Tuesday, 24 June 2008

Temuduga ke maktab

(dipetik daripada Saya Tak Ada MBA)

Selepas puas berfikir beberapa hari akhirnya saya membuat keputusan. Saya terpaksa mengikut kehendak Rahman Yeop. Akhirnya, dengan berat hati saya pergi juga ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan untuk mengambil borang. Selang tidak berapa lama saya berjaya dipanggil untuk temuduga dan beberapa hari sebelum itu sekali lagi saya ke sekolah untuk memberitahunya tentang berita gembira itu.

Temuduga itu dijalankan di Sekolah Menengah Teknik Gedung Lalang dalam kawasan Ampangan. Pada hari itu saya lihat ramai juga yang datang. Kebanyakannya lelaki.

“Oh, jadi, awak ni student Rahman Yeop, ya?” Itu soalan pertama yang keluar daripada mulut salah seorang ahli panel sebaik saya dijemput duduk. Mendengar soalan tersebut saya rasa keyakinan saya berada pada paras maksimum. Saya cukup yakin akan berjaya diterima masuk maktab. Sudah tentu dia kenal Rahman Yeop dan saya pasti pengetua kesayangan saya itu sudah mengaturkan sesuatu sekali lagi untuk saya. Saya tidak merasa gugup atau bimbang langsung.

“Awak ni budak boarding school... SDAR ni tempat budak pandai-pandai, kan?”

“Ya encik,” jawab saya penuh yakin.

“Sekolah tempat budak-budak pandai?”

“Betul encik,” bertambah yakin saya dan sempat pula melemparkan senyuman kepada mereka semua.

“Awak pun budak pandai kan?”

“Ya…Eh! Tak de lah, encik.”

“Dah tu, kalau tak pandai takkan masuk SDAR?” Saya agak terkejut. Lain macam pula bunyi soalannya.

Kemudian dia menyambung kata-katanya, “Tapi saya tengok, apasal results awak teruk sangat ni? Sampai gred tiga… Apa hal awak ini?” dia bertanya sambil membelek dokumen-dokumen di hadapannya.

Tambah terkejut saya. Memang lain macam sekali kata-katanya itu Saya rasa dia ketua di situ. Dia mengatur ayat satu persatu dan menyebutnya dalam tempo yang agak perlahan. Seperti orang politik menyusun ayat dalam muqadimah ucapan mereka. Ahli panel lain memandang saya atas bawah. Kerusi yang dikhaskan untuk saya itu memang diletakkan di hadapan agak jauh dari meja ahli-ahli panel itu.

Mendengar kata-katanya tiba-tiba saja suasana yang kononnya ceria yang saya rasakan sebelum itu berubah. Udara dalam bilik itu mula terasa kehangatannya walaupun dua kipas di siling berputar laju. Saya terkejut. Soalan itu di luar jangkaan dan rasa yakin tadi juga terus lenyap. Saya kurang senang dengan soalan yang bagi saya cukup sensitif. Kalau ya pun janganlah sentuh soal itu, kata hati saya. Cubalah tanya soalan lain. Tanyalah siapa nama Yang Di-Pertuan Agong ke, nama Perdana Menteri ke atau nama semua menteri kabinet, bukankah lebih baik? Yang itu semua saya tahu kerana saya memang minat dengan hal ehwal semasa.

“Awak faham ke soalan saya tadi?”

Saya masih diam.

“Bagi kami, baik kat jabatan ke, kat kementerian ke, orang macam awak ni, sekolah kat boarding school, kalau nak ikutkan tempat awak bukan kat maktab, awak tahu tak? Patutnya awak ni pergi overseas. Kami tahu budak-budak batch awak ramai tengah tunggu nak pergi. Yang dah pergi pun ada, kan?” dia menyambung lagi.

“Apa hal awak ni? Kenapa, tak boleh belajar?” Dia terus meletakkan semula dokumen-dokumen tadi dan memandang ke arah saya. Ketika itu ahli panel lain juga turut memandang tepat ke arah saya. Saya diam dan memandang ke bawah. Memang saya rasa amat tidak selesa.

Kemudian dia menyambung dengan nada yang agak keras, “Awak ni memang tak tau mengenang budi. Kerajaan dah sediakan tempat elok-elok, tak belajar betul-betul. Ni, nak mintak pergi maktab pulak. Ni bukan tempat awak patutnya. Ini tempat orang lain yang tak ada peluang belajar kat boarding school, yang tak ada peluang pergi overseas. Tempat awak sana, bukan sini. Ni, kalau kita bagi kat awak masuk maktab, nanti ada orang lain pulak tak dapat peluang, awak tau?”

Eh! Panjang berjela pula syarahan pegawai itu. Saya rasa ketika itu darah saya sudah sampai ke kepala. Mahu rasanya saya baling saja kerusi ke arah mereka. Nampaknya dia menghina saya. Ini temuduga ke sesi motivasi? Dia benar-benar mahu menguji kesabaran saya. Tetapi dalam mengawal perasaan sambil mengumpul tenaga untuk membalas pukulan pegawai itu, tiba-tiba saya terbayangkan wajah Rahman Yeop. Terus hati saya jadi sejuk. Sabar, sabar, bisik hati saya. Takkan saya nak ulang apa yang berlaku semasa interviu ITM dulu. Saya tak boleh kecewakan Rahman Yeop. Dia bersusah payah mengaturkan semua ini. Tapi mungkin kali ini Rahman Yeop tersilap agaknya. Kawan-kawan yang diharapkan mungkin tak boleh pakai. Tak apalah. Kalau tak dapat pun saya tak akan menyalahkan pengetua saya itu. Ini dunia. Sedangkan adik-beradik pun kadang-kadang tak boleh diharap, apa lagi kawan.

Sungguhpun begitu saya masih menaruh harapan. Saya harap apa yang berlaku sekadar satu permainan. Mungkin mereka ada strategi tertentu. Saya perlu bersabar menunggu. Pedulikan apa orang nak kata. Yang penting matlamat saya tercapai. Selalunya sabar saya berbaloi. Cuma interviu ITM saja yang membuatkan saya hilang sabar. Tetapi itu bersebab. Tetapi kali ini cakaplah apa mereka rasa nak cakap. Kalau benar apa yang saya jangkakan, permainan masih belum tamat. Saya harus menunggu peluang saya pula. Melihat mereka semua diam, saya bersuara,

“Mintak maaf, encik,” saya rasa itu kali pertama saya menjawab dengan suara paling lembut dan sopan dalam sejarah hidup saya. Dengan suara tersekat-sekat saya meneruskan, “Sebenarnya, masa tu.. saya ada masalah peribadi sikit, encik. Saya tak sangka, kadang-kadang.. benda tu kecik.. tapi akibatnya teruk. Saya memang tak boleh belajar sangat masa tu, encik. Sebab itulah results saya teruk.”

Semua memandang tepat ke arah saya. Mungkin mereka terperanjat mendengar saya berani menjawab. Kemudian saya menyambung lagi,

“Siapa tak nak pergi overseas, encik? Semua nak pergi kalau ada peluang. Cuma saya silap. Konon saya plan nak retain tapi dua subject saya terbuat okey sikit. Terus dapat gred tiga. Kalau Physics dengan Chemistry tu sangkut tentu saya dapat empat. Dapat empat boleh retain encik.

Belum sempat saya menyambung ayat ahli panel yang menghina saya tadi menyampuk, “Pandai betul budak-budak boarding school ni ya? Benda ni memang biasa ke kat SDAR?”

“Bukanlah biasa sangat encik, tapi memang ada budak-budak buat, encik. Dapat empat, retain lepas tu okey. Yang dapat firstt grade pun ada. Yang retain LCE confirmed lepas, encik…”

“Ah! Biasalah tu. Okey, balik cerita awak tadi. Jadi awak ni ada masalah peribadi…” pegawai itu berkata lagi. “Boleh cerita sikit masalah apa?”

Ketika itu pegawai yang dua orang lagi memandang saya dengan wajah yang kurang menyenangkan. Saya rimas dipandang begitu. Macam menghina. Mungkin agaknya mereka menyampah melihat saya berani menjawab setiap kali disoal atau menyampah kerana saya sudah mula mesra dengan ketua panel itu.

Saya diam. Saya kena jawab juga nampaknya. Suka atau tidak mereka kena terima.

“Mintak maaf encik. Encik jangan marah, encik. Tadi saya dah kata, masalah peribadi. Kalau saya cerita dah tak peribadi lagi, encik.”

Mendengar jawapan saya ketiga-tiga pegawai di depan saya itu terpinga-pinga. Mereka terus tersandar di kerusi masing-masing. Mungkin mereka tidak menyangka saya akan menjawab begitu. Kemudian mereka saling memandang dan tersenyum.

“Oh! Gitu…. Okey, okey,” Si Penghina memberi reaksi seperti terpaksa mengakui kata-kata saya itu memang betul. Pada masa yang sama dia memberi isyarat tangan meminta dua orang kawanya yang sedang berbisik sesama mereka supaya bertenang. Saya rasa mereka sedang bersiap–sedia untuk membalas pukulan saya tadi.

“Tapi, saya terfikir pulak, kalau awak kata masalah peribadi dulu menganggu pelajaran awak, macam mana kami nak bagi awak masuk maktab? Nanti hantar maktab fail lagi. Menghabiskan duit kerajaan aje,” sampuk yang seorang lagi.

Ah! Saya tak mahu mengalah. Alang-alang sudah masuk ke gelanggang biar permainan itu saya selesaikan.

“Tapi encik, itu dulu, masa sekolah. Lepas keluar, mengajar sementara, bercampur masyarakat, saya dah lain sikit. Saya banyak belajar, encik. Saya rasa lepas ini insyaallah, saya tau macam mana nak selesaikan masalah. Insyaallah, tak ada apa lagi.”

“Bercampur masyarakat? Sekolah dulu bukan masyarakat?” orang ketiga cuba bertanya. Agak tinggi suaranya.

Eh! Kata hati saya. Dia ni pun nak kena juga ke?

“Maaf encik,” saya jawab perlahan dan masih penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, “Masyarakat sekolah dengan masyarakat luar tak sama, encik. Kat sekolah tak banyak saya boleh belajar pasal hidup. Semua budak-budak. Dengan cikgu kita orang jumpa masa time belajar aje. Tapi kat luar lain. Sekarang saya lagi confident. Saya rasa dah matang sikit, encik.”

“Oh, sekarang dah matanglah? Dah belajar pasal hidup. Pandai awak cakap ya? Awak ni banyak cakap lah,” saya tak ingat siapa yang berkata.

“Kena banyak cakap encik. Kalau tak macam mana nak jadi cikgu..” saya menjawab lagi dengan penuh yakin.

Semua ahli panel tersengih mendengar saya menjawab soalan-soalan mereka. Ada juga yang menggelengkan kepala. Saya rasa saya mereka sudah mula suka dengan saya.

“Okeylah. Cukup, cukup. Banyak cakap pulak awak ni. Awak mengajar apa kat Undang Abdul Manap?” Pegawai yang bertanya itu merujuk kepada Sekolah Menengah Undang Abdul Manap, Johol.

“Sains Paduan, Integrated Science.

“Oh, Integrated Science, tu bahasa Inggeris tu. Hebat rupanya awak ni. Awak minat bahasa Inggeris ke?”

“Minat encik tapi bukanlah hebat sangat...Saya dapat kredit aje dulu,” saya rasa saya sudah mula mampu tersenyum kerana selesa dengan perubahan suasana petang itu. Rasa hangat tadi juga sudah mula hilang.

“Boleh tunjuk sikit macam mana awak mengajar kat sekolah? Integrated Science, bahasa Inggeris.”

“Boleh. Tapi saya bukan nak ambil kursus sains, encik. Saya tak minat sains.”

“Awak minat apa?”

“Saya minat muzik. Kat sekolah saya presiden kelab muzik. Dari Form Remove dulu saya dah main muzik. Testimonial tu semua ada tulis. Presiden Kelab Muzik, Drum Major…” saya cuba menunjuk ke arah salinan-salinan dokumen beserta dokumen-dokumen asal yang ada di depan mereka.

“Tapi awak mana ada kelulusan muzik? Kat sini yang kita tengok yang boleh harap Sains dengan Bahasa Malaysia aje. Chemistry dengan Physics kredit. Bahasa distinction. English kredit. Okeylah tu.”

“Tak boleh encik. Chemistry dengan Physics saya pun 6 aje encik. Itu pun kebetulan. Masa exams saya ingat sikit-sikit jadi saya jawablah. Tapi bukan makna saya suka Sains.”

“Tak boleh. Kita kena bagi awak Sains. Kita nak pakai ramai cikgu Sains sekarang.”

“Tapi encik, kalau encik bagi saya Sains, tak lama saya mengajar, encik. Nanti takut saya berhenti,” saya mengeluh kecewa.

“Itu suka awaklah. Kalau awak nak berhenti kemudian tu lain cerita. Hah! Jangan buang masa kita orang. Kat luar tu ramai lagi yang tunggu. Dengan awak ni aje dah dekat berapa minit dah ni. Tak pernah kita interview orang lama-lama macam ni, tau. Kita nak awak tunjuk sikit macam mana awak mengajar.”

Sakit hati saya. Nampaknya saya tak dapat juga apa yang saya minat. Bagaimanapun saya tak mahu bertengkar dengan mereka. Takut pula nanti tak dapat langsung jadi cikgu. Lalu saya mulakan demonstrasi.

Mereka sendiri mungkin tidak menyangka saya boleh membuat demonstrasi tanpa merujuk pada sebarang buku teks dan pada masa yang sama saya menjadikan mereka seperti murid-murid saya. Tak sampai lima minit mereka memberi isyarat menyuruh saya berhenti dan mengucapkan terima kasih selepas puas tersengih-sengih melihat aksi saya dan terpinga-pinga bila disoal. Mereka sendiri pun bukannya pandai Sains rupa-rupanya. Padan muka mereka.

No comments: