Tuesday, 17 June 2008

Saya pun nak jadi blogger…

Semasa bersembang dengan U-Wei Haji Saari dan beberapa kawan lain di Balai Seni Lukis Negara tidak berapa lama dulu, saya ada menyebut bahawa saya juga mempunyai laman blog sendiri. Tetapi bila saya menyebutnya saya dapati U-Wei langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Saya tak pasti sama ada dia mendengarnya atau tidak. Kalau betul dia mendengarnya tetapi sengaja enggan memberi reaksi, saya faham benar dengan perangai sahabat saya itu. Bila dia diam selalunya ada sesuatu yang dia rasa kurang berkenan. U-Wei mungkin ada pandangan tersendiri mengenai penulis blog. Mungkin dia tak hairan pun. Kerana itu agaknya dia sendiri tidak mempunyai laman blog.

Entah kenapa, di Malaysia bloggers sering dikaitkan dengan politik dan kerap dipandang serong. Dulu memang tak ramai yang tahu apa itu blog dan apa itu bloggers. Tetapi sekarang orang kampung pun sudah pandai menyebutnya walaupun saya percaya sebahagian besar mereka tidak pernah melayari internet dan melihat sendiri bagaimana rupa wajah blog. Perkataan-perkataan blog dan bloggers hanya mula diketahui umum bila media arus perdana memainkan isu tersebut dan ahli-ahli politik pemerintah kerap memberi kenyataan menyalahkan bloggers yang dikatakan memberi maklumat yang tidak benar kepada rakyat sehinggakan mampu menimbulkan rasa benci rakyat terhadap Kerajaan. Blog yang merupakan salah satu bentuk media alternatif juga dipersalahkan kerana menjadi punca utama mengapa Barisan Nasional tidak mendapat kemenangan dua pertiga seperti biasa dalam pilihanraya yang baru lalu. Sejauh mana perkara itu benar masih diragui.

Khir Toyo, Lim Kheng Yaik dan paling terbaru Tun Mahathir juga sudah mempunyai laman blog sendiri. Ironinya, kalau dulu bloggers sering dipandang serong oleh pihak Kerajaan dan dianggap sebagai anti-establishment tetapi sekarang ramai pula dalam kalangan pemimpin UMNO dan juga Barisan Nasional memilih untuk jadi bloggers. Teman sebilik saya semasa di asrama dulu Ahmad Shabery Cheek sebaik saja dilantik menjadi Menteri Penerangan terus mengumumkan mahu mendekati bloggers yang amat dicurigai dan dimusuhi menteri terdahulu. Nampak seperti kabinet baru Pak Lah yang ditubuhkan selepas PRU12 cuba menjadi sebuah “bloggers-friendly cabinet.” Malah RTM sendiri mewujudkan program khas yang diberi nama BLOG dan turut mengundang bloggers yang kebanyakan terdiri daripada mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan.

Memang sudah lama saya terfikir untuk memiliki laman blog sendiri. Tetapi saya hanya memulakannya pada penghujung tahun lepas dan tulisan pertama saya ialah pada awal Januari 2008. Bila saja tulisan itu terpapar, saya merasakan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Wow! It feels so good to be on the net.

Saya hanya melihat blog sebagai alternatif untuk laman web, tambahan pula blog lebih peribadi sifatnya dan langsung tidak melibatkan sebarang kos. Jadi, apa salahnya memiliki blog sendiri. Saya bukan mahu meniru orang dan jauh sekali mahu jadi blogger politik seperti Marina Mahathir, Nuraina Samad, Rocky Bru, Ruhanie Ahmad dan lain-lain. Lagipun politik bukan bidang saya dan saya tak mampu menjadi penganalisis politik. Saya juga tak mampu mencapai tahap pemikiran seperti mereka dan tentu sekali saya tidak boleh mengada-ngada cuba menyertai liga tersebut dan cuba menyamakan diri saya seperti mereka. Siapa saya? Kalau mahu dibuat perbandingan seperti bumi dengan langit. Itu pun langit pun masih dikira dekat. Jauh, memang jauh sekali.

Mereka menulis blog atas tujuan tertentu berasaskan fahaman masing-masing dan atas perjuangan tertentu. Mungkin mereka mahu memperjuangkan kebenaran serta mencari keadilan, agaknya. Tetapi saya tak ada fahaman politik. Saya hanya berprinsip pada salah atau benar tanpa mengira latar belakang politik seseorang. Saya menulis sekadar merakam catatan pengalaman-pengalaman peribadi yang saya harap dapat dikongsi dengan beberapa orang kawan. Tak ramai kawan yang tahu. Mungkin dalam sekitar sepuluh orang. Tetapi kalau ada sesiapa yang melayarai internet dan terjumpa blog saya, itu di luar kawalan saya. Mungkin ada agaknya.

Saya memilih untuk bercerita tentang pengalaman peribadi kerana bercerita merupakan satu perkara yang cukup saya gemari sejak kecil lagi. Semasa di asrama dulu, setiap kali balik selepas bercuti di kampung ada saja pengalaman yang saya ceritakan kepada kawan-kawan. Kadang-kadang sampai sebulan cerita itu masih panas lagi. Memang itu kerja yang paling saya minati.

Saya dibesarkan dengan cerita-cerita pengalaman hidup arwah ibu saya. Sebagai anak bongsu yang rapat dengannya dan kebetulan suka bertanya tentang pengalaman kisah silamnya, saya banyak mendengar kisah duka dan kepedihan yang dilaluinya. Dia selalu bercerita kepada saya bagaimana dia terpaksa mengharungi kehidupan sebagai seorang anak yang tidak sempat mengecap kasih sayang seorang ibu (dia kehilangan ibunya pada usia yang terlalu muda). Dia juga banyak bercerita tentang bagaimana kehidupannya dikelilingi manusia serba zalim termasuklah ibu tirinya serta pengalaman-pengalaman pahit lain yang banyak meninggalkan kesan pada kehidupan masa depannya.

Selain itu dia juga kerap meluahkan perasaan kecewanya terhadap perangai dan sikap anak-anaknya. Saya tak tahu mengapa dia memilih untuk bercerita kepada saya mengenai apa yang terpendam di lubuk hatinya. Mungkin kerana itu saya menjadi terlalu sensitif pada alam dan manusia. Saya suka memerhati sikap manusia, menganalisis dan cuba untuk meniru apa yang baik dan membuang apa yang buruk. Saya juga selalu berfikir untuk tidak menjadi seperti watak-watak zalim yang wujud dalam cerita-cerita arwah ibu saya itu. Saya mahu jadi anak yang baik dan saya juga mahu jadi manusia yang baik yang disukai orang dan bukan manusia yang dibenci orang.

Arwah ibu saya juga suka bercerita tentang salasilah keluarga yang menyebabkan saya hampir tahu sebahagian besar salasilah keluarga di sebelah ibu saya. Catatan asal salasilah yang saya buat semasa arwah ibu saya menurunkan cerita itu kepada saya masih saya simpan hingga sekarang.

Ibu saya mempunyai daya ingatan yang kuat mengenai salasilah dan dia juga banyak tahu tentang salasilah sebelah arwah bapa saya. Dia juga ada bercerita tentang latar belakang sebahagian ahli keluarga yang mempunyai kisah peribadi menarik yang masih saya ingat sehingga sekarang. Sayang sekali kerana arwah ibu saya tidak pernah ke sekolah. Dia tidak pandai menulis atau membaca. Dia hanya tahu mengeja jenama barangan di dalam dapur seperti MILO dan NESCAFE. Tetapi kembalinya dari Mekah apabila kakak saya mengajar dia membaca Surah Yasin, apa yang menakjubkan dia boleh membaca dengan lancar. Buka saja muka surat mana dia boleh membacanya.

Kadang-kadang saya terfikir, kalau dia masih lagi hidup pada zaman langit terbuka yang serba canggih ini, dengan hikmah yang diberi Allah dan dengan segala macam kisah yang tersimpan dalam ingatannya, mungkin dia juga mempunyai laman blog sendiri.

No comments: