Wednesday, 25 June 2008

Temuduga ke ITM

(dipetik daripada Saya Tak Ada MBA)

Hidup saya mungkin berubah kalau saya dapat melanjutkan pelajaran ke ITM selepas peperiksaan M.C.E dulu. Sayangnya, walaupun dipanggil temuduga tetapi saya tidak berjaya. Saya tidak menganggap saya gagal dalam temuduga itu tetapi ada kejadian yang berlaku yang mungkin menjadikannya sebagai temuduga paling bersejarah di Malaysia kalau pun bukan di dunia. Ia meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri saya dan bertolak daripada peristiwa itu saya menyimpan dendam kerana pengalaman itu amat pahit dan menyakitkan yang membuatkan saya rasa amat terhina.

“Awak ni nak masuk ITM?” kata pegawai yang menemuduga saya. Ada dua orang pegawai sahaja di situ pada sesi temuduga tersebut yang berlangsung di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan.

“Ya, encik,” berdebar sungguh saya menjawab soalan itu.

“Saya nak tau. Sebelum mintak ni awak tak tau ke awak ni tak layak? Awak tak cukup syarat?”

Saya terdiam. Tak layak?. Rasanya results saya cukup makan walaupun gred tiga. Bagi kedua-dua kursus pilihan lain memang saya layak. Kenapa dia cakap macam tu? Kemudian saya jawab, “Saya cuba nasib aje encik. Tapi saya tau ada yang cukup. tapi itu pilihan ketiga.”

“Bukan, pilihan pertama awak Business Studies, tapi Maths awak pun hancur. Apa benda awak ni?”

“Tak ada encik. Itu pilihan ketiga. Tak dapat Business Studies tak apa tapi yang yang penting pilihan pertama dengan kedua tu.”

Saya rasa pegawai itu tersilap pandang kerana salinannya ada pada saya dan saya sempat menyemaknya. Belum pun sempat saya memberitahunya bahawa dia silap dia berkata,

“Oh gitu. Awak ingat ITM tu bapak awak punya? Suka-suka aje nak masuk. Tak yang ni nak yang itu?”

Saya terperanjat. Sungguh kasar sekali. Saya tak sangka saya akan diperlakukan begitu. Kemudian dia menyambung lagi,

“Awak ingat kita ni boleh bagi suka-suka aje? Kalau bagi yang lain pun belum tentu boleh buat kalau tengok results awak ni.” Saya rasa dia sedar dia sudah melakukan kesilapan kerana rakan di sebelahnya menunjukkan sesuatu kepadanya tetapi dia tidak mempedulikan. Mungkin dia malu.

Dia meneruskan kata-kata, ”Awak datang sebenarnya ni nak apa? Nak buang masa kita orang ke? Kalau tau tak layak tak payah datanglah!” dia menengking saya. Hanya dia seorang saja yang bercakap manakala rakannya tadi tunduk sambil meneliti semula dokumen-dokumen di atas meja seperti ada yang tak kena. Memang pegawai yang bercakap itu silap. Tapi rakannya mungkin sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana dia sudah cuba membetulkan tetapi tidak berjaya.

Saya rasa saya sudah habis fikir. Saya mesti lawan balik. Biarlah matlamat tak tercapai tak mengapa tetapi yang penting maruah saya. Selepas itu kalau apa nak jadi, jadilah. Boleh ke pegawai itu suka-suka nak marah saya. Saya pun ada maruah juga. Kalau nak temuduga dia patut semak dulu. Kawannya sudah cuba menunjukkan dokumen sebenar tetapi mungkin kerana sudah terlanjur dia malu untuk berpatah balik. Terus dia menyerang saya bertubi-tubi dan paling saya tak tahan, dia menghina saya. Kalau betul saya tak layak sepatutnya dia beritahu saya dan tunjukkan buktinya. Bincang baik-baik. Saya bukan jenis orang kasar yang tak boleh dibawa berbincang. Saya rasa saya seorang budak yang baik, tak tahu berkasar dengan orang dan amat menghormati orang lain tak kira tua atau muda.

Tetapi ini sudah melampau. Sabar saya ada hadnya bila melibatkan maruah. Kerana itu saya rasa saya kena jawab. Biarlah apa pun nak jadi. Terus saya bangun dan terus berjalan menuju ke arah meja di mana mereka duduk. Mereka terkejut melihat reaksi saya. Mungkin ketika itu mereka dapat melihat betapa marahnya saya dan sudah hilang kesabaran. Saya tidak dapat mengawal perasaan saya lagi. Pegawai seorang lagi bangun. Mungkin mereka bimbang saya cuba melakukan sesuatu. Kemudian saya menjawab dengan nada suara yang betul-betul tinggi. Mungkin saya menjerit agaknya. Saya tak perasan kerana pada saat itu saya amat marah sekali.

“Encik, encik tau tak siapa buang masa siapa? Patutnya kalau encik dah tau saya tak layak, buat apa encik panggil saya? Siapa yang bodoh? Encik ke saya?” sambil bercakap itu tangan saya menunjuk-nunjuk ke arah mereka. “Encik tau tak hari ni patutnya saya mengajar? Kat situ pun ada pengesahan saya ni cikgu sementara. Sebab interviu ni saya kena ambik cuti, kena potong gaji, encik tau? Gaji kena potong siapa nak bayar? Encik nak bayar? Kan ini menyusahkan saya. Kalau macam ni encik buat anak orang, satu masa besok anak encik orang aniaya, encik taulah. Tuhan tu kaya encik. Hari ini buat orang besok orang buat kita balik. Kalau tak kena kat encik, nanti kena jugak kat anak cucu encik. “Sudahlah!!!”

Saya tak fikir apa lagi ketika itu. Saya terus merampas dokumen-dokumen asal saya dan menuju ke pintu tanpa menoleh ke belakang. Saya akui saya amat biadap. Biarlah apa mereka nak kata tetapi bila mereka menghina saya sebegitu rupa saya patut menjawabnya. Saya sudah katakan tadi, saya juga ada maruah. Kalau tak boleh, cakap tak boleh dan cakap baik-baik. Salahkah kita memberitahu dengan cara baik? Berbudi-bahasa bukan merugikan. Patutlah ketika menunggu di luar sebelum itu saya lihat ada dua orang calon menangis bila keluar. Mungkin dibelasah juga seperti saya. Padan muka pegawai-pegawai itu. Sebelum itu mereka buat orang, bila dengan saya mereka kena balik.

Sejak hari itu saya cukup benci mendengar nama ITM. Saya tak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana kenangan itu terlalu pahit dan pasti memedihkan kalau setiap kali saya bercerita. Tetapi saya jauh di sudut hati saya menyimpan dendam, sesuatu yang bertentangan dengan sikap sebenar saya. Tak mengapa. Satu hari nanti saya mahu buktikan tanpa masuk ITM saya juga masih mampu meneruskan kehidupan seperti orang lain. Tapi yang penting saya mahu menajamkan akal saya supaya satu hari nanti saya mampu menjadi menjadi manusia yang mampu berfikir dengan waras serta tinggi akal budinya. Bukan seperti pegawai-pegawai itu yang mungkin tergolong dalam golongan orang pandai yang ada otak tetapi mereka tidak waras dan tidak punya akal budi. Kalau tidak sudah tentu mereka pandai untuk berbudi-bahasa, bertimbang rasa, mengambil hati orang, mempunyai sifat dan sikap terpuji dan yang paling penting tidak menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.

Cukuplah, itu saja impian saya. Saya hanya mahu jadi seorang manusia yang tinggi akal budinya.

No comments: