Sunday, 28 December 2008

Akhir Disember

Ada dua perkara bersejarah berlaku dalam tempoh dua minggu lepas. Pertama, pada sebelah malam 20 Dec lalu, buat pertama kalinya selepas berpisah di pentas selama 23 tahun, saya menyertai semula Sani Sudin dan Usop mengadakan persembahan di RA Fine Arts Gallery. Persembahan tersebut sempena Pameran Penghuni Awal Rumah 905 yang mempamerkan hasil karya para pelukis Latiff Mohidin, Allahyarham Zulkifli Dahlan, Maryam Haji Abdullah, Mohd Yusoff Osman, Mustafa Haji Ibrahim dan Siti Zainon Ismail. Siso tidak ada bersama-sama kami kerana khabarnya mempunyai urusan lain.

Bila mengadakan persembahan itu sudah tentu saya terkenang kembali zaman silam semasa kami mula-mula bertemu pada 1984 dan seterusnya membentuk kumpulan lagu puisi atas "arahan" bos kami Dinsman. Dia yang menggalakkan kami bermain muzik dan menyanyi dan dia juga yang mencarikan kami peluang membuat beberapa persembahan termasuk di Kompleks Budaya Negara dan juga di Hotel Dayang sempena Pelancaran Semula Akhbar Watan oleh Kumpulan Karangkraf. Kalau tidak kerana Dinsman dan Teater Elit tidak mungkin Kopratasa wujud pada hari ini.

Pada malam itu saya tidak terasa asing berada di tengah-tengah kelompok "orang seni." Sungguhpun saya tahu kecuali Dinsman, Ella, Mohd Yusof Osman (yang kami panggil Datuk dan mempunyai pertalian keluarga dengan saya), Pyan Habib dan Supra sedangkan yang lain langsung tidak mengenali saya, tetapi kerana saya diperkenalkan Sani sebagai anggota asal Kopratasa, tiba-tiba semua orang mudah mesra dengan saya. A. Ghaffar Ibrahim (AGI) sanggup memegang mikrofon ketika saya menyanyi semasa kami membuat sound check pada petang itu.
"Pesembahan santai" kami nampaknya mendapat sambutan baik daripada kira-kira 100 tetamu yang hadir. Selepas persembahan saya cuba mendapatkan tandatangan beberapa orang termasuk Dinsman, Yusof Osman, AGI, Mustafa Ibrahim dan juga pemilik RA Fine Arts Raja Ahmad. Abang Mus saya kenali sejak mula bekerja di Teater Elit. Pada waktu itu dia menghuni bangunan usang Anak Alam di belakang Kompleks Budaya yang sekarang ini sudah dirobohkan di mana berdirinya sebahagian bangunan kompleks Aswara.

Selepas mendapatkan tandatangan mereka, tiba-tiba ada suara mendekati saya. "Bang, boleh tolong sign?" Saya menjangka sudah tentu suara itu bermaksud untuk mendapatkan tandatangan mereka yang baru saja menurunkan tandatangan di dalam buku program pameran milik saya, rupa-rupanya bila saya menoleh beberapa orang anak muda yang sebaya anak saya sedang menghulurkan buku program masing-masing kepada saya. Aduh! Itulah pertama kali dalam sejarah hidup saya menurunkan tandatangan kepada "peminat." Ada antara mereka sibuk bertanya mengapa kami mengambil masa terlalu lama saya untuk bergabung semula.

Bergabung semula? Soalan itu hanya saya jawab dengan senyuman. Mungkin mereka tidak faham tentang perhubungan istimewa kami. Mereka juga tidaktahu bahawa saya tidak pernah terfikir mahu jadi penyanyi. Pada malam itu saya hanya mengisi masa terluang. Sani dan Usop mengajak saya dan kebetulan pula acaranya bersesuaian (kononnya nampak seperti eksklusif). Kalau saya diajak mengadakan persembahan di sebuah konsert terbuka mungkin saya terpaksa berfikir dua tiga kali. Selang beberapa minit selepas itu beberapa orang lagi mendekati saya, Usop dan Sani meminta kami menurunkan tandatangan.

Sebelum beredar pulang, salah seorang pegawai RA Fine Arts meminta kami masuk ke dalam galeri. Rupa-rupanya dia juga meminta kami menurunkan tandatangan di atas beberapa buah buku program yang sudah tersedia di atas meja. Dan kami diingatkan supaya tidak lupa mencatat nama Kopratasa. Aduh! Glamour juga jadi penyanyi rupa-rupanya.

Saya tak tahu bila akan dapat bersama-sama Kopratasa lagi. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya teringat pada bait-bait indah lagu Akhir Disember ciptaan saya (daripada puisi Abdul Aziz HM) yang sempat disampaikan Usop pada malam itu.

Akan datang akhir Disember ini,
Bulan di ranting pohonan
Dan angin yang berdesir
Dalam nafas malam
Mengalir antara malam dan sepi
Sementara, menunggu
Lebur jagat ini..

Saya memandu perlahan, melayani perasaan sambil mengulangi lagu ciptaan pertama saya itu berkali-kali, menembusi malam yang tidak ada penghujungnya.

....bersambung

2 comments:

Rahimidin Z said...

Salam,
saya balik KB, tak dapat bersama malam itu.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Memang saya tercari-cari dan tertanya-tanya.