Friday, 4 July 2008

Mengenang Ibrahim Rimau

Dalam tulisan terdahulu berjudul Anak-anak Gunung Soga, saya ada menyebut tentang ayah saya yang memang sangat dikenali bukan saja di Gunung Soga kawasan tempat kami tinggal tetapi juga di sekitar Bandar Penggaram. Apa yang saya tahu dia amat dikenali kerana keramahannya dan juga sikapnya yang ringan tulang. Seperti saya ceritakan, dia menjadi lebih popular bila mendapat gelaran Ibrahim Rimau.

Saya tak ingat majlis apa yang akan diadakan di surau Gunung Soga pada malam itu. Saya masih kecil lagi untuk memahami apa yang berlaku. Tetapi pada petang itu saya lihat ada orang memasang khemah, lampu dan mungkin akan diadakan jamuan. Ayah saya juga kelihatan sibuk sekali mengeluarkan pinggan-mangkuk dari setor surau. Selepas menyelesaikan tugas di setor surau dia pergi membantu kawan-kawannya memasang lampu di khemah. Kami kanak-kanak juga turut sama sibuk, berlari berkejaran sesama sendiri di sekitar kawasan surau.

Sedang saya dan rakan-rakan sibuk bermain, tiba-tiba terdengar suara keluar dari corong pembesar suara. “Cubaan! Cubaan!” Sebagai kanak-kanak sudah tentu kami tertarik dengan bunyi itu dan terus berkerumun di meja di mana terletak peralatan pembesar suara. Tiba-tiba saya nampak Pak Haji Embi bangun sambil mencapai mikrofon. Saya tak ingat apa yang diumumkan sebelum itu tetapi sebaik saja selesai pengumuman saya dengar dia menyebut “Mulai hari ini, kita nak bagi Berahim nama baru. Nama dia, Berahim Rimau. Auum!!!” Kemudian disambut dengan gelak-ketawa mereka yang ada di situ.

Itulah kali pertama saya mendengar gelaran itu dan memang Haji Embi yang memberi gelaran tersebut. Tidak lain dan tidak bukan, gelaran itu ditujukan kepada ayah saya yang ketika itu sedang berada di bawah khemah. Dia hanya tersengeh. Begitulah perangainya. Dia amat penyabar sekali kalau dengan orang lain.

Saya rasa ayah saya menerima gelaran itu dengan hati terbuka. Berita dia mendapat gelaran itu merebak hingga ke kampung keluarganya di Kampung Bindu, kampung ibu saya di Linau dan juga di Kampung Dalam di mana ramai kaum keluarga ibu saya tinggal (di kawasan sekitar Jalan Mat Akil dan Jalan Mustaffa). Di Kompleks Kerajaan, nama Ibrahim Rimau memang popular sekali. Sebut saja, payah nak jumpa kakitangan Kerajaan di situ yang tak kenal ayah saya.

Dia memang ringan tulang, suka menolong orang dan bila saja dipanggil dengan rela hati dia akan membantu apa yang terdaya. Sebab itu saya sebutkan dulu siapa juga yang menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat sudah tentu kenal dengannya. Kalau ada sambutan tertentu khususnya Majlis Maulud Nabi di Masjid Bandar Penggaram, ayah saya kerap dipanggil untuk memasak nasi minyak yang merupakan kepakarannya. Menurut ibu saya, sifat peramah dan ringan tulang itu memang sifat semulajadinya yang diketahui ibu saya sejak mereka mula-mula mendirikan rumah tangga. Sifat itulah yang menjadikan dia juga dikenali ramai semasa bertugas di Kluang sebelum itu.

Jawatannya hanyalah Pengawal Mergastua atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Game Warden. Walaupun bukan satu jawatan tinggi tetapi tanggung-jawabnya agak berat kerana dia mengawal hal-ehwal mergastua di seluruh daerah Batu Pahat. Kerja tersebut juga berisiko tinggi. Bila ada sesuatu kes, dia akan melaporkannya kepada ibu pejabat yang terletak di Kluang dan kemudiannya ibu pejabat akan menghantar pasukan pengawal yang akan membantu ayah saya. Risiko yang saya maksudkan ialah pengawal mergastua ketika itu banyak “berurusan” dengan haiwan liar sama ada untuk ditangkap atau dibunuh. Semasa di Kluang dulu saya pernah melihat mereka membawa balik harimau ke berek di mana kami tinggal. Pernah juga mereka membawa balik gajah dan melapahnya di kawasan berek. Khabarnya gading gajah perlu dipersembahkan kepada istana Tuanku Sultan Ibrahim. Kulit gajah pula dikeringkan. Kaki gajah yang sudah dipotong juga dibersihkan dan dikeringkan. Untuk apa kulit dan kaki gajah itu saya tak tahu tetapi saya pernah masuk ke dalam kaki gajah yang sudah dikeringkan itu semasa bermain sembunyi ibu bersama-sama kanak-kanak lain. Begitu besarnya kaki gajah itu.

Pengawal Mergastua bukan satu jawatan besar. Gajinya dulu cuma tujuh puluh lima ringgit. Gaji terakhirnya sebelum bersara cuma sekitar dua ratus lebih kalau tak silap saya. Mungkin kerana gajinya terlalu kecil maka dia tidak mampu memiliki motosikal atau kereta seperti orang lain, apa lagi untuk memiliki rumah sendiri. Dia hanya mampu memiliki sebuah basikal Raleigh.

Mengenai keramahannya, kalau berbasikal mengelilingi kawasan perumahan kami itu pasti ada saja orang yang akan menegurnya. Kalau orang tidak menegurnya dia akan menegur mereka. Bukan saja lelaki tetapi juga wanita, bukan saja suami tetapi juga isteri orang dan bukan saja ibu-bapa tetapi juga anak-anak serta anak-anak muda. Kanak-kanak memang suka dengannya kerana dia rajin melayan mereka tanpa mengira anak siapa. Anak-anak Cikgu Rashid depan rumah kalau nampak kelibatnya akan berlari mendapatkannya minta didukung.

Pada satu petang, tiba-tiba dia balik basah kuyup dalam hujan. Bersama-samanya ada empat kanak-kanak perempuan mengekori dari belakang. Rupa-rupanya mereka semua ialah anak-anak Mak Nah dan Pak Mat Spring yang tinggal di Tanah Merah tidak jauh dari rumah kami. Mak Nah ada hubungan keluarga dengan kami. Begitulah ayah saya. Katanya, “Budak-budak ni sibuk nak ikut aku balik. Aku bawaklah.” Selepas mereka semua mandi dan diberi makan, dia juga yang menghantar mereka balik. Saya ikut sekali menghantar mereka dan dapat peluang menonton televisyen di rumah Mak Nah.

Ayah saya tidak pernah ada masalah dengan sesiapa akibat kemesraannya. Dia disenangi ramai orang dan paling penting ibu saya tidak pernah cemburu. Ibu saya faham itu sifat semulajadinya yang memang tidak boleh diubah. Persefahaman ini yang menjadikan mereka bahagia dan kedua-dua mereka sependapat memang tidak rugi berbuat baik dengan orang. Mungkin kerana itu pada hari perkahwinan kedua-dua abang saya yang dibuat serentak, mereka yang datang bergotong-royong hampir sama banyak dengan jumlah jemputan. Pada hari itu kami tidak ada masalah kerana ramai datang membantu walaupun sebahagian mereka sepatutnya hanya datang sebagai jemputan. Kumpulan anak-anak muda Gunung Soga juga hadir sama menolong. Dan paling membahagiakan ayah dan ibu saya, banyak juga perkara tidak perlu dibayar kerana ditaja oleh beberapa pihak yang bermurah hati termasuk persembahan ghazal party yang memang langsung tidak ada dalam rancangan.

Bila ayah dan ibu saya mahu berangkat menunaikan fardhu haji pada awal 1973, saya dapati halaman rumah kami dipenuhi dengan lautan manusia. Seingat saya, tidak pernah dalam sejarah Gunung Soga orang datang sebegitu ramai untuk melihat sesiapa berangkat menunaikan fardhu haji.

Beberapa bulan sebelum berangkat, dia kerap berbasikal mengelilingi kawasan Gunung Soga. Kadang-kadang dia membuat dua atau tiga pusingan. Bila orang bertanya kenapa dia berbuat begitu hampir setiap hari, dia menjawab, “Aku nak “tawaf” puas-puas.” Ada seorang jiran kami pula mahu memesan supaya membelikan beberapa barangan di Mekah. Ayah saya memberitahu jiran itu sambil bergurau, “Jangan pesan kat aku. Engkau pesan kat Mak Nĕ engkau. Aku tak balik. Nanti Mak Nĕ engkau balik sorang.” Dia memang suka bergurau, jadi mereka menganggap itu hanya gurauan.

Rupa-rupanya dia juga pernah memberitahu kakak sulung saya bahawa dia teringin sangat mahu bernaung di Mekah. Memang benar. Lautan manusia yang melihat dia berangkat seperti terasa bahawa itu merupakan kali terakhir mereka menatap wajah Ibrahim Rimau. Mereka juga mungkin terasa selepas itu mereka tidak lagi dapat mendengar suaranya mengalunkan azan dari surau Gunung Soga dan mereka juga tidak lagi dapat mendengar gurau-sendanya. Dia sudah “tawaf” sepuas-puasnya di Gunung Soga kerana dia tahu dia tak akan balik lagi ke Gunung Soga. Seperti pernah disebutnya, dia mahu bernaung di Mekah dan Allah telah memperkenankan permintaannya.

Semoga roh Allahyarham ayah saya dicucuri rahmat Allah SWT.

Wednesday, 2 July 2008

Saya bukan orang filem

Pada satu hari dalam tahun 2006, saya ke Danau Kota kerana urusan di pejabat cawangan KWSP. Ketika menuju ke kereta tiba-tiba saya terserempak dengan U-Wei. Kami sama-sama tidak menyangka akan bertemu di situ. U-Wei memeluk saya. Sudah tentu banyak sekali mata yang ada di situ memerhati. Mereka kenal U-Wei tetapi sudah tentu mereka tak tahu siapa yang dipeluk U-Wei itu.

Rasanya hampir sepuluh tahun kami tak bertemu. Kali terakhir selepas saya selesai menguruskan Festival Filem Cannes. U-Wei meneruskan kehidupannya sebagai orang filem manakala saya terpaksa meneruskan usaha mencari peluang kehidupan yang lebih baik yang banyak telepas sebelum itu.

Dia mempelawa saya singgah minum sebentar di restoran berdekatan dan di situ agak lama juga kami bersembang. Selepas itu dia mengajak saya naik ke pejabatnya yang terletak tidak jauh dari restoran itu. Sampai di atas dia membawa saya melihat sekitar pejabatnya. Memang aneh. Saya tak tahu apa juga yang terhias di dalam pejabat U-Wei. Kemudian dia menunjukkan saya beberapa lukisan yang kebanyakannya masih belum digantung. Tentu sekali saya kagum kerana menurut U-Wei nilai lukisan-lukisan itu amat tinggi sekali. Tetapi sepertimana juga saya melihat lukisan-lukisan Latif Mohidin dulu dan juga lukisan-lukisan di Balai Seni Lukis Negara, dengan jujur saya juga tidak tahu bagaimana dapat menilai koleksi lukisan U-Wei. Saya hanya tahu menilai bingkai-bingkainya saja.

Sebelum meninggalkan pejabatnya, U-Wei menghadiahkan saya sesalinan skrip pentas Wangi Jadi Saksi yang dijangka akan dipentaskan tidak lama selepas itu. Saya tanya dia mengapa Wangi yang jadi saksi. Kata U-Wei, hanya Wangi yang ada di lokasi di mana berlakunya pertarungan antara Tuah dan Jebat. Selama ini orang tidak pernah cuba mengangkat Wangi sebagai saksi penting. Rahsia inilah yang cuba diselongkar U-Wei. Sebab itu judulnya begitu.

Kemudian saya meminta U-Wei menandatangani skrip itu kerana saya mahu menyimpan skrip itu sebagai kenangan. Kata U-Wei, “Dalam ni banyak aku conteng, Mat Shah. Tulisan asal aku, bukan fotostat. Nanti boleh jadi “collector’s item,” sambil tersenyum dia menyerahkannya skrip itu kepada saya. Bila saya selak satu-persatu semasa di dalam kereta, memang ada beberapa muka surat yang diconteng U-Wei. Banyak juga dialog yang diubah.

Tidak lama selepas itu saya menerima satu panggilan telefon dari Singapura. Tentu sekali saya terkejut kerana menurut perempuan yang menelefon itu dia memanggil bagi pihak U-Wei bin Haji Saari. “Apa halnya?” saya bertanya. “Begini,” kata perempuan itu, “U-Wei ingin mengundang Encik Shah menonton previu filem pendeknya Sepohon Pohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjung Rambutan yang akan diadakan di Finas. Saya call nak confirmkan sama ada Encik Shah boleh datang atau tidak.”

Terus saya menjawab tanpa berfikir panjang,“Okey, saya datang. Confirmed.

Kagum sungguh saya. Selepas sembilan tahun berpisah sekarang U-Wei tak perlu menelefon saya sendiri. Dia sudah ada pembantu yang menguruskan hal-ehwalnya. Dan lebih hebat lagi pembantunya itu membuat panggilan dari Singapura.

Saya tak ingat bila tarikh previu filem pendeknya tetapi pada hari itu saya pergi juga ke Finas untuk memenuhi undangan U-Wei. Bila saya sampai saya lihat ramai juga sahabat seperti Pyan Habib, Sani Sudin, Joe Hamid, Nan, Sutex Harun dan ramai lagi. Saya tak nampak Hazali Haji Ramli dan saya juga tak nampak Anwar Idris. Hati saya tertanya-tanya. Alangkah baiknya kalau semua bekas anggota Krew Tanah Licin dapat bersama-sama meraikan setiap acara U-Wei?

Seperti biasa siapa yang kenal saya memang teruja bila bertemu dan begitu sibuk bertanya apa yang saya buat sekarang. Manakala yang lain memang tak tahu siapa saya kerana selama bersama-sama U-Wei dulu setiap kali U-Wei ditemu bual media, cahaya lampu dan lensa kamera memang tidak pernah sekalipun menjamah kelibat saya.

Filem itu filem U-Wei. Filem pendek. Tak payah ditanya. Kalau orang biasa tentu terkedu kerana mereka tak mungkin faham. Saya kenal U-Wei. Saya tahu serba sedikit bahasa filemnya dan juga gaya dia bercerita. Tak ada masalah sangat. Kalau selama seratus sepuluh minit U-Wei mampu bercerita, apa lagi dalam tempoh empat belas minit.

Selepas previu, saya tak menunggu lama. Saya ada kerja yang perlu dibereskan. Saya perlu mengejar rezeki. Semasa menghidupkan enjin kereta, saya lihat semua orang masih di situ. Mungkin masih banyak yang mahu mereka bualkan tentang seni. Ada beberapa orang yang mengenali saya melambaikan tangan manakala mereka yang tak kenal saya hanya memandang.

Biarlah mereka teruskan bicara sesama mereka. Itu acara mereka. Bukan acara saya. Saya bukan orang filem lagi.