Wednesday, 2 July 2008

Saya bukan orang filem

Pada satu hari dalam tahun 2006, saya ke Danau Kota kerana urusan di pejabat cawangan KWSP. Ketika menuju ke kereta tiba-tiba saya terserempak dengan U-Wei. Kami sama-sama tidak menyangka akan bertemu di situ. U-Wei memeluk saya. Sudah tentu banyak sekali mata yang ada di situ memerhati. Mereka kenal U-Wei tetapi sudah tentu mereka tak tahu siapa yang dipeluk U-Wei itu.

Rasanya hampir sepuluh tahun kami tak bertemu. Kali terakhir selepas saya selesai menguruskan Festival Filem Cannes. U-Wei meneruskan kehidupannya sebagai orang filem manakala saya terpaksa meneruskan usaha mencari peluang kehidupan yang lebih baik yang banyak telepas sebelum itu.

Dia mempelawa saya singgah minum sebentar di restoran berdekatan dan di situ agak lama juga kami bersembang. Selepas itu dia mengajak saya naik ke pejabatnya yang terletak tidak jauh dari restoran itu. Sampai di atas dia membawa saya melihat sekitar pejabatnya. Memang aneh. Saya tak tahu apa juga yang terhias di dalam pejabat U-Wei. Kemudian dia menunjukkan saya beberapa lukisan yang kebanyakannya masih belum digantung. Tentu sekali saya kagum kerana menurut U-Wei nilai lukisan-lukisan itu amat tinggi sekali. Tetapi sepertimana juga saya melihat lukisan-lukisan Latif Mohidin dulu dan juga lukisan-lukisan di Balai Seni Lukis Negara, dengan jujur saya juga tidak tahu bagaimana dapat menilai koleksi lukisan U-Wei. Saya hanya tahu menilai bingkai-bingkainya saja.

Sebelum meninggalkan pejabatnya, U-Wei menghadiahkan saya sesalinan skrip pentas Wangi Jadi Saksi yang dijangka akan dipentaskan tidak lama selepas itu. Saya tanya dia mengapa Wangi yang jadi saksi. Kata U-Wei, hanya Wangi yang ada di lokasi di mana berlakunya pertarungan antara Tuah dan Jebat. Selama ini orang tidak pernah cuba mengangkat Wangi sebagai saksi penting. Rahsia inilah yang cuba diselongkar U-Wei. Sebab itu judulnya begitu.

Kemudian saya meminta U-Wei menandatangani skrip itu kerana saya mahu menyimpan skrip itu sebagai kenangan. Kata U-Wei, “Dalam ni banyak aku conteng, Mat Shah. Tulisan asal aku, bukan fotostat. Nanti boleh jadi “collector’s item,” sambil tersenyum dia menyerahkannya skrip itu kepada saya. Bila saya selak satu-persatu semasa di dalam kereta, memang ada beberapa muka surat yang diconteng U-Wei. Banyak juga dialog yang diubah.

Tidak lama selepas itu saya menerima satu panggilan telefon dari Singapura. Tentu sekali saya terkejut kerana menurut perempuan yang menelefon itu dia memanggil bagi pihak U-Wei bin Haji Saari. “Apa halnya?” saya bertanya. “Begini,” kata perempuan itu, “U-Wei ingin mengundang Encik Shah menonton previu filem pendeknya Sepohon Pohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjung Rambutan yang akan diadakan di Finas. Saya call nak confirmkan sama ada Encik Shah boleh datang atau tidak.”

Terus saya menjawab tanpa berfikir panjang,“Okey, saya datang. Confirmed.

Kagum sungguh saya. Selepas sembilan tahun berpisah sekarang U-Wei tak perlu menelefon saya sendiri. Dia sudah ada pembantu yang menguruskan hal-ehwalnya. Dan lebih hebat lagi pembantunya itu membuat panggilan dari Singapura.

Saya tak ingat bila tarikh previu filem pendeknya tetapi pada hari itu saya pergi juga ke Finas untuk memenuhi undangan U-Wei. Bila saya sampai saya lihat ramai juga sahabat seperti Pyan Habib, Sani Sudin, Joe Hamid, Nan, Sutex Harun dan ramai lagi. Saya tak nampak Hazali Haji Ramli dan saya juga tak nampak Anwar Idris. Hati saya tertanya-tanya. Alangkah baiknya kalau semua bekas anggota Krew Tanah Licin dapat bersama-sama meraikan setiap acara U-Wei?

Seperti biasa siapa yang kenal saya memang teruja bila bertemu dan begitu sibuk bertanya apa yang saya buat sekarang. Manakala yang lain memang tak tahu siapa saya kerana selama bersama-sama U-Wei dulu setiap kali U-Wei ditemu bual media, cahaya lampu dan lensa kamera memang tidak pernah sekalipun menjamah kelibat saya.

Filem itu filem U-Wei. Filem pendek. Tak payah ditanya. Kalau orang biasa tentu terkedu kerana mereka tak mungkin faham. Saya kenal U-Wei. Saya tahu serba sedikit bahasa filemnya dan juga gaya dia bercerita. Tak ada masalah sangat. Kalau selama seratus sepuluh minit U-Wei mampu bercerita, apa lagi dalam tempoh empat belas minit.

Selepas previu, saya tak menunggu lama. Saya ada kerja yang perlu dibereskan. Saya perlu mengejar rezeki. Semasa menghidupkan enjin kereta, saya lihat semua orang masih di situ. Mungkin masih banyak yang mahu mereka bualkan tentang seni. Ada beberapa orang yang mengenali saya melambaikan tangan manakala mereka yang tak kenal saya hanya memandang.

Biarlah mereka teruskan bicara sesama mereka. Itu acara mereka. Bukan acara saya. Saya bukan orang filem lagi.

No comments: