Wednesday, 18 June 2008

Anak-anak Gunung Soga

Semasa keluarga saya berpindah ke situ pada tahun 1961, kawasan perumahan kakitangan Kerajaan itu memang sudah dikenali dengan nama Gunung Soga. Nama itu diambil sempena nama Bukit Soga di mana berhampiran kaki bukit itulah terletaknya kawasan perumahan tersebut. Apa yang saya tahu Gunung Soga tidak pernah disebut sebagai taman atau kampung. Kalau menghantar surat, alamat hanya perlu ditulis (sebagai contoh alamat rumah kami dulu) 493-D, Gunung Soga, Batu Pahat.


Walaupun ketika itu saya baru berusia lima tahun tetapi daripada perbualan ahli keluarga, saya dapat memahami rupa-rupanya Gunung Soga sebelum itu lebih dikenali dengan nama Kebun Kelapa. Mungkin kerana di situ banyak pokok kelapa dan memang benar, hampir setiap rumah mempunyai pokok itu termasuk di kawasan rumah saya. Bila saya balik ke Batu Pahat, nama itu masih kedengaran digunakan hingga sekarang.





Berhadapan Gunung Soga pada waktu itu terdapat kebun kelapa yang agak luas yang boleh dilihat sepanjang Jalan Bakau Condong. Tetapi beberapa tahun selepas itu kawasan tersebut kemudiannya dibangunkan dan menjadi sebuah kawasan perumahan. Di penghujung kawasan itu iaitu di persimpangan Jalan Bakau Condong/ Jalan Kluang-Air Hitam terdapat sebuah masjid besar yang kelihatan lebih besar daripada masjid daerah Batu Pahat. Saya tidak pasti apa nama sebenar kawasan itu sekarang tetapi waktu dulu sering disebut sebagai "tapak pesta."


Arwah ayah saya memang cukup dikenali di kawasan itu. Pertama, kerana dia memegang jawatan penjaga stor surau Gunung Soga dan kedua, mungkin kerana pekerjaannya sedikit istimewa daripada perkhidmatan Kerajaan lain. Dia merupakan satu-satunya Pengawal Mergastua yang ditempatkan di daerah Batu Pahat. Oleh kerana kerjanya turut melibatkan memburu haiwan liar termasuk harimau, akhirnya dia mendapat gelaran nama Ibrahim Rimau. Sebut saja Ibrahim Rimau, hampir semua orang kenal. Kalau saya singgah untuk menemuinya di kompleks pejabat Kerajaan yang terletak di pusat Bandar Penggaram (Batu Pahat ialah nama daerah manakala bandarnya dikenali sebagai Bandar Penggaram), bila sahaja saya memberitahu bahawa saya mahu berjumpa ayah saya yang bernama Ibrahim, orang yang saya tanya itu akan menyoal balik, “Berahim Rimau?” Menariknya, gelaran yang sama akhirnya diwarisi abang saya yang semasa itu bekerja di pejabat tanah di kompleks yang sama. Dia mendapat gelaran Mat Rimau.

Saya juga hampir-hampir mendapat gelaran itu. Orang yang sama memberi gelaran tersebut kepada ayah saya iaitu Haji Embi pernah cuba menggelar saya dengan nama Anak Rimau. Kalau bertemu saya di surau dia akan mengajuk bunyi "Aumm!!!" Tetapi gelaran tersebut tidak lekat kerana saya jarang berada di kampung dan balik hanya pada musim cuti sekolah.

Selain cukup dikenali dalam kalangan kakitangan Kerajaan, Pegawai Daerah (DO) Batu Pahat juga kenal dengannya. Saya selalu mendengar dia dipanggil ke rumah Pegawai Daerah untuk melakukan pelbagai kerja termasuk memasak nasi minyak atau beriyani. Memang dia ringan tulang dan pada bila-bila masa sahaja bersedia untuk menolong orang bila diperlukan. Kalau ada sebarang majlis besar di masjid Batu Pahat seperti Sambutan Maulud Nabi (sekarang Maulidur-Rasul), selalunya arwah saya akan diminta oleh Pegawai Daerah untuk memasak. Apa yang saya tahu dia tidak pernah meminta bayaran. Kadang-kadang cukup dengan membawa balik satu bekas tin minyak sapi berisi nasi minyak yang kemudian dibahagi-bahagikan untuk turut dijamah jiran-jiran kami. Mungkin kerana dia suka menolong orang, selepas dia meninggal dunia di Mekah, begitu mudah sekali Tuan DO menolong mendapatkan sebuah rumah murah di Kampung Istana untuk arwah ibu saya.

Salah seorang jiran di belakang rumah saya namanya Cikgu Mohamad Diah. Dia mempunyai dua orang isteri yang tinggal serumah dengan bilangan anak yang kalau tidak silap saya melebihi dua puluh orang. Salah seorang anaknya menjadi penyanyi 60-an yang terkenal iaitu A. Halim. Saya sebaya dengan adik-adik A. Halim yang sama-sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penggaram. Sudah lama saya tidak bertemu mereka dan khabarnya semuanya sekarang hebat-hebat belaka.

Bersebelahan rumah Cikgu Mohamad Diah ialah rumah Cikgu Jamil Markom. Salah seorang anaknya pernah menjadi setiausaha sulit kepada Menteri Besar Johor pada era 80-an dan sehingga sekarang masih aktif dalam bidang politik. Namanya YB Ahmad Zahari yang kini merupakan ADUN Sri Medan. Salah seorang adik Ahmad Zahari menjadi ketua pegawai eksekutif di Syarikat Air Johor. Ada beberapa orang lagi adiknya yang khabarnya memegang jawatan besar di beberapa syarikat korporat.

Di sebelah rumah Cikgu Jamil pula tinggal satu keluarga yang tidak berapa saya kenal tetapi anak mereka bernama A. Dayang juga merupakan seorang penyanyi 60-an yang boleh tahan popular dan adiknya A. Nandung juga mengikut jejak langkahnya. Tetapi populariti kedua-dua mereka tidak sehebat A. Halim kerana mereka hanya popular pada zaman itu sedangkan A. Halim masih diingati dan juga masih terus menyanyi hingga sekarang.

Kira-kira 30 meter dari rumah saya terdapat rumah teman sepermainan saya bernama Syed Mohd Amin. Saya dan kawan-kawan lain memang selalu berkumpul di rumahnya. Pernah sekali kami membina pondok dalam kawasan rumahnya. Amin merupakan arkitek yang merekabentuk pondok itu sedangkan yang lain hanya mengikut saja. Kadang-kadang seronok juga mengenang kenakalan kami ketika itu. Bila pondok siap tetapi masih tidak beratap, “mesyuarat” memutuskan supaya saya dan beberapa kawan lain pergi mencuri atap zink dari reban ayam rumah Pak Selamat. Bila atap zink masih tidak mencukupi, salah seorang kawan kami bernama Mat Katon mencadangkan supaya kami mencuri atap zink milik ayahnya sendiri yang juga tersimpan di dalam reban ayam. Pada malam itu Mat Katon berjaga di rumah memberi isyarat kepada kami menggunakan lampu suluh. Kedua-dua Operasi Atap Zink kami tidak pernah gagal.


Kami terputus hubungan bila Amin berpindah ke Kampung Merdeka manakala saya pula masuk ke sekolah asrama penuh. Saya meninggalkan Gunung Soga selepas kematian ayah saya pada tahun 1973.

A
min memang suka melukis sejak kecil mewarisi bakat ayahnya Syed Hashim yang saya panggil Pak Habib. Selepas menamatkan persekolahan Amin melanjutkan pelajaran dalam bidang seni lukis di Nanyang Academy of Fine Art Singapura.
Selain melukis Amin kemudian terlibat dalam penulisan lirik lagu dan mula terkenal bila dia menulis untuk M. Nasir dan kumpulan Kembara dan selepas itu diikuti dengan Alleycats dan banyak lagi artis lain. Dia menggunakan nama S. Amin Shahab. Sehingga sekarang dia masih menulis lirik walaupun tidak sekerap dulu. Sekarang Amin sedang sibuk menyiapkan projek Dunia Dalam Satu Kilometer dan menjadi artis residen di Balai Seni Lukis Negara. Bila lukisannya itu siap sudah tentu anak kelahiran Gunung Soga ini akan lebih terkenal kerana karyanya bakal mencipta rekod sebagai Lakaran Di Atas Pena Terpanjang Di Dunia yang berukuran satu kilometer.

Berhadapan rumah Amin terletak rumah Cikgu Nasir yang masih sihat hingga sekarang. Saya ada mengunjungi keluarga Cikgu Nasir pada tahun lepas dan juga pada tahun sebelumnya. Isterinya Mak Melah yang dulu memang rapat dengan arwah ibu saya menitiskan air mata bila pertama kali saya mengunjunginya selepas sekian lama tidak bertemu.


Anak sulung Cikgu Nasir yang bernama Naim menjadi orang besar dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri. Selepas keluar universiti dia bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah dan kami biasa bertemu semasa saya bekerja di sebuah syarikat muzik di Johor Bahru. Naim pernah datang ke bilik pameran kami untuk membeli sebuah keyboard. Kemudian dia dipinjamkan menjadi Setiausaha Sulit seorang timbalan menteri. Saya pernah terserempak dengannya ketika dia turun dari pejabatnya di Bangunan PKNS di Jalan Raja Laut. Bila timbalan menteri itu kehilangan jawatan dia balik semula ke Johor menjawat pelbagai jawatan termasuk setiausaha majlis dan pegawai daerah di beberapa buah daerah. Dia dikurniakan gelaran Dato’ oleh Sultan Johor ketika memegang jawatan Pegawai Daerah Muar. Berbanding negeri-negeri lain yang menganugerahkan gelaran Dato’ seperti melambakkan ikan di pasar, di Johor tidak semudah itu untuk mendapat kurniaan tersebut. Hanya mereka yang benar-benar terbukti cemerlang dan banyak berbakti kepada negeri dan rakyat sahaja akan mendapat kurniaan tersebut. Biasanya pegawai tinggi Kerajaan Negeri, mufti dan juga doktor yang pernah berkhidmat dengan istana. Orang politik, sekalipun seorang exco Kerajaan Negeri memang tidak mungkin berpeluang menerima kurniaan daripada Sultan Johor. Mereka terpaksa melobi di negeri-negeri lain seperti Melaka yang sentiasa bermurah hati untuk memberi anugerah sekalipun mereka tidak pernah menabur bakti di negeri tersebut. Mungkin jasa dan bakti orang politik sukar mendapat pengiktirafan Sultan kami.


Sekarang Naim menjawat jawatan Datuk Bandar Johor Bahru. Semasa kami bersarapan di Hotel Katerina pada hari raya tahun 2006, Naim ada memberitahu saya dan isteri saya bahawa dia akan dilantik ke jawatan itu. Saya seperti tidak percaya bila dia berkata, “Bulan Oktober ni aku jadi Datuk Bandar JB.” Saya tidak pernah menjangka seorang anak Gunung Soga akan berpeluang memegang jawatan itu.


Kami memang kerap berjumpa di Hotel Katerina kerana setiap kali ke Batu Pahat di situlah saya dan keluarga menginap. Naim dan keluarganya juga memang menginap di situ setiap kali balik ke kampung. Isterinya juga orang Batu Pahat, anak Mak Bibah yang tinggal di Kampung Istana berdekatan rumah arwah ibu saya.


Anak perempuan Cikgu Nasir yang bernama Hendon pernah belajar di maktab yang sama dengan saya ketika saya berada di tahun kedua. Saya masih ingat lagi pada hari pertama dia sampai bersama-sama ayahnya, saya sibuk sekali membantu menguruskan pendaftarannya. Ketika itu saya rasa seperti semangat Ibrahim Rimau yang yang ketika hayatnya suka membantu orang lain hidup semula dalam diri saya. Tetapi sebulan selepas itu Hendon atau nama sebenarnya Noriah berhenti daripada maktab kerana mendapat tempat di USM. Kini dia mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim. Semasa bertemu di rumahnya dulu, Cikgu Nasir masih ingat lagi peristiwa tersebut dan berulang-kali menyebutnya.


Rumah Pak Selamat yang kami curi atap zink dari reban ayamnya terletak sebaris dengan rumah Amin. Jarak rumah mereka kira-kira 50 meter sahaja bersebelahan balai raya dan tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan Seri Pelangi yang sekarang ini dikenali sebagai SJK (Tamil) Seri Pelangi. Pak Selamat mempunyai ramai anak perempuan. Saya hanya ingat pada Dahlia yang berkawan baik dengan kakak saya. Mereka sama belajar di Sekolah Menengah Tun Aminah. Seorang lagi anaknya yang saya ingat yang ketika itu menjadi pujaan ramai budak-budak Gunung Soga dikenali sebagai Endek. Saya sudah lupa nama sebenarnya. Khabarnya ada seorang anak gadis Pak Selamat bekerja di RTM bernama Angrahi dan seorang lagi menjadi penyanyi yang agak terkenal. Namanya Shafinaz.


Baru-baru ini ketika menonton Kopratasa menyanyi di Laman Santai, ada juga saya terfikir untuk bertemu Shafinaz yang turut membuat persembahan. Ingin sekali saya memberitahunya bahawa saya juga anak Gunung Soga, kawan baik Amin Shahab dan amat kenal dengan ayahnya Pak Selamat dan ibunya Cikgu Zaitun. Saya juga kenal baik dengan dua orang kakaknya. Tetapi hasrat saya untuk bertemu dengannya pada malam itu tidak kesampaian. Bukan mudah mahu mendekati artis. Saya hanya orang biasa.


Berhadapan rumah Pak Selamat tinggal sepasang suami-isteri yang bekerja sebagai guru. Namanya Cikgu Ahmad Hashim dan isterinya Cikgu Inom. Cikgu Mat mengajar di sekolah saya iaitu Sekolah Kebangsaan Penggaram manakala Cikgu Inom yang kami panggil Cik Inom mengajar di Sekolah Menengah Tun Aminah. Saya kerap juga menumpang kereta Cikgu Mat untuk ke sekolah. Kalau menumpang keretanya, Cikgu Mat tidak akan terus sekolah. Sebaliknya dia akan terus ke sekolah Inggeris yang terletak di berhampiran pusat bandar untuk menghantar anaknya yang bernama Yasmin. Anaknya itu pernah belajar di luar negara dan kini menjadi seorang pengarah filem terkenal.


Semasa mengajar di Kulai dulu dan terlibat dalam banyak aktiviti seni budaya anjuran Jabatan Pelajaran Johor yang selalunya diadakan di Johor Bahru, saya selalu bertemu dengan Cikgu Mat. Ketika itu dia memegang jawatan Penyelia Muzik dan terlibat sama dalam hampir setiap aktiviti.


Saya banyak mendengar daripada Amin Shahab bahawa memang ramai sekali anak Gunung Soga yang berjaya menempa nama dalam bidang masing-masing. Mungkin hanya saya seorang saja yang kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Ada kalanya saya tersentuh juga memikirkan perkara itu kerana pencapaian saya tidak sebaik mereka. Tetapi kini, saya harus merasa bangga kerana bila melayari internet, buka laman web Google dan cuma taip nama Mohd Shah Ibrahim, maka akan keluarlah nama saya berserta alamat penuh blogspot yang boleh ditatapi seluruh dunia. Wow! Terkenal juga nampaknya seorang lagi anak Gunung Soga (kononnya)..

Nota kaki:

1. Betul-betul di kaki bukit (Gunung Soga) sekarang ini dipenuhi dengan rumah persendirian bekas kakitangan Kerajaan yang dikurniakan tanah selepas mereka bersara. Khabarnya ada juga lot-lot tanah yang dibeli daripada Kerajaan Negeri. Antara yang tinggal di situ sekarang ini ialah Cikgu Nasir, keluarga arwah Cikgu Jamil dan juga keluarga arwah Pak Ali Kubur, salah seorang kawan karib arwah ayah saya yang dulu merupakan imam surau Gunung Soga.

2. Saya hanya bertemu semula S. Amin Shahab pada tahun 1989 di upacara pelancaran album pertama Ruhil yang dibuat di PWTC tanpa menyedari bahawa penulis lirik S. Amin Shahab itu sebenarnya Amin, teman sepermainan saya waktu zaman anak-anak dulu. Selama dua puluh tahun kami tidak pernah bertemu dan selama itu juga saya tidak pernah melihat gambar S. Amin Shahab atau membaca tentang latar belakangnya. Saya hanya tahu bahawa S. Amin Shahab itu penulis lirik bagi kebanyakan lagu M. Nasir yang sekian banyak menjadi "hits" ketika itu. Saya akan menulis tentang peristiwa tersebut satu hari nanti, insyaAllah.

Gambar-gambar Amin Shahab semasa bekerja di Memorial Tun Abdul Razak serta sebahagian daripada lukisannya sepanjang 1 kilometer



16 comments:

dewek anak wak long said...

tuan,
teruslah menulis. terbitkan memoir.

MOHD SHAH IBRAHIM said...

InsyaAllah, hanya kalau sdr sudi menjadi penyusun Memoir Orang Seni Tak Bernama itu.

dannalli said...

Sdr Md Shah, InsyaALLAH ramai yang sudi.

ali yunus said...

Syabas kepada tuan mengisahkan sejarah GS. Saya ni penduduk kuaters GS dulu di 493B sekarang ni di 534B Gunong Soga. Harap dapat tuan. Harap perumahan ini dapat dikekalkan.

Ehwan said...

Salam, saya Ehwan, anak Allahyarham Hj Edin anak jati Gunung soga, rumah No. 16 Jalan ungku Muhammad, teruskan menulis...syabas!!

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Sdr Ali Yunus,
493B dulu satu blok dengan saya kerana alamat saya dulu 493D. Betul? Semoga kawasan perumahan ini akan dikekalkan.
Sdr Ehwan,
arwah ayah sdr Hj Edin kenalan baik arwah ayah saya Ibrahim Rimau. Sebut saja nama Hj Edin di Batu Pahat rasanya siapa yang tak kenal.
Sepupu sdr pula bekas bos saya di Bangsar dulu. Namanya Rahmat Mustaffa.

hana said...

Salam. Saya cucu arwah Cikgu Jamil. Saya amat berbangga membaca entry tuan. Terima kasih.

selempang merah said...

saya sangat bangga dengan adanya blog tuan..
saya juga anak jati gunung soga tapi rumah saya terletak di hujung padang kelab golf berhampiran kelab bandar penggaram yg terbiar usang kini..

mohdmdy said...
This comment has been removed by the author.
mohdmdy said...

'Salammualaikum Sdra MatShah :D

Alhamdulillah syukur..kerana dari laman anda tersebut bolehlah dikatakan yang anda masih sihat walafiat ..saya dapat merasakan juga kerana anda telah meriwayatkan kembali fail-fsil memori nostalgia dari cakera keras .. walaupun media perkomputeran belum lagi wujud ketika itu..heheee

Yang terkilan dan sayang sekali ..anda telah tidak dapat meriwayatkan penama2 yang penting ketika di era itu sprti ..MatNoh Jimba, Jingga..etc ..Usin Itam.. hehhehh

ieqa zieqa said...

saya sekarang menetap di Gunung Soga....Gunung Soga memang best sangat....sejak usia 9 bulan bulan dan kini berusia 15 tahun.....bersama2 ayah dan mama yg juga kakitangan kerajaan.....

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam untuk semua, saya amat berterima kasih kepada semua yang menghantar komen terkemudian. Kepada Ali Yunus, Ehwan, Hana, Selempang merah, mohdmdy dan juga ieqa zieqa. sayang kita tidak dpt berhubung kalau tidak ingin juga saya mengenali sdr/sdr lebih dekat. Kpd mohdmdy, saya berkesempatan bergaul dgn beberapa orang sahaja. mat noh jimba kawan baik saya (sekarang arwah). amin shahab menyampaikan berita yang diterima drp Mat Kartun. Saya terkilan. Mat kartun pun tidak pernah saya temui selama 27 tahun tinggal di KL. Mat ada di sini. Mungkin akan pencen tak lama lagi.

Lidi emas said...

Saya anak cikgu Nasir yg bungsu..saya masih ingat saat arwah atuk berahim rimau nk berangkat ke mekah. Saya ada pagi tu. Skrng yg tggal di gunung soga hanya sekolah seri pelangi dan surau. Mak dan ayah saya masih sihat. Ayh Dh berumur 96 tahun

Mohamad Nazri Aziz said...

Sya adalah antara penduduk gunung soga sehingga sekarang. Sya amat berbangga tggal di situ. Tp dukacita dan sedih krana semua rumah2 kerajaan disitu telah dirobohkan kerana projek perumahan baru akan di naikkan

Mohamad Nazri Aziz said...

Sya adalah antara penduduk gunung soga sehingga sekarang. Sya amat berbangga tggal di situ. Tp dukacita dan sedih krana semua rumah2 kerajaan disitu telah dirobohkan kerana projek perumahan baru akan di naikkan

Jimmy said...

Arwah pakcik saya Cikgu Sharif Iskon dan isterinya Cikgu Zainon dulu juga tinggal di Gunung Soga. Ketika umur 11 dan 12 tahun (sekitar tahun '83-'84) saya sering menetap di rumah beliau sewaktu cuti panjang persekolahan. Ingatan terindah zaman kanak-kanak saya banyak di sini. Di sinilah saya belajar main 'roundes', main bola (di padang golf), kutip bola golf (sbg hobi hehehe) dan macam-macam lagi. Saya sangat sedih apabila buka Google Maps, rumah-rumah kerajaan itu telah dirobohkan (gambar google maps tahun 2013) dan yang tinggal hanyalah semak samun.