Wednesday, 8 October 2008

Anak-anak dan kekuatan diri

Di zaman saya dulu, peperiksaan seperti UPSR dijalankan semasa saya berada dalam darjah lima. Ia dikenali sebagai Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Bila berada dalam darjah enam kami tidak perlu berhempas-pulas belajar seperti budak-budak zaman ini. Hanya beberapa orang sahaja yang akan dipilih menduduki satu lagi peperiksaan iaitu ujian kelayakan untuk ke sekolah berasrama penuh.

Seingat saya, pada waktu itu saya tidak nampak suasana seperti apa yang kita lihat sekarang. Anak-anak menerima tekanan yang bukan sedikit daripada ibu-bapa yang mahu melihat mereka mencapai keputusan cemerlang. Entah apa sebabnya saya sendiri tak faham. Seolah-olah keputusan UPSR itu bakal menentukan masa depan seseorang anak. Maka berlumba-lumbalah ibu-bapa menghantar anak-anak ke sekolah terbaik sejak dari awal lagi. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mahukan anak-anak mendapat guru tuisyen terbaik di pusat-pusat tuisyen tertentu bagi memastikan mereka mendapat 5A semasa UPSR nanti. Walhal kebanyakan guru di pusat tuisyen itu ialah guru-guru yang sama mengajar di sekolah anak mereka. Mungkin agaknya kerana mendapat bayaran lebih maka guru-guru tersebut terpaksa bekerja lebih keras. Kerana itu prestasi mereka di pusat tuisyen jauh lebih baik daripada di sekolah.

Saya tidak pernah mengkuti tuisyen di mana-mana. Saya juga tak ingat wujudnya sebarang pusat tuisyen di bandar Batu Pahat pada zaman enam puluhan dulu. Hanya beberapa bulan sebelum menduduki ujian kelayakan ke sekolah berasrama penuh baru abang saya mengaturkan supaya saya mendapat bantuan bimbingan percuma daripada seorang saudara saya yang kebetulan baru saja balik dari luar negara. Itupun hanya untuk satu mata pelajaran iaitu matematik.

Mungkin kerana saya sendiri tidak pernah dipaksa belajar oleh sesiapa dalam keluarga menjadikan saya sendiri tidak pernah memaksa anak-anak berhempas-pulas belajar. Saya membiarkan mereka belajar mengikut kemampuan masing-masing. Ada juga mereka dihantar ke pusat tuisyen tetapi itu pun sekadar memenuhi permintaan mereka kerana kami tidak mahu mereka terkilan melihat kebanyakan kawan mereka belajar di pusat tuisyen. Soal itu sebenarnya diuruskan isteri saya. Saya hanya menghantar dan mengambil mereka dan saya tidak pernah risau tentang pencapaian mereka. Sungguhpun isteri saya seorang guru sekolah, dia juga tidak seghairah ibu-bapa lain yang terlalu menekan anak-anak untuk belajar.

Saya tak tahu apakah saya telah melakukan kesalahan dalam hidup kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh memastikan anak-anak saya mendapat pencapaian terbaik dalam akademik. Bagi saya cukuplah mereka mendapat pendidikan seadanya. Biarlah mereka belajar mengikut kemampuan masing-masing tanpa sebarang tekanan dan paksaan. Selepas itu mereka boleh memilih pekerjaan yang sesuai dengan jiwa mereka. Saya juga tidak mahu memaksa mereka mengikut kehendak kami kerana itu hidup mereka dan itu masa depan mereka. Mereka lebih tahu apa yang mereka suka dan mampu lakukan.

Saya pernah bercerita tentang anak sulung saya Kak Yong yang menguruskan sendiri daripada peringkat memilih dan seterusnya mendaftar untuk belajar di kolej selepas tamat SPM. Dia memilih bidang Pengurusan Perniagaan dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dengan mengambil kursus yang dipilihnya sendiri iaitu Pelancongan – Hospitaliti. Tetapi bagi adiknya Baby, kalau tak silap saya pilihan utamanya ialah perakaunan tetapi dia ditawarkan pengajian Bahasa Inggeris di UIA. Saya tahu dia kurang berminat tetapi saya tahu dia mampu melakukannya.

Sebenarnya saya tidak suka bercakap mengenai perkara itu kerana saya tahu itu bukan satu masalah besar. Kalau saya selalu bercakap tentangnya ia akan jadi satu masalah berat. Saya amat memahami anak-anak saya. Saya tahu pada peringkat itu Baby hanya belum mampu menyelongkar kemampuan dirinya yang sebenar. Kerana itu saya sengaja membiarkannya dan akhirnya saya tahu dia boleh melakukannya. Dia juga nampaknya seronok dengan kursusnya, dengan kawan-kawannya serta suasana di UIA itu sendiri.

Saya berpendapat ada anak-anak yang memang perlu digesa selalu dan memerlukan dorongan dan galakan dari masa ke semasa. Ada juga yang memerlukan banyak pujian kerana pujian itu boleh membantu mereka yang lemah mendapat kekuatan atau bagi mereka yang mempunyai kekuatan tertentu ia boleh mengingatkan mereka supaya tidak leka dengan kelebihan yang sedia ada dalam diri mereka. Tetapi ada juga anak-anak yang hanya perlu diperhatikan dan dibiarkan mencari kekuatan diri sendiri. Bercakap terlalu banyak mungkin boleh menggugat kestabilan minda dan perasaan mereka.

Selepas kira-kira lima tahun, akhirnya, pada 25 Ogos lalu, Baby menerima ijazahnya dengan kepujian. Sebagai ibu dan ayah yang tidak pernah berpeluang menerima skrol di pentas, sama seperti kebanyakan ibu-bapa yang begitu bersemangat datang jauh dari kampung untuk meraikan saat-saat istimewa bersama anak-anak mereka, kami juga tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan Baby “beraksi” di pentas menerima “hasil” daripada usahanya selama ini. Saya tahu dia amat berpuas hati dengan pencapaiannya. Dan saya harap dia juga berpuas hati kerana saya tidak banyak mengganggunya dengan dorongan, galakan dan pujian. Semoga selepas ini dia juga akan sedar bahawa dia juga mempunyai kekuatan sendiri bila memasuki alam kerjaya nanti, sesuatu yang saya tidak gemar menyebutnya selama ini kerana saya juga mempunyai alasan tersendiri.


Nota kaki:

Menurut kata Prof Khoo Khay Khim, tidak ada formula dalam mendidik anak-anak. Kerana itu saya memilih cara sendiri tanpa sebarang formula dan saya harap saya sudah melakukan sesuatu yang tepat dan betul.

Koleksi gambar selepas Konvokesyen UIA





































No comments: