Saturday, 25 October 2008

Tribute to Cikgu Abdul Rahman Yeop

Saya pernah bercerita sebelum ini tentang bagaimana bekas pengetua saya Abdul Rahman Yeop. Orang tua ini amat besar jasanya dalam hidup saya (posting - 20, 21 dan 24 Jun 2008). Dialah yang mencorakkan hidup saya sebaik saja saya tamat peperiksaan MCE.

Saya hanya sempat menjadi muridnya selama dua tahun. Dia datang pada awal tahun 1973 ditukarkan dari Sekolah Menengah Sungai Sumun Teluk Intan ketika saya berada di tingkatan 4 dan saya meninggalkan sekolah pada hujung tahun berikutnya. Tetapi seperti pernah saya ceritakan, dia memanggil saya kembali menyertai kelas pra-universiti selama tiga bulan sementara menunggu keputusan peperiksaan. Saya tahu dia memanggil saya kembali kerana tidak mahu saya merayau-rayau di bandar Seremban tanpa tujuan. Sekurang-kurangnya bila kembali ke sekolah saya boleh bermain muzik dan memimpin band sekolah seperti biasa (di samping menerima elaun bulanan selama tiga bulan).

Tetapi setelah keluar keputusan yang tidak memihak kepada saya (seperti yang saya jangka), saya meninggalkan sekolah dan beberapa bulan selepas itu dia terserempak dengan saya lagi yang sedang merayau-rayau di tengah bandar Seremban. Dia menyuruh saya datang ke sekolah dengan segera. Dia seperti mahu mengatur hidup saya, "mengarahkan" saya mendaftar diri sebagai guru sementara di Jabatan Pelajaran dan selama beberapa bulan saya terperap mengajar di sebuah sekolah menengah di pekan Johol.

Sebelum penghujung tahun dia memanggil saya lagi. Saya tak tahu apa tujuannya. Rupa-rupanya dia menyuruh saya mendapatkan borang memohon masuk ke maktab perguruan. Saya akur kerana saya tidak ada orang tua lagi untuk dirujuk. Lagipun ayah saya telah meninggal dunia. Dan dengan bantuannya saya dapat masuk maktab mengikuti latihan perguruan selama dua tahun. Dia tak pernah tahu saya bernikah semasa kursus sehinggalah bila saya bertemunya di majlis perasmian SDAR di Sikamat Seremban pada tahun 1978 (kalau tak silap saya).

Selepas keluar maktab, saya fikir saya akan terus menjadi guru hingga pencen. Tetapi saya menukar fikiran selepas berlaku pelbagai peristiwa dalam hidup. Sudah tentu kali ini saya tidak memerlukan sentuhan Rahman Yeop lagi. Segala-galanya di tangan saya. It’s all my show now. Biarlah kali ini saya membuat keputusan menentukan kehidupan sendiri walaupun sebelum itu Rahman Yeop telah meletakkan batu asas dalam hidup saya. Betul atau salah, itu keputusan saya. Dan bermulalah episod kehidupan saya yang pelbagai corak dan berwarna-warni yang menjadi ilham kepada buku yang saya “angan-angankan” yang saya beri judul SAYA TAK ADA MBA.

Pernah Zuraidah Mohamad kawan sekelas isteri saya di TKC yang juga rapat dengan saya bertanya buku itu mengenai apa (pernah saya coretkan dalam blog ini - posting 27 Feb 2008).
Lalu saya jawab, “It’s all about wrong decisions.”
Segala-galanya mengenai keputusan yang salah. Memang saya sudah lama dilatih untuk tidak takut membuat kesalahan. Tetapi untuk membuat keputusan salah yang betul, itu memang payah dan saya tidak pernah belajar mengenainya. Namun semakin lama melalui kehidupan ini, saya menjadi semakin suka dan saya selalu rasa, “I have made the right wrong decisions.” Bagaimana harus saya terjemahkan?

Malam ini saya bertemu Dato’ Abdul Rahman Yeop dan isterinya di rumah terbuka Zuraidah dan suaminya Nasir Ali orang besar di Kumpulan Utusan. Saya tidak fikir Zu mengenali rapat Cikgu Rahman Yeop sebelum ini. Dia mungkin mula mengenalinya sejaksama-sama aktif dalam Persatuan Sejarah. Kebetulan Cikgu Rahman Yeop memegang jawatan Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia.

Sebelum ini saya ada juga beberapa kali menemui Rahman Yeop yang lebih selesa saya panggil cikgu. Sama juga seperti Isa Samad yang tak pernah saya panggil Tan Sri atau Dato.’ Mereka bekas cikgu saya. Jadi lebih mesra dan manja kalau saya panggil cikgu. Lagipun saya rasa mereka bukan seperti sesetengah orang bergelar yang akan memaling muka atau enggan menjawab kalau tidak dipanggil dengan gelaran tertentu. Begitu juga isteri Rahman Yeop. Dia pun tak kisah sekejap saya panggil auntie, sekejap saya panggil Datin. Saya rasa lebih baik sedap kalau saya panggil mak cik.

Semasa bekerja dengan Sekolah Muzik Yamaha Johor Bahru, bos saya ketika itu pernah mengundang para pegawai Kementerian dan Jabatan Pelajaran ke satu majlis makan malam di rumahnya. Saya terkejut kerana Rahman Yeop ada sama. Dia tidak lagi menjadi pengetua SDAR. Dia juga terkejut saya sudah berhenti daripada perkhidmatan perguruan selepas hanya empat tahun berkhidmat. Dan dia lebih terkejut lagi saya dapat bekerja dengan seorang kerabat diraja. Setahun selepas itu, saya menemuinya di Kementerian Pelajaran meminta bantuan tentang pertukaran isteri saya dari Johor Ke Kuala Lumpur. Ketika itu dia menjaga hal-ehwal sekolah berasrama penuh. Oleh kerana di Kuala Lumpur tidak ada kekosongan, akhirnya dia berjaya menempatkan isteri saya di Sekolah Kebangsaan La Salle, Jalan Gasing, Petaling Jaya walaupun sebelum itu dia bergurau menyatakan kalau di Selangor yang ada kekosongan cuma di Batang Berjuntai. Di pejabatnya di Bangunan Bank Pertanian itu dia menghulurkan saya sebatang rokok Dunhill. Katanya, “Hisaplah. Kamu bukan kat SDAR lagi..”

Ketika dia menjadi Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan saya juga ada bertemu dengannya di pejabatnya. Dia tidak pernah berubah. Dia melayan saya sama seperti di sekolah dan kami masih boleh bergurau-senda.

Selepas itu kami hanya sempat bertemu beberapa kali di beberapa perjumpaan bekas pelajar tetapi tidak pernah berpeluang untuk berbual panjang kerana dalam majlis seperti itu sudah tentu ramai bekas pelajar yang mengerumuninya. Memang perangai saya tidak suka mencelah baik siapa juga yang saya kenal sedang dikelilingi banyak orang.

Tetapi malam tadi kami dapat berbual panjang. Dan Rahman Yeop mahu berkenalan dengan isteri saya.
“Orang rumah kamu budak TKC ke Mat Shah?”
“Ya Cikgu.
“Girl-friend dulu?”
“Tak cikgu. Yang lain. Kenal masa kat TKC lagi tapi rapat masa kat maktab.”

Lalu saya memperkenalkan isteri saya buat pertama kalinya. Kemudian dia mengulangi apa yang kami bualkan sebelum itu di hadapan isteri saya. Sekarang isteri saya tak kisah lagi dengan cerita zaman budak-budak dulu. Saya ingat lagi apa yang berlaku di suatu perjumpaan di Tropicana Golf Resort beberapa tahun dahulu. Saya memperkenalkan isteri saya kepada Cikgu Isa Samad (yang ketika itu masih menjawat jawatan MB Negeri Sembilan).
“Eh! Dulu lain. Yang ini lain pulak,” kata Isa Samad.
Merah padam muka isteri saya. Cikgu Isa pun satu. Mulutnya tak ada insurans, kata orang sekarang. Memang kalau dia bercakap ikut sedap mulut. Tetapi kerana dia cikgu saya yang amat saya kenal perangainya, saya tak pernah berkecil hati. Begitu juga dengan Rahman Yeop. Sudah tentu lebih lagi kerana kami ada hubungan istimewa yang sukar saya gambarkan.

Selepas itu kami berbual lagi dan bila isteri saya bercerita tentang sakit lutut yang dialaminya, perbualan kami berpanjangan. Cikgu Rahman Yeop mengakui bahawa dia “pakar” sakit lutut. Ini kerana dia juga mengalami masalah yang sama. Banyak juga nasihat yang diberikan kepada isteri saya sampaikan dia sanggup membantu kalau isteri saya mahu mendapatkan rawatan di HUKM. Pakar yang merawatnya bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Dia sendiri sanggup menelefon doktor pakar itu. Begitulah pengetua kesayangan saya. Seperti komen isteri saya ketika dalam perjalanan pulang,
“Patutlah budak-budak sayang dengan dia. Wife dia pun sama. Caring. Concern, mesra betul dengan budak-budak.”
(Ya. Kata hati saya. Dah tua-tua pun kami ni masih disebut sebagai budak-budak juga).
Kalau itu diucapkan oleh bekas seorang budak Kolej Tunku Kurshiah atau TKC, apa lagi kalau bekas budak SDAR yang lebih mengenali Rahman Yeop. Mana nak cari cikgu macam dia.

Ada lagi soalan menarik yang diajukan kepada saya.
“Anak kamu dua aje?”
“Ya cikgu. Dua aje. Dua-dua perempuan.”
“Tak nak lelaki?”
“Tak boleh cikgu. Saya tak pandai layan budak lelaki. Dulu saya cuma pandai layan budak TKC aje…”
Dia ketawa.

Itu antara yang dapat saya ceritakan mengenai Cikgu Rahman Yeop yang telah lama bertahta di hati saya yang takkan dapat saya lupakan tentang hubungan istimewa kami. Kerana usia mungkin banyak perkara atau peristiwa yang dia sendiri sudah lupa. Tetapi saya ada memberitahunya bahawa saya ada menulis di laman blog mengenai pengalaman saya dengannya. Dan mungkin ketika ini dia sudah membaca beberapa tulisan saya yang mungkin dapat mengembalikan ingatan pada apa yang pernah berlaku antara kami. Mungkin selepas ini akan saya catatkan lagi sekiranya saya teringat. Maklum saja, saya juga sedang meniti usia dan semakin hari bertambah, semakin bertambah juga usia saya.

Nota kaki

Cikgu Rahman Yeop berjanji akan mengundang saya ke rumahnya. Katanya, “Saya nak kamu datang dengan Kutat. Kami nak jemput Kutat dengan isteri barunya.”
(Kutat salah satu nama gelaran yang cukup popular yang masih kekal hingga sekarang sehinggakan ada bekas pelajar terutama pelajar junior yang tak tahu bahawa nama sebenarnya ialah Mokhtar.
Kutat memang cukup rapat dengan Cikgu Rahman Yeop kerana dia menyambung pelajaran hingga ke Tingkatan Enam Atas. Maknanya hubungan mereka lebih panjang selama empat tahun. Dan selepas meninggalkan SDAR mereka sentiasa berhubung rapat.

Sedangkan saya, selama beberapa tahun menghilangkan diri bersembunyi daripada bekas guru-guru dan rakan-rakan sehinggalah saya sedar bahawa sebenarnya “I have made the right wrong decisions”).

Friday, 24 October 2008

Sebuah kampung bernama Bindu

Di Batu Pahat ada sebuah kampung yang diberi nama Kampung Bindu. Letaknya kira-kira 10 kilometer dari Bandar Penggaram (nama rasmi bagi bandar yang juga merupakan pusat pentabiran daerah Batu Pahat). Hanya ada satu jalan sahaja untuk ke Bindu kalau datang dari pusat bandar iaitu melalui Jalan Tongkang Pecah. Jalan yang sama itu boleh membawa kita keluar sama ada ke Lebuhraya Utara Selatan dan terus ke Yong Peng atau ke Parit Sulung dan seterusnya boleh terus ke Muar atau Pagoh. Kalau datang dari Lebuhraya Utara-Selatan, lebih mudah dan dekat kalau keluar di persimpangan tol Yong Peng/Batu Pahat dan sudah pasti selepas pekan Tongkang Pecah sesiapa juga tidak akan terlepas pandang papan tanda Kampung Bindu di sebelah kiri jalan.

Mercu tanda Kampung Bindu pada waktu dulu ialah stesen pemancar RTM yang terletak betul-betul berhadapan simpang masuk ke kampung itu. Saya tidak pasti sama ada stesen RTM itu masih wujud pada waktu ini.

Saya tidak pernah mahu bertanya tentang sejarahnya kerana Kampung Bindu tidak mempunyai sebarang sejarah penting untuk diingat. Ia hanyalah sebuah perkampungan biasa yang dulunya dipenuhi dengan kebun getah dan dusun buah-buahan. Cuma apa yang penting bagi saya, itulah kampung di mana arwah datuk saya sebelah bapa datang merantau dari Kelantan dan membuka tanah di kampung yang kini sudah berusia melebihi seratus tahun. Bersama beberapa ahli keluarga dia meneroka tanah dan akhirnya berjaya memiliki beberapa kawasan kebun getah dan tanah dusun. Tanah-tanah miliknya itu kemudian diwarisi anak-anaknya.

Antara empat orang anaknya (seorang dengan isteri kedua yang dikahwini selepas kematian isteri pertama), agak malang kerana arwah ayah saya tidak menyimpan tanah-tanah yang diwarisinya itu. Kerana sesuatu sebab, selepas kematian arwah datuk, kehidupan bapa saya menjadi begitu sukar. Mujurlah ada seorang saudara bernama Pak Usu Patong yang bersimpati dengan nasib ayah saya. Pak Usu Patong sanggup berkorban jawatan Pengawal Mergastua yang sebelum itu ditawarkan kepadanya dan dengan rela hati menyuruh ayah saya mengambil alih tempatnya. Setelah berjaya mendapat pekerjaan tersebut ayah saya terus membawa ibu saya dan tiga orang anaknya ketika itu berhijrah ke Kluang. Di Kluang dia memulakan hidup baru dan di Kluang jugalah tempat saya dan seorang lagi kakak saya dilahirkan.

Dia tidak pernah melupakan jasa arwah Pak Usu Patong dan semasa hidup dulu arwah ayah saya selalu mengingatkan anak-anak tentang bagaimana dia mendapat penghidupan baru itu.

Mungkin tidak wajar untuk saya menyingkap kisah silam mengenai keperitan hidup yang dilalui arwah ayah dan ibu saya semasa di Kampung Bindu. Apa yang dapat saya catatkan mereka pernah tinggal di dalam sebuah pondok yang dibina daripada batang sagu ketika kakak dan abang saya masih kecil. Apatah lagi ketika itu Jepun baru saja menyerang Malaya yang menjadikan kehidupan semakin bertambah sukar. Tidak wajar juga saya mahu bercerita tentang ibu saya yang terpaksa hidup bagaikan hamba abdi semasa menumpang di rumah seorang saudara rapat ayah saya. Semua itu pasti akan membongkar nama-nama mereka yang sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tetapi itulah antara cerita yang disampaikan kepada saya oleh arwah ibu saya bila kami tinggal berdua. Saya pernah menulis sebelum ini betapa saya banyak menyimpan rahsia kepahitan hidup arwah ibu saya.

Saya cuba mencari dalam kamus makna perkataan Bindu. Daripada sebuah kamus Inggeris, ia membawa makna sebuah alat mesin yang berfungsi untuk melarik kayu atau bahan lain seperti gading. Alat mesin itu mempunyai dua bahagian yang akan memegang kedua-dua hujung bahan kayu yang akan berputar bagi membolehkan bahan kayu itu turut berputar dan kerja-kerja melarik boleh dilakukan.

Dalam bahasa Inggeris Bindu disebut sebagai Lathes. Ada juga disebut ia merupakan salah satu alat mesin tertua dan digunakan di Perancis sejak tahun 1569 dan merupakan antara alat paling berguna pada zaman Revolusi Industri di England apabila berjaya disesuaikan sebagai alat pemotong logam. Kalau tidak silap itulah mesin yang sama pernah saya gunakan semasa belajar mata pelajaran Seni Perusahaan di bengkel ketika di sekolah menengah dahulu sama ada untuk kerja kayu mahupun kerja logam.

Sudah tentu saya mempunyai beberapa kenangan walaupun jarang dibawa balik ke sana ketika zaman kanak-kanak dahulu. Saya hanya lebih kerap balik selepas arwah bapa saya ditukarkan ke Batu Pahat terutama bila ada kenduri kahwin atau pun waktu musim buah-buahan. Mungkin apa yang mampu saya ingat tidak sehebat kenangan yang disimpan kakak dan abang saya. Mereka pernah tinggal di sana pada zaman kanak-kanak dan sempat bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bindu. Mereka juga sempat meredah hutan dan jalan berlopak yang sudah tentu jauh lebih buruk keadaannya ketika itu.

Saya hanya mampu mengingati peristiwa mandi beramai-ramai di anak sungai yang disebut sebagai “parit” oleh penduduk Kampung Bindu. Anak sungai itu akan jadi meriah bila waktu air pasang pada waktu pagi kerana waktu itulah ramai orang mandi-manda dan membasuh pakaian. Ia merupakan satu-satunya sumber air bagi penduduk kampung yang ketika itu masih belum mendapat bekalan air bersih. Di situlah saya mendapat pengalaman mengail ikan dengan joran buluh dan saya berjaya mendapat seekor ikan kecil yang merupakan satu-satunya ikan yang pernah saya tangkap dalam sejarah hidup saya. Selepas itu saya tidak pernah memegang joran lagi hingga ke umur tua.

Beberapa kilometer menuju ke “darat” ada punca air yang cukup bersih yang datang dari sebuah bukit. Saya pernah beberapa kali dibawa ke sana oleh arwah Bang Ngah Taib anak ibu saudara saya. Di situ saya berpeluang mandi air yang bukan saja bersih tetapi amat sejuk dan menyegarkan. Kata Bang Ngah, air itu boleh terus diminum dan dia memang selalu ke situ untuk mendapatkan air bersih yang digunakan untuk memasak. Selain Bang Ngah Taib ramai juga saudara-saudara lain ke situ untuk mengambil air terutama menjelang senja.

Saya juga masih ingat betapa ikatan keluarga yang amat kuat dalam kalangan penduduk Kampung Bindu yang majoritinya mempunyai tali persaudaraan. Semasa musim buah-buahan saya boleh berjalan ke mana sahaja dan berhenti di rumah siapa sahaja untuk menikmati buah-buahan tanpa meminta izin kerana semuanya milik saudara-mara kami. Berhadapan rumah arwah Mak Long saya pula ada sebuah kedai milik keluarga cina. Mereka sudah tinggal di situ bertahun-tahu dan sudah jadi seperti keluarga Melayu, fasih berbahasa (boleh menyebut Lailahaillallah tanpa pelat cina) dan mengamalkan budaya hidup Melayu. Kerana itu semasa saya kecil saya agak keliru kerana tidak dapat membezakan sama ada mereka itu Islam ataupun bukan.

Di sebelah “laut” pula ada pangkalan di mana banyak perahu milik penduduk kampung berlabuh di situ. Menurut arwah ibu saya, sebelum ada jalan darat penduduk kampung menggunakan jalan sungai untuk ke Batu Pahat atau ke sebelah kampung Parit Besar. Sungguhpun begitu, walaupun sudah ada jalan raya, masih ada juga penduduk kampung meneruskan tradisi berperahu untuk ke tempat-tempat berdekatan. Saya amat teringin sekali menaiki perahu tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada arwah ibu saya. Katanya sungai itu berbahaya kerana terdapat banyak buaya. Dia sendiri pernah hampir-hampir dilibas buaya besar.

Saya diberitahu, tidak berapa jauh di seberang sungai itu menghala ke hulu ada sebuah kampung yang dinamakan Kampung Parit Besar dan ramai orang menggunakan perahu berulang-alik dari Parit Besar ke Bindu. Tidak hairanlah bila ada seorang saudara kami yang bernama Leman tinggal di Parit Besar. Pada hari ini simpang ke Parit Besar hanya beberapa meter sahaja dari simpang ke rumah arwah ibu saya di Kampung Istana.

Bang Ngah Leman merupakan generasi kedua yang datang merantau dari Kelantan ke Batu Pahat. Adiknya Mamat (Lebih dikenali dengan nama Mamak mengikut dialek Kelantan) berkahwin dengan salah seorang saudara rapat kami. Kedua-duanya sudah meninggal dunia dan ketika hayatnya Bang Ngah Leman merupakan antara saudara kami yang masih pekat dengan dialek Kelantan dan kerap berulang-alik ke Wakaf Bahru. Dia menjadi penghubung antara keluarga kami di Batu Pahat dengan keluarga di Kelantan.

Walaupun di pihak keluarga kami di Kelantan masih ada juga yang datang menjenguk sekali-sekala tetapi sayang sekali dalam kalangan saudara-mara saya di Batu Pahat tidak ramai yang masih kuat ingatan mereka terhadap asal keturunan nenek-moyang kami. Walaupun ada antara mereka yang tahu ketika arwah ayah saya hidup dulu dia rajin balik ke sana, tetapi nampaknya sekarang tidak ada lagi yang mahu bercerita tentang Kampung Bukit di Wakaf Bharu. Apa lagi untuk membawa keluarga masing-masing menjenguk kampung asal datuk nenek moyang kami walaupun masing-masing berkemampuan.

Sesetengah mereka mungkin hanya berminat untuk menyebut tentang perkara itu bila timbul isu mengenai lima keping tanah yang ditinggalkan arwah datuk saya yang dulunya diletak atas nama arwah ayah saya. Saya tak pasti sama ada masalah itu sudah diselesaikan oleh salah seorang abang saya kerana saya hanya berminat dengan silaturrahim, bukannya tanah. Bagi saya jika kemelut tanah itu tidak dapat diselesaikan dengan baik, lebih baik saja semua tanah itu diwakafkan bagi membolehkan kami semua mendapat saham akhirat percuma.

Kerana bimbang terhadap ingatan dan ikatan yang semakin longgar, akhirnya saya balik ke Wakaf Bharu dan berpeluang bertemu saki-baki keluarga yang masih hidup dan melihat sendiri tanah-tanah yang ditinggalkan oleh arwah datuk saya itu yang kini di bawah jagaan dua pupu saya. Setelah berada di sana, saya berasa lega kerana kini anak-anak saya tahu di mana kampung asal usul nenek-moyang mereka dan mengenali siapa saudara-mara mereka. Saya rasa bangga dengan sikap kedua-dua anak saya yang turut berminat untuk mengetahui sejarah serta susur-galur keluarga kami. Dalam lima beradik, nampaknya hanya saya seorang yang berminat untuk membawa keluarga menjenguk kampung serta saudara-mara kami. Diandaikan saya sudah tiada lagi, saya harap anak-anak saya meneruskan hubungan keluarga itu.

Cuma satu perkara yang membuatkan saya amat terkilan. Arwah ibu saya tidak pernah berpeluang menjejak kaki di Kampung Bukit kerana arwah ayah saya tidak mampu membawanya ke sana ketika itu. Dan saya pula tidak sempat berbuat demikian kerana ketika saya berkemampuan dia sudah tidak berdaya untuk dibawa berjalan jauh.

Kali terakhir saya ke Kampung Bindu beberapa tahun lepas kerana kenduri kahwin. Seperti biasa anak-anak saya tahu siapa saudara yang menjemput kami itu dan juga tahu lebih-kurang tentang hubungan kami dengan Busu Madon yang menjemput kami itu. Seperti ibu saya juga, saya suka bercerita tentang susur-galur keluarga. Sekurang-kurangnya mereka tahu siapa yang mereka boleh cari jika ke Kampung Bindu atau di Parit Kangkong (kampung ibu saya yang tidak jauh dari situ) atau jika mereka balik ke Wakaf Bharu. Sayangnya, anak-anak saudara-mara saya kebanyakannya tidak mengenali saya dan tidak dapat mengaitkan hubungan kekeluargaan kami. Saya bimbang, ikatan kami pasti akan jadi lebih longgar selepas pemergian generasi kami yang sebahagian besar merupakan sepupu saya.

Semasa kereta bergerak masuk melalui jalan kecil yang kini sudah diturap dengan tar itu, saya dapati suasana di Kampung Bindu tidak lagi seperti dulu. Di kiri kanan jalan terdapat beberapa kilang kecil dibina yang kelihatan sudah lama juga beroperasi. Pembinaan kilang-kilang kecil itu membawa hampir ke sekolah kebangsaan di mana kakak dan abang saya pernah belajar dulu. Sudah tentu kilang-kilang itu bukan dimiliki orang Melayu.

Nampaknya, atas nama pembangunan kemurnian kampung Melayu yang pernah “ditakluk” sekumpulan anak Melayu Kelantan dulu dan juga sekumpulan lagi mereka yang berasal dari Rawa telah dicemari. Begitu juga dengan hak milik tanah. Semakin lama tidak ada apa lagi yang dapat dibanggakan penduduk Kampung Bindu, tidak seperti Kampung Bukit di Wakaf Bharu yang masih kekal terpelihara dari segi warisan budaya dan hak milik.

Thursday, 23 October 2008

Liabiliti Cinta

Bila saja membuka internet hari ini, saya terpandang pada satu tajuk berita mengenai calon Naib Presiden Amerika bagi parti Republikan iaitu Sarah Palin yang kini dianggap ramai rakyat Amerika sebagai liabiliti kepada calon Presidennya John McCain. Walaupun bukan orang politik tetapi saya sentiasa mengikuti perkembangan bukan sahaja politik negara tetapi juga politik antarabangsa. Politik Amerika amat besar kesannya kepada politik dunia dan politik Amerika juga berupaya membawa akibat buruk kepada ekonomi global.
Melihat pada tajuk itu, sebenarnya sudah lama saya mahu menulis tentang sesuatu yang berkaitan dengan perkataan liabiliti. Mungkin belum sampai masanya lagi tetapi hari ini saya mencatat supaya saya tidak lupa pada satu hari nanti, pada ketika yang sesuai saya mahu menulis tentang LIABILITI CINTA.
Bercakap soal cinta ini, saya rasa saya mampu memberi syarahan mengenainya, menyentuh pelbagai sudut yang menarik yang saya peroleh daripada pengalaman. Sebelum sampai waktu saya mahu menulis itu, buat sementara ini, bagi anak-anak (mungkin macam Kikiey dan mereka yang seumur dengannya), hanya satu pesanan saya. Jangan terlalu percaya pada kejujuran cinta. Salam saya untuk semua anak-anak muda yang sedang bercinta dan juga kepada kawan-kawan seusia atau lebih tua daripada saya yang baru mengenal makna cinta (atau dulu tersilap memilih cinta).
Sambil itu, oleh kerana sebahagian besar kita masih segar dengan semangat menyambut Aidilfitri yang tak habis-habis, saya ingin turunkan satu puisi Hari Raya yang ditulis Dinsman pada 1985 khusus untuk kad hari raya Teater Elit tahun berkenaan. Sekali pandang memang tidak ada kena-mengena dengan isu liabiliti cinta yang saya sebut di atas. Tetapi "maaf" yang ditulis Dinsman itu memang kerap dilafaz dan jadi mainan orang bercinta sampaikan kadang-kadang tidak membawa sebarang pengertian lagi.

maaf
maaf maaf
maaf maaf maaf
maaf maaf maaf maaf
maaf maaf maaf maaf maaf
aafmaafmaafmaafmaafmaafma
di mana-mana
penuh dengan maaf
posmen membawa maaf ke sana sini
amboi! beratnya maaf
diserangnya pejabat pos bertubi-tubi
maaf bermaharajalela
bila orang berjumpa
maaf melompat dari mulut
tersembur-sembur maaf
tangan bersalam tangan berlumur maaf
maaf zahir batin!
maaf zahir batin!
seronoknya maaf melompat-lompat
berlari-lari terbang belayar
maaf-maaf dari seluruh dunia berjumpa
bagaimana agaknya maaf-maaf itu?!

Hakcipta terpelihara 1985
©Dinsman

Tenaga produksi Puisi Maaf;
Pengurus Produksi dan percetakan : Ella
Pengarah Seni dan grafik : Usop Urusan typesetting dan bromide : Sani Sudin dan Hazali Haji Ramli
Pencuci cow gum dan urusan pos : Mohd Shah Ibrahim

(Bayangkan pada zaman itu masih belum ada komputer untuk membuat grafik dsb. Letih juga Sani dan Hazali pergi-balik ke Kofordset dan Tye Cine bagi urusan typesetting dan bromide).

Saturday, 18 October 2008

Al Fatihah untuk Sudiro

Petang semalam, semasa hujan lebat saya berada di pejabat di Taman Samudra sedang sibuk bersiap untuk acara penting yang akan bermula pada waktu malam dan seterusnya sepanjang hujung minggu. Tiba-tiba saya menerima panggilan daripada Sani Sudin. Dia memberitahu, "Sudiro dah meninggal."
Waktu pemergian Allahyarham tidak diberitahu. Innalillahiwainnailaihiraji'uun..
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan mereka yang beriman.

Sudiro Sukirman pernah bersama-sama Teater Elit satu ketika dulu. Selepas kami mendapat "ijazah" masing-masing, sama seperti sahabat-sahabat lain, Sudiro mencari jalannya sendiri dan khabarnya dia bekerja dengan TV3. Dia juga mencipta nama menerusi siri Rumah Kedai yang turut dibintangi Nani (Rosnani) yang juga pernah bersama-sama kami di Teater Elit buat beberapa ketika. (Nani terus lenyap setelah mendirikan rumah tangga dan wajahnya tak pernah muncul di kaca TV lagi).
Selepas itu saya tak pernah lagi mendengar khabar mengenai Sudiro yang khabarnya telah meninggalkan TV3 dan hanya mendengar cerita dia jatuh sakit.

Saya ada menelefon Usop tetapi gagal dan saya juga ada menghantar mesej kepada Hazali Hj Ramli. Zali menjawab tetapi saya tak tahu sama ada dia berkesempatan untuk menziarahi jenazah Allahyarham. Alfatihah.

Friday, 17 October 2008

Singgah (ii)

Seperti pernah saya janjikan, saya turunkan puisi Dinsman seperti di bawah;

SINGGAH (ii)

untuk sementara

tutup semua tingkap dan tabir

letakkan rokok di luar pagar

pisahkan telefon dari gagangnya

maka bukalah pintu

ke jalan rahasia

ke ruang persembunyian itu

peperangan di luar itu entah bila akan selesai

mayat tak terbilang lagi

pahlawan menentang pahlawan

peluru mencari korban

darah terus mengalir

ke manakah kau akan pergi?

duduk di sini dan lihatlah

betapa janji tak dapat ditepati

betapa harapan tak dapat dipenuhi

betapa manusia menuntut hak masing-masing

letakkan pisau dan senapang itu

di sana ada anak yang menangis

di sini ada orang tua yang masih bertanya

makna hidupnya


bercakaplah tentang negara makmur dan kuat
sesungguhnya itu perjuangan yang mulia

apabila kuasa ada di tangan
ingatlah

ingatlah akan kemiskinan

bukan pada miskinnya

ingatlah akan kelemahan

bukan pada lemahnya

apabila mendengar ada anak yang menangis

ingatlah akan orang tua

yang masih bertanya makna hidupnya


di ruang persembunyian ini

berbagai kejahatan terjadi

untuk sementara

lupakan hak masing-masing

bertafakurlah sejenak

di hadapan keajaiban


ayah telah lama meninggalkan ibu

ayah telah lama meninggalkan dunia

lihatlah di halaman

peperangan itu tidak akan selesai

tiap manusia menuntut hak mereka

darimu

ke manakah kau akan pergi?


Dinsman



Nota kaki:

Sesungguhnya SINGGAH mempunyai makna besar dalam hidup saya.

Dalam melayari hidup, saya singgah di sekian banyak pelabuhan mengutip pengalaman dan ilmu.

Dan tidak kurang juga banyak manusia, dengan pelbagai ragam sifat dan sikap yang singgah dalam hidup saya yang banyak mengajar saya makna kehidupan.


Saya masih terus berlayar dan sayatahu banyak lagi pelabuhan yang menanti.

Entah apa yang ada di hadapan, saya tak dapat menduga. Semoga saya akan menemui cahaya kehidupan yang saya cari selama ini.

Thursday, 16 October 2008

Dinsman dan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan

Baru sekejap tadi saya menghantar mesej kepada Rahimidin Zahari. Saya memberitahunya bahawa memang confirmed saya tak dapat bersama-sama meraikan Dinsman yang akan menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan pada 18 Oktober ini sempena Konvokesyen UUM. Sesi saya sebagai panel untuk NOSS berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober.
Rahimidin memberitahu mungkin hanya dia dan Sutung Umar Rs saja yang akan ke sana. Pada masa yang sama dia turut memberitahu dia mendapat anak perempuan pada 1 Syawal lalu. Lalu saya bertanya, "Apa nama anugerah Syawal itu?" Jawab Rahimidin, "Nur Afifah Husna binti Rahimidin." Saya ucapkan tahniah.

Selepas itu saya membaca di internet laporan berita Bernama mengenai penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (Sejarah) kepada Dato' Wan Samsudin Mohd Yusof dan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan kepada Che Shamsudin Othman (Dinsman). Dalam temubualnya, TS Dr Nordin Kardi, Naib Canselor UUM memberitahu antara sumbangan Dinsman ialah kejayaannya menggerakkan kumpulan teater dan melahirkan seniman tanah air seperti kumpulan Kopratasa.

Saya teringat bekerja di Teater Elit dulu. Semasa Dinsman mementaskan Esok Untuk Siapa saya belum menyertai Teater Elit (Elok juga sebab saya bukan suka sangat dengan Jins Shamsuddin). Tetapi semasa persembahan Malam Seniman Bujang Lapok, saya turut sama berhempas-pulas membantu pengurusan. Untuk persembahan istimewa yang menjadi tarikan utama sempena Minggu P. Ramlee itu Dinsman menggabungkan sekian ramai budak teater daripada pebagai persatuan dan badan. Pada malam itu mereka bernaung di bawah satu badan iaitu Teater Elit.

Sebenarnya Sani, Hazali dan beberapa yang lain mempunyai kumpulan sendiri iaitu Kumpulan Teater Utama. Nordin Kardi juga berasal daripada KTU. Tetapi ketika itu Nordin Kardi tidak lagi aktif kerana sibuk dengan kerjayanya dan juga menyambung pengajian.

Seperti kata Rahimidin dulu, DBP sendiri tidak pernah mahu mencadangkan nama Dinsman untuk sebarang anugerah walaupun dia mantan pegawai DBP. Mungkin DBP sendiri tak faham atau gagal menilai sumbangan Dinsman dalam bidang persuratan sekalipun namanya banyak tercatat dalam buku-buku terbitan DBP sendiri.

Jadi rakan-rakan seni (walaupun saya tahu ramai yang tak suka melihat Nordin Kardi keluar TV beberapa bulan lalu dalam satu program khas), kita harus berterima kasih kepada beliau. Dalam sekian ramai manusia di Malaysia ini yang punya jawatan dan kedudukan, hanya Nordin Kardi saja yang berani mencadangkan nama Dinsman. Tahniah TS Nordin. Sudah tentu itu bakal mengundang sedikit kontroversi yang bakal dicetuskan pihak tertentu. Tetapi saya harap TS Nordin dapat mempertahankan apa yang dibuatnya dan saya juga berharap dia akan terus kekal di situ buat beberapa tahun lagi. Masih ada beberapa tokoh lagi yang wajar diberi pengiktirafan.

Nota kaki:

Tak dapat saya bayangkan semasa penyampaian anugerah nanti nama Kopratasa akan turut disebut kerana kumpulan itu merupakan antara seniman tanah air yang berjaya dilahirkan Dinsman.
Aduh! Nama Kopratasa disebut dalam konvokesyen.. Tahniah kepada Usop, Sani dan Siso.
Lihatlah Dunia!!! (Teringat saya pada kisah Azean Irdawaty menulis nota kecil mengucapkan tahniah selepas persembahan kami di Hotel Dayang sempena Pelancaran Semula Akhbar Watan oleh Kumpulan Karangkraf. Kalau tak silap pada tahun 1984).

Dunia yang tak pernah dewasa

Bila saya menyebut mahu kembali ke dunia seni “for good,” itu bukan bererti saya mahu terlibat semula dan menjadikannya periuk nasi saya. Itu tak mungkin. Faktor usia merupakan faktor utama kerana saya bimbang saya sudah tidak punya tenaga seperti dulu. Tetapi faktor suasana dan juga perkembangan yang berlaku dalam dunia itu sendiri kadang-kadang lebih membimbangkan.

Lihat saja apa yang sedang berlaku kepada S. Amin Shahab. Dunia Dalam Satu Kilometer masih kaku tidak mampu bergerak lebih jauh sedangkan ia mampu menawan dunia kalau betul caranya. Sekian banyak masa dihabiskan, begitu juga dengan tenaga dan wang ringgit, sehingga sekarang kami masih tidak mampu menjangka ke mana hala yang hendak dituju. Amin sudah melakukan yang terbaik. Di pihak “pengurusan Amin yang tidak pernah menerima pengiktirafan” juga sudah melakukan pelbagai perkara tetapi banyak yang tersangkut kerana kerenah birokrasi. Kalau birokrasi tidak mahu membuka pintu untuk duduk berbincang, sentiasa bersikap dingin kecuali sesekali bila dijentik Menteri dan tidak pernah mahu melihat jauh, bagaimana kami mampu bergerak? Mahu memanggil orang luar untuk menaja dan juga memberikan sokongan sudah tentu memerlukan kesediaan birokrasi. Kalau terus pandai-pandai sendiri sudah pasti akibatnya buruk.

Mahu main politik? Boleh saja kalau mahu. Saya pernah melakukannya dulu dan saya pernah berperang dengan seorang Datuk Bandar dan dalam pertarungan itu saya menang dan dia kecundang. Saya mendapat apa yang saya mahukan dan dia kehilangan jawatan untuk selama-lamanya dan terus tenggelam hingga sekarang. Memang boleh dicuba walaupun belum tentu saya akan menang sekali lagi. Saya tahu saya tidak punya tenaga seperti dahulu. Tetapi kalau mahu bertarung juga, untuk apa sebenarnya? Dunia Dalam Satu Kilometer bukan medan perang seperti perang saya dengan bekas Datuk Bandar dulu. Lagipun karya Amin bukan bahan yang harus dipolitik. Kalau boleh biarlah karya itu bebas daripada unsur politik dan kalau ia mahu hidup ia harus berdiri atas kekuatannya sendiri tanpa unsur politik atau kepentingan peribadi.

Saya tak tahu sama ada saya perlu menarik diri dan membiarkan Amin menghadapinya sendirian atau saya terus berdiri di sini. Saya sedang mempertimbangkannya. Mungkin Amin mampu bertahan kalau Menteri dapat mencium bau masalah yang dihadapinya. Rasanya biarkan masalah itu jadi masak semasak-masaknya. Kalau benar-benar sudah masak seperti ikan kering yang hangit di dalam kuali, sudah tentu baunya akan keluar juga satu hari nanti dan seluruh negara dapat mencium baunya.

Tentang dunia filem dan drama Melayu, mungkin itu perkara terakhir yang mahu saya lakukan semula. Manakan tidak. Memang menakutkan. Zaidi Omar pernah memberitahu saya semasa terserempak dengannya di Ukay Perdana satu hari pada tahun lepas. Kata Zaidi masalah yang dihadapi mereka lebih buruk daripada dulu. Maksud dulu itu ialah masa zaman saya bersama-sama U-Wei dulu. Dunia itu terlalu berat sebelah kerana yang untung ialah produser yang kebanyakannya produser Melayu juga manakala kebanyakan penggiatnya pula ialah budak-budak Melayu. Dari soal bayaran ke soal makan-minum dan penginapan, hampir kesemuanya ada masalah kerana tidak setimpal dengan apa yang mereka sumbangkan demi kebahagiaan hidup para produser. Kesiannya… Apa nak buat.. Kata Zaidi. Hanya itu saja kerja yang mereka boleh buat. Takkan nak tukar kerja pula. Kerja apa yang ada di luar sana?

Hazali Haji Ramli bekas anggota Krew Tanah Licin yang dulunya merupakan penolong pengarah kepada U-Wei Haji Saari memberitahu saya betapa “bangsatnya” dia mendapat layanan produser. Dia pengarah untuk 13 episod drama itu. Jangan ditanya berapa dia dapat kerana sudah tentu produser lebih suka bayaran itu “dipakej” supaya lebih murah dan produser akan mendapat lebih untung. Bila tak ada pelakon kanak-kanak, Hazali mengambil anaknya berlakon. Bayaran bagaimana pula? Kata Hazali, anaknya itu muncul dalam setiap episod. Maknanya 13 episod kesemuanya. Anaknya itu cuma dibayar sebanyak sembilan ratus ringgit sahaja. Adilkah itu?

Betul kata U-Wei seperti yang saya sebut dalam tulisan bertajuk Sepetang Bersama U-Wei Haji Saari. Infrastruktur yang terdapat dalam dunia filem dan drama Melayu sejak dulu sampai sekarang memang tidak sesuai untuk saya. Seperti gurauan saya dengan Ilol, adik U-Wei, “Dia orang tak ready untuk bayar aku.”

Memang kita boleh terus hidup. Jadi freelance (yang terus menerus boleh dapat free lunch (?) kerana ada orang belanja). Tetapi hidup yang bagaimana? Hidup yang terurus tanpa melihat keluarga tunggang-terbalik? Hidup yang sentiasa bergantung pada ihsan kawan-kawan? Selama mana mahu hidup begitu?

Memang menakutkan bila mengingat zaman silam. Kerana itu sebenarnya saya bukan mahu singgah semula di sini untuk melakukan apa yang pernah saya lakukan dulu. Saya sekadar mahu “seronok-seronok” seperti kata guru saya Dinsman. Berjumpa semula dengan kawan-kawan, Meninjau semula dunia ini, memerhati rakan-rakan seniman yang amat setia dengan dunia dan kehidupan mereka, di samping melihat sendiri bagaimana sistem birokrasi negara berjalan tanpa sebarang perubahan sejak saya tinggalkan pada tahun 1988 dahulu.

Menarik sekali. Sedang Kementerian Sumber Manusia sibuk mengejar waktu menyiapkan Standard Kemahiran Pekerjaan yang berjumlah 3,000 jenis pekerjaan kesemuanya menjelang 2011 ke arah mencapai taraf negara maju, masih ada birokrasi kita yang masih main tarik tali, main tolak-tolak, main pijak-pijak seperti anak-anak.

Nampaknya Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam khususnya di sektor awam tidak pernah berjaya kerana apa yang masih terus berlaku memang sungguh tidak Islamik sekali walaupun kebanyakan mereka terdiri daripada para Muslimin (Oops! Atau mereka sekadar pengamal Rukun Islam yang lima?). Wallahu'alam.

Nota kaki:

Di Galeri Petronas sedang berlangsung pameran Wayang U-Wei Dalam Seni Tampak. Mungkin kalau ada kesempatan saya mahu ke sana juga. Bukan mahu melihat lukisan tetapi mahu melihat “frame.” Sudah tentu banyak frame yang cantik dan mahal-mahal.

Lagipun salah seorang pelukisnya bernama Kamal Mustafa. Kamal bekas bos saya di Cinequip dulu? Aha! That’s good. Kalau jumpa dia mesti kata lagi, “Sorry Shah, we didn’t treat you well when you were with us.” Ah cukuplah tu Kamal. Yang sudah tu sudahlah…

Tuesday, 14 October 2008

Rupa-rupanya ada juga yang saya tak tahu..

Bermula daripada Jumaat malam lalu hingga petang Ahad, saya berada di sebuah resort di Pantai Tanjung Puteri Melaka (dulunya Tanjung Keling). Saya menyertai sekumpulan "pakar" industri penyiaran untuk membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS). NOSS ini akan diguna pakai oleh Kementerian Sumber Manusia bagi keperluan sektor latihan sama ada institusi bertauliah ataupun industri terbabit. Sub-bidang yang menjadi fokus kali ini ialah Pencahayaan dan Bunyi (Lighting and Sound).

Saya belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut. Rupa-rupanya sesuatu pengalaman itu akan jadi berguna juga pada satu hari nanti sekalipun sudah lama ditinggalkan. Saya meninggalkan bidang filem dan video pada tahun 1995 dan kali terakhir membuat kerja-kerja sendiri bersama-sama Dollah Ali menerbitkan beberapa video latihan dan korporat untuk sebuah syarikat pengeluaran baja terkemuka di Malaysia. Dollah seorang sinematografer berpengalaman pernah sama-sama bekerja untuk U-Wei Haji Saari dan dia juga pernah bersama-sama saya dalam beberapa produksi untuk Petronas semasa di Cinequip dulu. Dia turut menyertai sesi NOSS berkenaan.

Pada mulanya saya menyangka pengalaman saya sudah tentu berkarat dan pasti tidak banyak yang mampu saya sumbangkan. Lebih-lebih lagi saya bukan seorang pakar. Saya hanya orang pengurusan yang mempunyai sedikit pengalaman dan saya juga bukan orang teknikal. Tetapi bila sesi berjalan, rupa-rupanya begitu banyak sekali pengalaman masa lalu yang dapat diselongkar yang relevan untuk sesi tersebut. Dan saya sendiri terkejut kerana tidak menyangka rupa-rupanya begitu banyak sekali perkara yang saya tahu.

Saya harap akan mendapat undangan lagi untuk sub-bidang lain pada masa akan datang. Menarik juga dan saya begitu berbangga dapat menyumbang sesuatu untuk faedah negara walaupun kecil.

Thursday, 9 October 2008

Biar duit cari kita

Tengahari tadi, seperti biasa bila ada kelapangan saya ke sekolah isteri untuk menjemputnya pulang. Kebetulan bila sampai saya ternampak pengerusi PIBG sekolah sedang duduk bersembang dengan abang jaga di luar makmal komputer. Lalu saya pergi menyertai mereka kerana waktu itu masih ada kira-kira 15 minit lagi sebelum loceng waktu akhir berbunyi.

Pengerusi PIBG bertanya saya tentang sambutan hari raya. Kami berkongsi pengalaman aidilfitri baru-baru ini tentang traffic jam, tentang di mana menyambutnya dan lain-lain.

Tiba-tiba dia menanyakan saya satu soalan cepumas,
“Amacam bisnes?”
“Bisnes? Mana ada lagi. Dah lama aku tak berniaga lepas kompeni dulu tutup,” jawab saya.
“Dah tu engkau buat apa sekarang?”
“Pencen yang tak berpencen. Kadang-kadang aku tolong kawan-kawan buat kerja sikit-sikit,” jawab saya lagi.
“Oi! Hebat tu. Engkau bolehlah. Duit dah cukup.. Macam aku mana boleh. Kena kerja lagi. Nak pencen tak boleh.”
“Eh, tak adalah. Mana ada.. Kalau duit banyak senanglah aku..”
“Orang tak ada duit mana boleh berhenti gitu aje. Yang sanggup berhenti orang ada duit aje,” katanya.
“Sebenarnya aku penatlah. Penatlah cari duit tak dapat-dapat. Cari projek ni tak dapat, cari yang tu tak dapat. Kadang-kadang dah telan boleh muntah balik."
"Ya ke?"
"Ya. Aku ingat kali ni aku nak biar duit pulak cari aku. Aku malas nak mencari lagi. Letih,” jawab saya sebagai penutup sesi sembang tengahari itu.

Dia memandang wajah saya. Dia seperti nak senyum, tapi tak senyum. Dia juga nampak macam nak tergelak tapi tak tergelak. Dia hanya menggelengkan kepala. Kebetulan loceng berbunyi. Kami terus bersalaman..