Saturday, 25 October 2008

Tribute to Cikgu Abdul Rahman Yeop

Saya pernah bercerita sebelum ini tentang bagaimana bekas pengetua saya Abdul Rahman Yeop. Orang tua ini amat besar jasanya dalam hidup saya (posting - 20, 21 dan 24 Jun 2008). Dialah yang mencorakkan hidup saya sebaik saja saya tamat peperiksaan MCE.

Saya hanya sempat menjadi muridnya selama dua tahun. Dia datang pada awal tahun 1973 ditukarkan dari Sekolah Menengah Sungai Sumun Teluk Intan ketika saya berada di tingkatan 4 dan saya meninggalkan sekolah pada hujung tahun berikutnya. Tetapi seperti pernah saya ceritakan, dia memanggil saya kembali menyertai kelas pra-universiti selama tiga bulan sementara menunggu keputusan peperiksaan. Saya tahu dia memanggil saya kembali kerana tidak mahu saya merayau-rayau di bandar Seremban tanpa tujuan. Sekurang-kurangnya bila kembali ke sekolah saya boleh bermain muzik dan memimpin band sekolah seperti biasa (di samping menerima elaun bulanan selama tiga bulan).

Tetapi setelah keluar keputusan yang tidak memihak kepada saya (seperti yang saya jangka), saya meninggalkan sekolah dan beberapa bulan selepas itu dia terserempak dengan saya lagi yang sedang merayau-rayau di tengah bandar Seremban. Dia menyuruh saya datang ke sekolah dengan segera. Dia seperti mahu mengatur hidup saya, "mengarahkan" saya mendaftar diri sebagai guru sementara di Jabatan Pelajaran dan selama beberapa bulan saya terperap mengajar di sebuah sekolah menengah di pekan Johol.

Sebelum penghujung tahun dia memanggil saya lagi. Saya tak tahu apa tujuannya. Rupa-rupanya dia menyuruh saya mendapatkan borang memohon masuk ke maktab perguruan. Saya akur kerana saya tidak ada orang tua lagi untuk dirujuk. Lagipun ayah saya telah meninggal dunia. Dan dengan bantuannya saya dapat masuk maktab mengikuti latihan perguruan selama dua tahun. Dia tak pernah tahu saya bernikah semasa kursus sehinggalah bila saya bertemunya di majlis perasmian SDAR di Sikamat Seremban pada tahun 1978 (kalau tak silap saya).

Selepas keluar maktab, saya fikir saya akan terus menjadi guru hingga pencen. Tetapi saya menukar fikiran selepas berlaku pelbagai peristiwa dalam hidup. Sudah tentu kali ini saya tidak memerlukan sentuhan Rahman Yeop lagi. Segala-galanya di tangan saya. It’s all my show now. Biarlah kali ini saya membuat keputusan menentukan kehidupan sendiri walaupun sebelum itu Rahman Yeop telah meletakkan batu asas dalam hidup saya. Betul atau salah, itu keputusan saya. Dan bermulalah episod kehidupan saya yang pelbagai corak dan berwarna-warni yang menjadi ilham kepada buku yang saya “angan-angankan” yang saya beri judul SAYA TAK ADA MBA.

Pernah Zuraidah Mohamad kawan sekelas isteri saya di TKC yang juga rapat dengan saya bertanya buku itu mengenai apa (pernah saya coretkan dalam blog ini - posting 27 Feb 2008).
Lalu saya jawab, “It’s all about wrong decisions.”
Segala-galanya mengenai keputusan yang salah. Memang saya sudah lama dilatih untuk tidak takut membuat kesalahan. Tetapi untuk membuat keputusan salah yang betul, itu memang payah dan saya tidak pernah belajar mengenainya. Namun semakin lama melalui kehidupan ini, saya menjadi semakin suka dan saya selalu rasa, “I have made the right wrong decisions.” Bagaimana harus saya terjemahkan?

Malam ini saya bertemu Dato’ Abdul Rahman Yeop dan isterinya di rumah terbuka Zuraidah dan suaminya Nasir Ali orang besar di Kumpulan Utusan. Saya tidak fikir Zu mengenali rapat Cikgu Rahman Yeop sebelum ini. Dia mungkin mula mengenalinya sejaksama-sama aktif dalam Persatuan Sejarah. Kebetulan Cikgu Rahman Yeop memegang jawatan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia.

Sebelum ini saya ada juga beberapa kali menemui Rahman Yeop yang lebih selesa saya panggil cikgu. Sama juga seperti Isa Samad yang tak pernah saya panggil Tan Sri atau Dato.’ Mereka bekas cikgu saya. Jadi lebih mesra dan manja kalau saya panggil cikgu. Lagipun saya rasa mereka bukan seperti sesetengah orang bergelar yang akan memaling muka atau enggan menjawab kalau tidak dipanggil dengan gelaran tertentu. Begitu juga isteri Rahman Yeop. Dia pun tak kisah sekejap saya panggil auntie, sekejap saya panggil Datin. Saya rasa lebih baik sedap kalau saya panggil mak cik.

Semasa bekerja dengan Sekolah Muzik Yamaha Johor Bahru, bos saya ketika itu pernah mengundang para pegawai Kementerian dan Jabatan Pelajaran ke satu majlis makan malam di rumahnya. Saya terkejut kerana Rahman Yeop ada sama. Dia tidak lagi menjadi pengetua SDAR. Dia juga terkejut saya sudah berhenti daripada perkhidmatan perguruan selepas hanya empat tahun berkhidmat. Dan dia lebih terkejut lagi saya dapat bekerja dengan seorang kerabat diraja. Setahun selepas itu, saya menemuinya di Kementerian Pelajaran meminta bantuan tentang pertukaran isteri saya dari Johor Ke Kuala Lumpur. Ketika itu dia menjaga hal-ehwal sekolah berasrama penuh. Oleh kerana di Kuala Lumpur tidak ada kekosongan, akhirnya dia berjaya menempatkan isteri saya di Sekolah Kebangsaan La Salle, Jalan Gasing, Petaling Jaya walaupun sebelum itu dia bergurau menyatakan kalau di Selangor yang ada kekosongan cuma di Batang Berjuntai. Di pejabatnya di Bangunan Bank Pertanian itu dia menghulurkan saya sebatang rokok Dunhill. Katanya, “Hisaplah. Kamu bukan kat SDAR lagi..”

Ketika dia menjadi Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan saya juga ada bertemu dengannya di pejabatnya. Dia tidak pernah berubah. Dia melayan saya sama seperti di sekolah dan kami masih boleh bergurau-senda.

Selepas itu kami hanya sempat bertemu beberapa kali di beberapa perjumpaan bekas pelajar tetapi tidak pernah berpeluang untuk berbual panjang kerana dalam majlis seperti itu sudah tentu ramai bekas pelajar yang mengerumuninya. Memang perangai saya tidak suka mencelah baik siapa juga yang saya kenal sedang dikelilingi banyak orang.

Tetapi malam tadi kami dapat berbual panjang. Dan Rahman Yeop mahu berkenalan dengan isteri saya.
“Orang rumah kamu budak TKC ke Mat Shah?”
“Ya Cikgu.
“Girl-friend dulu?”
“Tak cikgu. Yang lain. Kenal masa kat TKC lagi tapi rapat masa kat maktab.”

Lalu saya memperkenalkan isteri saya buat pertama kalinya. Kemudian dia mengulangi apa yang kami bualkan sebelum itu di hadapan isteri saya. Sekarang isteri saya tak kisah lagi dengan cerita zaman budak-budak dulu. Saya ingat lagi apa yang berlaku di suatu perjumpaan di Tropicana Golf Resort beberapa tahun dahulu. Saya memperkenalkan isteri saya kepada Cikgu Isa Samad (yang ketika itu masih menjawat jawatan MB Negeri Sembilan).
“Eh! Dulu lain. Yang ini lain pulak,” kata Isa Samad.
Merah padam muka isteri saya. Cikgu Isa pun satu. Mulutnya tak ada insurans, kata orang sekarang. Memang kalau dia bercakap ikut sedap mulut. Tetapi kerana dia cikgu saya yang amat saya kenal perangainya, saya tak pernah berkecil hati. Begitu juga dengan Rahman Yeop. Sudah tentu lebih lagi kerana kami ada hubungan istimewa yang sukar saya gambarkan.

Selepas itu kami berbual lagi dan bila isteri saya bercerita tentang sakit lutut yang dialaminya, perbualan kami berpanjangan. Cikgu Rahman Yeop mengakui bahawa dia “pakar” sakit lutut. Ini kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Banyak juga nasihat yang diberikan kepada isteri saya sampaikan dia sanggup membantu kalau isteri saya mahu mendapatkan rawatan di HUKM. Pakar yang merawatnya bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Dia sendiri sanggup menelefon doktor pakar itu. Begitulah pengetua kesayangan saya. Seperti komen isteri saya ketika dalam perjalanan pulang,
“Patutlah budak-budak sayang dengan dia. Wife dia pun sama. Caring. Concern, mesra betul dengan budak-budak.”
(Ya. Kata hati saya. Dah tua-tua pun kami ni masih disebut sebagai budak-budak juga).
Kalau itu diucapkan oleh bekas seorang budak Kolej Tunku Kurshiah atau TKC, apa lagi kalau bekas budak SDAR yang lebih mengenali Rahman Yeop. Mana nak cari cikgu macam dia.

Ada lagi soalan menarik yang diajukan kepada saya.
“Anak kamu dua aje?”
“Ya cikgu. Dua aje. Dua-dua perempuan.”
“Tak nak lelaki?”
“Tak boleh cikgu. Saya tak pandai layan budak lelaki. Dulu saya cuma pandai layan budak TKC aje…”
Dia ketawa.

Itu antara yang dapat saya ceritakan mengenai Cikgu Rahman Yeop yang telah lama bertahta di hati saya yang takkan dapat saya lupakan tentang hubungan istimewa kami. Kerana usia mungkin banyak perkara atau peristiwa yang dia sendiri sudah lupa. Tetapi saya ada memberitahunya bahawa saya ada menulis di laman blog mengenai pengalaman saya dengannya. Dan mungkin ketika ini dia sudah membaca beberapa tulisan saya yang mungkin dapat mengembalikan ingatan pada apa yang pernah berlaku antara kami. Mungkin selepas ini akan saya catatkan lagi sekiranya saya teringat. Maklum saja, saya juga sedang meniti usia dan semakin hari bertambah, semakin bertambah juga usia saya.

Nota kaki

Cikgu Rahman Yeop berjanji akan mengundang saya ke rumahnya. Katanya, “Saya nak kamu datang dengan Kutat. Kami nak jemput Kutat dengan isteri barunya.”
(Kutat salah satu nama gelaran yang cukup popular yang masih kekal hingga sekarang sehinggakan ada bekas pelajar terutama pelajar junior yang tak tahu bahawa nama sebenarnya ialah Mokhtar.
Kutat memang cukup rapat dengan Cikgu Rahman Yeop kerana dia menyambung pelajaran hingga ke Tingkatan Enam Atas. Maknanya hubungan mereka lebih panjang selama empat tahun. Dan selepas meninggalkan SDAR mereka sentiasa berhubung rapat.

Sedangkan saya, selama beberapa tahun menghilangkan diri bersembunyi daripada bekas guru-guru dan rakan-rakan sehinggalah saya sedar bahawa sebenarnya “I have made the right wrong decisions”).

7 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Sdr. Mohd. Shah,
Assalamualaikum wbr.,
Setelah membaca tentang Cikgu Abdul Rahman Yeop, saya rasa beliau juga adalah guru saya semasa saya di sekolah rendah Kebangsaan Gunung Semanggol. Harap-harap beliaulah yang pernah mengajar saya ketika saya dalam darjah enam. Beliau adalah guru idola saya. Beliau amat rapat dengan semua pelajarnya. Hingga kami pernah bermalam di rumah Cikgu Rahman Yeop kerana pada keesokan harinya kami bersama beliau mendaki Gunung Larut (Ketika itu di kenali sebagai Gunung Maxwell). Ketika itu Cikgu Rahman masih muda, belum ada anak. Dalam kelas beliau sering membacakan kepada kami novel-novel terbaru. Misalnya novel 'Musafir' karya Hasan Ali. banyak lagi kenangan bersama beliau ketika kami berada di darjah enam ketika itu. Memang selepas saya masuk maktab perguruan, saya dengar beliau sudah melanjutkan pelajaran ke Universiti.
Saya juga berharap suatu hari nanti akan dapat bersua dan berjumpa dengan Cikgu Abdul Rahman Yeop.

Shapiai Mohd. Ramly

MOHD SHAH IBRAHIM said...

'Alaikumussalam Sdr Shapiai,
Mungkin agaknya kerana memang setahu saya tak ada cikgu lain bernama Abdul Rahman Yeop pernah saya dengar. Sebelum ke SDAR dia mengajar di Sungai Sumun. Loghat Peraknya pekat sekali sampai sekarang ni.
Dia masih sihat cuma lututnya mengalami sedikit masalah. Tetapi masih boleh mamandu.

Melihat Kesunyataan said...

Sdr. Mohd. Shah,
Terima kasih kerana respon komen saya. Agaknya bagaimana saya hendak menghubungi Cikgu Rahman Yeop ini?

e-mail saya: shapiai@yahoo.co.uk.

zainudin said...

Salam Bro Mohd Shah,
Saya mengetahui URL blog bro melalui E-Group SDARA 75-79.
Komen yang menarik mengenai Cikgu "KITA"
Kita selalu jumpa tapi tak sangka Bro X-Sdraian. Saya AJK PIBG Wangsa Jaya. Wife bro tu X-TKC ya.
Salam to wife Bro.

Zainudin Abd Razak

f_mgh said...

Salaam bro senior,

Going to Sdar is one right wrong decision I've made in my life.

Life goes on, though.

p/s: nice piece of tot u got there (",)

MOHD SHAH IBRAHIM said...

f_mgh,
whoever you are (cos I can't recognise you from your small full size photo), thank you for reading this article.
I wish I could know you better. We have common grounds i.e for having made the right wrong decisions.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Sdr Zainudin,
ya saya. Dan isteri saya memang ex-TKC.
Sdr batch mana? Mungkin kita akan kurang berjumpa kerana saya hanya menghantar dan mengambil isteri saja. Kalau dulu kerap tunggu lama tetapi sejak canteen operator dah bertukar, selera dah tak ada. Mahal pulak tu dan macam-macam kelemahan yang ketara. Nak komplen dengarnya HM siang-siang dah warning tak bagi bagi komplen apa-apa.
Apa dah jadi dengan Wangsa Jaya? Kalau Badan Kebajikan tak berani nak besuara, PIBG kena tolong tengok masalah di kantin.
Bro Sdarian kenalah tolong bro sdarian.