Monday, 30 June 2008

Orang tua selalunya betul..

(dipetik daripada Saya Tak Ada MBA)

Kira-kira tiga bulan selepas temuduga akhirnya saya menerima tawaran rasmi untuk mengikuti kursus Pendidikan Awal Remaja Jurusan Sains selama dua tahun di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Selepas menerima surat tawaran itu sekali lagi saya ke sekolah untuk memberitahu Rahman Yeop berita gembira itu. Selain itu saya juga memohon jasa baiknya dan juga Cikgu Nordin Awal untuk bertindak sebagai penjamin saya. Dia tak cakap apa pun. Dia cuma tersenyum saja. Saya tak dapat membayangkan perasaannya ketika itu. Sebagai pengetua sudah tentu dia merasa puas dan berbangga kerana dapat membantu saya. Sekurang-kurangnya bekas anak muridnya ini akan mempunyai pekerjaan yang stabil selepas tamat kursus nanti. Mungkin juga dia berbesar hati kerana saya sentiasa “menurut perintah” bagi setiap apa yang dirancangnya. Bukan untuk dirinya tetapi bagi faedah masa depan saya sendiri.

Saya tak berapa suka tetapi saya tau saya tidak mempunyai pilihan lain. Bagaimanapun tempoh dua tahun mengikuti latihan perguruan di Pulau Pinang cukup untuk menanam keyakinan yang bukan sedikit untuk menjadi guru. Kerana itu semasa berada di dalam bas menuju ke Kulai itu perasaan saya amat berbeza kerana saya sudah ditauliah sebagai guru. Kedatangan saya ke pekan koboi Kulai penuh dengan seribu keyakinan umpama seorang askar yang lengkap bersenjata sedang menuju ke medan perang. Saya seperti tidak sabar hendak berdepan dengan anak-anak murid. Kononnya untuk memulakan perjuangan membela anak bangsa. Saya juga bangga menjadi guru kerana seperti kata orang putih, "Teaching is a noble profession." Satu pekerjaan yang mulia. Itu yang kerap disebut para pensyarah ketika di maktab dulu. Cuma yang saya terkilan saya tidak dapat apa yang saya mahukan. Alangkah bagusnya kalau saya dapat jadi guru muzik.

Mengenang peristiwa temuduga untuk ke maktab membuatkan saya terfikir. Kenapa agaknya semacam sudah menjadi satu peraturan bahawa dalam hidup ini orang yang lebih tua selalunya betul? Cakap anak-anak tidak perlu didengar kerana mereka selalu dianggap tak tau apa-apa. Bagi saya, sepatutnya budak-budak seperti saya wajar diberi peluang bersuara dan menerangkan apa yang kami suka, apa yang kami minat dan seterusnya diberikan juga peluang membuat pilihan sendiri dalam hal-hal terutama berhubung masa depan. Bukankah kita lebih mengenali diri kita? Kita juga lebih tahu tentang kemampuan diri serta kemampuan berfikir kita. Sepatutnya kita tidak harus dipaksa. Ini kehidupan kita. Bukankah lazimnya orang-orang tua akan pergi lebih dulu daripada kita? Kalau kita dipaksa dengan sesuatu yang kita tidak suka, kita akan menanggungnya sepanjang hayat sedangkan mereka, kalau sudah tiada lagi di dunia ini, itu bukan masalah mereka lagi. Perkara yang sama juga berlaku bila seseorang itu memegang kuasa. Cakap mereka kononnya selalu betul sedangkan pandangan orang bawahan selalu dipandang remeh seolah-olah mereka juga seperti budak-budak yang tak tau apa-apa.

Sepatutnya semasa temuduga ke maktab dulu saya diberi peluang memilih apa yang saya benar-benar suka. Saya tahu saya boleh melakukannya. Kalau tidak takkanlah semasa di tingkatan dua lagi saya menjadi satu-satunya pelajar junior dalam sejarah sekolah menganggotai kugiran pelajar tingkatan empat dan bermain gitar utama. Bila bertanding kumpulan kami menang. Kemudian saya belajar dengan serius daripada guru muzik kami Cikgu Hamid Baharuddin (Allahyarham). Saya mendapat banyak ilmu daripadanya. Kerana mengejar ilmu, teruk juga belakang saya dipukulnya bila melakukan kesilapan. Tetapi saya tak kisah dibelasah kerana apa yang penting saya dapat belajar ilmu muzik. Lagipun saya sedar dia memang sayangkan saya. Orang lain mungkin dia tak berapa sayang kerana tidak pernah dibelasah.

Memang saya sangat minat dan gilakan muzik pada masa itu. Saya juga berpeluang mengadakan persembahan bersama-sama kumpulan muzik sekolah yang dikenali sebagai Nada Suara di beberapa tempat sekitar Tanjung Malim. Kami juga pernah bermain muzik di Felda Soeharto dan kemuncak “kerjaya muzik” saya di sekolah ialah membuat rakaman di RTM Ipoh.

Peristiwa yang sama juga pernah berlaku antara saya dengan allahyarham bapa saya semasa saya di darjah enam. Sebelum penghujung tahun, pihak sekolah mengedarkan borang kepada murid-murid darjah enam untuk membuat pilihan ke sekolah menengah. Bila ditunjukkan borang tersebut, ayah saya berkeras mahukan saya masuk ke High School Batu Pahat, sekolah orang putih termasyhur di daerah itu. Pada zaman itu sesiapa yang masuk High School dikira ada kelas. Tetapi saya berkeras tidak mahu ke sekolah orang putih. Walaupun kononnya saya merupakan antara pelajar terbaik dan kebanyakan kawan saya memilih untuk ke High School tetapi saya memberitahu ayah saya yang saya sudah membuat keputusan untuk ke sekolah aliran melayu iaitu Sekolah Dato' Bentara Luar.

Marah betul orang tua itu bila mendengar pilihan saya. Dia menyoal mengapa saya pandai-pandai memilih sekolah aliran Melayu. Saya memberi alasan bukan orang sekolah Melayu tak boleh hidup. Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan. Kita patut berbangga dengan bahasa Melayu. Kata saya lagi, bukan kita tak boleh belajar bahasa Inggeris. Lama-lama belajar, pandai juga. Entah dari mana saya dapat semangat nasionalis itu saya sendiri pun tak tahu. Tetapi ayah saya menyanggah, “Mana boleh! Besok kalau tak sekolah orang putih susah engkau nak dapat kerja,” katanya. “Engkau tengok abang engkau. Dua-dua sekolah orang putih.” Memang kedua-dua mereka bersekolah Inggeris di High School Kluang. Seorang jadi cikgu di Melaka dan seorang lagi kerani di Pejabat Tanah. Kedua-dua mereka dengarnya sedang bersiap-sedia untuk mengambil Higher School Certificate (HSC). Bukan calang-calang. Kedua-dua mereka hebat berbahasa Inggeris, macam air kalau bercakap. Begitu juga dengan kakak saya yang sulung. Walaupun setakat tingkatan tiga tetapi dia juga bersekolah Inggeris dan boleh bercakap walaupun tidak begitu fasih. Hanya kakak saya yang nombor empat bersekolah Melayu. Kalau saya juga ke sekolah menengah aliran Melayu, maka ada dua anaknya yang tak bersekolah orang putih. Kerana isu itu kami tidak bertegur sapa beberapa hari.

Bagaimanapun hasratnya untuk melihat saya masuk ke sekolah orang putih akhirnya tercapai juga bila saya diterima masuk ke Sekolah Datuk Abdul Razak, Tanjung Malim. SDAR sebuah sekolah berasrama penuh yang tergolong antara sekolah-sekolah berasrama penuh terkemuka pada zaman itu selain Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dan Sekolah Tun Fatimah (STF). SDAR kemudiannya berpindah ke Seremban pada tahun 1972.

Pada satu hari semasa cuti penggal, saya duduk bermain gitar di belakang rumah. Ketika itu saya memang tengah gila menyanyi lagu-lagu Inggeris. Dalam diam rupa-rupanya ayah saya memasang telinga mendengar dendangan saya. Bangga sungguh dia mendapat tahu saya boleh bermain gitar dengan baik. Mungkin dia teringat zaman mudanya bermain muzik bangsawan dulu. Dan mungkin lebih membanggakan lagi kerana saya boleh menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Dia membisikkan rasa bangganya itu kepada ibu saya,

“Nè, (singkatan nama glamour ibu saya iaitu Tina). Engkau dengar tu. Dah pandai dia main gitar. Lagu orang putih pulak tu..”

Ibu saya hanya tersenyum tetapi tidak pula membalas kata-katanya. Kata ibu saya wajahnya begitu berseri-seri ketika itu.

“Hmm..Nasib baik sekolah orang putih,” itulah yang diucapkannya dengan penuh bangga sambil berlalu pergi.

Agaknya dia amat berpuas hati kerana akhirnya dia menang juga dalam pertarungan mahukan saya masuk ke sekolah aliran Inggeris. Mungkin juga dia tahu kalau sudah boleh menyanyi tentu sahaja saya juga sudah boleh bercakap dalam bahasa penjajah itu sebagaimana abang-abang saya.

Saya amat tersentuh mendengar cerita yang disampaikan ibu saya itu. Agaknya begitulah selalunya perasaan ibu-bapa. Biarpun mereka tak berjaya dalam hidup tetapi mereka amat berbangga sekali bila melihat anak-anak lebih berjaya daripada mereka.

Memang benar, selepas melihat kedua-dua anak saya berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti, saya merasa amat bangga sekali, satu perasaan yang sukar digambarkan. Saya berbangga kerana mereka lebih berjaya daripada ayah mereka. Semoga kehidupan mereka nanti tidak sesukar sepertimana pernah saya lalui.


No comments: