Tuesday, 17 June 2008

Kopratasa “Live”

Selepas meninggalkan Teater Elit pada 1985, kami berpisah dan kemudian membawa haluan masing-masing, Walaupun selepas itu kami kerap juga berjumpa tetapi saya, Sani dan Usop tidak pernah bersatu semula di mana-mana pentas mengadakan persembahan seperti pada zaman Teater Elit. Bila mereka mengambil keputusan untuk merakam album pada tahun 1986 dan seterusnya menubuhkan Kopratasa secara rasmi, saya menyampaikan keputusan saya untuk tidak menyertai mereka dan memang sah saya tidak akan bersama-sama Kopratasa. Siso mengambil alih tempat saya.

Saya masih ingat lagi pada satu pagi kami mengadakan pertemuan di rumah sewa Usop dan Sani di Taman Melawati. Mereka memberitahu saya berita gembira untuk merakamkan album. Pada masa yang sama mereka turut menunjukkan senarai lagu-lagu yang akan dirakam termasuk dua buah lagu saya. Kata mereka M. Nasir sudah bersetuju dan persiapan sedang diatur. Rakaman akan dibuat di Singapura. Entah studio mana saya tak ingat tetapi dengarnya hanya sebuah studio lapan trek. Mereka bertanyakan pendapat saya dan seperti saya sebutkan, saya memang tak mau jadi artis. Saya memberikan sokongan sepenuhnya.

Entah kenapa memang sejak dulu lagi saya tidak pernah terfikir untuk jadi artis. Muzik hanya suka-suka sekadar mengisi masa terluang. Sejak zaman persekolahan, kemudian di maktab dan bila sudah keluar mengajar saya masih bermain muzik. Tetapi saya tidak pernah terfikir mahu mengembangkan bakat dan keluar daripada sempadan yang telah saya tetapkan sendiri.

Di Teater Elit, secara kebetulan masing-masing ada bakat menyanyi dan bermain alat muzik lalu secara tak sengaja kami bergabung atas permintaan bos kami Dinsman yang percaya dengan bakat kami. Semuanya kerana “seronok-seronok” (meminjam istilah kesukaan Dinsman). Dari segi hubungan pula, kami tidak pernah ada masalah. Mudah bertolak-ansur, mudah mencapai kata sepakat dan tidak pernah berkecil-hati.

Pernah ada beberapa orang kawan yang tahu sejarah saya dengan Kopratasa bertanya kenapa saya tak mahu jadi artis dan menyertai Kopratasa sedangkan ketika itu peluang sudah ada di depan mata. Saya jawab mudah saja, saya rasa saya tak layak untuk jadi artis. Saya tak punya “cut” untuk jadi artis kerana saya rasa saya dilahirkan untuk jadi “manager.” Memang sejak dulu lagi saya lebih berminat dalam kerja-kerja pengurusan dan juga bisnes. Kebanyakan mereka mengatakan, alangkah ruginya saya.

Selepas Kopratasa merakam album pertama dan seterusnya menjadi popular, saya tidak pernah berpeluang melihat mereka menyanyi secara “live.” Tetapi kalau saya tahu Kopratasa akan menyanyi di TV, saya akan cuba untuk tidak melepaskan peluang menonton persembahan sahabat-sahabat saya itu. Pernah juga beberapa kali saya diberitahu Sani atau Usop di mana mereka akan mengadakan persembahan tetapi peluang itu tidak pernah datang. Saya tak tahu kenapa jadi begitu.

Tetapi pada malam minggu lalu, hari Sabtu 14 Jun 2008, buat pertama kali dalam sejarah saya berpeluang melihat mereka mengadakan persembahan secara “live.”

Sebelum itu, Sani menghantar sms kepada saya pada jam 16:51:18 berbunyi, MALAM INI KOPRATASA DI LAMAN SANTAI. Saya terkejut kenapa Sani tidak memberitahu saya lebih awal. Kemudian saya teringat, mungkin kerana mereka mendapat undangan agak lewat ataupun mungkin juga Sani memikirkan saya akan ke Laman Santai seperti biasa. Lagipun minggu lepas saya hanya ke sana pada hari Isnin dan Selasa. Isnin kami ada berjumpa tetapi pada hari Selasa saya rasa Sani tidak datang ke wakaf. Ketika lalu di hadapan wakaf basikalnya pun tidak kelihatan. Saya tak sempat bertanya Aris di mana Sani. Saya hanya sempat memberitahu Aris bahawa saya ada mesyuarat dengan Amin Shahab dan terus berkejar ke kafetaria di mana Amin sedang menunggu dengan seseorang. Petang itu mesyuarat habis lewat dan bila saya turun wakaf sudah ditutup.

Bila saja mendapat sms tersebut saya terus menghubungi isteri saya dan bertanya sama ada dia dan anak-anak mahu ke Laman Santai. Semua bersetuju dan kami keluar selepas waktu maghrib bersama-sama Kak Yong (Faresha) untuk mengambil adiknya Baby di UIA.

Tentu sekali saya berbangga dapat mengheret anak-anak dan isteri menonton persembahan sahabat-sahabat saya yang memang bukan asing bagi mereka. Kak Yong memang tak hairan dengan Sani dan Usop yang cukup dikenalinya sejak lahir lagi. Tetapi Baby begitu teruja sekali kerana dia tidak biasa dengan mereka apatah lagi dengan Siso. Dia dan kawannya Kak Cik sibuk sekali mahu bergambar dengan Kopratasa.

Saya merasa amat bertuah dapat menonton Kopratasa menyanyi buat pertama kali selepas hampir dua puluh dua tahun kami “berpisah.” Persembahan mereka masih bertenaga, punya suara yang kental hasil latihan teater yang puas dilalui semasa di Teater Elit dulu dan saya rasa mereka masih mampu bertahan walaupun untuk tempoh sepuluh tahun lagi, jika diizin Allah. Sudah tentu Kopratasa tidak wajar disamakan dengan Search, Wings atau kumpulan popular lain. Kopratasa tergolong dalam kelas yang jauh terasing, masih punya pengikut setia yang sentiasa tunduk percaya pada lagu-lagu mereka yang punya roh tersendiri.

Ketika sibuk merakam video mereka menyanyi, tiba-tiba saya lihat seperti ada satu bayang di celah-celah mereka. Lama juga saya perhatikan. Ah! Memang benar. Saya rasa seperti saya ada di situ menyanyi bersama-sama mereka. Mana mungkin saya menafikan hakikat itu. Jiwa saya memang sudah lama terbelah dua. Sebahagian bersama Kopratasa dan sebahagian lagi sentiasa bersama ke mana saja U-Wei Haji Saari dan filemnya pergi.

Kopratasa!

Gambar-gambar di Laman Santai. Saya sempat juga bergambar dengan Usop dan Sani. Kononnya Kopratasa Originals. Begitu Baby (gambar 2 kanan) dan kawannya Kak Cik, macam teruja dapat bergambar. Wak Khalid (mentor Sani Sudin) turut menyaksikan persembahan. Dan sudah tentu isteri saya Ida dan Kak Yong juga ada kerana mereka peminat setia Kopratasa. Sayangnya gambar semasa persembahan tak ada kerana saya tak dapat mendekati mereka. Lagipun saya cuma guna kamera mainan tanpa fungsi zoom yang baik.


1 comment:

IF said...

Menarik blog saudara.
Saya juga salah seorang pengikut setia dan tersendiri Kopratasa.

Semoga terus berjaya.