Friday, 20 June 2008

Jadi cikgu - Bahagian 1

(dipetik daripada Saya Tak Ada MBA)

Hari itu hari Sabtu minggu akhir penghujung cuti persekolahan penggal ketiga tahun 1977. Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap. Selepas mengambil sarapan yang disediakan Mak Usu Nah, saya keluar rumah dan menaiki bas T. Hakim dari Larkin Garden menuju ke perhentian bas di tengah bandar Johor Bahru. Pada waktu itu perjalanan dari Larkin Garden ke pusat bandar Johor Bahru mengambil masa lebih kurang 45 minit. Tidak seperti sekarang yang saya kira mungkin mengambil masa lebih cepat. Sampai di perhentian bas Johor Bahru saya terpaksa menunggu agak lama dan bila bas yang dinantikan tiba saya terus menaikinya. Bas itu merupakan bas bagi laluan Johor Bahru-Air Hitam. Tetapi saya bukan mahu menuju ke Air Hitam. Saya akan ke pekan Kulai.

Saya tidak pernah menjejakkan kaki di pekan Kulai sebelum itu. Saya mengenali Kulai sama seperti pekan-pekan lain iaitu Simpang Renggam, Bukit Batu, Bemban, Air Manis, Kelapa Sawit, Senai dan Skudai yang akan saya lewati setiap kali bila ke Johor Bahru. Kulai yang terletak kira-kira 20 batu dari bandar Johor Bahru tidak pernah menarik perhatian saya kerana saiznya yang nampak kecil dan sekali pandang persis sebuah pekan koboi. Kalau datang dari Air Hitam, sebelum sampai di pekan Kulai, ada kelihatan beberapa deretan kedai yang agak baru dibina. Di sebelah kanan pula terdapat sebuah kawasan perumahan baru dan selepas kawasan perumahan itu terdapat sebuah padang, mungkin agaknya milik dua buah sekolah yang kelihatan terletak di atas bukit bersebelahan.

Sebaik masuk ke pekan Kulai terdapat balai polis di sebelah kanan bertentangan bangunan pejabat pos yang kecil dan uzur. Di belakang pejabat pos itu pula terletak stesen keretapi yang pasti sesiapa juga tidak akan terlepas pandang. Kemudian terdapat dua baris bangunan kedai kayu yang terletak bertentangan di kiri dan kanan jalan besar. Selepas deretan kedai itu ada bangunan kedai MARA di belakang stesen minyak Shell di sebelah kiri dan sebuah bangunan kedai konkrit di sebelah kanan sebaik kita meninggalkan pekan itu.

Itulah besarnya pekan Kulai sebenar yang saya tahu ketika itu dan saya hanya dapat menceritakan dengan lebih jelas mengenainya kalau datang dari arah Air Hitam. Saya tidak pernah nampak apa yang ada di sebalik bangunan-bangunan tersebut. Mungkin juga ada bangunan lain yang terselindung. Tetapi kalau diambil kira pekan Kulai Besar yang terpisah daripada pekan sebenar, saiz bandar Kulai agak besar juga.di mana terdapat banyak bengkel kereta, bengkel besi serta kedai-kedai lain, Kulai Besar juga mempunyai banyak bar yang khabarnya menjadi tumpuan para peneroka Felda pada zaman mewah mereka satu waktu dulu. Oleh kerana Kulai tidak pernah menarik perhatian saya, saya tidak pernah terfikir mahu singgah di situ. Lagipun saya tidak ada sebarang urusan untuk dibuat dan saya juga tidak ada saudara-mara atau kawan-kawan untuk dilawati.

Tetapi kali ini nampaknya saya tidak ada pilihan. Suka atau tidak, saya terpaksa juga menjejakkan kaki di pekan koboi itu. Cuma kali ini saya bukan sekadar datang untuk singgah tetapi mungkin juga saya akan menetap di situ untuk selama-lamanya sehingga akhir hayat. Sebabnya, pada hari itu saya akan melapor diri sebagai guru untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 21 Kulai.

Sepanjang perjalanan tidak dapat saya gambarkan betapa seronoknya perasaan saya. Seronok kerana kali ini saya akan mengajar sebagai seorang guru bertauliah dan seronok kerana guru merupakan kakitangan kerajaan yang akan dibayar gaji setiap bulan dan mungkin juga akan menerima bonus sekali-sekala. Lebih penting lagi, sudah tentu bila mencapai umur persaraan nanti saya akan menerima pencen. Jadi pekerjaan itu merupakan kerjaya yang cukup selamat untuk masa depan saya.

Tetapi di sebalik rasa seronok tiba-tiba saya terbayangkan banyak perkara. Apakah saya mampu memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang pendidik? Apakah memang ini kehendak sebenar saya, untuk menjadi seorang guru? Sesuaikah pekerjaan ini dengan jiwa saya? Dan sanggupkah saya menjadi penunggu di sekolah untuk selama sekurang-kurangnya tiga puluh tiga tahun sehingga pencen? Murid-murid akan datang dan pergi sedangkan saya akan terus berada di situ. Tiba-tiba semua persoalan itu menakutkan saya. Jangka masa itu terlalu panjang dan tentu banyak sekali peristiwa akan berlaku sepanjang tempoh tersebut. Mampukah saya menghadapinya?

Bukan saya tak pernah jadi guru sebelum itu. Pada tahun 1975 saya pernah mengajar sementara di sebuah sekolah menengah di pekan Johol, Negeri Sembilan. Pengalaman selama tujuh bulan itu agak menarik juga. Mengajar di sebuah pekan kecil orang di sekeliling bukan tahu sama ada kita guru terlatih atau sementara. Yang mereka tahu kita cikgu dan semua orang memanggil kita cikgu. Kalau saya berjalan kaki dari rumah bujang tempat saya menumpang di belakang Women Hospital Kuala Pilah untuk ke stesen bas, mereka yang mengenali saya akan menegur, “Sekolah cikgu?” Bangga sungguh saya bila dipanggil begitu. Bila lalu di hadapan pejabat Majlis Bandaran pun begitu juga. Ada saja kawan-kawan yang akan memanggil.

Saat-saat sepanjang mengajar di situ juga amat manis sekali buat saya. Saya masih ingat lagi betapa mesranya saya dengan beberapa orang guru yang sama-sama mengajar di sesi petang yang kebanyakannya guru wanita. Tempoh tujuh bulan itu bagaikan terlalu panjang dan saya melalui pelbagai peristiwa agak menarik.

Tetapi jadi guru bukan cita-cita sebenar saya. Semuanya berlaku atas nasihat dan arahan seseorang yang mungkin dilakukan kerana simpati dan bagi membantu saya yang ketika itu nampak seperti tidak ada hala tuju. Sungguhpun begitu saya tidak pernah menyesal terjebak dalam kerjaya sebagai guru. Orang yang menolong saya itu hanya didorong Allah Taala supaya membantu menyediakan tapak asas kehidupan saya. Allah sudah mentadkdirkan bahawa perjalanan hidup sebenar saya akan bermula di situ. Selepas itu segala-galanya di tangan saya untuk membuat keputusan menentukan kehidupan sendiri yang kemudian diikuti dengan pelbagai episod kehidupan yang penuh mencabar yang berlaku satu-persatu mengikut turutan takdir. Begini ceritanya;

Selepas gagal mendapat keputusan baik dalam MCE, pada satu hari sedang saya merayau-rayau di bandar Seremban bersama-sama beberapa orang kawan, tiba-tiba saya terserempak dengan bekas pengetua saya Abdul Rahman Yeop yang sedang berjalan bersama-sama keluarganya. Sebaik melihat kelibat saya dia terus memanggil saya. Pada pertemuan yang tidak disangka-sangka itu dia bertanya apa yang saya buat. Saya memberitahunya bahawa saya masih menganggur dan belum ada sebarang rancangan lagi. Kami berbual di tepi jalan berhampiran stesen bas lama bertentangan Restoran Negeri yang terkenal itu yang masih beroperasi hingga ke hari ini. Mendengar jawapan saya dia menyuruh saya datang ke sekolah keesokan harinya. Menurutnya, ada sesuatu yang hendak dibincang. Saya tidak sempat bertanya apa perkara yang hendak dibincang itu kerana dia kelihatan tergesa-gesa bersama keluarganya.

Hairan sungguh. Apa lagi yang hendak dibincang? Dulu sementara menunggu keputusan MCE dia meminta saya balik semula ke sekolah. Dia menempatkan saya dalam kelas pra-universiti jurusan ekonomi selama tiga bulan semata-mata supaya saya boleh meneruskan khidmat memimpin kugiran sekolah. Bagus juga kerana sepanjang tempoh itu ada perkara yang boleh saya lakukan dan saya menerima wang saku daripada kerajaan. Sepanjang tempoh itu juga saya sempat mengadakan beberapa persembahan termasuk persembahan khas untuk Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaran Seremban. Tetapi kali ini apa lagi? Saya sudah pun mendapat keputusan. Dengan gred tiga tidak ada apa lagi yang boleh dibantunya. Untuk ke tingkatan enam sudah tentu tidak layak. Kalau dia mahu memanggil saya untuk membantu sekolah seperti dulu, saya sudah tidak ada platform lagi dan saya sendiri berasa malu kerana tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dengan sekolah.

Sungguhpun begitu, keesokan harinya saya pergi juga bertemu dengannya. Sekolah saya itu tidak jauh dari rumah bujang tempat saya menumpang. Kalau mengikut jalan belakang perjalanan mengambil masa lebih kurang dua puluh minit. Dari Jalan Jelebu saya memasuki kawasan kampung. Itulah jalan yang biasa yang saya lalui sama ada untuk ke Ampangan atau untuk curi-curi keluar malam mencari makanan dan rokok semasa di asrama dulu. Semasa menyusuri jalan kampung itu saya masih tertanya-tanya mengapa Rahman Yeop mahu berjumpa saya.

No comments: