Wednesday, 11 June 2008

Kopratasa (Bahagian 1)

Seperti biasa kalau dia sedang sibuk menulis di biliknya dia tidak suka diganggu. Kalau kita cuba mengganggu, berdirilah di depan pintu biliknya, sudah pasti kita kecewa kerana tidak mendapat sebarang reaksi maupun jawapan daripadanya. Dia hanya terkebil-kebil merenung kosong ke arah kita dan akhirnya kita terpaksa mengalah dan pergi dari situ. Itu antara perangai Dinsman yang cukup saya faham.

Pada suatu hari sedang saya membuat kerja di meja saya di ruang depan pejabat, tiba-tiba Dinsman memanggil nama saya. “Mat Shah!” Biasanya kalau dia memanggil dari jauh seperti itu bererti ada sesuatu yang menyeronokkan yang mahu disampaikannya. Kalau tidak, selalunya dia akan datang kepada saya dan itu petanda ada sesuatu yang kurang baik yang ingin diberitahunya.

Selepas beberapa bulan bekerja di Teater Elit saya sudah dapat memahami perangai bos saya itu. Memang saya perlu cekap memahami perangainya kerana selain Ella saya kerap berada di pejabat dan berurusan terus dengannya mengenai banyak perkara. Usop juga selalu berada di pejabat tetapi dia mempunyai tanggungjawab tersendiri, sibuk dengan kerja-kerja designnya di bilik belakang. Selalunya Usop hanya akan menyambut tanggungjawab selepas diberitahu tentang konsep dan selepas itu dia tidak harus diganggu. Usop artis yang hidup di dalam dunianya sendiri.

Sani Sudin dan Hazali Ramli memang sukar ditemui di pejabat. Ada saja kerja mereka di luar sana. Kalau tidak melakukan kerja-kerja pejabat kadang-kadang mereka keluar shooting. Selepas shooting ada dubbing atau sound effect dan entah apa-apa lagi. Kadang-kadang mereka juga membantu Usop. Mereka serba boleh.

“Ya, Bang Din,” saya tercegat di muka pintu menjawab panggilannya. Itu nama panggilan saya untuknya. Saya rasa hanya saya seorang saja yang memanggilnya begitu sedangkan Ella, Sani, Usop dan Hazali semua memanggilnya “Tuan.” Sutung Umar Rs juga mereka panggil “Tuan.” Saya panggil Sutung, Abang Sutung. Sehingga hari ini saya tidak pernah bertanya sesiapa tentang sejarah nama “Tuan” itu.

“Duduklah,” bunyinya lembut tetapi penuh autoriti.

Saya dapat merasakan bahawa dia ingin memberitahu saya tentang idea baru. Tekaan saya jarang meleset.

“Ni ha, kita nak buat program kat Sudut Penulis Dewan. Aku dah bincang dengan Sutung. Kau tau kan Sudut Penulis dah lama tak buat apa-apa. Kita nak hidupkan balik,” begitulah dia bercakap. Satu persatu. Ringkas dan kemas. “Buatlah apa kita nak buat, nak bagi orang baca puisi ke, main muzik ke, nak melukis ke. Tapi yang kita nak panggil semua seniman. Tiap minggu seorang seniman buat show sendiri. Projek, Teater Elit, bajet kita mintak dengan Dewan.” Sambil bercakap rokok gudang garam di tangannya masih menyala dan berasap. Kemudian dia menyedut rokok itu.

Mendengar kata-katanya saya mengeluh dalam hati. Aduhai, ini mesti kena tulis kertas cadangan lagi. Bukan kerja senang. Dulu pun banyak sudah dibuat. Bermacam-macam cadangan tapi satu pun belum menjadi lagi. Sekarang nak buat yang baru pulak. Tapi bila mendengar dia menyebut Sudut Penulis saya tak bimbang sangat. Saya tahu bagaimana akrabnya hubungan Dinsman dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dan betapa ramainya pegawai dan kakitangan yang mengenalinya yang merupakan rakan-rakan sekerjanya dulu. Tentu Dewan suka dengan idea itu kerana Teater Elit mahu membantu Dewan memberi nyawa semula kepada Sudut Penulis yang sudah lama mati itu. Sudah tentu saya sependapat dengan bos saya. Memang Sudut Penulis sudah lama mati kerana sudah sekian lama tidak ada sebarang aktiviti seni dianjurkan di situ.

“Boleh”, saya terus mengatakan boleh. “Tapi siapa kita nak panggil?”

“Banyak,” jawab Dinsman. “Engkau ni faham ke?” dia memandang saya. Sebenarnya bukan saya tak faham tetapi saya sedang cuba mahu memahami lebih lanjut.

Kemudian dia menyambung, “Kita nak panggil M. Nasir, Latif (Latif Mohidin). Ramai lagi. Tongkat pun boleh. Tarian, Marion (Marion de Cruz), teater Krishen Jit, Aziz (Abdul Aziz HM), siapa-siapa pun boleh tapi mesti orang yang hebat dalam bidang dia. Kita nak panggil semua seniman.”

“Apa dia orang nak buat?” saya bertanya macam orang bodoh sedangkan tadi saya seperti tak sabar mengatakan boleh.

“La..Kan aku kata, dia orang buat apa aje. M. Nasir menyanyi, lepas tu dia berdailog dengan audien. Acara bebas. Dia boleh cakap pasal muzik, pasal cipta lagu, cerita pasal pengalaman. Melukis pun boleh. Apa aje, lepas tu dia bercakap dengan audien. Audien boleh tanya apa aja.”

“Kalau macam tu bolehlah, Bang Din. Kena tulis proposal ke?” saya bertanya lagi. Saya tahu jawapannya tapi saya sengaja bertanya.

“Ha lah, kau buat dulu.” Mudah saja arahannya. Seperti biasa saya buat dulu kemudian dia akan tengok.

Memang bukan susah sangat tetapi yang menyebabkan saya mengeluh, sudah banyak kali sebelum itu selepas puas memerah otak, sampai tak tidur malam, menaip sampai ke pagi tetapi akhirnya apa pun tak jadi juga. Manakan tidak, penghujung tahun 1984 bukan tahun ekonomi yang baik. Apa yang saya tahu syarikat hebat seperti Promet pun sedang mengalami zaman sukar. Apa lagi syarikat-syarikat Melayu yang menjadi sandaran Teater Elit untuk penajaan program seni budaya.

Keadaan dua puluh lima tahun dulu bukannya senang untuk menaip. Pada masa itu bayang komputer pun belum ada lagi. Menaip kena guna typewriter. Bila ada yang silap kena taip semula. Sampai suku rim kertas digunakan tapi cuma sepuluh muka surat yang siap sebab banyak yang salah. Nak pakai eraser banyak-banyak nanti Ella tak mau senyum seharian sebab dia yang kawal bajet. Sungguh pun begitu kekecewaan saya hanya kerana banyak projek tidak berhasil. Tetapi di sebalik kesukaran yang dilalui, tidak dinafikan memang ada hikmah menulis kerana itu merupakan satu bentuk latihan dan pengalaman yang tidak ternilai yang tak mungkin mampu saya peroleh daripada mana-mana institusi pengajian. Teater Elit sekolah yang banyak mengajar dan melatih saya menulis.

Dinsman tidak pernah mengajar saya secara langsung. Saya banyak belajar sendiri menerusi pembacaan, pengamatan dan kemudian meniru hasil kerja Dinsman sendiri. Saya rasa tak salah meniru pada peringkat awal. Sama seperti pelukis yang terpaksa meniru gaya orang lain sebelum menemui identiti sendiri.

Setiap yang saya lakukan di Teater Elit merupakan proses pembelajaran yang amat berharga. Daripada copywriting hingga menulis kertas-kertas cadangan. Itu merupakan pengkhususan saya. Mungkin kerana Dinsman sudah dapat mengesan minat dan kebolehan saya sejak awal lagi semasa ditemuduga dulu, lalu dia menempatkan saya di “Fakulti Penulisan dan Pengurusan.”

Sani Sudin, Usop dan Hazali berada dalam jurusan lain. Mereka minat berteater, jadi Dinsman mengajar mereka teater. Pada masa yang sama, dengan kelulusan Seni Halus dari ITM, Usop memberi fokus pada kerja-kerja reka bentuk pengiklanan seperti saya ceritakan tadi. Dia berjawatan Pengarah Seni atau lebih sedap disebut Art Director. Sani dan Hazali pula, seperti saya sebutkan memang serba boleh. Mereka banyak membantu Usop dan mereka juga boleh melakukan pelbagai kerja berkaitan dan amat mahir tentang prosesnya. Melihat mereka begitu saya juga jadi ringan tangan belajar menggunakan cow gum, memotong dan menampal artwork. Kofordset tempat kami menghantar kerja-kerja typesetting dan Tye Cine tempat kami membuat bromide juga bukan asing bagi saya.

Biasanya setelah saya menyiapkan sesuatu kertas cadangan Dinsman akan menyemak dan kemudian membuat beberapa pembetulan atau penambahan sama seperti seorang guru memeriksa kerja muridnya. Cuma bezanya dia tidak pernah menggunakan pen merah. Dinsman jarang sekali memberitahu tentang kesilapan saya tetapi setiap kali dia membuat pembetulan saya akan faham di mana silap saya. Di situlah saya dapat memahami kehalusan serta ketelitian bahasanya, gaya dan juga aliran fikiran yang memang jelas dan memudahkan orang memahaminya. Walaupun ada ketikanya kelihatan seperti dia melanggar hukum-hakam bahasa tetapi itu bukan masalah. Itu gayanya. Yang penting kertas cadangannya ringkas, tepat dan padat. Segala-galanya ada di situ. Orang yang membaca tidak perlu bertanya kerana jawapannya boleh dicari di situ juga. Kertas kerja Dinsman ada seni tersendiri, penuh budi bahasa dengan kesopanan yang sukar ditemui.

Seperkara yang paling saya ingat hingga ke hari ini, apa yang Dinsman betulkan adalah muktamad. Jangan sekali-kali cuba kita ubah. Koma dan titiknya juga mengandung makna tertentu. Bila bekerja dengannya saya dapat memahami kenapa dia tidak mahu tulisannya diusik. Bagi Dinsman mengusik tulisannya sama seperti mencabar maruahnya. Dengan Dinsman saya juga belajar supaya maruah saya juga tidak diusik sesiapa.

Bersambung…

No comments: