Saturday, 27 September 2008

Salam Aidilfitri

Mungkin sedikit awal untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua yang mengenali saya, yang sentiasa mengikuti dan mungkin meminati laman blog ini serta kepada mereka yang sudi meng"link"kan blog ini. Mengenangkan diri saya yang kerdil ini, yang nama tak mungkin akan terpahat di mana-mana dinding atau tembok dan tak mungkin dikenang orang kerana tak pernah ada sumbangan dalam apa jua bidang, bila ada yang memberi perhatian sudah tentu saya rasa cukup terharu.
Saya menulis kerana "seronok," seperti juga guru saya Dinsman. Kalau orang nak suka Alhamdulillah. Ini sekadar catatan kehidupan peribadi dan rasanya berbaloi juga dia mengajar saya semasa menuntut di "Universiti Teater Elit" dulu. Nak jadi macam Dinsman tak mungkin tercapai tetapi cukup sekadar mampu mencatat sesuatu yang sesekali dapat menjentik rasa kawan-kawan. Itu saja audien saya.
Saya juga bukan mahu menyampaikan mesej; sepatah kata U-Wei Haji Saari, dia bukan posmen. Dia hanya tukang cerita.
Itu seorang lagi guru saya yang banyak menurunkan ilmu yang tak mampu saya kutip sepenuhnya tetapi cukup untuk mematangkan saya dan memberi keyakinan menjalani kehidupan ini.
Memang itulah yang saya lakukan selama ini, belajar daripada sekian banyak guru termasuk kawan-kawan sejak di Teater Elit membawa ke Kementerian Kebudayaan, ke beberapa syarikat lain dan seterusnya ke dunia korporat. Kemudian bila bosan dengan kehidupan palsu, saya rasa saya perlu kembali menjadi diri saya sebenarnya. Baru saya tahu sebenarnya saya tak mampu membawa diri ini jauh daripada dunia sebenar saya.
Sesungguhnya, bila kembali saya sedar bahawa sememangnya saya amat selesa dengan kehidupan hari ini, yang penuh kesederhanaan dan paling penting saya tidak lagi membawa beban yang bukan-bukan.
Memang saya seronok bertemu semula rakan-rakan di IB dan juga Balai Seni Lukis (walaupun IB dan Balai itu ada kalanya menggerunkan kerana di kedua-dua institusi itu banyak jin yang tidak berkepala). Mujur juga saya tak cuba kembali bermain di laman DBP kerana entah jin atau hantu apa pula yang akan saya ketemu jika kembali ke sana.
Untuk semua sahabat, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin.
Semoga kita bertemu lagi selepas cuti hari raya nanti dan dapat "bersembang" lagi kerana sepanjang "kereta" masing-masing masuk "bengkel Ramadhan," sudah tentu banyak pengalaman baru yang menarik untuk dibicara selepas puas menjalani tuning, alignment dan balancing.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Jumpa lagi, InsyaAllah.

No comments: