Thursday, 2 October 2008

Mereka yang istimewa

Dalam menghantar ucap selamat sempena hari mulia ini sudah tentu ada satu dua yang merupakan ucap selamat istimewa yang kita tujukan kepada orang-orang tertentu.
Pada tahun 2006 saya agak terperanjat kerana selepas beberapa tahun tidak bertemu, U-Wei HajiSaari menghantar sms mengucapkan selamat aidilfitri kepada saya, Ida, Kak Yong dan Adik. Dia memang tak lupa nama isteri dan juga anak-anak saya yang membesar dengan drama-drama TVnya seperti Cermin, Lain Belalang, Sampai Selasa dan beberapa lain. Kebetulan ayah mereka terlibat dan menjadi "orang kanan" U-Wei, sudah tentu mereka berbangga.

Pada tahun lepas dia menghantar ucap selamat dahulu dan saya membalasnya. Pada tahun ini saya pula menghantar dulu tetapi tidak berjawab. Entah ke mana menghilangnya sahabat saya itu. Mungkin di luar negara agaknya. Namun begitu, semasa ke pejabat Cinequip Production bertemu pemiliknya Kamarudin Abu kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, U-Wei ada menelefon Kamarudin. Dia tak tahu saya ada di situ. Selepas selesai berbual Din menyerahkan handsetnya kepada saya. Kononnya untuk memberi kejutan. Tetapi sebaik mendengar suara saya, U-Wei terus berkata, "Mat Shah!" Rupa-rupanya suara saya bukan lagi satu kejutan baginya.
Saya menyuarakan rasa terharu kerana walaupun sudah lama tak bertemu U-Wei tetap kenal suara saya. Katanya, "Mana boleh aku delete nama engkau.. Ada beberapa benda aje dalam dunia ni aku tak boleh delete, Mat Shah," katanya lagi. Aduh!

Kamarudin Abu yang saya perkenalkan kepada U-Wei pertama kali dalam Black Widow dan seterusnya mengikuti Kaki Bakar hingga ke festival filem Cannes dan juga beberapa filem lain terus berkawan rapat dengan U-Wei hingga ke hari ini. Sudah tentu saya berbangga kerana ada sesuatu yang saya tinggalkan untuk U-Wei sebelum kami berpisah pada tahun 1995. (KamarudinAbu mahu mendapatkan nasihat U-Wei berhubung penerbitan filem sulungnya -Empayar Taming Sari).

Pada hari raya pertama (semalam), saya juga ada menghantar ucap selamat kepada seorang lagi individu istimewa. Dia bekas bos saya dan bekas guru yang tak pernah sedar bahawa dia banyak menurunkan ilmu kepada saya. Saya juga tak pernah sedar bahawa sebenarnya saya banyak mengutip ilmu daripadanya. Hanya bila tiba pada satu-satu keadaan baru saya sedar, Oh! ini yang Dinsman ajar aku dulu.
Ya, dia Dinsman. Hanya ada seorang Dinsman di Malaysia, Dinsman yang cuba dilupakan banyak pihak dan semacam ada tanda-tanda untuk melupakan sumbangannya dalam perkembangan Sastera dan Budaya tanah air. Seperti kata Rahimidin Zahari, walaupun dia mantan pegawai, DBP sendiri tak pernah memberi pengiktirafan mencadangkan namanya untuk anugerah SEA Write. Tetapi pada 18 Oktober ini menurut kata Rahimidin, dia akan dianugerahkan Sarjana Persuratan oleh UUM, pertama kali dibuat dalam sejarah oleh sebuah universiti tempatan.
Rahimidin memberitahu saya perkara itu dalam komennya untuk kiriman terdahulu dalam blog ini. Dia juga mengajak saya turut sama meraikan Dinsman di UUM. Sayangnya, bukan saya tak mahu pergi tetapi saya sudah ada komitmen lebih awal dengan Kementerian Sumber Manusia.
Kerana itu juga selain mengucapkan selamat hari raya saya turut mengucapkan tahniah kepada Dinsman. Dan saya turut nyatakan kesal tidak dapat meraikan saat indah itu di UUM.

Dinsman membalas mesej saya. Tulisnya, "Ya, Selamat Hari Raya, maaf zahir batin, dan maaf juga nak tanya, ni mohd shah yang mana ya? saya bertanya untuk kepastian."

Lalu saya jawab, "Mohd Shah Ibrahim bekas kakitangan Teater Elit/Kopratasa." Itu saja. Dan dia membalas sekali lagi,
"Oh minta maaf Md Shah. Terima kasih atas ingatan. Saya ada baca 2 artikel yang menyentuh nama saya dan teater elit dalam internet."
Aduh! Dinsman pun baca? Terharunya... Dan saya balas, "Terima kasih kerana sudi membaca."

Dalam kiriman ini ada dua nama besar yang saya sebut iaitu U-Wei Haji Saari dan Dinsman. Ada satu lagi nama yang juga bakal jadi satu nama besar ialah Rahimidin Zahari. Saya mencatat bukan kerana mahu membangga diri tetapi sekadar menyatakan rasa bangga saya sebagai seorang manusia kerdil. Manakan tidak, dalam melayari kehidupan ini, nama-nama itu bagaikan pelabuhan yang saya singgahi. Walaupun sesetengahnya hanya untuk seketika tetapi ia memberi kesan yang amat besar sekali hinggakan mampu merobah halatuju kehidupan.
Saya tahu, nama-nama itu tak mungkin dapat dipadamkan daripada diari kehidupan saya yang berwarna-warni ini.

Salam Aidilfitri

Nota kaki:

Selain puisi berjudul Kehidupan, satu lagi puisi Dinsman yang menyentuh rasa saya ialah SINGGAH. InsyaAllah akan saya kirim satu hari nanti.

No comments: