Wednesday, 11 June 2008

Kopratasa (Bahagian 2)

Dalam saya meneruskan tugas menulis kertas cadangan program Sudut Penulis, pada masa yang sama saya juga cuba menghubungi M. Nasir yang mahu diangkat Dinsman sebagai seniman pertama membuka gelanggang program itu.

Bukan mudah untuk mendapatkan M. Nasir, pencipta, penulis lirik dan penyanyi Melayu tersohor Singapura itu. Mula-mula saya cuba menghubungi pejabat Polygram Kuala Lumpur. Saya berjaya bercakap dengan Billy Tan yang ketika itu memegang jawatan pengurus A&R. Billy kemudiannya merujuk saya ke pejabat Polygram Singapura. Bila saya menghubungi Polygram Singapura saya menghadapi sedikit masalah. Pegawai wanita yang menyambut panggilan saya bertanyakan terlalu banyak soalan. Dia mahukan penjelasan terperinci mengenai program kami itu tetapi bila dijelaskan dia langsung tidak dapat memahami konsepnya. Apabila saya cuba menjelaskan sekali lagi, pegawai tersebut bunyinya seperti faham tetapi selepas beberapa ketika rupa-rupanya dia masih sangsi sama ada program sebegitu sesuai untuk M. Nasir. Menurutnya, M. Nasir tidak boleh membaca nota muzik, jadi dia berpendapat M. Nasir tidak mungkin sesuai untuk menyertainya.

Memang payah bila orang tak faham konsep. Saya beritahu pegawai itu, sebenarnya kami bukan mahukan M. Nasir mengajar muzik atau membincangkan karya-karyanya dalam bentuk nota lagu. Kami hanya menyediakan ruang untuk M. Nasir membuat persembahan dan kemudian berbicara dengan audien. Itu saja. Dia memang tak faham langsung. Baru saya tau orang yang bekerja dalam bidang seni pun memang ada juga yang buta seni. Bagaimanapun dia berjanji akan cuba mendapatkan M. Nasir dan menyerahkan segala-galanya kepada saya untuk berbincang sendiri dengan tuan punya badan.

Beberapa hari selepas itu M. Nasir menghubungi saya. Maka hilanglah marah saya pada perempuan Polygram yang buta seni itu kerana sekurang-kurangnya dia telah melaksanakan tugas pengurusannya dengan baik.

Kebetulan waktu itu M. Nasir sedang sibuk dengan persiapan untuk berlakon dalam Kembara Seniman Jalanan. Kerana itu dia kerap berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur. Dia memberitahu saya bahawa dia akan ke Kuala Lumpur lagi dalam masa beberapa hari dan berjanji akan menghubungi saya bila dia sampai nanti.

M. Nasir menepati janjinya. Bila sampai di Kuala Lumpur dia menelefon dan petang hari yang sama dia datang ke Teater Elit ditemani pengarah Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani dan juga produsernya Zarul Albakri. Ketika itu saya merasa begitu bangga sekali kerana berjaya mengusahakan kehadiran M. Nasir ke Teater Elit. Bukannya Teater Elit tidak pernah menerima tetamu daripada kalangan nama-nama besar tanah air sebelum itu. Tetapi kehadiran M. Nasir berbeza daripada nama-nama besar lain. Kononnya ada sesuatu yang sukar untuk saya gambarkan. (Walaupun perkataan aura sudah lama terdapat dalam kamus tetapi pada masa itu belum ada sesiapa pun pandai mengaplikasikan perkataan tersebut).

Nasir Jani sudah lama mengenali Dinsman. Faktor itu menambah mesra suasana petang itu. Saya yang cukup “teruja” dengan kehadiran “nama-nama besar” filem Melayu itu terasa seperti sudah lama mengenali mereka.

Bercakap tentang program di Sudut Penulis, oleh kerana M. Nasir terlalu sibuk dengan penggambaran yang dijangka bermula tidak lama lagi maka dia tidak dapat menunaikan hajat Dinsman untuk membuka tirai program tersebut. Kerana itu Dinsman terpaksa menunda program itu sementara menantikan masa yang sesuai. Entah kenapa, Dinsman seperti berkeras mahukan M. Nasir untuk “melancarkan” program itu. Saya tak faham. Mungkin kerana Dinsman melihat M. Nasir sebagai seniman. Kalau tidak Dinsman tak mungkin mahu mengundang M. Nasir. Bukan semua artis bertaraf seniman dan bukan mudah bagi Dinsman mengiktiraf seseorang tanpa sebab.

Saya dapat rasakan Dinsman memang suka pada M. Nasir. Walaupun Dinsman tidak pernah menunjukkan minat terhadap muzik (kecuali memberi galakan kepada saya, Sani dan Usop melagukan puisi), tetapi saya rasa dia memang meminati lagu-lagu M. Nasir. Ini kerana bila saja keluar lagu “Kerana Kau” nyanyian Alleycats yang dicipta dan ditulis liriknya oleh M. Nasir, Dinsman melahirkan rasa kecewanya. Dia memberitahu saya, lirik tersebut bukan taraf tulisan M. Nasir. M. Nasir tidak harus menulis lirik yang sebegitu lemah.

Sedang kami berbincang tiba-tiba Dinsman memberitahu M. Nasir, “Dia orang kat sini pun ada buat lagu. Lagu puisi.” Saya terkejut. Aduh! Apa pulak Dinsman ni? Apasal nak cerita pulak? Malulah saya. Mana tahu buatnya M. Nasir nak mendengar kami menyanyi. Bukan sedap pun. Kemudian Dinsman bertanya saya sama ada Sani dan Usop ada di bilik belakang. Bila saya kata mereka ada, Dinsman terus mengajak M. Nasir, Nasir Jani dan Zarul ke sana, ke bilik belakang yang merupakan studio kami selalu berkarya. Kemudian dia meminta kami bertiga “membuat persembahan” menyanyikan lagu-lagu puisi kami. Saya turut bermain gitar.

Ketika itu ada beberapa lagu yang telah berjaya kami cipta. Antaranya Masihkah Kau Ingat ciptaan Sani, Akhir Disember ciptaan saya yang diambil daripada puisi Abdul Aziz HM (allahyarham) dan juga Kehidupan yang dicipta Sani dan diambil daripada puisi Dinsman sendiri. Memang sebelum itu kami sudah biasa mendendangkan lagu-lagu tersebut di beberapa majlis antaranya di Kompleks Budaya Negara, Majlis Pelancaran Semula Akhbar Watan oleh Karangkraf dan juga Pesta Buku Malaysia di Universiti Malaya. Kami juga pernah mengadakan persembahan di pentas Dewan Bandaraya sempena pelancaran pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan pernah sekali Dinsman meminta kami menyanyi di sebuah pub yang dikenali sebagai Bacchus yang terletak di hujung Jalan Raja Abdullah. Malam itu kami diminta menghiburkan bos besar Karangkraf, Haji Hussamuddin.

M. Nasir mendengar dendangan kami tetapi setelah selesai dia langsung tidak memberikan sebarang reaksi atau komen. Saya sangkakan tentu dia tidak berminat dengan lagu-lagu puisi. Apa sangat lagu-lagu itu jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu pop ciptaannya terutama lagu-lagu Kembara dan juga Alleycats. Lagu-lagu kami bukan genre pop. Namun kami tetap percaya lagu-lagu puisi kami memiliki rohnya tersendiri. Biarlah kalau M. Nasir tak suka. Kami akan terus berkarya dalam dunia kami sendiri. Sebelum kami kenal M. Nasir kami boleh hidup juga.

Program Sudut Penulis masih belum menjadi kenyataan. Dalam kesibukan bekerja saya sempat juga membantu Zarul mendapatkan kelulusan mengadakan penggambaran Konsert Kembara Seniman Jalanan yang bakal diadakan di Panggung Anniversary. Saya diberitahu konsert itu penting kerana ia merupakan kemuncak filem tersebut. Untuk tujuan itu saya terpaksa turun naik beberapa kali ke Bahagian Kebudayaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan di Wisma Keramat dan cuba mendapatkan bantuan Ketua Pengarah Kebudayaan, A.Aziz Deraman (sekarang Datuk). Mengikut prosedur Imigresen, mana-mana artis luar negara yang mahu mengadakan persembahan di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Bahagian Kebudayaan terlebih dahulu. Menurut Zarul dia kesuntukan masa kerana itu dia tak sempat menguruskan soal itu. Tetapi saya rasa di memang tak faham prosedur. M. Nasir pula ketika itu masih berstatuskan warganegara Singapura dan tentunya tertakluk pada peraturan yang sama.

Namun akhirnya saya berjaya mendapatkan kelonggaran dan seterusnya kelulusan lisan apabila Bahagian Kebudayaan berpendapat itu bukan persembahan pentas biasa sebaliknya sekadar penggambaran adegan sebuah filem. Tetapi mereka tidak pula bertanya mengenai status kemasukan M. Nasir sama ada menggunakan pas lawatan kerja atau sosial. Mungkin mereka terlepas pandang agaknya. Saya juga tidak pernah bertanyakan hal itu kepada Zarul. Tetapi pada malam itu saya merupakan orang yang paling bimbang kalau-kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini sepanjang konsert itu. Ini kerana sebelum memberikan restunya, Aziz Deraman meminta saya memberikan jaminan peribadi memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Apa yang merisaukan saya konsert itu sebenarnya melebihi sebuah penggambaran adegan filem. Blues Gang dan dr Sam Rasputin turut mengadakan persembahan yang menjadikan penonton-penonton menjerit-jerit seperti hilang kawalan. Kalau tak silap saya Search juga turut membuat persembahan.

Memang konsert itu tidak ada beza dengan konsert-konsert lain. Penggambaran hanya sebahagian sahaja. Tetapi kalau sekiranya berlaku sesuatu memang tak berbaloi bagi saya. Ssebenarnya saya seperti membuat kerja kebajikan. Produser langsung tidak menyebut tentang soal bayaran atas usaha yang saya lakukan. Lesen Bandaraya pun saya guna wang sendiri. Betul kata Dinsman. Untuk apa saya bersusah-payah kalau semata-mata mahu menolong kawan.

Petang sebelum penggambaran, ketika saya, Sani dan Usop duduk bersembang dengan rakan-rakan lain di tepi bukit menghadap Panggung Anniversary, M. Nasir turut berada di situ bersama-sama Pyan Habib yang memegang watak pembantu. (Saya tak ingat apakah Sani dan Usop juga turut memberikan “sumbangan” kepada filem itu seperti saya). Tetapi Siso memang ada berlakon sebagai penjual burger.

Tiba-tiba terpacul dari mulut M. Nasir, “Lagu puisi engkau orang tu aku ingat boleh buat albumlah,” katanya sambil memandang ke arah kami. Semua terdiam. Dalam hati saya berkata. Apa hal pulak ini? Nak suruh kami buat album ke?

Saya tidak mengambil serius kata-kata M. Nasir itu. Saya juga tidak mendengar perbincangan mereka selanjutnya. Saya terus bangun kerana ada urusan di belakang pentas. Tetapi kalau benar sekalipun apa yang dikatakan M. Nasir, biarlah Usop dan Sani saja yang jadi artis. Saya ada haluan saya sendiri. Lagipun saya tak pernah terfikir bahawa saya layak untuk memegang title sebagai seorang artis. Kalau benar mereka akan jadi artis rakaman dan kami terpaksa berpisah, itu bukan satu masalah. Mereka masih tetap sahabat saya dunia akhirat. Kalau saya tak ada Siso tentu boleh menggantikan saya. Dia pun ketika itu sudah mula rapat dengan Sani dan Usop dan biasa juga menyertai sesi latihan nyanyian kami. Apa salahnya dia menggantikan saya.

Cuma yang saya tak pasti apakah kalau Siso menggantikan tempat saya, dia mampu mengekalkan kemesraan hubungan seperti mana saya dengan Sani dan Usop yang tak ada tolok bandingnya di dunia dan mungkin akhirat (itu pun kalau kami dapat bertemu di sana).

Kopratasa!

Nota kaki:

Program di Sudut Penulis tidak pernah menjadi kenyataan walaupun selepas saya meninggalkan Teater Elit pada tahun 1985.

3 comments:

Letting the time pass me by said...

Usop Kopratasa nie orang Pontian kan.. Parit Raja....

Arwah Ayah dia nie la ustaz yang mengajar aku mengaji Al-Quran...

Kirim salam la kat dia kalau jumpa

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam, Betul nama Aliff kan?
Ya memang Usop orang Pontian. Malam tadi pun baru tengok dia nyanyi di Laman Santai Istana Budaya/Balai Seni Lukis Negara.
InsyaAllah, akan saya sampaikan pada dia bila jumpa nanti. Atau mungkin saya akan call sekejap lagi.
Ada no hp?

Kelab PROSTAR Pengajian Tinggi UiTM Kelantan said...

salam..sata ariff yang berminat utk mengadakan persembahan konsep akustik..cuma saya xbrp jelas mengenai konsep itu..bleh x tlg jelaskan aktiviti yang biasa dijalankan dalam konsep akustik ynag bersifat memuji keesaan tuhan..lg kalo ada contct ngan kopratasa bleh bgtau saya..hubungi saya dalam email raff_skinwalker@yahoo.com