Friday, 24 October 2008

Sebuah kampung bernama Bindu

Di Batu Pahat ada sebuah kampung yang diberi nama Kampung Bindu. Letaknya kira-kira 10 kilometer dari Bandar Penggaram (nama rasmi bagi bandar yang juga merupakan pusat pentabiran daerah Batu Pahat). Hanya ada satu jalan sahaja untuk ke Bindu kalau datang dari pusat bandar iaitu melalui Jalan Tongkang Pecah. Jalan yang sama itu boleh membawa kita keluar sama ada ke Lebuhraya Utara Selatan dan terus ke Yong Peng atau ke Parit Sulung dan seterusnya boleh terus ke Muar atau Pagoh. Kalau datang dari Lebuhraya Utara-Selatan, lebih mudah dan dekat kalau keluar di persimpangan tol Yong Peng/Batu Pahat dan sudah pasti selepas pekan Tongkang Pecah sesiapa juga tidak akan terlepas pandang papan tanda Kampung Bindu di sebelah kiri jalan.

Mercu tanda Kampung Bindu pada waktu dulu ialah stesen pemancar RTM yang terletak betul-betul berhadapan simpang masuk ke kampung itu. Saya tidak pasti sama ada stesen RTM itu masih wujud pada waktu ini.

Saya tidak pernah mahu bertanya tentang sejarahnya kerana Kampung Bindu tidak mempunyai sebarang sejarah penting untuk diingat. Ia hanyalah sebuah perkampungan biasa yang dulunya dipenuhi dengan kebun getah dan dusun buah-buahan. Cuma apa yang penting bagi saya, itulah kampung di mana arwah datuk saya sebelah bapa datang merantau dari Kelantan dan membuka tanah di kampung yang kini sudah berusia melebihi seratus tahun. Bersama beberapa ahli keluarga dia meneroka tanah dan akhirnya berjaya memiliki beberapa kawasan kebun getah dan tanah dusun. Tanah-tanah miliknya itu kemudian diwarisi anak-anaknya.

Antara empat orang anaknya (seorang dengan isteri kedua yang dikahwini selepas kematian isteri pertama), agak malang kerana arwah ayah saya tidak menyimpan tanah-tanah yang diwarisinya itu. Kerana sesuatu sebab, selepas kematian arwah datuk, kehidupan bapa saya menjadi begitu sukar. Mujurlah ada seorang saudara bernama Pak Usu Patong yang bersimpati dengan nasib ayah saya. Pak Usu Patong sanggup berkorban jawatan Pengawal Mergastua yang sebelum itu ditawarkan kepadanya dan dengan rela hati menyuruh ayah saya mengambil alih tempatnya. Setelah berjaya mendapat pekerjaan tersebut ayah saya terus membawa ibu saya dan tiga orang anaknya ketika itu berhijrah ke Kluang. Di Kluang dia memulakan hidup baru dan di Kluang jugalah tempat saya dan seorang lagi kakak saya dilahirkan.

Dia tidak pernah melupakan jasa arwah Pak Usu Patong dan semasa hidup dulu arwah ayah saya selalu mengingatkan anak-anak tentang bagaimana dia mendapat penghidupan baru itu.

Mungkin tidak wajar untuk saya menyingkap kisah silam mengenai keperitan hidup yang dilalui arwah ayah dan ibu saya semasa di Kampung Bindu. Apa yang dapat saya catatkan mereka pernah tinggal di dalam sebuah pondok yang dibina daripada batang sagu ketika kakak dan abang saya masih kecil. Apatah lagi ketika itu Jepun baru saja menyerang Malaya yang menjadikan kehidupan semakin bertambah sukar. Tidak wajar juga saya mahu bercerita tentang ibu saya yang terpaksa hidup bagaikan hamba abdi semasa menumpang di rumah seorang saudara rapat ayah saya. Semua itu pasti akan membongkar nama-nama mereka yang sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tetapi itulah antara cerita yang disampaikan kepada saya oleh arwah ibu saya bila kami tinggal berdua. Saya pernah menulis sebelum ini betapa saya banyak menyimpan rahsia kepahitan hidup arwah ibu saya.

Saya cuba mencari dalam kamus makna perkataan Bindu. Daripada sebuah kamus Inggeris, ia membawa makna sebuah alat mesin yang berfungsi untuk melarik kayu atau bahan lain seperti gading. Alat mesin itu mempunyai dua bahagian yang akan memegang kedua-dua hujung bahan kayu yang akan berputar bagi membolehkan bahan kayu itu turut berputar dan kerja-kerja melarik boleh dilakukan.

Dalam bahasa Inggeris Bindu disebut sebagai Lathes. Ada juga disebut ia merupakan salah satu alat mesin tertua dan digunakan di Perancis sejak tahun 1569 dan merupakan antara alat paling berguna pada zaman Revolusi Industri di England apabila berjaya disesuaikan sebagai alat pemotong logam. Kalau tidak silap itulah mesin yang sama pernah saya gunakan semasa belajar mata pelajaran Seni Perusahaan di bengkel ketika di sekolah menengah dahulu sama ada untuk kerja kayu mahupun kerja logam.

Sudah tentu saya mempunyai beberapa kenangan walaupun jarang dibawa balik ke sana ketika zaman kanak-kanak dahulu. Saya hanya lebih kerap balik selepas arwah bapa saya ditukarkan ke Batu Pahat terutama bila ada kenduri kahwin atau pun waktu musim buah-buahan. Mungkin apa yang mampu saya ingat tidak sehebat kenangan yang disimpan kakak dan abang saya. Mereka pernah tinggal di sana pada zaman kanak-kanak dan sempat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bindu. Mereka juga sempat meredah hutan dan jalan berlopak yang sudah tentu jauh lebih buruk keadaannya ketika itu.

Saya hanya mampu mengingati peristiwa mandi beramai-ramai di anak sungai yang disebut sebagai “parit” oleh penduduk Kampung Bindu. Anak sungai itu akan jadi meriah bila waktu air pasang pada waktu pagi kerana waktu itulah ramai orang mandi-manda dan membasuh pakaian. Ia merupakan satu-satunya sumber air bagi penduduk kampung yang ketika itu masih belum mendapat bekalan air bersih. Di situlah saya mendapat pengalaman mengail ikan dengan joran buluh dan saya berjaya mendapat seekor ikan kecil yang merupakan satu-satunya ikan yang pernah saya tangkap dalam sejarah hidup saya. Selepas itu saya tidak pernah memegang joran lagi hingga ke umur tua.

Beberapa kilometer menuju ke “darat” ada punca air yang cukup bersih yang datang dari sebuah bukit. Saya pernah beberapa kali dibawa ke sana oleh arwah Bang Ngah Taib anak ibu saudara saya. Di situ saya berpeluang mandi air yang bukan saja bersih tetapi amat sejuk dan menyegarkan. Kata Bang Ngah, air itu boleh terus diminum dan dia memang selalu ke situ untuk mendapatkan air bersih yang digunakan untuk memasak. Selain Bang Ngah Taib ramai juga saudara-saudara lain ke situ untuk mengambil air terutama menjelang senja.

Saya juga masih ingat betapa ikatan keluarga yang amat kuat dalam kalangan penduduk Kampung Bindu yang majoritinya mempunyai tali persaudaraan. Semasa musim buah-buahan saya boleh berjalan ke mana sahaja dan berhenti di rumah siapa sahaja untuk menikmati buah-buahan tanpa meminta izin kerana semuanya milik saudara-mara kami. Berhadapan rumah arwah Mak Long saya pula ada sebuah kedai milik keluarga cina. Mereka sudah tinggal di situ bertahun-tahu dan sudah jadi seperti keluarga Melayu, fasih berbahasa (boleh menyebut Lailahaillallah tanpa pelat cina) dan mengamalkan budaya hidup Melayu. Kerana itu semasa saya kecil saya agak keliru kerana tidak dapat membezakan sama ada mereka itu Islam ataupun bukan.

Di sebelah “laut” pula ada pangkalan di mana banyak perahu milik penduduk kampung berlabuh di situ. Menurut arwah ibu saya, sebelum ada jalan darat penduduk kampung menggunakan jalan sungai untuk ke Batu Pahat atau ke sebelah kampung Parit Besar. Sungguhpun begitu, walaupun sudah ada jalan raya, masih ada juga penduduk kampung meneruskan tradisi berperahu untuk ke tempat-tempat berdekatan. Saya amat teringin sekali menaiki perahu tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada arwah ibu saya. Katanya sungai itu berbahaya kerana terdapat banyak buaya. Dia sendiri pernah hampir-hampir dilibas buaya besar.

Saya diberitahu, tidak berapa jauh di seberang sungai itu menghala ke hulu ada sebuah kampung yang dinamakan Kampung Parit Besar dan ramai orang menggunakan perahu berulang-alik dari Parit Besar ke Bindu. Tidak hairanlah bila ada seorang saudara kami yang bernama Leman tinggal di Parit Besar. Pada hari ini simpang ke Parit Besar hanya beberapa meter sahaja dari simpang ke rumah arwah ibu saya di Kampung Istana.

Bang Ngah Leman merupakan generasi kedua yang datang merantau dari Kelantan ke Batu Pahat. Adiknya Mamat (Lebih dikenali dengan nama Mamak mengikut dialek Kelantan) berkahwin dengan salah seorang saudara rapat kami. Kedua-duanya sudah meninggal dunia dan ketika hayatnya Bang Ngah Leman merupakan antara saudara kami yang masih pekat dengan dialek Kelantan dan kerap berulang-alik ke Wakaf Bahru. Dia menjadi penghubung antara keluarga kami di Batu Pahat dengan keluarga di Kelantan.

Walaupun di pihak keluarga kami di Kelantan masih ada juga yang datang menjenguk sekali-sekala tetapi sayang sekali dalam kalangan saudara-mara saya di Batu Pahat tidak ramai yang masih kuat ingatan mereka terhadap asal keturunan nenek-moyang kami. Walaupun ada antara mereka yang tahu ketika arwah ayah saya hidup dulu dia rajin balik ke sana, tetapi nampaknya sekarang tidak ada lagi yang mahu bercerita tentang Kampung Bukit di Wakaf Bharu. Apa lagi untuk membawa keluarga masing-masing menjenguk kampung asal datuk nenek moyang kami walaupun masing-masing berkemampuan.

Sesetengah mereka mungkin hanya berminat untuk menyebut tentang perkara itu bila timbul isu mengenai lima keping tanah yang ditinggalkan arwah datuk saya yang dulunya diletak atas nama arwah ayah saya. Saya tak pasti sama ada masalah itu sudah diselesaikan oleh salah seorang abang saya kerana saya hanya berminat dengan silaturrahim, bukannya tanah. Bagi saya jika kemelut tanah itu tidak dapat diselesaikan dengan baik, lebih baik saja semua tanah itu diwakafkan bagi membolehkan kami semua mendapat saham akhirat percuma.

Kerana bimbang terhadap ingatan dan ikatan yang semakin longgar, akhirnya saya balik ke Wakaf Bharu dan berpeluang bertemu saki-baki keluarga yang masih hidup dan melihat sendiri tanah-tanah yang ditinggalkan oleh arwah datuk saya itu yang kini di bawah jagaan dua pupu saya. Setelah berada di sana, saya berasa lega kerana kini anak-anak saya tahu di mana kampung asal usul nenek-moyang mereka dan mengenali siapa saudara-mara mereka. Saya rasa bangga dengan sikap kedua-dua anak saya yang turut berminat untuk mengetahui sejarah serta susur-galur keluarga kami. Dalam lima beradik, nampaknya hanya saya seorang yang berminat untuk membawa keluarga menjenguk kampung serta saudara-mara kami. Diandaikan saya sudah tiada lagi, saya harap anak-anak saya meneruskan hubungan keluarga itu.

Cuma satu perkara yang membuatkan saya amat terkilan. Arwah ibu saya tidak pernah berpeluang menjejak kaki di Kampung Bukit kerana arwah ayah saya tidak mampu membawanya ke sana ketika itu. Dan saya pula tidak sempat berbuat demikian kerana ketika saya berkemampuan dia sudah tidak berdaya untuk dibawa berjalan jauh.

Kali terakhir saya ke Kampung Bindu beberapa tahun lepas kerana kenduri kahwin. Seperti biasa anak-anak saya tahu siapa saudara yang menjemput kami itu dan juga tahu lebih-kurang tentang hubungan kami dengan Busu Madon yang menjemput kami itu. Seperti ibu saya juga, saya suka bercerita tentang susur-galur keluarga. Sekurang-kurangnya mereka tahu siapa yang mereka boleh cari jika ke Kampung Bindu atau di Parit Kangkong (kampung ibu saya yang tidak jauh dari situ) atau jika mereka balik ke Wakaf Bharu. Sayangnya, anak-anak saudara-mara saya kebanyakannya tidak mengenali saya dan tidak dapat mengaitkan hubungan kekeluargaan kami. Saya bimbang, ikatan kami pasti akan jadi lebih longgar selepas pemergian generasi kami yang sebahagian besar merupakan sepupu saya.

Semasa kereta bergerak masuk melalui jalan kecil yang kini sudah diturap dengan tar itu, saya dapati suasana di Kampung Bindu tidak lagi seperti dulu. Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kilang kecil dibina yang kelihatan sudah lama juga beroperasi. Pembinaan kilang-kilang kecil itu membawa hampir ke sekolah kebangsaan di mana kakak dan abang saya pernah belajar dulu. Sudah tentu kilang-kilang itu bukan dimiliki orang Melayu.

Nampaknya, atas nama pembangunan kemurnian kampung Melayu yang pernah “ditakluk” sekumpulan anak Melayu Kelantan dulu dan juga sekumpulan lagi mereka yang berasal dari Rawa telah dicemari. Begitu juga dengan hak milik tanah. Semakin lama tidak ada apa lagi yang dapat dibanggakan penduduk Kampung Bindu, tidak seperti Kampung Bukit di Wakaf Bharu yang masih kekal terpelihara dari segi warisan budaya dan hak milik.

9 comments:

Zah said...

Nak tanya adakah saudara dengan Arwah Tok Daud n Tok Yah kerana Arwah Bangah Taib adalah ank beliau.Saya juga ada kena mengena dengan beliau. N saudara cucu kepada siapa.

Zah said...

Dengan arwah Mamak n Kak Mek apa kena mengena. N saudara tinggal dimana sekarang?

Zah said...

Kalau begitu saudara selalu ke Kg Bindu. N ank arwah Mamak kan ada yang jadi pawang. Rumah kami berdekatan.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Saya anak Pak Usu Ayem. Ayah saya adik bongsu kepada Mak Long Peah (ibu kpd Madon) dan Mak Cik Yah. Mak Cik Yah isteri Wak Daud.
Saya sekarang tinggal di Wangsa Maju Kuala Lumpur. Rumah saya tidak jauh dari rumah Anjang Aid (Saedon) anak Mak Cik Yah. Mungkin Zah panggil arwah Atok Yah dan kalau begitu saya ini pangkat bapa saudara.
Boleh e-mail saya kalau mahu berhubung.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Ayah saya, mak Long Peah dan Mak Cik Yah anak kepada Tok Umat yang berasal dari Kelantan.
Dengan Mamak saya tak tau apa hubungan tapi di sebelah Kelantan mungkin ada hubungan. Sayang, saudara-mara di Kampung Bukit Wakaf Baharu tak tau nak mengaitkan bagaimana hubungan kami.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Macam mana hubungan Zah dengan Arwah Tok Daud dan Tok Yah?

MokGie Nurzie said...

Assalamu'alaikum En Mohd Shah serta Isteri...
alhamdulilLAH..sekarang ni..ramai ahli keluarga dari salasilah Tok Mamak di Kg Bindu yg sering mengeratkan silaturrahim dengan keluarga di Kelantan..sampai dapat menantu pun orang Kelantan.
Jemputlah datang ke Bindu..masih ramai sedara mara di sini.

Anak cucu Tok Mamak pun semakin bertambah...meriah..di sini.
Jika nak cerita hal tanah dan gheta benda yg terjual atau 'terampas'...tak kan habis2...

Ezam Hashim said...

Saya anak bongsu hashim bin hussin . Dato Hussin dari kampong bindu. btul2 depan sekolah rendah rasa nya sebelah Kedai cina ah seng. Arwah pak busu sy penah bkk Kedai kopi n roti canai depan umh tu. Adik bradik arwah bapak sy ade tiga arwah bapak sy hashim lelaki Sulong. Yg tggal hanya mak long Singapore, yg ddk di Singapore. Ade sesiapa Kenal arwah bapak sy hashim bin hussin. Arwah adik nya busu harun.

joe_ngang said...

Saya pernah bersekolah di kpg bindu umur 6 tahun (sekolah kayu spt rumah panjang😁).

Saya kenal pak ngah taib, anaknya uteh bekerja di hospital kajang.

Saya cucu wak tumpang.