Friday, 3 October 2008

Pengurusan Krisis dan Aidilfitri

Kalau mengikut persefahaman antara saya dan isteri, tahun ini sepatutnya kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah kakak sulung saya di Kluang, Johor. Kalau di Johor selalunya selepas Kluang kami akan ke Batu Pahat melawat saudara-mara dan juga kawan-kawan. Bagaimanapun, oleh kerana adik ipar saya baru saja kematian suami, maka kami mengambil keputusan untuk menemaninya. Dia berpindah dari Kulim pada awal Ogos lalu untuk menetap di rumah arwah mentua saya di Teluk Intan.

Memang seronok kembali ke Teluk Intan. Lapan daripada sembilan adik-beradik isteri saya berkumpul dengan keluarga masing-masing. Selain itu, anak-anak satu keluarga yang merupakan jiran terdekat kami yang amat rapat dengan arwah ibu mentua saya juga turut berkumpul. Hubungan kami dengan lapan anak mereka yang kesemuanya telah berkeluarga juga amat rapat sebagai menyambung silaturrahim yang telah dijalin oleh Allahyarham ibu mentua saya dan juga Allahyarham ibu-bapa mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT.

Untuk tiga hari pertama itu memang rumah arwah mentua saya yang terletak bersebelahan madrasah Perumahan Rumah Awam Padang Tembak itu riuh-rendah. Selain keluarga kami, keluarga jiran yang saya sebutkan itu juga turut mengunjungi kami. Suasana sebegitu tidak wujud kalau saya berhari-raya di Kluang kerana di sana kami hanya berkumpul adik-beradik dan hanya sesekali orang datang berkunjung.

Saya masih terkenang ketika arwah ibu mentua saya masih hidup, rumahnya kerap dikunjungi anak-anak sahabat baiknya itu tanpa mengira waktu. Mereka sudah dianggap sebahagian daripada keluarga dan kalau datang ke rumah tidak segan-silu untuk masuk sendiri ke dapur. Salah seorang daripada mereka ada ketikanya sampai dua tiga kali singgah di rumah hanya untuk minum teh. Bila adik ipar saya kembali ke rumah itu, dia juga masih begitu, mengulangi apa yang kerap dilakukannya dulu. Inilah suasana yang saya katakan tidak pernah saya alami di Johor.

Dalam keseronokan menyambut aidilfitri, ada sesuatu yang menarik hati saya. Salah seorang adik ipar saya nampaknya masih terus bekerja walaupun dalam cuti hari raya. Dia bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan menjaga hal-ehwal keselamatan. Dia tidak henti-henti menjawab telefon sehinggakan kami jadi rimas dengan urusannya itu. Apa yang merimaskan kami, setiap kali dia akan bercakap dengan nada suara yang tinggi, memarahi kakitangannya yang memang saya pasti kebanyakannya berasal dari seberang.

Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang perasan akan gelagat adik ipar saya itu. Abangnya yang merupakan seorang doktor persendirian yang membuka klinik di Keratong turut memerhati. Semasa kami sedang bersembang, tiba-tiba adik Si Doktor tadi bertanya saya satu soalan. Katanya, "Kenapa orang mesti marah, ya bang?" Katanya lagi, "Din sendiri tak pandai macam mana nak marah staf." Saya memberitahunya, saya juga begitu. Semasa menjalankan perniagaan dulu saya juga tidak pernah marah para pegawai dan kakit angan saya. Lalu dia bertanya bagaimana saya menangani masalah yang ditimbulkan para pegawai dan kakitangan saya.

Saya memberitahunya, bagi saya mudah. Bila kita menghadapi masalah yang berpunca daripada kesilapan kakitangan kita sendiri, kita berada dalam krisis. Untuk menyelesaikan masalah, setiap krisis perlu ditangani dengan baik. Apa yang saya lakukan, bagi setiap kesalahan yang dilakukan saya tidak akan marah kerana saya tidak suka menambah satu lagi krisis. Keadaan sudah berat jadi saya tidak harus menambah berat masalah itu. Sebaliknya saya akan berbincang dengan pekerja itu. Saat-saat itu saya gunakan untuk mengesan dan mencari punca masalah. Kalaupun saya berjaya mencari puncanya saya masih mengawal perasaan dan tidak akan marah. Tetapi saya akan cuba sebaik mungkin mencari ruang kelemahan pekerja itu untuk membuatkan dia rasa bersalah dengan harapan dia akan menyesal atas perbuatannya.
Saya memberitahu adik ipar saya itu, "Cukuplah kita bagi dia rasa guilty lepas tu menyesal. Kenapa nak tambah satu lagi rasa?"
"Rasa apa bang?"
"Kalau abang marah, abang akan tambah satu lagi rasa. Staf tu mungkin tak boleh terima, dia pun marah juga. Walaupun dia tak berani marah kita depan-depan tapi dia tetap marah. Bila orang marah macam-macam boleh jadi. Dia mungkin benci kat abang. Lepas tu macam-macam dia boleh buat. Kalau dia berhenti pulak dia mungkin boleh sabotaj. Tak berhenti pun dia boleh sabotaj dalam diam."
Kemudian saya sambung lagi, "Buatnya dia tak sengaja buat benda tu, mungkin bukan silap dia tapi silap orang lain atau silap teknikal, tapi pasal ego kita sebagai bos kita rasa kita ada hak nak marah. Meletup-letup tak tentu pasal. Habis satu ofis kena haruk. Apa kata kalau dia tu sebenarnya bagus tapi sebab tak boleh tahan kena marah, dia berhenti. Yang rugi siapa? Kita juga. Sebab tu abang tak suka marah staf."

Saya tak pernah belajar tentang pengurusan krisis sekalipun di peringkat sijil. Tetapi mengikut fahaman saya yang tak tinggi ilmu ini, dalam mengurus sesuatu krisis kita tidak wajar menambah satu lagi krisis lain. Matlamat kita ialah untuk menyelesaikan masalah. Bukan menambah masalah.

Bagi saya pengurusan krisis ada di mana-mana. Bergantung sama ada kita sedar atau tidak bahawa kita sedang berdepan dengan krisis dan sebagai ketua sudah tentu menjadi tanggungjawab kita untuk mengurus krisis itu. Kenduri kahwin juga satu projek yang memerlukan pengurusan yang terancang dan sempurna. Dalam sesuatu kenduri kahwin pasti banyak krisis yang perlu ditangani dengan bijak. Sayangnya, banyak kenduri kahwin tidak diurus dengan baik. Banyak orang marah-marah kerana gagal mengawal emosi. Walhal tanpa marah sesuatu krisis itu boleh diselesaikan dalam beberapa minit sahaja. Sebab itu saya tak hairan mendengar pelbagai masalah timbul semasa kenduri kahwin. Ibu-bapa tumbang semasa kenduri pun ada kerana makanan tak cukup sedangkan orang masih lagi ramai datang.

Sepanjang Aidilfitri di Teluk Intan ini, saya dapati ada juga beberapa krisis kecil berlaku di dalam dapur rumah adik ipar saya. Semuanya merupakan masalah mudah yang sebenarnya tidak memerlukan otak orang bijak untuk menyelesaikannya. Tetapi bila emosi gagal dikawal, masalah yang sebegitu mudah menjadi rumit. Bila perasaan seseorang tersentuh, dia tidak akan dapat melakukan tugasnya dengan sempurna seperti diharapkan. Kadang-kadang saya terfikir juga. Kenapa agaknya orang mesti bergaduh ketika sedang memasak atau menyediakan makanan di dapur sedangkan waktu itu memerlukan kita bekerjasama untuk memberikan hasil yang baik? Dan lebih teruk lagi, kenapa agaknya orang suka bergaduh atau ibu-bapa memarahi anak-anak ketika sedang menikmati rezeki di meja makan? Si Anak sudah ada masalah lalu Si Ibu atau Si Bapa menambah lagi masalah dengan meninggi suara, menengking tak tentu pasal macam orang gila. Akibatnya, satu masalah lain pula timbul yang mungkin tidak kita jangka.

Bagi saya, pengurusan krisis amat mudah dengan syarat kita mengetepikan perasaan marah dan ego sebagai ketua sebelum cuba menangani sesuatu krisis itu. Saya tak tau kerana saya tak pernah belajar secara formal. Saya masih lagi belajar cuba mengawal rasa marah dan cuba mendepani krisis sebaik mungkin. Tetapi saya hanya mampu belajar daripada alam keliling yang merupakan universiti terbuka tanpa atap dan dinding yang jauh lebih besar daripada universiti terbesar di dunia. Bilangan gurunya begitu banyak sekali tidak terbilang yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia termasuk ahli keluarga saya sendiri.

Koleksi foto.









Baby sebelah abah, kakak di sebelah mak...









..tapi atas nama keadilan, kakak pun nak
diri sebelah abah dan adi
k sebelah mak pulak.









Abah dan mak.

No comments: