedikit dibebani kerana perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin demi nama baik dan imej syarikat perunding yang melantik saya. Syarikat tersebut mempunyai track record yang baik dalam latihan keusahawanan dan kerana itu diberi kepercayaan mengendalikan seminar tersebut. Jadi, bila peluang tersebut sampai, saya terus membulatkan tekad untuk melaksanakan misi penting itut sebaik mungkin.
Seminar itu dianjurkan oleh sebuah badan Kerajaan. Oleh kerana saya pernah berkhidmat secara kontrak dengan Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sehingga dipisahkan menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, saya sudah biasa dengan suasana bekerja dengan pegawai dan kakitangan Kerajaan. Saya juga biasa berurusan dengan pelbagai Kementerian dan jabatan Kerajaan lain, faham dengan budaya kerja orang-orang Kerajaan dan saya juga sudah lali dengan kerenah birokrasi serta sistem dan prosedur sebuah organisasi Kerajaan yang khabarnya tidak pernah mengalami sebarang anjakan paradigma. Sungguhpun begitu saya mengharapkan MeCD tidak seperti Kementerian lain dan saya percaya selepas tempoh dua puluh tahun saya meninggalkan Kementerian Kebudayaan sudah tentu banyak sudah berubah, tidak lagi seperti apa yang diberitahu kebanyakan orang.

Setelah puas cuba merancang mengikut sistem dan peraturan pengurusan yang saya rasakan mampu menjadikan seminar kali ini berjalan dengan sempurna, saya sedar bahawa banyak perkara akan dilanggar dan sistem serta peraturan yang saya rangka akan mengalami pelbagai kecederaan akibat kemalangan yang berlaku sama ada disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja. Sebab itu antara utama yang saya lakukan ialah mengingatkan kumpulan pengurusan kami bahawa dalam mengurus acara sebegitu kita hendaklah selalu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang tidak terduga.

Memang benar, banyak perkara tidak terduga berlaku. Baik apa pun, segala-galanya berjalan lancar dan akhirnya seminar berjaya disempurnakan majlis perasmian penutupnya oleh YB Menteri Kementerian berkenaan.

Mengenang kembali seminar tersebut, selama dua hari acara berjalan, saya merasa berpuas hati kerana mampu melalui setiap detik cemas dengan senyuman dan penuh kesabaran. Ini mengingatkan saya ketika membantu penganjuran beberapa acara besar bertaraf antarabangsa semasa di Kementerian Kebudayaan dulu. Ketua Pengarah kami ketika itu iaitu A. Aziz Deraman (Dato’) tidak pernah melenting sekalipun berhadapan dengan masalah yang mampu meruntuhkan sebuah bangunan. Beliau tetap tenang dan sabar, tidak pernah panik dan masih mampu tersenyum dalam apa jua keadaan. Apa yang saya pelajari, senyuman dalam saat-saat kritikal begitu banyak membantu menyelesaikan masalah terutama membantu meredakan ketegangan “urat dan perasaan” para pegawai dan kakitangan. Kerana itu saya lebih banyak senyum dan bergurau dengan hampir semua pihak sekalipun ketika menghadapi saat-saat mencemaskan.

Bila berhadapan isu kritikal, saya selalu mengingatkan diri saya bahawa pada saat-saat sebegitu apa yang penting ialah untuk menyelesaikan masalah dan bukan menambah masalah. Saya tidak akan membiarkan masalah tergantung tanpa penyelesaian sekalipun saya tahu ia tidak harus berlaku yang kebanyakannya berpunca daripada kecuaian atau kebodohan manusia. Ini bukan masa untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi merupakan masa untuk setiap pihak memberikan kerjasama mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah. Memang benar sistem yang cuba saya wujudkan tidak berlaku seratus peratus. Mungkin saya juga mempunyai kelemahan yang tidak saya sedari. Sistem komunikasi jadi bercelaru kerana tidak mengikut saluran sewajarnya. Beberapa perkara yang telah diputuskan berubah secara tiba-tiba dan sebagai pengurus acara saya tidak diberitahu mengenai perubahan tersebut.

Pada hari kedua, setelah berpuas hati dengan apa yang diputuskan dan segala-galanya telah diatur pada malam sebelumnya, saya cuba datang lewat untuk menguji sama ada pengurusan jarak jauh boleh saya laksanakan. Kebetulan tiba-tiba pagi itu saya berasa kurang sihat, saya menjangka sudah tentu hari kedua tidak akan berlaku sebarang masalah. Tetapi tanpa diduga masih ada juga yang berubah pada saat-saat akhir dan saya terpaksa bergegas ke dewan seminar.

Bila ini berlaku, saya teringat pada apa yang pernah saya lalui ketika terlibat dalam bidang pembinaan dulu. Pengurusan acara sebegini bukanlah satu acara besar jika mahu dibandingkan dengan kerja-kerja pembinaan yang melibatkan kos yang jauh lebih besar. Saya pernah berhadapan saat-saat genting dan hampir-hampir ditamatkan kontrak sekiranya gagal menyiapkan kerja dalam tempoh kurang dua belas jam. Segala-galanya berpunca daripada arahan bercelaru daripada pihak pengurusan kontraktor utama. Kerana itu saya lebih suka memikul tanggungjawab seorang diri, menerima arahan terus daripada satu pihak dan melaporkan setiap perkembangan kepada pihak yang sama. Seperkara lagi, saya tidak suka proses pelaksanaan kerja saya dipersoal. Apa yang penting bukan bagaimana sistem pelaksanaan saya tetapi misi tersebut berjaya disempurnakan.

Saat-saat genting saya maksudkan itu ialah apabila saya dicabar oleh CEO syarikat tersebut (beliau pernah jadi menteri dan kini tidak lagi menganggotai kabinet). Saya ditanya sama ada mampu menyiapkan kerja atau menyerah kalah dan membiarkan kontraktor utama mengambil alih kerja-kerja yang sedang berjalan. Tanpa berfikir panjang saya menyahut cabaran itu dan keputusan itu saya buat sendirian tanpa berbincang dengan Pengarah Urusan yang merupakan rakan kongsi saya yang berdiri kaku di sebelah saya dan sudah tidak berdaya berkata apa-apa.
Keberanian saya itu memang berbaloi. Sebaik sahaja cabaran bersambut, beberapa pegawai serta kakitangan penting syarikat kontraktor utama tiba-tiba menghampiri saya menawarkan pelbagai bentuk bantuan sokongan. Walaupun mampu menyelesaikan masalah sendirian tanpa bantuan mereka, tetapi memikirkan saya perlu mengekalkan hubungan baik dengan syarikat tersebut demi masa depan syarikat saya sendiri, saya menerimanya dengan senang hati. Akhirnya kerja-kerja tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual sebelum jam 7 pagi keesokan harinya.

Saya tahu, mereka juga merasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan mereka juga tidak mahu menambah masalah. Misi utama kami ialah menyiapkan projek dan kalau sekiranya gagal, penamatan kontrak saya tidak memberi sebarang makna. Dan tidak lama selepas selesai projek di Jalan Utara itu, saya diberikan kerja-kerja elektrikal untuk 12 buah stesen LRT Putra.

Saya berpendapat dalam apa jua perkara, APA YANG PENTING? KERJASAMA! Kata-kata berlagu itu selalu saya dengar dinyanyikan anak-anak kecil yang dipelajari daripada sebuah program kartun berjudul Wonder Pets. Sekadar bergurau, ia mungkin hanya sebuah cerita kartun tetapi kata-kata itu amat besar maknanya yang harus dinyanyikan pada setiap perhimpunan pagi Isnin di setiap Jabatan Kerajaan dan juga Kementerian sekalipun Jabatan Perdana Menteri. Kata-kata hikmat itu harus dijadikan amalan dan cerita kartun itu juga wajar ditonton sekalipun oleh Ketua Setiausaha Negara (sudah tentu ditonton di rumah bersama cucu-cucunya).

Berbalik kepada cerita seminar tadi, selepas YB Menteri menamatkan upacara, saya duduk di satu sudut memerhatikan gelagat sekian banyak manusia yang berebut-rebut mahu bersalaman dengan Pak Menteri yang sedang bergegas keluar dewan untuk satu acara lain. Ada yang tersengeh-sengeh bila berdepan dengan Menteri dan lebih luas lagi sengehnya bila Menteri menepuk bahunya. Ada pula yang menepuk bahu Menteri. Mungkin mahu membuktikan kepada ramai bahawa dia rapat dengan Menteri agaknya. Aduh! Manusia.

Semasa saya duduk di sudut dewan itu, saya tidak ubah seperti seorang pembikin filem. Bila filem selesai dan hasilnya ditayangkan kepada umum, selalunya puji-pujian hanya datang kepada pembikinnya pada peringkat akhir. Biarlah produser dan para pelakon termasuk juga pelakon tambahan dilimpahi cahaya kamera para wartawan. Lagipun, bagi pembikin filem yang faham tentang dunianya, glamour itu bukan untuk dirinya tetapi untuk dinikmati bintang-bintang. Kerana itu dia tidak harus berkecil hati. Hanya pembikin filem yang bermasalah yang selalu terkejar-kejar memburu glamour.

Bagi saya, pembikin filem hanyalah seorang pengkarya yang terpaksa bergelumang dengan segala macam masalah dan kekotoran yang kadang-kala menjijikkan untuk menyiapkan karyanya. Memang benar, tidak seorang pun daripada para pegawai MeCD datang mengucapkan tahniah kepada saya. Hanya Pengarah Program syarikat perunding yang bagi saya pada malam itu merupakan “produser filem” saya yang datang memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih. Sudah tentu sekali saya rasa amat terharu. Saya cuma mengharapkan dia bersedia untuk menerbitkan “filem” baru untuk saya tidak lama lagi. Itupun kalau dia dia masih sudi.

Nota kaki;

Salam dan setinggi-tinggi terima kasih untuk Sdr Shapiai Mohd Ramly yang dalam kesibukan tugasnya telah sudi meluangkan masa menjenguk saya di Taman Universiti. Terima kasih juga atas kesudiannya membawa saya ke Yayasan Warisan Johor sehari selepas selesai seminar. Mungkin kalau jadi apa yang dirancang, saya akan lebih kerap turun ke Johor Bahru.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

No comments: