Saturday, 21 June 2008

Jadi cikgu - Bahagian 2

(dipetik daripada Saya Tak Ada MBA)

Sebaik sampai di pejabatnya, saya tidak terus masuk. Saya bersembang dulu dengan Shaari dan Zul yang merupakan kakitangan pejabat paling lama berkhidmat sejak dari Tanjung Malim lagi. Kedua-dua kakitangan ini mempunyai kelebihan yang jarang ada pada orang lain. Mereka amat mesra dengan semua pelajar, sedia membantu pada bila-bila masa dan paling istimewa mereka mempunyai daya ingatan yang kuat mengingati nama-nama bekas pelajar walaupun sudah bertahun tak bertemu.

Mungkin kerana terdengar suara saya yang agak kuat bersembang, tiba-tiba Rahman Yeop memanggil dari dalam menyuruh saya masuk.

Saya tidak pernah merasa takut berdepan dengannya kerana perhubungan kami memang mesra dan mempunyai banyak sejarah. Bagi sesetengah pelajar mungkin gerun kerana perwatakannya nampak garang dan tidak dinafikan ramai yang sudah merasa hasil tangannya termasuk Ahmad Shabery Cheek yang sekarang ini merupakan Menteri Penerangan Malaysia. Saya tidak pernah menerima hukuman daripada Rahman Yeop tetapi saya “amat bertuah” kerana menerima hukuman public caning daripada pengetua sebelumnya iaitu Tuan Syed Jaafar Al Idrus. Saya ditangkap merokok oleh Cikgu Apandi Johan manakala laporannya pula di bawa kepada pengetua oleh allahyarham Cikgu Jalil Ibrahim. (Apandi berhenti mengajar untuk menyertai politik dan seterusnya menjadi ADUN Kota. Dia mungkin dipujuk oleh Cikgu Mohd Isa Samad yang telah berhenti terlebih dahulu dan kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Allahyarham Jalil pula bertukar kerjaya sebagai auditor beberapa tahun kemudian dan akhirnya meninggal dunia di Hong Kong kerana dibunuh berkaitan skandal kewangan BMF dan Kumpulan Carrian).

Belum pun sempat saya duduk Rahman Yeop terus bertanya,

“Apa sebenarnya kamu buat sekarang Mat Shah?” dia bercakap dengan loghat Peraknya yang agak pekat.

“Tak ada apa HM,” saya menjawab selamba sambil memerhati sekeliling. Memang kebanyakan kami di sekolah memanggilnya dengan nama HM.

“Dah tu, takkan kamu nak jadi kutu kat Seremban kot? Saya tengok kamu berjalan ke hulu ke hilir. Apa kena kamu ni?”

“Tak ada HM, hari tu saya jalan-jalan aje dengan kawan.”

“Kamu tak balik kampung?”

“Balik. Lepas results keluar saya balik kejap. Lepas tu datang balik sini. Saya cakap mak nak cari kerja.”

“Kerja? Kat Seremban? Kerja apa ada kat sini? Kamu tipu mak kamu ke?”

“Eh! Saya tak tipu. Hari tu memang kerja. Kontrak depan rumah bujang tu. Tapi sehari aje. Tak tahan, HM. Panas. Saya beli air lagi banyak daripada gaji. Berhenti. Lepas tu ikut kawan buat wiring kat Jelebu, tiga empat hari aje.”

“Hah! Apasal pulak berhenti?”

“Tak taulah HM. Susah kerja dengan kawan ni. Gaji pun tak cakap nak bayar berapa. Makan tengahari bagi roti dengan teh aje. Ni saya ingat nak start apply mana-mana yang boleh.”

Dia diam.

“Kamu belajar silat lagi ke?”

“Belajar. Tapi dah nak habis dah. Sambung sikit aje lagi.”

“Hah! Habis tu? Hei kamu ni…..” entah apa maksud kata-katanya saya tak tahu. Dia menggelengkan kepalanya. Kemudian dia bangun mengambil sebuah fail dari kabinet yang terletak di belakangnya.

“Kamu duduk mana sekarang?”

“Jalan Jelebu. Rumah bujang. Dekat aje HM.”

“Siapa ada situ?”

“Ramai HM. Budak-budak kita juga. Shahabudin, Azmi Chilek, Minal..”

Belum sempat saya menyebut nama-nama kawan lain dia memotong cakap saya, “Tu semua geng overseas tu.”

Saya diam dan memandang ke bawah.

“Besok kamu pakai smart sikit. Kamu pergi jabatan jumpa kawan saya.” Saya tak ingat nama kawan yang disebutnya. Tetapi mendengar kata-katanya saya terperanjat.

“Jabatan?” saya bertanya kehairanan kerana dia hanya menyebut jabatan sahaja tanpa nama yang khusus.

“Pelajaran,” dia menjawab sambil membelek fail yang diambilnya tadi. Dia langsung tidak memandang muka saya.

“Jabatan Pelajaran? Nak buat apa HM?”

“Daftar nama, jadi cikgu.”

“Ha? Jadi cikgu?”saya terperanjat.

“Kenapa? Tak suka?” dia tersengih.

“Taklah..Bukan gitu HM.”

“Cikgu sementara….Kamu ada apply mana-mana ke?”

“Ada. ITM.”

“Nak ambik apa?”

Business Studies.”

“Kamu minat bisnes?”

“Minat jugak HM.”

“Kamu jadi cikgu dulu. Sementara pun tak apa. Dapat ITM besok kamu cabutlah. At least ada kerja sementara ni, dapat gaji. Bolehlah kamu hidup.”

Saya terdiam. Terharu juga saya memikirkan betapa pengetua saya itu terlalu mengambil berat tentang hal diri saya. Bila nampak Rahman Yeop sudah mula sibuk saya memohon diri untuk pulang. Sebaik sampai di pintu, dia bersuara lagi,

“Hah! Besok jangan kamu pakai jeans pulak, Mat Shah. Ingat, pakai smart.”

“Ya HM.” Saya terus keluar tetapi kemudian menjengah semula ke dalam, “HM, terima kasih.”

Rahman Yeop tersengeh melihat gelagat saya. Pada saat itu saya nampak dia baru saja mengangkat telefon dan sedang cuba mendail.

Mendengar arahannya, saya rasa saya tidak perlu fikir panjang. Cakap siapa lagi yang harus saya ikut? Bapa saya sudah meninggal dunia dua tahun sebelum itu sebaik saya masuk ke tingkatan empat. Dia meninggal di Mina selepas selesai menunaikan fardhu haji. Selepas pemergiannya abang ipar saya mengambil peranan menggantikan allahyarham ayah saya. Dia merupakan pakar rujuk saya dalam banyak perkara walaupun ketika allahyarham ayah saya masih hidup. Ini kerana saya hubungan kami amat rapat dan dia pula lebih terbuka berbanding ayah saya yang sukar didekati dan sukar berkomunikasi dengan anak-anak lelaki. Itu bukan bermakna ayah tak sayangkan saya tetapi itu sikap semula jadinya yang memang sukar diubah. Tetapi dengan abang ipar saya bukan mudah untuk dihubungi kalau ada sebarang masalah kerana dia tinggal jauh di Kluang. Dulu bukan seperti sekarang. Ketika itu telefon hanya dimiliki orang berada sahaja. Jadi bila merantau, bila ada orang seperti Rahman Yeop yang sungguhpun tidak ada pertalian darah tetapi sudi mengambil berat tentang diri saya, saya patut bersyukur.

Keesokan harinya saya ke Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan bertemu dengan kawan Rahman Yeop dan terus mendaftar. Saya menjangkakan pada hari itu saya hanya perlu mendaftar dulu dan kemudian menunggu panggilan. Tetapi rupa-rupanya jangkaan saya meleset. Pada ketika itu juga saya diberitahu bahawa ada kekosongan jawatan Sekolah Menengah Datuk Undang Abdul Manap di Johol dan saya diminta mendaftar pada hari Isnin minggu berikutnya. Saya sendiri tidak tahu di mana letaknya pekan Johol. Tetapi saya malu untuk bertanya dengan pegawai itu kerana mustahil selepas lebih tiga tahun duduk di Seremban saya masih tak tahu di mana letaknya pekan Johol. Lebih baik saya bertanya dengan kawan-kawan.

Keluar dari pejabat kawannya itu, saya dapat rasakan segala-galanya seperti sudah diatur oleh Rahman Yeop.

Tanpa berlengah tengahari itu juga saya menaiki bas ke Melaka untuk menemui abang saya yang tinggal di Jasin. Tujuan saya ke sana untuk memohon derma pakaian lamanya. Dialah tempat paling baik untuk saya mengadu tentang perkara itu kerana dia seorang guru dan saya memang kerap juga mendapat pakaian second-hand daripadanya. Pemergian saya tidak mengecewakan kerana saya berjaya mendapat beberapa pasang pakaian yang lebih daripada mencukupi. Misi saya berjaya di samping turut mendapat sedikit wang belanja.

Selama beberapa bulan mengajar, itu sajalah pakaian yang saya ada. Saya tak mampu membeli pakaian baru kerana saya perlu berjimat-cermat memandangkan gaji guru sementara terlalu kecil. Lagipun setiap minggu saya terpaksa mengikut kawan-kawan serumah turun ke Seremban kerana tak mahu ditinggalkan keseorangan di Kuala Pilah yang tidak menjanjikan apa-apa pada malam minggu.

Pada satu hari, sedang saya sibuk mengajar tiba-tiba kakitangan pejabat bernama Kusai datang membawa mesej. Katanya Cikgu Rahman Yeop menelefon dan meminta saya menghubunginya semula. Saya menjangkakan sudah tentu dia mahu tahu tentang perkembangan diri saya kerana sejak mula mengajar saya langsung tidak ada menghantar khabar berita. Tetapi apabila saya dapat bercakap dengannya pada keesokan hari, rupa-rupanya dia meminta saya datang bertemu dengannya. Dia tidak memberikan sebarang sebab tetapi dia meminta saya datang dalam minggu itu juga. Dua hari kemudian, sekali lagi saya ke sekolah bertemu dengan bekas pengetua saya itu yang saya rasakan memang sayangkan saya.

“Hah! Seronok mengajar?”

“Tak sangat HM, tapi bolehlah…”

“Kamu ajar apa?

“Sains Paduan. Integrated Science pun saya ajar ...”

Form berapa?”

Form One.”

“Ha, bagus la tu. Terror kamu boleh ajar sains English.

Saya hanya mampu tersengeh.

“Kamu dah ambik borang maktab?”

“Borang?” Saya tidak dapat mendengar dengan jelas kata-katanya kerana masih dibuai keseronokan dipuji sebelum itu.

“Borang maktab.”

“Borang maktab?” saya kehairanan.

“Kamu pergi ambik kat jabatan. Saya dengar kamu tak dapat ITM, kan? Saya nak kamu apply masuk maktab.” Alamak. Siapa pulak yang beritahu saya tak dapat ITM? Orang tua ni kadang-kadang macam James Bond. Habis semua cerita saya dia tau. Aduh! Dia suruh saya masuk maktab? Nampaknya jadi cikgulah saya sampai mati, fikir saya.

“Kenapa? Tak suka?”

“Tak.. Suka juga...”

“Hah! Pergi ambik. Nanti kalau dia orang panggil interview, kamu inform saya.”

Saya tidak tahu sebenarnya apa rancangan sebenar Rahman Yeop untuk saya. Betulkah dia mahu saya jadi guru? Memang benar saya tak ada pilihan pada ketika itu. Tetapi tak semestinya saya perlu jadi cikgu. Kerja lain tentu ada. Ah! Pening juga saya memikirkannya. Tetapi apa pilihan yang ada? Saya tak tahu bagaimana nak merancang kehidupan saya dalam masa terdekat. Saya masih mengalami trauma akibat kegagalan mendapat tempat di ITM beberapa minggu sebelum itu. Itu amat mengecewakan saya. Walaupun semasa sesi temuduga lagi saya tahu saya tak mungkin mendapat tempat kerana ada peristiwa berlaku pada masa itu, tetapi saya amat kecewa sekali kerana saya amat mengharapkan untuk belajar di ITM. Itu satu kenangan paling pahit yang mencabar maruah saya yang tak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila. Mungkin kerana peristiwa itu menyebabkan saya seperti benci mendengar nama ITM.

Apakah perlu saya menurut perintah Rahman Yeop sekali lagi? Kali ini saya kena fikir dulu. Mungkin saya perlu beberapa hari sebelum dapat membuat keputusan.

No comments: