Saturday, 27 September 2008

Salam Aidilfitri

Mungkin sedikit awal untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua yang mengenali saya, yang sentiasa mengikuti dan mungkin meminati laman blog ini serta kepada mereka yang sudi meng"link"kan blog ini. Mengenangkan diri saya yang kerdil ini, yang nama tak mungkin akan terpahat di mana-mana dinding atau tembok dan tak mungkin dikenang orang kerana tak pernah ada sumbangan dalam apa jua bidang, bila ada yang memberi perhatian sudah tentu saya rasa cukup terharu.
Saya menulis kerana "seronok," seperti juga guru saya Dinsman. Kalau orang nak suka Alhamdulillah. Ini sekadar catatan kehidupan peribadi dan rasanya berbaloi juga dia mengajar saya semasa menuntut di "Universiti Teater Elit" dulu. Nak jadi macam Dinsman tak mungkin tercapai tetapi cukup sekadar mampu mencatat sesuatu yang sesekali dapat menjentik rasa kawan-kawan. Itu saja audien saya.
Saya juga bukan mahu menyampaikan mesej; sepatah kata U-Wei Haji Saari, dia bukan posmen. Dia hanya tukang cerita.
Itu seorang lagi guru saya yang banyak menurunkan ilmu yang tak mampu saya kutip sepenuhnya tetapi cukup untuk mematangkan saya dan memberi keyakinan menjalani kehidupan ini.
Memang itulah yang saya lakukan selama ini, belajar daripada sekian banyak guru termasuk kawan-kawan sejak di Teater Elit membawa ke Kementerian Kebudayaan, ke beberapa syarikat lain dan seterusnya ke dunia korporat. Kemudian bila bosan dengan kehidupan palsu, saya rasa saya perlu kembali menjadi diri saya sebenarnya. Baru saya tahu sebenarnya saya tak mampu membawa diri ini jauh daripada dunia sebenar saya.
Sesungguhnya, bila kembali saya sedar bahawa sememangnya saya amat selesa dengan kehidupan hari ini, yang penuh kesederhanaan dan paling penting saya tidak lagi membawa beban yang bukan-bukan.
Memang saya seronok bertemu semula rakan-rakan di IB dan juga Balai Seni Lukis (walaupun IB dan Balai itu ada kalanya menggerunkan kerana di kedua-dua institusi itu banyak jin yang tidak berkepala). Mujur juga saya tak cuba kembali bermain di laman DBP kerana entah jin atau hantu apa pula yang akan saya ketemu jika kembali ke sana.
Untuk semua sahabat, Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin.
Semoga kita bertemu lagi selepas cuti hari raya nanti dan dapat "bersembang" lagi kerana sepanjang "kereta" masing-masing masuk "bengkel Ramadhan," sudah tentu banyak pengalaman baru yang menarik untuk dibicara selepas puas menjalani tuning, alignment dan balancing.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Jumpa lagi, InsyaAllah.

Friday, 19 September 2008

Tentang Rasa

Dalam saya mencari sesuatu yang hilang, yang pernah seketika saya lupakan, yang kadang-kadang juga membuatkan sesak dada dan ada kalanya nafas terhenti seketika, ada dua perkara yang menarik hati saya.
Pertama, satu blog usahawan Melayu yang terlibat dalam penternakan kambing dengan serius dan daripada apa yang saya baca memang dia salah seorang penternak berjaya. Pada kepala blog itu ada satu catatan menarik. Begini bunyinya;

"Kadang2 Allah sembunyikan matahari...Dia datangkan petir dan kilat...kita menangis dan tertanya-tanya,...kemana hilangnya sinar...Rupa2nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..."

Saya melihat pada diri dan pada alam sekeliling. Memang sudah lama Allah menyembunyikan matahari. Apakah Allah juga akan menghadiahkan pelangi kepada saya?

Kedua, sekali lagi budak Kikiey memberi komen. Katanya dia terharu sebab namanya ada dalam entri.
Saya tak kenal siapa Kikiey. Kalau boleh saya mahu mengenalinya lebih dekat. Mungkin jumpa di Laman Santai atau di wakaf Aris Aziz dan Sani Sudin. Di situ lebih santai. Kadang-kadang Rahimidin Zahari dan Sutung Umar Rs pun selalu singgah.
Mengenai komen Kikiey, lalu saya menjawab, saya yang sebenarnya lebih terharu kerana orang macam Kikiey pun memberi perhatian pada blog saya yang tak seberapa ini.
Kata saya lagi, sungguhpun kadang-kadang berbeza zaman mungkin kita punya "rasa" yang sama yang menemukan kita semua di sini.
Semoga saya tidak mengecewakan Rahimidin kerana saya masih mampu menulis walaupun beberapa baris nota pendek.

Wednesday, 3 September 2008

Merajuk Seni

Tiba-tiba nafas bagaikan terhenti. Banyak sebabnya. Antaranya, alam sekeliling yang ada kala begitu merimaskan sehingga memaksa saya melihat semula lirik lagu Kehidupan nyanyian Kopratasa yang dipinjam daripada puisi Dinsman.

Di tengah-tengah kehidupan
sampai ke pinggir-pinggirnya
sampai ke dasarnya meneroka
setiap lorong dan liku
setiap padang dan lobang menyelongkar memeriksa
ke jantung ke nadi
ke lembah ke gunung belantara
ke jalan raya

ke muara samudera ke hulu
ke ruang persembunyian
ke taman larangan dengan pintar akal
dengan tajam penciuman
terang mata telinga halus rasa renung
dengan sikap yang berani
yakin diri dan tabah hati

memerhati kehidupan
memerhati kejadian
mencari kebenaran dan keadilan
di tengah-tengah kehidupan

Agak lama saya berada di dalam lagu itu, berada di tengah-tengah kehidupan. Bila berada di situ. rupa-rupanya bukan mudah mahu keluar semula.

Nota kaki:
Setelah sekian lama tidak ke wakaf Aris Aziz dan Sani Sudin kerana "Merajuk Seni," semalam saya menelefon Rahimidin. Dia ada bertanya kenapa sudah lama blog ini sepi.
Susah nak jawab kerana ada satu catatan penting mengenai konvo anak di UIA pun masih tak tertulis.
S. Amin Shahab minta tolong sesuatu pun masih belum tertunai sejak Rabu lalu. Amin baru balik dari London menyertai Minggu Malaysia yang dengar khabarnya turut menyesakkan nafas juga. Malam minggu pun dah tak ke Laman Santai lagi. Selepas bercakap dengan Rahimidin saya menghubungi Sani Sudin.

Selama menyepi, beberapa kali saya bertemu Usop. Kami sama-sama meneroka setiap lorong dan liku, setiap padang dan lobang menyelongkar memeriksa ke jantung ke nadi, ke lembah ke gunung belantara, ke jalan raya, ke muara samudera, ke hulu, ke ruang persembunyian, ke taman larangan....

(Bukan mudah kalau pernah berguru dengan Dinsman. Inilah jadinya..).

Saya juga ada bertemu Zul Ramli, salah seorang anggota Dewangga Sakti. Pertemuan diatur oleh Hamdan, sahabat lama yang sama bersekolah di Tg Malim dan Seremban. Rupa-rupanya Zul juga bekas pelajar SDAR tetapi jauh lebih muda daripada saya dan Hamdan. Tak lama selepas itu Hamdan menghadiahkan saya sekeping CD Dewangga Sakti. Menarik, boleh pergi jauh kalau mereka mahu.
Saya juga terkejut kerana ada gadis bernama KikiEy mengirim komen ke blog ini. Bunyi macam seorang lagi orang seni tapi daripada bidang kejuruteraan. Terima kasih KikiEy. Be a good girl, jangan nakal..